Namaku A, dan aku merupakan anak sulung daripada 2 beradik. Aku berumur awal 30-an, dan mempunyai seorang adik lelaki yang berumur 25 tahun. Walaupun terdapat perbezaan umur yang jauh, namun kami membesar sama-sama dengan gembira. Aku redha walaupun ibu bapaku memanjakannya sejak kami kecil lagi. Contohnya keputusan peperiksaan, aku sentiasa perlu mendapatkan keputusan yang terbaik, kalau tidak maka tali pinggang bapa akan menghinggapiku. Namun aku mengambil keputusan untuk memandang ke hadapan, dan aku berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian daripada IPTA.
Berbanding pula dengan adikku, ibu bapaku seperti tidak kisah dengan keputusan peperiksaannya. Pernah juga aku bertanya kepada ibu, mengapa adik tidak dipukul sepertiku kerana gagal dalam peperiksaan. Jawab ibu, “adik kamu tu lelaki, jadi layanan perlu berbeza dengan kamu, kalau tak dia akan memberontak”. Memang jauh berbeza perjalanan kami, dengan SPM adikku hanya sekadar kredit BM menyebabkan dia sukar untuk menyambung pengajian. Memandangkan hasrat ibuku yang mahu juga melihat adikku berjaya di Menara Gading, aku berusaha juga untuk mencari sijil dan pengajian yang bersesuaian dengan adikku. Langkah pertama yang aku buat ialah mencadangkan adikku mengambil kertas Julai Matematik dan mencari tutor berpengalaman one-to-one untuk mengajarnya sebelum peperiksaan. Namun demikian, adikku gagal juga dalam peperiksaan tersebut.
Aku mencuba juga untuk mencari pusat pembelajaran untuk adikku dan setelah memohon beberapa institut, adikku bersetuju untuk menyambung pengajian di sebuah IPTS. Aku ingat lagi hari pertama di IPTS berkenaan, ibu bapaku sangat gembira. Namun kegembiraan itu tidak berpanjangan kerana adikku gagal dalam peperiksaan semester 1 IPTS berkenaan dan diberhentikan. Ibuku masih tidak berputus asa dan menyuruhku mencari institut lain untuk adikku. Adikku berjaya menyambung pengajian di sebuah IPTS lain di KL.
Akhirnya adikku berjaya menggenggam diploma selepas 4 tahun pengajian dan 2 kali ulang semester. Memandangkan PTPTN hanya sehingga semester 6 (3 tahun), ibu bapaku berusaha keras untuk menampung pengajian adikku.
Kini, tahun 2018. Sudah 4 tahun adikku bergraduasi. Entah di mana silapnya, adikku tidak mahu bekerja. Janji kepada ibu dan bapaku, hanya ingin berehat sebulan selepas graduasi, berpanjangan sehingga ke hari ini. Bukan aku tidak berusaha untuk mencari kerja untuk adikku, malah aku dan suamiku juga pernah membawa adikku ke pameran pekerjaan dan temuduga. Malah aku juga menuliskan resume untuk adikku. Aku menolong adikku menghantar resume melalui online ke platform-platform mencari pekerjaan seperti jobstreet, jobsmalaysia dan banyak lagi. Namun disebalik usahaku, adikku tidak mahu pergi temuduga dan tidak berminat untuk bekerja.
Untuk warga IIUM, aku bukan sengaja membuka pekung di dada. Namun aku telah buntu memikirkan cara yang terbaik untuk adikku bekerja. Apabila aku dan ibu bapaku mengajaknya bekerja, adikku akan memberontak dan menyatakan itu hidupnya jadi terpulanglah dia ingin bekerja atau tidak. Bapaku berterus terang denganku bahawa beliau sudah berputus asa dan ibuku juga pernah dimarahi dengan keras oleh adikku kerana memaksanya bekerja. Kini ibuku hanya diam setiap kali aku mengungkit isu ini. Ibuku juga menyalahkan dirinya sendiri kerana tidak pandai membesarkan adikku dan menangis. Kerana inilah, aku tidak boleh terus berbincang dengan ibu bapaku berkenaan adikku. Adikku hanya duduk di rumah like a bos, dan semua kemudahan disediakan oleh ibu bapaku.
Warga IIUM, aku amat risau kerana adikku tidak mahu bekerja. Mengapa? Hakikatnya ibu bapaku kini telah berusia 60-an dan masih terpaksa bekerja untuk menampung kehidupan. Aku sedikit sebanyak menyumbang juga kepada ibu bapaku, namun masih tidak cukup. Memandangkan kami hanya 2 beradik, aku bersuara juga kepada adikku untuk berkongsi menampung perbelanjaan ibu dan bapaku. Namun jawapan yang ku terima, “kakak tak sedar diri ke, kerja bagus tapi nak tolong pun berkira”. Untuk makluman aku sudah berkahwin dan mempunyai anak.
Sebab kedua ialah aku risau adik aku memperhambakan ibu bapaku selama-lamanya. Bayangkan, ibu dan bapaku sanggup menelefonku jika terdapat sebarang kesulitan di rumah, contohnya seperti kerosakan Astro, elektrik (TNB) dan sebagainya. Sememangnya aku tidak kisah kerana mereka ibu bapaku, dan mereka sudah berusia terutamanya jika pembaikan tersebut melibatkan teknologi baharu, namun aku harap sangat adikku dapat membantuku dalam urusan ini kerana aku tinggal 350km jauhnya dari ibu bapaku. Namun apabila diminta, ibuku hanya akan berkata “tidak apalah, biar ibu sendiri baiki” atau “ biar ibu jela urus”. Maka aku juga yang biasanya akan menguruskan hal-hal rumah ibu bapaku. Ada kalanya aku meminta pertolongan kawan-kawanku di kampung untuk melihat perkembangan kesulitan ibu bapaku sama ada telah selesai atau belum sekiranya aku tidak berkesempatan pulang ke kampung walaupun adikku ada di sana.
Ibuku juga memberikan wang kepada adikku untuk membayar PTPTN nya setiap bulan. Itu pun setelah aku bising kerana terdapat tunggakan pembayaran RM5,000 di akaun PTPTN adikku. Dalam hal ini, aku amat berharap bahawa pihak Kerajaan dapat mendenda peminjam yang sengaja tidak mahu bayar, bukan kerana terpaksa tidak membayar. Atas kasih sayangku kepada ibu dan adikku, aku juga pernah ke PTPTN untuk berbincang berkenaan tunggakan ini. Namun, kini aku sudah berputus asa.
Sebab yang terakhir adalah, aku risau sekiranya bapaku tiada nanti, mampukah aku menanggung ibuku dan menyediakan rumah untuknya. Untuk pengetahuan, rumah ibu bapaku adalah di bawah nama bapaku. Mungkin terlalu jauh pemikiranku, namun aku terpaksa melihat kebarangkalian di mana rumahku menjadi pusaka dan difaraidkan. Mungkin juga kami terpaksa membayar sedikit wang kepada keluarga bapaku (ibu dan bapa ayahku telah meninggal dunia).
Warga IIUM, harap Tuan/Puan bolehlah doakan supaya adik saya terbuka hati untuk bekerja. Setakat ini, ibu bapa saya mencuba juga untuk bercerita mengenai kebaikan adik kepada mereka kini seperti “adik tolong ibu sapu sampah hari ni” ataupun “adik jemur kain hari ni”. Tetapi padaku, seorang lelaki yang sihat tubuh badan, berumur 25 tahun perlu mencari rezeki untuk keluarga, di samping membantu ibu bapaku di rumah jika berkesempatan.
– Kakak Prihatin
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit