Mesti korang tertanya-tanya kenapa tajuk aku skema pasal kenangan tingkatan 6 dan baju sekolah tapi terselit kisah jumpa calon suami pulak.
Sebenarnya aku cerpenkan kisah Tingkatan 6 atau panggilan famous “Pra Universiti” @ “Pra U” @ “Form 6” @ “Form Six” dan juga kaitan baju sekolah dalam percintaan Siti dengan ex-crush.
Siti bersekolah daripada tingkatan peralihan sampailah tingkatan enam atas (upper six) selama 8 tahun.
Siti menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika usia 18 tahun seterusnya Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) semasa berusia 20 tahun. Peperiksaan SPM tahun 1999, result Siti tidaklah membanggakan. Permohonan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tidak berjaya.
Masa tu jumlah IPTA tidak sebanyak zaman sekarang dan hanya insan terpilih sahaja ditawarkan study situ. Siti menolak tawaran sijil Politeknik kerana kursus ditawarkan kepadanya tidaklah menarik dan risau susah dapat kerja selepas konvokesyen nanti. Jadi Siti memilih masuk Form 6.
Oh ya, untuk makluman, SPM tahun 1999 ada diperkenalkan peperiksaan khas untuk menyaring calon yang layak agar boleh memulakan pengajian lebih awal di Matrikulasi atau Tingkatan 6 sebelum keputusan SPM diumumkan.
Kelemahannya adalah setelah keputusan SPM diumumkan dan didapati calon yang disaring tersebut tidak layak, calon perlu bertukar belajar ke tempat lain sesuai dengan keputusan SPM diperolehi.
Mungkin disebabkan terlalu banyak isu, peperiksaan khas ini dimansuhkan pada tahun 2000 dimana calon SPM perlu menunggu result SPM sebelum memulakan pengajian di IPT.
Siti tak lulus pun peperiksaan khas itu. Huhu. Pada tahun 2000, tawaran belajar di Form 6 menyatakan Siti ditempatkan sekolah yang agak jauh dari rumahnya.
Perlu berganti 2 bas awam bagi perjalanan satu hala. Ini disebabkan kampung Siti ketika itu tiada kelas Form 6 dan sekolah itu merupakan paling hampir dengan rumahnya yang ada Form 6.
Peraturan seragam di sekolah baru mewajibkan murid Form 6 baju kurung putih, kain biru laut, tudung putih dan berkasut putih.
Tiada beza dengan baju sekolah yang Siti gunakan dari tingkatan peralihan hingga tingkatan 5 dulu.
Semasa hari pendaftaran Siti menyarung semula baju sekolah Form 5 termasuklah tudung yang masih terlekat lencana sekolah lama. Pulang dari sekolah beliau terus ke shopping mall beli uniform sekolah baru sambil menonton wayang.
Segan juga kalau masih berlencana sekolah lama sedangkan dah bertukar sekolah lain. Sedang asik menonton wayang tak sedar jam dah 9 malam.
Nasib baik perkhidmatan bas awam masih ada dan dia selamat tiba di rumah jam 11.30 malam. Mungkin orang tertanya, tak takut ke balik tengah malam gitu?
Untuk makluman, suasana malam di kampungnya masih meriah dengan para pakcik melepak dan uniform sekolah yang dipakainya menimbulkan rasa selamat kerana membuatkan Siti diperhati orang kampung sepanjang berjalan kaki balik ke rumah.
Mungkin inilah salah satu sebab mengapa murid sekolah diwajibkan memakai baju sekolah supaya ada orang tolong perhatikan kalau berlaku bahaya di luar kawasan sekolah terutamanya pada waktu malam.
Tanpa disedari rupanya ia merupakan detik permulaan Siti akan berbaju sekolah dari awal pagi hingga malam setiap hari.
Rutin persekolahan bermula dengan bersiap ke sekolah jam 4.30 pagi seterusnya mengejar bas jam 5.00 pagi. Jika tidak, kemungkinan tinggi untuk nama diambil pengawas akibat lewat ke sekolah.
Sesi persekolahan Form 6 pula biasanya tamat jam 3.30 petang termasuk sesi revision atau kelas formal.
Oleh itu Siti hanya akan tiba di rumah sekitar jam 7.30 malam memandangkan perlu berebut bas dengan pekerja pejabat disamping kesesakan teruk jalan raya pada waktu petang menyumbang tambahan masa perjalanan yang perlu ditempuhi.
Dengan badan yang letih dan perut ‘menjerit’ minta diisi makanan, Siti terus menikmati makan malam dengan masih berbaju sekolah. Usai makan dia berehat seketika sambil menonton berita 8.00 malam dan menyelesaikan kerja sekolah yang perlu di dihantar mengikut due date ditetapkan.
Kebiasaannya ia selesai sekitar jam 10.00 malam seterusnya menggosok uniform sekolah untuk dipakai keesokannya sebelum berangkat mandi dan salin uniform.
Apa yang ingin aku highlight disini adalah tempoh pemakaian baju sekolah Siti yang amat lama iaitu 18 jam setiap hari sepanjang bergelar murid Form 6.
Secara tidak langsung menutup ruang memakai uniform sekolah yang sama selama 2-3 hari sebelum membasuhnya seperti aku dan juga sebahagian murid sekolah lakukan.
Aku percaya tak ramai dalam kalangan pembaca pernah melalui hari-hari persekolahan seperti mana ini.
Jangan la mengecam Siti dengan panggilan pengotor atau kepam kerana situasi ketika itu menyebabkannya berfikiran sedemikian. Lagi pun dia tak la kepam sangat. Hahaha.
Bagaimana Siti berjumpa calon suaminya? Aku namakan suami dia A. Cinta pandang pertama berjumpa dengan A adalah ketika sama-sama di denda semasa Form 6.
Pada hari kejadian, Siti dipanggil oleh guru disiplin kerana markah dimerit mencecah mata yang banyak sedangkan pada ketika itu dia baru sebulan bersekolah disitu dan perlu “membayarnya” melalui sesi denda bagi menghapuskan markah tersebut.
Siti beri alasan bahawa kesalahannya hanyalah tidak jahit lencana dan name tag di atas tudung sebab tidak sempat akibat 18 jam berbaju sekolah setiap hari.
Oleh itu markah dimerit bertambah setiap minggu apabila kesalahan direkodkan oleh pengawas selepas sesi perhimpunan Isnin.
Si A pula memberi alasan dia kerap lewat tiba disekolah sebab masalah jam locengnya rosak.
Cikgu tak terima alasan tersebut dan menyuruh Siti melihat sendiri lain-lain pelajar Form 6 yang telah pun menjahit lencana dan name tag walaupun mendaftar masuk pada tarikh sama. Seterusnya mereka didenda membersihkan kawasan padang selepas waktu sekolah.
Mereka sepakat memulakan denda jam 4. 00 petang. Boleh tahan handsome juga A ni.
Ada iras kacukan dan berkulit cerah ditambah pula baju putih sekolah menyerlahkan lagi kekacakan beliau. Bak kata orang, baka kacukan kebanyakannya lawa-lawa.
Sempat Siti jeling info murid pada kad pelajar dipakai A dan apa yang menarik adalah usianya juga sama dengan Siti iaitu tua setahun berbanding rata-rata rakan Form 6 sekolah itu.
Dulu awak belajar sekolah ni? A memulakan bicara sambil mereka mengutip sampah di padang sekolah. Alamak, Siti segan bersembang dengan A dan tiba-tiba muncul perasaan rendah diri kerana keadaan fizikal Siti boleh dikatakan kontra dengan A.
Berkulit sedikit gelap dan wajah biasa-biasa sahaja. Tapi Siti seronok berbual dengan A walaupun ketika itu mereka bermandi peluh dalam uniform sekolah akibat panas terik di tengah padang.
A terkejut kerana usia mereka adalah serupa dan memberitahu Siti dia mengulang Form 5 untuk memperbaiki result SPM.
Patut la umur kami serupa, bisik hati Siti. Mereka menyelesaikan tugas membersih padang pada jam 5. 30 petang.
Kesian A sebab kulit bertukar putih kemerahan akibat didenda ditengah panas. Siti mengusiknya dengan bertanya bilakah masanya dia cat kulit jadi merah sedangkan mereka berdua ditengah padang sepanjang masa.
A membalas usikan Siti dengan mendoakan Siti didenda di tengah panas sekali lagi.
A kata, tak kan la tak sempat jahit lencana hari sabtu ahad. Masin juga mulutnya kerana seminggu lepas tu, Siti didenda kali kedua berdiri di tengah panas pada waktu rehat sebab masih belum jahit lencana dan name tag.
Usai proses denda, mereka berehat sebentar sebelum berangkat pulang ke rumah masing-masing.
Sejak hari itu, Siti mula terbayangkan A dalam fikiran dan secara rasminya menjadi crushnya. Walaupun sama-sama di tingkatan 6 rendah, kelas mereka tak sama. Hari demi hari Siti mencuri pandang A dari jauh dan menegurnya apabila berkesempatan.
A amat handsome apabila memakai blazer sekolah tetapi hanya pakai waktu perhimpunan Isnin dan didalam kelas. Panas dan rimas katanya. Sinar harapan Siti bersama A kembali cerah apabila mereka berada di tingkatan 6 atas pada tahun 2001.
Majoriti murid Form 6 mengundi A sebagai Pengerusi dan Siti sebagai Timbalan Pengerusi Persatuan Tingkatan 6. Mungkin faktor usia mereka telah mencecah 20 tahun dan hanya sebilangan kecil pelajar Form 6 disitu mempunyai usia serupa.
Upper six merupakan zaman kegemilangan Siti ketika di sekolah dan A merupakan penyumbang kepada motivasi dan semangatnya bersekolah disitu.
Dengan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi, maka semakin kerap dapat berhubung dengan A. Aktiviti Persatuan Tingkatan 6 berjaya mengeratkan hubungan semua murid form 6.
Sifat dan kepimpinan A terserlah dalam satu program lawatan dan khidmat sosial selama 4 hari 3 malam yang diadakan ketika cuti semester sekolah.
Sepanjang program itu, Siti dan A perlu bekerjasama rapat menjalankan tugas penyelaras program. Dari situ semakin menyerlah kualiti A yang tidak hanya pandai memimpin, tetapi juga seorang yang menjaga agama. Beliau juga solat sunat harian disamping solat wajib 5 kali sehari.
Handsome juga apabila A lengkap berbaju melayu, getus hati Siti. Namun begitu, disebalik kerjasama rapat itu, timbul perasaan cemburu kerana sering kali Siti terpaksa melihat ada murid perempuan cuba mengorat A. Hari berganti hari dan tibalah peperiksaan STPM yang menakutkan itu.
Sepanjang tempoh itu, Siti hanya memendam perasaan terhadap A yang tidak mampu di luahkan walaupun mereka bekerjasama rapat dalam Persatuan Tingkatan 6. Siti agak rapat dengan rakan baik A dan sering mendapat info mengenai A terutama mengenai perilaku yang padanya amat baik.
Siti pernah juga terfikir untuk meluahkan perasaan melalui surat pada hari terakhir STPM namun begitu tertangguh apabila memikirkan akan berjumpa A semula ketika ambil keputusan STPM kelak.
Bimbang rasa akward ketika majlis pengumuman keputusan jika A reject hasrat hati Siti. Pada tahun 2002 keputusan peperiksaan STPM diumumkan. Semua calon menyarung uniform sekolah buat kali terakhir pada usia 20 tahun.
A dan Siti serta sebilangan kecil pelajar pula telah pun berusia 21 tahun. Sayangnya ketika itu tiada kamera digital bagi mereka merakam sebanyak mungkin memori sekolah.
Sebagai bekas pengerusi dan timbalan pengerusi Persatuan Tingkatan 6, mereka diberi penghormatan memberi ucapan pada majlis tersebut dan secara tiba-tiba Siti berasa sebak apabila memikirkan itulah hari terakhir mereka semua bersekolah dan juga mungkin kali terakhir dia berjumpa A.
Jarak rumah dia agak jauh dan perhubungan melalui telefon amat terhad. Tiada telefon bimbit dan media sosial untuk mengekalkan hubungan di zaman tersebut.
Usai majlis pengumuman result STPM dan memohon maaf dengan para guru, semua calon mengadakan majlis makan di bandar.
Ia juga sebagai meraikan hari terakhir mereka berpakaian seragam sekolah menengah. Semuanya segak dan comel berbaju putih dipadankan seluar hijau tua/ kain biru laut merakam memori guna kamera berfilem.
Siti mengambil peluang berbual-bual dengan A dan semua rakan sekolah memandangkan lepas ni agak sukar untuk bertemu sebab rumahnya berjauhan.
Ingin Siti luahkan perasaan kepada A ketika itu, namun amat berat walaupun terfikir untuk menyampaikannya melalui perantaraan wakil.
Siti hanya mampu memberi hint kepadanya bagaimana mengekalkan persahabatan ini dan tidak semena-mena A memberi kad pelajar yang dipakainya sebagai kenangan. A memberitahu dia ada 2 kad pelajar apabila pihak sekolah tersalah cetak dua salinan.
Siti berasa malu sebab tak membalasnya dengan apa-apa pemberian akibat tak bersedia. Dia tak berikan kad pelajar yang sedang dipakainya sebab nak jadikan sebagai koleksi sekolah.
Dalam perjalanan balik ke rumah selepas majlis tersebut, timbul perasaan menyesal dalam diri Siti akibat tidak meluahkan perasaan kepada A.
Itulah saja peluang yang dia ada. Kalau la zaman tu ada media sosial yang memberi tips meluahkan perasaan kepada crush, keadaan mungkin menjadi berbeza.
Pada tahun itu juga Siti diterima masuk ke IPTA di lembah klang dan amat jarang mendengar khabar berita A.
Ingatannya terhadap A semakin pudar dan akhirnya Siti berkonvokesyen ijazah setelah 4 tahun bertungkus lumus bergelar mahasiswi. Sepanjang tempoh 4 tahun itu juga dia tiada teman lelaki. Mungkin berpunca kerana tidak pandai mengorat lelaki.
Tetapi dia berfikiran positif, nisbah pelajar wanita lebih ramai dari lelaki di IPTA. Maka sukarlah dia bertemu lelaki idaman sepanjang 4 tahun tersebut. Setelah mendapat tawaran kerja, ingatan Siti kepada A terus luput seiring peredaran masa.
Ada juga lelaki ingin berkenalan, namun pelik kenapa Siti tidak bersedia berkenalan lebih lanjut. Mungkin juga dia ni jenis yang susah jatuh cinta kot. Pada tahun 2013, terlihat satu pengumuman di Facebook, sekolah menganjurkan majlis alumni.
Pada mulanya Siti agak keberatan hadir kerana 11 tahun lost contact dengan rakan Form 6.
Tetapi apabila melihat kesungguhan pihak sekolah menghantar surat jemputan ke rumah atas kapasitinya sebagai bekas timbalan pengerusi Persatuan Tingkatan 6, dia gigihkan juga hadir majlis tersebut walaupun agak keberatan kerana bakal hadir berseorangan. Tema majlis adalah “Back To School”.
Siti kembali menyarung uniform Form 6 yang masih tersimpan. Siti ditempatkan di meja makan khas sebagai bekas Timbalan Pengerusi Persatuan Tingkatan 6.
A juga ditempatkan di meja yang sama sebagai bekas Pengerusi Persatuan Tingkatan 6 dan kekal handsome berbaju sekolah dan blazernya dulu.
Pada mulanya Siti tertanya mengapa A datang bersendirian dan baru dia tahu rupanya A pernah berkahwin tetapi tidak memperolehi cahaya mata akibat isterinya sakit.
Isterinya telah meninggal dunia dan sejak itu A hidup sendirian. Minat Siti kepada A kembali berputik dan kali ini dia tidak melepaskan peluang meneruskan hubungan.
Siti dan A mendapat anugerah pada majlis tersebut kerana mereka berbaju sekolah yang digunakan ketika Form 6 dulu.
Tudung sekolah Siti masih terlekat lencana dan name tag yang menjadi punca dia didenda bersama A suatu masa dahulu. A terharu apabila Siti memberitahu masih menyimpan kad pelajar pemberiannya dulu.
Pertemuan dengan A membolehkan Siti mengambil peluang merapatkan kembali hubungan dan kerap berbalas mesej melalui Whatsapp dan Facebook. Mereka juga kerap berjumpa dan sengaja Siti uji A dengan menyatakan bahawa dia suka melihat A berbaju sekolah beserta blazer.
A sangat sporting dan bersetuju pakai sekali sekala apabila mereka berjumpa atau melancong (tetapi bukan sama bilik. Jangan fikir bukan-bukan, haha)
Tapi A mensyaratkan agar Siti memakai baju sekolah lengkap sepertinya. Tiada masalah untuk Siti turuti kehendak ini tetapi dia beli uniform baru la.
Kena jaga penampilan dan saham diri. Uniform sekolah Form 6 Siti dah lusuh dan bimbang A melihatnya selekeh berpakaian sedemikian. Tahun 2020, Covid-19 melanda dunia dan perhubungan mereka terhad kepada komunikasi melalui telefon dan Facebook sahaja.
Namun begitu, ia merupakan peluang untuk terus berkomunikasi dan pada awal tahun 2022, Siti mengumpul segala kekuatan “melamar” dan meluahkan isi hati kepada A setelah tertangguh 20 tahun.
A terkejut dan memohon diberikan masa untuk perbincangan lanjut bersama keluarganya. Seterusnya A berikan jawapan yang Siti inginkan sejak tahun 2002 dulu seterusnya menghantar rombongan meminang.
Majlis perkahwinan dilangsungkan September tahun 2023. Mereka turut pakai sepersalinan baju sekolah di samping lain-lain baju nikah. Ramai rakan mengucapkan tahniah dan mendoakan mereka dapat anak kacukan melayu korea.
Mentang-mentang la K-Pop tengah top sekarang. Dulu tak timbul pun A ni kacukan korea. Haha.
Siti tidak sangka berjodoh dengan A walaupun telah lama menyimpan perasaan terhadapnya. Kisah Form 6 dan baju sekolah menjadi asbab mempertemukan mereka. Kalau tak masuk Form 6, maka tak kena pakai baju sekolah.
Tak pakai baju sekolah, maka tak ada denda sebab tak perlu jahit lencana kat tudung. Tak kena denda, maka tak ada peluang berbual berpanasan dipadang bersama A. Mungkin ada peluang lain untuk berbual dengan A tetapi tak ada la kenangan manis didenda bersama-sama.
Tiada Form 6 dan baju sekolah juga bermaksud tidak wujud peristiwa mereka terima anugerah semasa majlis reunion asbab mengeratkan lagi hubungan mereka. Haha. Sekarang dah banyak penambahbaikan dibuat untuk Form 6.
Peperiksaan STPM telah ditambah baik dan tiada kewajipan murid memakai baju sekolah kerana diberi pilihan sama ada berbaju kasual atau baju sekolah. Teknologi ICT juga telah berkembang pesat mengeratkan hubungan persahabatan walaupun setelah tamat sekolah atau IPT.
Jalan cerita percintaan generasi masa kini juga semestinya jauh lebih canggih dan berbeza jika dibandingkan kisah 24 tahun lalu.
– Siti Nabila (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit