Euthanis4tion and Guilt

Assalamualaikum semua. Aku Ummi.. Izinkan aku menulis cerita tentang aku dan kucing kesayangan aku..

Sekadar meluahkan apa yang terbuku di hati, berharap pembaca dapat ‘comfort’ dan tenangkan perasaan aku. Semoga aku kuat dan kesedihan ini cepat berakhir. Mohon doa dan kata-kata semangat ya kawan-kawan.

Saat ni aku tak boleh tidur, aku sedang berperang dengan perasaan aku. Aku baru sahaja kematian kucing kesayangan beberapa hari lalu.

Kucing yang aku bela sejak dia lahir selama lebih 10 tahun. Kucing yang aku anggap sebagai anak, sahabat baik dan sebahagian dari keluarga aku. Dia manja..

Bonding kami sangat rapat, tidur bersama, teman solat dan bercakap dengan dia adalah perkara biasa bagi aku.. dia pun seolah-olah faham apa yang aku cakapkan..setiap hari aku akan peluk, cium dan cakap ‘i love u’ pada dia..

Oh ya.. Perkahwinan aku lambat dikurniakan anak. Pada tahun ke 11 berkahwin barulah direzekikan anak pertama,

Jadi kucing ku inilah yang menjadi peneman setia terutamanya di saat aku bersendirian sewaktu husband bertugas, outstation, kursus berbulan-bulan dan dipindahkan tempat bertugas (PJJ).

Hinggalah pada Disember 2021 aku bersalin anak pertama. Bermulalah episod hidup aku dengan baby dan aku terpaksa berpisah sementara dengan kucing aku.

Berpisah maksudnya kucing ku terpaksa ditempatkan di bilik lain (tingkat atas rumah) dan jaranglah aku dapat berjumpa dia lebih-lebih lagi sewaktu berpantang.

Disebabkan aku berpantang di kampung, di rumah family jadi segala hal makan minum kucing, family aku tolong uruskan. Family aku sebenarnya tak membela kucing, jadi mereka tak perasan pun keadaan kucing tu sihat ataupun sakit.

Suatu hari, aku tergerak hati nak melawat kucing aku di tingkat atas. Waktu tu rasanya dah 2 hari aku tak menjenguk dia.. rasa tak sedap hati.. Rupa²nya kucing aku tengah sakit.. Aku tengok ada muntah merata atas lantai.. Aku panggil dia, dia tak respon..

Aku bersihkan muntah dia dan minta tolong family bawakan ke klinik vet. Hasil pemeriksaan vet, vet bagitau kucing aku ada masalah buah pinggang dan batu karang. Kencing dia berdarah. Vet terpaksa masukkan tiub untuk cuci pundi kencing..

Waktu tu aku jadi sedih gila dan salahkan diri sendiri.. Sebab? Beberapa hari sebelum tu, aku ada bersihkan bulu dia guna baby wipes (tisu basah baby). Aku agak baby wipes tu ada bahan kimia yang toksik kepada kucing.

Mungkin bila dia jilat bulu dia, toksik tu meracun dia. Sumpah aku tak sengaja, aku cuma nak bersihkan dia. Aku ingat lagi aku berulangkali minta maaf dekat dia, menangis teruk sambil peluk dia.

Ummi tak sengaja! Maafkan ummi. Aku ada bagitahu vet tentang ini tapi vet menafikan sebab simptom yang kucing aku alami katanya bukan sebab keracunan dan vet sahkan berdasarkan ujian darah kucing aku.

Entahlah.. aku tetap fikir bahan toksik tu lah yang effect buah pinggang kucing aku tapi vet nafikan.

Kedua, vet kata ada kemungkinan masalah kesihatan kucing aku disebabkan oleh dia stress. Betul tak dinafikan, bila dia terkurung (dalam bilik), jarang dapat jumpa aku, jarang bermanja dengan aku, tidur dengan aku, dan dia tahu aku ada baby, dia jadi stress..

Selama ini tak pernah lagi aku berpisah dengan dia, even aku sanggup untuk tidak adopt kucing lain sebab aku tau dia akan jelous. Jadi kali ini aku sure dia stress.

Alhamdulillah, kucing aku dapat recover selepas rawatan vet. Aku mmg puji vet tu, sebab bersungguh rawat kucing aku. Vet bagi follow up appointment, tapi aku tak pegi sebab kucing aku dah sihat dan sebenarnya kos rawatan tu sangat mahal. Aku dah tak mampu dah waktu tu.

Aku hanya tawakkal dengan berbekalkan ubat dan supplemen yang doktor bagi, kucing aku akan terus sihat. Ya. Kucing aku sihat dan nampak sihat sahaja selepas tu.

Aku terus sibuk dengan rutin aku dengan baby. Jadi ada masa aku pulang ke rumah aku di bandar dan kucingku tinggal sementara di kampung. Itupun atas desakkan family aku, tak bagi aku bawa balik kucing sebab tak nak baby aku terdedah dengan bulu kucing.

Tapi manalah aku tahan berjauhan dengan kucing aku. Aku risau makan minum dia. Aku risau dia sakit. Aku siap install cctv utk pantau keadaan dia dari jauh. Pernah aku ambil semula kucing aku tinggal bersama..

Tapi aku pula yang stress susah tidur malam sebab kucing aku selalu mengiau kuat waktu malam. Siang pun begitu. Aku tambah stress bila baby terjaga dari tidur disebabkan kucing aku bising mengiau.

Kadang² aku termarah dia, aku selalu kurang tidur, jadi aku stress. Akhirnya aku tiada pilihan aku terpaksa hantar dia semula ke kampung. Sekali sekala aku akan balik untuk melawat dia.

Satu hari, aku perasan perut kucing aku besar sedangkan dia tak makan banyak. Aku minta husband aku bawa kucing aku balik rumah. Sampai sahaja di rumah, aku rebuskan dia isi ayam. Habis licin dia makan, aku rebuskan lagi.. dan lagi..

Ya Allah, sedih rasa sebab mungkin lama dia tak merasa makanan sedap macam dulu. Hari² dia di kampung hanya makan kibbles.

Waktu ni kucing aku nampak sihat saja.. Makan berselera. Minum pun ok. Berak kencing ok. Normal. Cuma ada ketika aku rasa telinga dia sejuk tandanya dia kurang sihat.

Kira² 10 hari selepas tu, aku balik kampung ada majlis kenduri doa selamat. Kucing aku, aku tak bawa, sebab aku tak rancang nak stay lama di kampung. Lagipun husband aku akan balik rumah, boleh jenguk dan bagi dia makan.

Tapi selepas beberapa hari aku di kampung, kesihatan kucing aku mula merosot. Dia pasif, tak nak makan. Husband belikan dia wetfood dia tak sentuh pun. Bila terlalu lapar barulah dia jamah. Bila dapat tahu aku terus balik rumah. Aku suapkan dia makanan dan bagi dia minum susu.

Esoknya keadaan dia makin merosot. Aku minta husband bawa dia ke klinik vet (lain dari klinik sebelum ni). Vet just bagi injection dan ubat (antibiotik dan vitamin B) untuk makan keesokan hari. Vet kata, kucing aku ada masalah buah pinggang membengkak.

Tapi mungkin disebabkan kucing aku dah tua, 10 tahun lebih umurnya, jadi vet tak suggest apa² intensive treatment. Just bagi ubat. Aku pula sibuk google supplemen utk bantu kucing aku. Aku jumpa supplemen Himalaya Nefrotec. Aku minta husband belikan.

Kucing aku waktu ni selera makan dia drop. Aku terpaksa suapkan dia wetfood setiap 3-5 jam. Bila kucing aku sakit, aku jadi berdebar, anxiety, hingga selera makan aku pun hilang. Aku terlalu risaukan keadaan dia.

Esok pagi aku rasa lega bila nampak dia bangun dan boleh makan wetfood sendiri. Tapi menjelang tengah hari, dia dah lemah balik. Aku bagi dia ubat, suapkan makanan, dia tak mampu telan.

Sedihnya. Petang tu dia dah mula nazak. Nafas pendek². Aku jadi tak keruan sebab tak tahu nak buat apa untuk tolong dia. Husband kata mata kucing aku dah tak respon, buta sebelah.

Aku nangis. Tiapkali tengok keadaan dia aku tak tertahan nangis. Aku doa, mohon keajaiban. Tapi tengok keadaan dia nazak, seperti tiada harapan lagi. Husband aku kata, bila-bila masa saja nafasnya akan terhenti. Kata husband, najis kucing aku hitam. Itu tanda kucing dah nak ‘pergi’.

Aku nangis lagi. Keadaan kucing aku sangat-sangat lemah. Aku suapkan susu, dia tak boleh telan. Hinggalah aku tak tertahan tengok dia nazak, nafas pendek, terlalu lemah, aku bercakap dengan dia, aku redha kalau umur dia setakat ni..

“Pergilah sayang, ummi redha, rehatlah, jangan risaukan ummi, ummi okay, tunggu ummi di sana, di akhirat nanti carilah ummi sayang”..

Dalam lemah dia cuba kuat, bertahan untuk tak pergi.. Bila aku sebut nama dia, dia kuatkan diri utk bangun. Ya Allah. Sedihnya Allah saja yang tahu. Malam dia nazak tu, aku tak dapat tidur. Makan pun tiada selera lagi.

Tiapkali terjaga dari tidur aku akan jenguk tengok keadaan dia. Dia masih bernafas. Lemah. Sesekali dia berpindah posisi. Paling sedih, dia baring menghadap pintu bilik sambil mata merenung ke arah kami di dalam bilik.

Aku balik² bagitau dia, “jangan risau, ummi ada di sini temankan.. tapi kalau Anja nak pergi, pergilah, rehatlah sayang, rehatlah”.. Aku nangis lagi.

Esoknya, pagi, dia macam tu juga. Bertahan. Lemah. Tak makan, minum, nafas makin lemah. Tak tertahan melihat keadaan dia. Ya Allah.

Aku berdoa dan terus berdoa, jika umurnya panjang berilah keajaiban untuk dia sembuh, jika tidak, ambillah dia dengan mudah supaya sakitnya cepat hilang.

The worst part, aku dan husband sedar, dia mmg tiada harapan lagi. Jadi kami decide untuk melakukan euthanisation supaya dia tidak lama nazak dan terseksa.

Kami ke klinik vet terdekat. Kami minta nasihat vet. Vet periksa dia. Betul, buah pinggangnya sudah membengkak teruk.

Mulutnya berbau, bermaksud ada masalah dalam perut/usus. Aku ingat lagi kata² vet. “Tiada banyak yang dapat dibuat (treatment) hanya dapat masukkan air/cuci pundi kencing/flush toksik dari badan dia”..

Ya. Sooner or later, dia tetap akan seksa menanggung sakit dan dalam usia yang sudah tua, organ lain juga sudah merosot. Jadi sampai bila lagi biarkan dia terseksa.

29 Disember 2022. Hari tersedih dalam hidup aku bila mana aku terpaksa membuat keputusan yang seumur hidup tidak pernah terlintas dalam fikiran aku. Aku menyaksikan kucing kesayangan aku dimasukkan ubat untuk ‘put to sleep’.. Tangisan aku tak tertahan.

Aku menangis dan terus menangis sambil berkata berulang²,

“Ummi ada sini, jangan risau, pergilah sayang, rehatlah, hilanglah kesakitan, ummi redha, ummi tahu Anja sayang ummi, ummi tahu Anja tak nak tinggalkan ummi, tapi ummi tak sanggup Anja terseksa. Ya Allah hilangkanlah sakitnya”.

Doktor vet dan staff, turut menangis ketika itu. Just a few seconds dimasukkan ubat, nafas dia yang pendek akhirnya terhenti. Aku menangis teruk!

Sedih dan fasa memujuk hati. Selalunya gagal kerana aku sentiasa terbayang-bayang dia, ketika dia sakit, ketika nazak, ketika sihat.

Ternyiang-nyiang suara dia, bunyi nafas dia. Ya Allah. Rasa bagai nak pecah dada ini. Bila balik rumah, selepas kebumikan dia, kami terus kemas semua barang berkaitan dengan dia. Litter box dia, pinggan mangkuk dia, picagari ubat dia, kami buang.

Terlalu sedih bila terlihat. Terkenang-kenang. 3 hari kami membawa diri tak balik rumah. Kami tumpang rumah saudara. Kumpul kekuatan.

Sekarang dah kembali ke rumah, masih terbayang dan sesekali tak tertahan, aku dan husband menangis juga. Bila terpandang tempat dia selalu lepak, tidur, teringat lagi. Belum lagi tempat dia terbaring nazak. Ya Allah. Sedih.

Aku google. Fasa² grieving selepas euthanasia.

1. Shock

2. Anger

3. Denial

4. Guilt

5. Depression

6. Resolution

Aku mohon kata² semangat sebab aku sekarang dalam fasa denial dan guilt. Otak aku tak henti fikir, kalaulah aku cepat bawa kucing aku ke vet, dia tak akan jadi begini.

Aku juga menyesal lap bulu dia guna baby wipes dulu. Kalaulah masa ini boleh diputar kembali, aku akan baiki keadaan ini.

Aku juga dalam fasa guilt sebab sesekali aku fikir, kucing aku ada harapan jika aku bawa dia ke klinik vet lain dengan segera. Tapi aku hanya berharapkan ubat yang vet bekalkan. Ternyata ubat itu tidak membantu.

Lagipun waktu tu klinik vet yg lain tutup aku hanya ada satu pilihan klinik vet yang terdekat itu sahaja yang tiada intensive treatment.

Aku rasa guilt sebab aku terkenang bagaimana kucing aku cuba kuat bertahan, walaupun keadaan dia nazak, dia tetap bertahan tidak pergi.

Aku rasa guilty sebab aku lepaskan dia, sedangkan dia kuat berjuang. Aku dapat rasakan dia betul-betul sayang aku dan tak nak tinggalkan aku. 10 tahun dia hidup bersama aku, mana mungkin mudah utk melepaskan.

Tapi di sudut hati, memang keadaan dia sudah cukup nazak, aku tak sanggup tengok dia terseksa. Mengalir air mata melihat keadaan dia waktu tu. Kesal tiada apa yang dapat aku buat utk ringankan sakit dia.

Masa euthanize tu, dia senyap saja, tenang seolah² tahu sakitnya akan berakhir. Tapi aku saja yang masih dalam kesedihan dan diulit kesal!

Kadang aku pujuk hati, kalau bukan sekarang, lambat laun dia akan pergi juga sebab umurnya dah tua dan organ dalaman dia dah rosak.

Aku sedih sebab aku tak pernah bersedia utk hadapi keadaan ini.

3 hari selepas kematian dia, aku bermimpi dia datang, keadaan dia cantik, gebu, gemuk.. Jauh berbeza dari keadaan dia sakit, kurus dan sedih.

Dia duduk saja memandang ke arah ku dan aku belai dia, aku dekatkan muka ku ke mukanya.. dia balas dengan menjilat pipiku.. sama seperti kebiasaan sewaktu dia hidup..

Mungkin mimpi itu Allah hadirkan untuk aku lebih tenang dan mengurangkan kesedihan. Dia di ‘sana’ sudah tiada kesakitan.

Jadi mohon doakan kekuatan dan kesabaran buat aku ya. Mohon kata-kata semangat supaya aku dapat hilangkan ‘guilt’ dalam hati ini.

Mohon jangan kecam dan maaf sekiranya penulisan ini tidak teratur, panjang atau kurang menarik. Aku cuma insan lemah yang dalam kesedihan.

Andai aku boleh ubah takdir, pasti aku ubah. Malangnya aku tak mampu. Apa-apa pun terima kasih kerana membaca, thank you in advanced buat yang mendoakan dan memberi kata semangat. Semoga Allah permudahkan segalanya buat aku dan pembaca semua.

– Ummi yang kehilangan (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *