Fed Up!

Assalamualaikum & salam sejahtera.

Terima kasih sekiranya luahan aku disiarkan.

Aku graduan program Sains Makanan & Pengurusan dari salah sebuah IPTA di Malaysia. Aku sangat bersyukur kerana diberi peluang mencurah ilmu yang telah aku pelajari dari universiti kerana kini aku bekerja industri Food & Beverage (F&B). Pengalaman aku masih di kira hijau kerana aku hanya berpengalaman lebih kurang 6 tahun sahaja di dalam industri ini.

Kerja aku bermula dari QC Inspector di salah sebuah kilang di Lembah Klang. Kerja aku? Aku bertanggungjawab menjaga kualiti produk dari saat bahan ramuan di terima hingga ke saat produk tersebut tamat tarikh luput. Kiranya, aku bertanggungjawab berurusan dengan pengeluar, operator pengeluaran, bahagian logistik, sehinggalah kepada pelanggan (jika ada aduan pelanggan). Penat bukan? Tapi aku enjoy walaupun gaji yang ditawarkan ketika ini tidak berbaloi dengan apa yang aku kerjakan. Demi secebis pengalaman, aku teruskan juga.

Beberapa bulan kemudian, satu demi satu staf di department aku resign. Jadi, akulah harus menjadi pengganti sementara. Akulah planner, akulah supervisor production, akulah supervisor warehouse, akulah QCI, akulah segalanya. Aku jumpa HR, minta pembantu. Tidak dipedulikan. Mungkin sebab aku boleh buat semua kerja tanpa menimbulkan sebarang masalah. Apabila sudah tidak tahan menanggung workload yang menggila & terasa seperti dipergunakan, aku hantar surat berhenti. Tetapi tidak diterima atas alasan tiada pengganti. Memandangkan itu bukan masalah aku, aku nekad untuk berhenti.

Maka, bermulalah kisah baru di tempat baru. Aku kini memengang jawatan yang lebih bagus dari dulu. Namun, masih di dalam skop kerja yang tidak jauh berbeza berbanding dulu. Malangnya, tempat baru aku ni sangat tidak menitik beratkan soal GMP, HACCP walaupun kilang adalah pemegang sijil ISO 9001, ISO 22000, HACCP & Halal.

Pekerja boleh keluar masuk kawasan production sesuka hati. Tanpa perlu memakai PPE seperti hairnet, kasut, uniform dan sebagainya. Soal kebersihan juga amat teruk. Operator terdiri dari pekerja asing yang kesedaran tentang kebersihan diri amat rendah. Puas sudah di tunjuk ajar, tapi tiada perubahan. Produk makanan yang sudah terjatuh di atas lantai, di angkat kembali & proses diteruskan. Pekerja keluar masuk tandas tanpa membasuh tangan. Pekerja bertepuk tampar dengan kawan, kemudiannya menggunakan tangan yang sama juga mereka menyentuh produk makanan.

Puas aku nasihat management untuk hantar operator untuk menghadiri training dari masa ke masa. Tapi tidak di endahkan. Semakin hari semakin banyak masalah yang aku hadapi jika auditor dari mana-mana badan kerajaan, pelanggan & badan-badan lain datang membuat audit di kilang aku bekerja ini.

Seperti biasa, semua auditor tersebut akan isukan hal yang sama. Kebersihan. Tapi langsung tidak menarik management aku untuk mengambil apa-apa tindakan.

Selain isu kebersihan, isu-isu berulang seperti pest control management (tikus, kucing, lipas, semut di kawasan kilang), penggunaan palet kayu, PPE tidak sempurna (uniform berlengan pendek & baju mempunyai butang), infrastuktur kilang yang tidak sesuai (kilang aku buat produk makanan, tapi tiada proper changing room sebelum masuk kawasan production) dan macam-macam lagi.

Sejujurnya, aku penat meminta dengan management aku untuk upgrade semua benda di atas. Sehingga setiap kali audit aku menjadi sangat stress & tak boleh tidur malam. Apabila aku sudah dalam fasa ‘fed-up’ dan penat, aku sudah tak ambil endah apa yang berlaku asal kerja aku siap. Setiap kali audit, aku akan cuba tenangkan diri & tanamkan dalam minda yang aku sudah buat sehabis baik. Cuma aku tidak mendapat support dari management. Aku bersikap begini dalam setahun kebelangan ini kerana terlalu kecewa dengan layanan daripada management aku.

Setiap NCR yang kilang dapat semasa audit, aku yang dipersalahkan. Padahal, semua isu tersebut telah aku suarakan sebelum ini. Semua di ungkit kembali kerana dalam setahun ini aku amat pasif, seolah-olah aku tidak buat kerja menurut mereka. Sumpah aku sangat penat & kecewa dengan layanan daripada management aku. Tahap kecewa aku menyebabkan aku mencari kerja lain, namun masih tiada rezeki.

Selain itu, benefit yang di tawarkan juga amat sedikit. Hanya perubatan untuk diri sendiri & terhad kepada RM 25 untuk sekali lawatan ke klinik panel. Klinik panel pulak memang sengaja dipilih oleh syarikat yang mengenakan bayaran mahal (boleh mencecah RM 100 untuk sakit demam) & berjarak kurang 5km dari syarikat. Alasanya? Supaya pekerja tidak mengambil MC sesuka hati. Aku yang tinggal lebih kurang 30km dari tempat kerja takkan mahu datang ke kawasan tempat kerja semata-mata mahu berjumpa doktor? Akhirnya, aku hanya mengambil annual leave jika sakit. Tiada optical atau dental walaupun sebahagian dari skop kerja aku (& kami di sini) perlu makan jika ada produk baru atau penukaran resipi untuk produk makanan. Tiada medical untuk pasangan mahupun anak. Tiada elaun.

Kemuncak rasa kecewa aku adalah ada bulan lepas semasa kenaikan gaji tahunan. Kenaikan aku tahun ni cuma separuh daripada yang biasa aku dapat. Pekerja asing pun dapat kenaikan lebih tinggi dari aku. Padahal semua kerja aku siap on time, hampir tak pernah masuk lewat ke pejabat & kadang-kadang kerja lebih masa untuk siapkan kerja aku. Aku pun tak tahu nak rasa apa. Sedih, marah, kecewa, gembira? Yang aku tahu, aku fed up!

Aku sudah cuba sedaya upaya aku, menggunakan pengalaman sebelum ini dan ilmu aku untuk aku curahkan di sini. Tapi setitik pun tidak dihargai. Setiap hari aku ke tempat kerja dengan perasaan terpaksa, berat hati demi sesuap nasi & hutang-hutang yang perlu aku jelaskan. Dan juga demi membantu suami & untuk anak-anak kami.

Yang benar,
Kuli Batak.

– Kuli Batak

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit