Faraid

Assalamualaikum Terima kasih admin jika post ini disiarkan. Saya pernah menghantar post sebelum ini. Boleh rujuk, (https://iiumc.com/bila-mama-sudah-tiada/).

Sekali lagi terima kasih atas doa, cadangan dan ucapan-ucapan pembaca serta mereka yang berpendapat post saya bermanfaat. Saya berharap post kali ini juga sedikit sebanyak mendatangkan manfaat kepada pembaca.

Oleh kerana baru-baru ini viral tentang kisah balu dan faraid. Saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman saya. (mungkin sedikit terlewat) Dipendekkan cerita, saya juga pernah menjadi balu enam tahun yang lepas.

Suami meninggal akibat kemalangan motorsikal, meninggalkan saya bersama empat orang anak. Sepasang lelaki dan sepasang perempuan. Untuk pengetahuan semua, saya bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri. Suami sebelum meninggal juga bekerja di salah sebuah syarikat swasta.

Saya bukan mahu berkongsi cerita jika ada berlaku perebutan harta pusaka di antara keluarga sebelah arwah dengan kami anak-beranak. Mungkin lain kali. Tapi, saya mahu berkongsi perkara yang saya lakukan selepas kematian arwah.

Dipendekkan cerita arwah tidak meninggalkan sebarang wasiat atau hibah. Oleh yang demikian, untuk pengurusan harta pusaka yang ditinggalkan arwah suami, saya senaraikan beberapa perkara yang saya lakukan seperti berikut:-

1) Melangsaikan kos pengkebumian.

Saya bersyukur kerana arwah punya rakan-rakan yang baik. Mereka yang membantu saya melangsaikan kos pengkebumian. Terima kasih kepada mereka ini, semoga dimurahkan rezeki. (Sila simpan resit/bukti pembayaran, boleh memohon untuk bantuan khairat kematian daripada badan-badan berkenaan)

2) Melangsaikan hutang arwah dengan orang, rakan-rakan.

Arwah ada membeli sebuah motor berkuasa besar (motor yang ditunggang semasa kemalangan) tapi pinjaman motor tersebut adalah di atas nama saya kerana arwah tidak layak mendapatkan pinjaman menggunakan nama beliau. Bayaran deposit untuk pembelian motor tersebut dipinjam daripada salah seorang rakan arwah.

Saya tahu sebab arwah ada memberitahu saya sebelum membeli motor tersebut. Selepas kematian arwah, rakan arwah juga ada memberitahu. Penting untuk kita mengetahui jika pasangan kita ada berhutang dengan siapa-siapa.

Saya juga ada memaklumkan kepada rakan-rakan arwah untuk tampil jika arwah mempunyai hutang yang belum dijelaskan kepada mereka.

Hutang arwah dengan rakan-rakan saya langsaikan dengan menggunakan wang sumbangan daripada rakan-rakan, jiran-jiran dan pihak majikan. Mana-mana yang tidak cukup saya tambahkan. (Jika ada bukti pembayaran, sila simpan untuk rujukan di kemudian hari)

3) Melaksanakan majlis tahlil di rumah dan di surau.

4) Kos upah/badal haji.

Salah seorang rakan arwah telah menyarankan saya agar melakukan perkara ini terlebih dahulu. Jadi, saya menurut saranan beliau dan. Sekiranya anda memohon ke Amanah Raya, salah satu perkara yang mereka lakukan adalah upah haji untuk arwah. (Sila simpan bukti pembayaran, penting untuk permohonan Amanah Raya)

5) Menunaikan hasrat arwah sebelum meninggal.

Sebelum meninggal, arwah ada beberapa hasrat yang tidak sempat beliau tunaikan. Antaranya, menyediakan kemudahan kipas dinding kepada surau berdekatan. Jadi saya tunaikan mengikut kemampuan saya. (Resit/bukti pembelian dan upah memasang di surau saya simpan untuk rujukan di kemudian hari)

6) Hutang-hutang arwah dengan bank dan lain-lain pinjaman.

Pinjaman Perumahan – Biasanya, setiap pinjaman perumahan ada MRTA yang membolehkan pinjaman dilangsaikan tapi arwah tidak mengambil MRTA/jadi baki pinjaman perumahan saya tolong langsaikan.

Pinjaman Kenderaan 1 – sebuah motor biasa, saya langsaikan baki pinjaman.

Pinjaman Kenderaan 2 – harta sepencarian, awal pembelian saya bayarkan deposit kereta (separuh daripada harga kereta) manakalan bayaran bulanan ditanggung oleh arwah semasa hayat. Masih berbaki pinjaman semasa arwah meninggal, jadi saya menyambung bayaran bulanan. (Jika anda melakukan yang sama, sila simpan semua resit/bukti pembayaran)

Setelah semua perkara di atas saya lakukan barulah saya menguruskan permohonan pusaka/faraid untuk harta peninggalan arwah yang selebihnya. Sebelum itu, saya maklumkan dahulu yang saya tidak terus ke Amanah Raya dan lebih memilih untuk berurusan dengan Pejabat Tanah.

Mungkin sebab saya dimomokkan dengan kisah kurang enak yang pernah dialami oleh rakan-rakan semasa mereka berurusan dengan Amanah Raya.

Bagaimanapun, saya ada berkunjung ke Amanah Raya dan semasa kunjungan tersebut saya dimaklumkan tentang kos membuka fail dengan Amanah Raya serta perkara-perkara yang perlu dilakukan juga dokumen-dokumen yang perlu saya sediakan.

Mungkin penerangan yang diberikan kepada saya tidak lengkap hingga menyebabkan saya berfikir proses melalui Amanah Raya kedengaran rumit. Jadi saya memilih untuk ke Pejabat Tanah.

Harta arwah dan perkara-perkara yang saya masukkan ke dalam permohonan faraid. Antaranya,

1)rumah kos rendah milik arwah.

2)insurans daripada syarikat tempat arwah bekerja.

3)insurans daripada syarikat yang terbabit dalam kemalangan.

4)duit simpanan arwah serta baki gaji arwah.

5)kenderaan di atas nama arwah.

Saya tidak masukkan simpanan KWSP dalam permohonan sebab arwah telah meletakkan penama ke atas simpanan KWSP beliau.

Saya ke pejabat tanah – bahagian pusaka kecil kerana harta arwah jumlahnya tidak memerlukan saya membuat permohonan ke mahkamah. (Jumlah harta tidak melebihi RM2juta)

Oleh kerana pembahagian harta membabitkan mak mertua, saya telah berbincang terlebih dahulu dengan mak mertua tentang hal ini. Namun mak mertua tidak berminat dengan harta pusaka yang ditinggalkan arwah.

Kata beliau, harta tersebut tidak akan mampu mengembalikan arwah semula. Lebih baiklah bahagian beliau diberi kepada anak-anak arwah. Syukur mak mertua sungguh bertimbang-rasa tapi adik-beradik arwah mungkin ada yang kurang bersetuju dengan tindakan mak mertua.

Walaupun Mak Mertua tidak mahu terbabit dengan urusan harta, saya tidak sampai hati jika mak mertua mahu melepaskan bahagian beliau.

Jadi saya tetap masukkan nama mak mertua ke dalam permohonan faraid. (Yep, ada borang/surat akuan dalam permohonan pusaka yang perlu disediakan dan ditanda-tangani oleh waris jika mahu melepaskan hak/bahagian mereka di dalam faraid)

Bear in mind, permohonan pusaka hanya terpakai jika arwah mempunyai hartanah. Setelah itu, boleh senaraikan harta-harta lain yang hendak difaraidkan ke dalam permohonan tersebut. Selepas melengkapkan dokumen yang diperlukan. Permohonan perlu dihantar ke pejabat tanah di mana hartanah arwah disenaraikan.

Misalnya jika hartanah berada di daerah Petaling, maka permohonan perlu dihantar ke Pejabat Tanah Daerah Petaling. Permohonan bukan percuma, ada caj yang perlu dibayar mengikut nilai harta yang pemohon senaraikan.

Sebelum permohonan diluluskan dan surat kuasa dikeluarkan, perbicaraan kecil akan dilakukan. Waris (yang cukup umur) akan dipanggil, jika waris tidak dapat hadir, waris berkenaan perlu menandatangani borang pelepasan. Dan beberapa orang saksi juga diperlukan untuk menghadiri perbicaraan kecil tersebut.

Seboleh-bolehnya biarlah saksi yang mengenali latar belakang arwah. Sebab soalan-soalan yang dikemukakan mostly berkaitan dengan arwah. Mungkin soalan tidak sama dengan pemohon lain tapi antara soalan yang dikemukakan seperti arwah ada isteri lain? Nama anak-anak arwah, ahli keluarga arwah dsb.

Selepas permohonan diluluskan, surat kuasa akan dikeluarkan. Masih ada caj yang perlu dijelaskan selepas surat kuasa tersebut dikeluarkan. Kalau tidak silap saya, mengikut nilai harta pusaka (pasaran terkini) yang telah dianggarkan.

Surat kuasa tersebut secara asasnya menerangkan perkara-perkara yang perlu dilakukan oleh pemohon. Misalnya jumlah/nilai wang dalam tangan seperti gaji/simpanan dsb yang perlu diserahkan kepada waris-waris. Mereka telah membuat pengiraan dan jumlahnya akan dinyatakan dalam surat tersebut.

Jika ada waris-waris yang masih berada dibawah umur, wang mereka akan ditempatkan di Amanah Raya sehingga mereka mencapai umur yang ditetapkan.

Saya rasa setakat itu sahajalah yang saya kongsikan, mudah-mudahan ada manfaatnya. Maaf jika berlaku sebarang kekhilafan dan kekurangan daripada pihak saya.

– Mrs A.R (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *