Erti Seorang Ayah

Assalamualaikum. Terima kasih admin sebab publish confession yang tak seberapa ni. Beberapa minggu yang lepas, saya ada terbaca mengenai luahan hati mereka yang kecewa dengan sikap bapa yang tidak bertanggungjawab. Saya pun pernah mengalami situasi yang sama tetapi bukan secara langsung. Hopefully ada pengajaran & teladan yang boleh diambil dari kisah ni. Insya Allah.
 

Saya seorang wanita berumur 28 tahun. Seorang isteri & ibu kepada seorang anak. Sekarang hamil anak kedua. Cerita yang saya nak sampaikan ni sebenarnya bukan mengenai diri saya, tetapi suami saya. Maksudnya, ayah suami saya (ayah mertua) yang bersikap sambal lewa dan melepaskan tanggungjawab sebagai suami dan bapa kepada ibu mertua saya dan anak-anaknya.
 
Suami merupakan anak sulung dari tiga beradik. Memang berat tanggungjawab sebagai anak sulung ni. Semasa saya mula berkenalan dengan suami, memang dia sembunyikan tentang masalah keluarganya, especially masalah sikap ayahnya. Sepanjang kami berkawan, dia suka menyendiri dan termenung. Suatu hari, dia putuskan hubungan kami. Saya tahu dia seorang lelaki dan anak yang baik, dan saya cuba hormati keputusannya tetapi saya minta penjelasan juga kerana saya tahu dia ada masalah sebenarnya.
 
Hari itu, dia jelaskan segala-galanya pada saya. Keluarganya hampir musnah gara-gara sikap ayahnya. Dia buntu. Rumah ibu-bapanya terpaksa dilelong. Ini bukan kali pertama, tetapi sudah kali kelima. Dia menangis di hadapan saya. Dia anak sulung. Waktu itu kami baru habis belajar, dan baru bekerja. Saya bekerja di sektor kerajaan, suami pula waktu itu bekerja di sebuah syarikat swasta sebagai technician. Ayahnya mendesak supaya dia menyelamatkan rumah tersebut. Apalah yang dia boleh lakukan. Waktu itu dia hanya teringatkan nasib ibu mertua saya dan adik-adiknya yang masih belajar dan bersekolah. Dia cuba membeli rumah tersebut, tetapi gajinya tidak cukup untuk membuat pinjaman.
 
Lama-kelamaan, dia semakin selesa berkongsi masalahnya dengan saya. Katanya, sikap ayahnya memang begitu sejak dia kecil lagi. Ayahnya lebih mementingkan orang lain dari isteri dan anak-anak. Ayahnya hanyut dalam dunia perniagaan yang kita sendiri faham bagaimana. Dia dan adik-adiknya tak pernah merasa kasih sayang seorang ayah. Bila pulang dari kerja, ayahnya bersiap lagak orang bujang dan keluar berseronok bersama kawan-kawan sehingga awal pagi. Begitulah setiap hari. Wang belanja untuk ibu mertua saya selalunya akan diminta kembali oleh ayah mertua. Barang-barang kemas pula habis digadai. Jadi untuk menampung belanja anak-anak, ibu mertua saya menjual kuih-muih dan nasi lemak. Suami saya turut membantu ibunya berniaga kerepek di sekolah, sehinggalah di universiti.
 
Bukan sahaja suami tidak mendapat kasih sayang ayah, tetapi ayahnya juga tak pernah menjalankan tanggungjawab seperti ayah-ayah yang lain. Dia tidak pernah menghadiri sebarang aktiviti bersama anak-anak. Suami tak pernah merasa manisnya hubungan ayah dan anak. Keluar makan di gerai simpang depan rumah pun tidak pernah, apatah lagi pergi bercuti bersama keluarga. Suami saya hanya mampu melihat kawan-kawannya bahagia bersama keluarga masing-masing. Semakin membesar, hatinya memberontak. Apatah lagi bila mengetahui ayahnya bersekedudukan dengan wanita lain tanpa ikatan yang sah. Wanita silih berganti di dalam hidup ayahnya. Na’uzubillah.
 
Pernah suami mengaku, dia hampir-hampir terjerumus dengan najis dadah kerana begitu kecewa dengan nasibnya. Hatinya betul-betul hancur mengenangkan sikap ayahnya. Dia sentiasa menyalahkan dirinya yang sangat malang. Dia berkawan dengan budak-budak nakal. Jiwa remaja, suka mencuba. Suami juga nyaris-nyaris terjerumus tetapi Allah itu Maha Pelindung. Suami sedar tak ada siapa yang mampu mengubah nasib dia dan adik-adiknya melainkan mereka sendiri. Ibu mertua juga cuba bertahan selama mana yang mampu.
 
Kalau orang lain, pinjaman PTPTN digunakan untuk kegunaan sendiri di university, tetapi lain pula dengan suami. Dengan duit PTPTN dia berikan hampir semuanya kepada ibu mertua saya di kampung. Satu-satunya yang dia beli untuk kegunaan sendiri ialah handphone Nokia 3310 dan sebuah PC untuk kegunaan study & membuat assignment. Sampai sekarang nokia 3310 tu masih dalam simpanan suami. Katanya sayang sebab kenangan. Selama 4 tahun di universiti suami berniaga kecil-kecilan untuk menampung hidup. Untung badan, kawan-kawan serumah belanja makan sedap-sedap.

Kami berkahwin hanya setelah 3 bulan berkenalan, setelah masing-masih tamat degree. Saya tahu hidupnya penuh dengan masalah, tetapi saya tetap menerimanya. Saya tahu dia anak & lelaki yang baik. Saya hanya tawakkal kepada Allah untuk mengatur perjalanan kami. Kami berkahwin dengan modal pinjaman yang kecil sahaja, memandangkan kenduri di pihak saya ditanggung sepenuhnya oleh ibu-bapa saya. Ayah saya pula tidak meletakkan sebarang nilai untuk wang hantaran, jadi sedikit sebanyak meringankan beban suami. Sepanjang perkahwinan, saya menyembunyikan masalah ibu-bapa mertua dari pengetahuan ibu-bapa saya. Keluarga saya boleh dikatakan orang ada-ada. Saya anak bongsu dan perempuan tunggal. Abang-abang saya semua berjaya, lulusan universiti luar negara & semua sudah bekeluarga. Tapi kami semua dididik supaya hidup secara sederhana, pentingkan family value dan saling menghormati antara satu sama lain.
 
Berbalik kepada kisah suami saya. Setelah dua tahun kami berkahwin, ayah mertua saya melafazkan cerai kepada ibu mertua saya. Suami saya menemankan ibu-bapanya menyelesaikan urusan cerai di pejabat agama & mahkamah syariah. Saya tahu hati suami saya hancur. Tak ada anak di dalam dunia ini mahu menguruskan penceraian ibu-bapa sendiri. Saban hari suami saya berdoa supaya ayahnya berubah dan kembali ke pangkal jalan, dan hidup bahagia di samping ibu dan adik-adiknya. Tetapi Allah lebih mengetahui apa yang terbaik. Ibu-bapa mertua saya sah bercerai. Adik-adik ipar saya mampu menerima berita ini. Bagi mereka, tak ada apa yang berubah. Masa kecil mereka tanpa kasih sayang ayah tidak dapat diganti. Bagi mereka, ayah mertua saya cumalah seorang lelaki yang tak membawa apa-apa erti. Cuma suami saya, dia masih mengharapkan ayahnya berubah dan masih belum terlambat untuk adik-adiknya merasa kasih sayang ayah mereka.
 
Akhirnya saya membuka rahsia masalah keluarga suami saya kepada ibu bapa saya setelah 2 tahun saya memendamnya dari pengetahuan mereka. Ibu bapa saya tidak terkejut kerana mereka sudah lama dapat mengagak kemelut rumahtangga ibu-bapa mertua saya tetapi mereka bersikap rasional. Mereka sangat menghormati suami saya kerana dia seorang menantu yang baik dan sangat bertanggungjawab kepada saya. Suami saya banyak meluangkan masa bersama ayah saya, memandangkan dia satu-satunya menantu lelaki di dalam keluarga, dan abang-abang saya pula sudah berkeluarga.
 
Setelah hampir 4 tahun ibu-bapa mertua saya bercerai, keadaan sudah semakin pulih. Ibu mertua saya kini hidup bahagia bersama adik Ngah yang kini menjadi jurutera sebuah syarikat gergasi di Kuala Lumpur. Di masa lapang, ibu mertua saya menghadiri kuliah-kuliah agama. Adik ipar yang bongsu di tahun kedua perubatan di sebuah IPTA. Suami saya juga sudah selesa dengan kerjayanya. Ayah mertua saya masih begitu. Tiada aset walaupun umur sudah menjengah 60 tahun. Satu-satunya rumah tempat berteduh telah dilelong, sekarang hanya hidup di rumah sewa. Hutang pula keliling pinggang. Saudara-mara sering bercakap di belakang, kerana mereka juga menjadi mangsa pinjaman wang oleh ayah mertua saya. Dulu ibu mertua sering dipandang serong, dihina dan dikeji kerana tidak mewah seperti orang lain. Ayah mertua pula berhutang sana sini. Selepas bercerai, ibu mertua putuskan hubungan dengan kebanyakan saudara-mara sebelah suami kerana dia memilih untuk bahagia. Kami hormati keputusan ibu mertua dan saya dan suami kena menyesuaikan diri. Suami masih balik ke kampung dan melawat ayahnya sekali-sekala. Bagi suami, ayah tetap ayah. Cuma saya tahu, dia sedih sebenarnya.
 
Banyak pengajaran yang saya dapat ambil dari kisah suami saya ini. Tak semua yang datang dari broken family semuanya bermasalah. Suami saya Alhamdulillah, berkat asuhan ibu mertua dia berjaya di dalam hidupnya. Sepanjang perkahwinan kami, dia sangat-sangat bertanggungjawab terhadap saya dan anak. Kata suami, dia faham bagaimana perasaan membesar tanpa kasih sayang seorang ayah, dan dia tidak mahu anak-anak kami mengalami kisah yang sama. Katanya, sangat sakit dan tak mungkin orang lain faham bagaimana siksanya jiwa mereka meronta. Saya selalu memujuk suami, mengatakan bahawa Allah adalah pengatur kehidupan yang sempurna. Allah mungkin hendak menguji suami dengan kekurangan ayahnya pada masa dulu tetapi setelah berkahwin, ayah saya lebih menyayanginya lebih dari saya sendiri. Saya tidak cemburu malah saya bersyukur yang akhirnya suami dapat merasai sedikit kasih sayang seorang ayah, walaupun sekadar bapa mertua. Rezeki suami juga boleh dikatakan murah, dan tidak pernah putus. Walaupun kami tidak semewah orang lain, tetapi keperluan kami sentiasa mencukupi. Kerana suami belanjakan wang gajinya untuk saya dan anak. Bukan untuk orang lain. Suami saya juga tidak pernah menghabiskan masa di luar bertemu kawan-kawan. Katanya, sudah puas ‘nakal’ sewaktu muda. Hidupnya hanya untuk kerja dan kami sekeluarga. Hampir keseluruhan kerja rumah suami saya yang selesaikan. Tak mahu mempersiakan peluang bersama keluarga. Sebenarnya saya tahu. Dia tak mahu menjadi seperti ayahnya..
 
Untuk suami/isteri di luar sana, ambillah pengajaran, terutamanya suami/bapa. Apapun yang kita lakukan kepada isteri & anak-anak kita, sebenarnya Allah dah simpan bahagiannya untuk kita rasa satu hari nanti. Kenapa duit kita sentiasa tidak cukup, kenapa masalah menimpa kita satu-persatu, mungkin kita ada abaikan isteri & anak-anak dan lebih mementingkan orang lain. Kita lebih rela bergolok-gadai dan berhabis duit untuk mereka yang belum tentu mahu menjaga kita sewaktu kita tua. Saya melihat sendiri penyesalan di mata ayah mertua saya ketika kami melawatnya. Hanya suami yang masih menganggapnya seperti ayah sendiri, walaupun hatinya berkecai. Ayah mertua saya hanya mampu berbangga mengenai anak-anaknya tetapi hakikatnya dia tidak pernah menjadi seorang ayah untuk mereka. Dia tidak pernah ada sewaktu suami dan adik-adiknya bergelut menyiapkan kerja sekolah. Dia tidak pernah bertanyakan tentang wang belanja sekolah cukup atau tidak. Orang luar melihat kemewahan ayah mertua, tetapi suami dan adik-adiknya kadang-kadang terpaksa mengikat perut kerana ibu mertua kehabisan wang.
 
Kita sering mendengar kisah tentang anak derhaka, tetapi sebenarnya ibu-bapa juga boleh ‘derhaka’ kepada anak-anak. Saya sendiri melihat bagaimana Allah “menegur” ayah mertua saya atas segala apa yang dilakukannya. Allah itu tak pernah lupa. Saya sedih kerana suami saya tersiksa terlalu lama dengan perbuatannya. Tetapi, perlahan-lahan Allah perlihatkan kepada saya keindahan percaturannya. Suami saya mendapat kasih sayang ayah mertua yang tak berbelah bahagi, dan ayah saya juga telah memperuntukkan sebahagian hartanya kepada suami saya dengan keizinan abang-abang saya. Rezeki suami juga murah, selalu ke luar negara atas tuntutan kerja. Saya masih ingat di awal perkahwinan, betapa dia malu dengan keluarga saya yang nampak sempurna di matanya. Dia tidak pernah merasai apa yang saya rasa bersama ibu-bapa dan abang-abang saya. Dia tidak ada satu pun moment yang indah bersama ayahnya. Dia kehilangan zaman kecilnya bersama seorang ayah. Ambillah iktibar dari kisah ini. Anak-anak kita juga berhak untuk merasa bahagia. Santunilah anak-anak kita. Luangkan masa bersama mereka. Bahagiakanlah mereka. Kerana perasaan bahagia itulah kenangan daripada ibu-bapa untuk mereka.

– Black Dahlia

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit