Fobia Gelang Getah

Asalamualaikum & hai semua. Aku Anis berumur 35 tahun. Aku sudah berkahwin dan punya 3 orang anak. Aku bukan nak bercerita tentang masalah rumahtangga atau anak anak, aku ingin minta pendapat tentang masalah atau keganjilan atau fobia aku pada gelang getah.

Ye, gelang getah yang buat ikat plastik makanan tu. Sejak sekolah rendah kot, aku perasan bahawa aku cukup geli atau tidak selesa bila gelang getah tu ada berhampiran dengan aku. Aku akan campak dan buang gelang getah tu jauh jauh.

Paling haru kalau ada gelang getah yang terkena air contoh gelang getah dalam bilik air atau dalam longkang. Aku cukup geli / fobia sehingga rasa nak menangis.

Korang jangan ketawa sebab aku merasakan ini masalah untuk aku. Aku tak tahu kenapa aku cukup geli dengan gelang getah. Masalah gelang getah ini juga menyebabkan aku tak mahu kemana mana kerana aku risaukan situasi terpaksa meminjam bilik air orang atas urusan membuang air.

Aku cukup takut andai terjumpa gelang getah dalam bilik air (lebih lebih lagi bilik air rumah kampung). Aku rela menahan buang air daripada menumpang bilik air di rumah orang.

Kerana gelang getah ini aku tidak mahu kemana mana. Di bilik air rumah mertua selalu aku jumpa gelang getah kerana kakak ipar aku selalu ikat rambut menggunakan gelang getah dan bila mandi dia tinggalkan saja gelang getah tersebut di bilik air. Aku tidak mahu lagi pulang ke rumah mertua.

Dulu semasa sekolah rendah aku pernah bagitahu kepada adik adik aku yang aku geli dengan gelang getah, lebih lebih lagi bila gelang getah itu basah terkena air. Adik adik aku lagi kenakan aku. Mereka letak gelang getah banyak banyak di dalam bilik air.

Sejak itu aku tak berkongsi dengan siapa siapa lagi tentang gelang getah ini. Aku takut mereka kenakan aku. Tapi bila suami aku seakan merajuk sebab aku dah tak nak balik rumah mertua, aku ceritakan kepada suami aku tentang fobia gelang getah itu.

Suami aku hanya ketawa dan mengatakan aku macam Cicak man sebab takutkan gelang getah. Rasanya sekarang suami aku pun dah lupa tentang fobia aku kepada gelang getah ini.

Korang mesti ketawa baca kan tapi aku serius. Aku tak buat lawak dan ini jadi masalah terbesar dalam hidup aku. Perlu ke aku jumpa Psikiatri? Tapi aku bukan gila. Aku akan meremang dan tak senang duduk bila gelang getah tu ada berhampiran dengan aku.

Mohon pendapat pembaca budiman atau mungkin yang ada masalah sama macam aku. Apa perlu aku buat? Lawan fobia kepada gelang getah ini atau biarkan saja.

Sekali lagi aku ulang, aku serius ye, bukan buat lawak. Gelang getah ni betul betul menganggu hidup aku. Terima kasih pembaca semua.

– Anis (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *