Fikir Dulu Sebelum Sambung Master

Sejak belakangan ini, ramai yang mahu menyambung pelajaran ke peringkat Sarjana (master). Habis sahaja degree, terus isi borang pendaftaran dan belajar lagi untuk setahun dua. Ada yang benar-benar faham akan keperluan mereka menyambung belajar tetapi berdasarkan pemerhatian, ramai yang ikut sahaja rakan-rakan menyambung master tanpa mempertimbangkan baik dan buruknya. Harus diingat, segulung ijazah master anda itu boleh menjadi liabiliti jikalau anda menyambung pelajaran tanpa perancangan jelas!

Bagaimana ijazah master itu menjadi liabiliti?

Sesetengah bidang tidak memandang anda mempunyai segulung ijazah master ini lebih baik daripada pekerja degree/diploma berpengalaman kerja 1-2 tahun. Hal ini kerana, bagi mereka alam pekerjaan ini sangat berbeza dari universiti dan setiap graduan yang masuk tidak kira master atau degree bermula dari kosong (tiada beza pun). Berbeza pula bagi orang yang sudah mempunyai pengalaman bekerja. Dalam hal ini, rakan anda yang bekerja selepas habis degree mempunyai kelebihan pengalaman kerja jika dibandingkan dengan graduan master yang bermula dari kosong. Jika anda sudah mempunyai pengalaman kerja sebelum sambung master, maka pengalaman dan sijil master anda merupakan aset yang cukup kuat.

Lihat keperluan industri yang anda ceburi. Graduan master biasanya mengisi jawatan yang memerlukan kepakaran yang lebih tinggi. Namun, dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, jawatan-jawatan ini yang membayar gaji lebih tinggi terpaksa dikurangkan bagi menjimatkan kos. Ketahuilah, ramai yang berpengalaman 10-15 tahun pun mencari kerja! (contoh: retrenching in oil and gas sector). Kebanyakan graduan master akhirnya terpaksa bersaing untuk merebut jawatan yang ditawarkan kepada lepasan degree (ingat, mereka yang berpengalaman pun apply untuk jawatan ni). Sesetengah majikan pula tidak menerima pemohon yang *overqualified* untuk jawatan-jawatan tertentu sedangkan ramai lagi pemohon yang memiliki kelayakan sebaiknya.

Jadi, apa tujuan menyambung master?

Saya menulis ini bukan untuk kondem orang yang menyambung master (bahkan saya sendiri pun tengah buat research master), cuma ingin memastikan mereka yang menyambung master ini tidak melakukannya secara membuta tuli. Sememangnya niat sesetengah orang untuk menyambung master ini baik – untuk menambah ilmu pengetahuan dan skil – tetapi niat sahaja tidak mendapatkan anda kerja. Sebaliknya, perlu tahu apa yang ingin dilakukan dengan ijazah master ini selepas bergraduasi.

1. Berkhidmat dalam akademik – Ini adalah laluan paling kerap dilalui oleh lepasan master. Sesetengah institusi membenarkan graduan master untuk menjadi pensyarah. Sebaiknya sambung PhD untuk memastikan karier akademik yang lebih mantap.

2. Menjadi staf bergred lebih tinggi – Sesetengah jawatan sememangnya memerlukan graduan lepasan master. Tetapi jika ada pengalaman kerja dalam bidang berkenaan juga lebih baik kerana ada beribu lagi graduan master di luar sana. Pastikan keperluan industri terhadap graduan master ini wujud.

3. Menjadi konsultan dalam bidang – Konsultan memerlukan kepakaran dan kebiasannya terdiri daripada mereka lepasan Master atau PhD. Tetapi, menjadi konsultan memerlukan pengalaman yang luas (>10 tahun) dalam industri. Keperluan konsultan dalam industri juga adalah kecil.

Anda sudah menyambung master, apa perlu dibuat?

Muhasabah kembali apa tujuan anda menyambung belajar. Jika anda mempunyai rancangan yang jelas, maka teruskan! Jika tidak, duduk sebentar dan susun kembali perjalanan anda. Habiskan tempoh pelajaran dan genggam ijazah master itu dengan penuh rasa syukur. Jika ada masa terluang, buatlah kerja separuh masa sebelum bergraduasi, maka pengalaman pun dapat ditimba. Mula membuat networking dengan orang di dalam industri agar anda bersedia sebaik bergraduasi. Jika nasib anda baik, kerja yang datang mencari anda!

Kepada yang berkira-kira menyambung master selepas graduasi degree, apa salahnya mencari pengalaman kerja dahulu. Ketika bekerja, buatlah master secara part time atau PJJ dan bahagikanlah masa dengan bijak. Harus diingat, jika anda menyambung master hanya kerana ingin lari dari pengangguran, anda akan kembali berdepan dengan isu ini selepas graduasi master, maka fikirkan pilihan anda sebaiknya.

Jika anda sengaja menyambung Master hanya untuk menambah ilmu pengetahuan tanpa perancangan khusus, maka itu adalah hak anda. Tetapi, pastikan pelaburan masa dan wang anda menyambung master ini berbaloi. Kita masih muda, masa masih banyak jadi manfaatkanlah. Sekali lagi, bukan niat saya untuk menakutkan anda semua, cuma ingin mengingatkan sahaja. Maaf jika ada terkasar bahasa, mana yang salah mohon perbetulkan. Sekian.

– Paan

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit