Assalamualaikum semua. Hai nama aku Tania (bukan nama sebenar).
Waktu aku kecil, aku adalah kanak-kanak yang ceria dan petah berkata-kata. Aku penyeri keluarga aku. Aku dikategorikan sebagai budak yang bijak.
Aku akan menjadi orang yang mula-mula akan menegur orang. Aku tidak takut untuk bercakap dalam kelompok yang ramai. Aku suka small talk. Aku berani untuk menyampaikan apa yang aku rasa.
Boleh dikatakan aku sebagai seorang yang extrovert sewaktu kecil.
Tapi semuanya berubah selepas mama meninggal ditambah dengan masalah keluarga.
Pada mulanya aku masih budak yang sama,tapi lama kelamaan aku mula berubah menjadi introvert. Dunia aku berubah hampir 180 darjah.
Selepas mama tiada, aku masih cuba menjadi budak kebanggaan mama. Aku menjadi diri aku.
Tapi kerana tiada pelindung sebenar bagi aku, aku mula mencari tempat melabuh kasih. Tapi tiada yang ikhlas mengasihi seperti mama.
Waktu ada mama, aku tidak pernah rasa terhina kerana badan montelku. Tapi selepas ketiadaan mama, badanku menjadi topik gurauan.
Aku tersenyum saat mereka tertawa kerana aku tidak mahu mereka anggap aku budak biadap.
Rambutku dipotong dengan alasan rimas melihat rambut panjangku separas pinggang. Itu rambut kebanggaanku.
Waktu ada mama, semua orang memuji rambutku yang lebat,panjang dan lurus. Saat rambutku dipotong, aku senyum mengikut mahu mereka.
Apabila sudah siap, aku pergi kebilik air sambil menatap rambutku di cermin sambil menangis memohon agar Allah pulangkan mama kepadaku. Ku didik hati, mengatakan bahawa ya rambutku itu merimaskan.
Bila orang bertanya, kenapa aku memotong rambutku?
Akan ku jawab, rambutku rosak, berbuah dan bercabang dihujungnya padahal pada hakikatnya tiada satu masalah pun pada rambutku.
Rambutku sihat. Tidak aku mahu menerbitkan rasa syak orang pada mereka.
Ku biar perkara itu berlalu, kemudian saat kanak-kanak lain riuh aku juga mahu turut serta. Seperti biasa petahku menutur kata seperti anak lainnya.
Ada seseorang memarahiku mengatakan mulut aku terlalu bising dan banyak bercakap.
Pampppp tamparan terhebat pada jiwaku. Aku mula sedar, hadirku tidak dialu-alukan. Biacaraku tidak ada mahu dengarkan.
Mamaaaaaa…. saya nak mama.Tiada orang nak dengar saya bercakap seperti mama mendengarkan cerita saya.
Bermula saat itu, saya kawal diri saya untuk tidak bercakap kecuali bila memerlukan saya bercakap. Saya tidak lagi bercerita dan sekarang hanya menjadi pendengar.
Walaupun keinginan untuk berkata-kata itu tinggi, saya kawal jiwa saya untuk tidak bercakap.
Keyakinan diri saya pergi bersama perginya jumlah patah perkataan yang saya halang dari terlepas dari mulut. Saya mula memencilkan diri.
Tidak lagi bergaul dan bermesra. Cukup melaksanakan tanggungjawab saya dengan tetap berdiam.
Maka hilanglah sudah Tania puteri kebanggaan seorang mama. Tania mama sudah mati bersama mama. Tania yang tinggal kini hanyalah Tania yang bertahan memendam sendiri.
Aku mungkin tak didera fizikal tapi jiwaku cukup terluka. Mungkin hari ini terlihat aku tersenyum dan santun kepada mereka tapi luka masih berdarah. Tidak terubat.
Aku ingin menjadi extrovert kembali kerana jiwaku jiwa extrovert tapi aku kalah. Kalah pada ketakutan sosial.
Sekarang jika melihat budak-budak yang suka bercerita, teringat aku pada diriku yang dulu. Diriku waktu masih ada mama. Comel dan bijaknya mereka.
Akanku ingatkan pada ibu bapanya, jangan sesekali marah saat mereka ingin bercerita kerana aku tahu betapa sakitnya perasaan itu.
Ibu bapa sekalian, sesibuk atau se stress mana pun kalian jika anak-anak anda ingin bercerita maka dengarlah. Kerana saat itulah adalah saat mereka sedang membina keyakinan dan jatidiri mereka.
Jika anda orang yang paling mereka percaya, tidak mampu untuk memberi perhatian pada percakapan mereka bagaimana mereka ingin berhadapan dengan orang lain.
Jangan rosakkan mereka seperti rosaknya kemahiran sosial seorang Tania.
– Tania (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit