Salam, hi nama aku Meranti. Sedikit pengenalan. Aku berumur dalam pertengahan 20 an, mempunyai 9 orang adik-beradik dan kesemuanya adalah bunga.
Aku dilahirkan sebagai anak bongsu. Ya, kisah yang ingin aku bawakan ini adalah tentang abahku. Jauh sekali ingin membuka aibnya, cuma luahan dan doaku yang dari dulu masih Tuhan belum jawab.
Aku tidak ingin bersangka buruk dengan rencana Tuhan kerana barangkali Dia masih ingin mendengar rintihan hambaNya dan mengajar ku untuk tidak pernah berputus asa dari rahmatNya.
Bapak. Dari luar dia terlihat seperti seorang bapa yang penyayang dan sangat menitikberatkan keadaan anak-anaknya. Namun, seorang manusia yang sepatutnya menjadi insan yang paling kami sayangi adalah dia yang paling aku takuti dalam diam sejak aku usia dini lagi.
Bapak seorang yang panas baran, suka menghamburkan kata-kata makian dan jeritan walau dalam sekecil hal sekalipun.
Jika sesuatu perkara tidak memenuhi kehendaknya atau barangkali menghadapi masalah di luar pasti dia akan melampiaskan kemarahannya di rumah dan merajuk seolah-olah kami adalah punca segalanya berlaku. Jika melawan, kami pasti akan mendapat habuannya.
Teringat aku pak, sewaktu usiaku hanya setahun jagung, aku di libas dengan tali pinggang tanpa mengetahui apa salahku. Kau menuduhku merosakkan kamera padahal menggodeknya pun aku tidak reti.
Kau tahu? Sewaktu engkau bertugas di oversea, dirimu adalah insan yang paling aku rindu dan nantikan kepulanganmu. Tatkala rindu, anak bongsumu ini diam-diam masuk ke kamarmu, menangis mencium memeluk erat baju kemejamu.
Sepanjang ketiadaanmu, aku selalu merasakan ibu adalah insan yang paling tidak memahamiku, andai bapak ada disisi saat itu pasti bapak akan selalu membelaku. Namun, mengapa kini pak?
Ya, barangkali bukan salah dirimu tetapi salahku yang belum cukup mengenalimu dan terlalu berharap pada sosok seorang bapak di dalam hidupku. Kini, aku mula memahami rentak dirimu sedikit demi sedikit. Aku belajar untuk menepikan segala perasaanku.
Ya, Ibu juga tidak terkecuali. Bahkan engkau juga kadangkala sewenang-wenangnya naik tangan dengan ibu. Mungkin atas sebab inilah ibu adalah teman karibku dan manusia paling kuat yang pernah aku temui. Segala macam hal aku suka bercerita, mengadu dan meminta pendapat daripadanya.
Pernah suatu hari aku bertanya, sampai bila mahu begini hanya bertahan diri tanpa mahu mempertahankan?
Tapi ibu membalas, ujian yang ibu hadapi sekarang tidaklah seberat seperti Asiah (isteri Firaun) pernah hadapi suatu ketika dulu. Mungkin, berkat kesabaran inilah, kita akan peroleh syurga di akhirat nanti.
Teringat aku pak, sewaktu keputusan UPSR diumumkan, aku hanya mendapat 4A1B bukan 5A seperti yang engkau harapkan aku dapat seperti kakak-kakak yang lain.
Dan disebabkan itulah, engkau tidak hadir untuk sama-sama menemani ku naik ke pentas atas alasan urusan kerja. Barangkali, engkau malu dengan pencapaianku lebih-lebih lagi waktu itu engkau menyandang jawatan terhormat dalam PIBG di sekolah aku itu.
Dan sewaktu keputusan PT3 pula, aku telah memperoleh 9A3B1C. Mungkin kau kira keputusan itu sudah cukup membanggakan, bukan?
Tapi bukan untuk bapakku kerana subjek matematik dan sains ku tidak melayakkan aku untuk mengambil aliran sains kecuali dengan membuat permohonan dan menjalani ujian khusus oleh pihak sekolah.
Seperti biasa, bapak juga tidak hadir untuk meraikan, hanya ibu di sisi. Terpancar kerisauan pada air muka ibu untuk memberitahu result ku kepada bapak, walaupun di sudut hati ibu keputusan aku sudah cukup membanggakan buatnya.
Ibu mengajakku untuk meminta pendapat kaunselor dan guru tersebut menasihati aku untuk mengambil kelas aliran sastera agama jauh dari apa yang diharapkan oleh bapak memandangkan keputusanku memenuhi kriteria yang dikehendaki.
Aku membuat istikharah dan ternyata hatiku lebih berat kepada aliran sastera berbanding sains.
Ku kumpul semangat untuk menyatakan hasratku itu tapi kau tahu apa balasmu bapak? Masih jelas kata-kata dirimu,tanpa memandangku engkau berkata “abah dah malas dengan awak, sukatilah awak nak pilih apapun”
Saat itu duniaku hampir runtuh dan punah, begitu teruk anak bongsu ini di matamu, wahai bapak?
Dan Alhamdulillah berkat doa kedua orang tuaku, usaha gigih dan kurniaan Ilahi, pencapaianku adalah antara yang cemerlang didalam kalangan adik-beradikku walaupun hanya di dalam aliran sastera.
Sedikit-sebanyak aku bersyukur dapat membuka matamu bahawa aliran sains adalah bukan segala-galanya dan kini aku mendapat tempat di salah satu IPTA sesuai dengan harapan orang tuaku.
Namun, pada hari ini kau tahu? Kata-kata bapak sangat menusuk ke dalam dada dan merobek hati. Dan pada hari ini tangisku pecah lagi.
Ya, aku akur memang ada salahku. Akan tetapi, tindakannya memukul kepalaku sangat meruntun hatiku.
Aku sedar barangkali kehadiran anak bongsumu ini mungkin menyusahkan hidupmu. Sehingga engkau tidak yakin akan kemampuanku dalam semua hal berbanding kakak-kakak yang lain yang lebih maju kehadapan dalam apa jua perkara.
Adakah aku patut berdoa supaya Tuhan memanggil diriku kepangkuannya lebih cepat agar aku tidak lagi menyusahkan diirimu?
Acap kali kupujuk hati bahawa senario ini sudah aku biasa, jeritan dan makian telah aku lali semuanya. Kalau ibu boleh bertahan lama, mengapa aku tidak? Sebab tu kena kuat sebab aku nak lindung dan pertahankan ibu.
Tapi kali ini terasa seakan begitu perit sehingga kurasakan “Mungkin lebih baik tiada bapak daripada ada bapak”.
Kumohon doakan kami kuat untuk menjalani ini semua..dan semoga suatu hari nanti sinarnya muncul..entah saat aku masih ada mahupun tiada.
Ternyata dilahirkan di muka bumi ini adalah satu permintaan bukan suatu pilihan.
Kerana itulh yang kurasakan saat ini keberadaan diriku di dunia adlh kesilapan paling besar yang pernah terjadi.
Acap kali aku terfikir adakah Tuhan silap dalam rencanaNya?
Berjuta kali lagi menafikan hakikat itu kerana bukan salah Tuhan dalam merencana tetapi kerana kelemahan kita sebagai seorang manusia yang selalu alpa.
– Meranti (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit