Fresh Grads: Know Where You Belong II

Assalamualaikum,

Merujuk kepada post sebelum ini di: https://facebook.com/story.php?story_fbid=1369386753144136&id=729187373830747

Terima kasih kepada anda yang komen & bagi cadangan/kritikan semuanya. Okay, kali ini aku jawab persoalan anda semua dalam Bahasa Melayu, nanti ada pula yang kata aku Melayu lupakan bangsa dan sebagainya. Takpun, nanti ada yang bising pula cakap aku bajet je nak tulis semuanya dalam Bahasa Inggeris, mentang-mentang graduan luar negara kan.

1. “Awak di-sponsor untuk belajar satu program tu, kalau dah tahu tak minat, kenapa ambil?”

Bukannya aku tak minat. Ni mesti kes komen je cepat-cepat tanpa memahami apa yang aku tulis dulu.

Aku bukan jenis yang main ikut je satu program semata-mata ada “sponsorship”. Aku dulu dah buat dah program lain, patutnya masuk program Ekonomi. Tapi masa aku dapat peluang untuk buat Sains Aktuari, aku fikir dua tiga empat lima kali sebelum aku ambil. Aku tak buat keputusan terburu-buru.

Aku jumpa kawan aku yang sedang belajar Sains Aktuari, aku tanya pendapat dia. Aku jumpa kawan mak aku, yang anak dia tiga orang buat Sains Aktuari. Aku buat kajian, aku baca banyak-banyak pasal Sains Aktuari ni semua. Aku solat istikharah, aku mintak petunjuk-Nya. Dan masa tu aku rasa, okay, mungkin ini la tempat aku kat dunia ni.

Aku minat je belajar Sains Aktuari ni. Aku pernah je ambil “professional papers” untuk jadi seorang aktuari. Aku pernah pergi jumpa syarikat-syarikat yang memang ada banyak aktuari. Aku pernah je mohon nak buat “internship” kat syarikat insurans masa cuti musim panas. Aku pernah je mengikuti program yang universiti aku buat untuk pelajar Sains Aktuari semua.

Minat tu ya, memang pernah minat. Tapi masa masuk je tahun ketiga aku belajar, aku boleh sedar yang minat aku tu dah berkurang. Aku duduk seorang diri, nilai balik apa yang aku suka dalam hidup, dan apa yang bidang Sains Aktuari ni akan bagi kat aku.

Dan aku tersedar, bidang ni bukan untuk aku. Walaupun aku boleh skor dalam kelas semua, aku tak rasa yang diri aku akan betul-betul gembira dengan hidup macam tu. Aku tak dapat kepuasan yang aku cari.

Sebab tu aku nak lari bidang. Bukan sebab nak bazir masa dan duit semua, tapi sebab aku tak nak seksa diri dalam bidang yang aku tahu aku tak boleh nak merasa bahagianya itu.

2. “Bazir duit je kalau macam tu, pastikan kau bayar balik la.”

Ya, jangan risau, memang aku dah bayar balik kat MARA. Kalau aku sambung dalam bidang ni pun, aku memang kena bayar balik pun. Bukannya aku berniat nak larikan diri dari tanggungjawab aku pun. Aku sedar itu duit rakyat, dan aku akan bayar balik ikut perjanjian aku dan MARA.

3. “Kau dah bazirkan masa dan duit, lepas tu kau tak nak berbakti kepada Malaysia pula.”

Siapa cakap aku tak nak berbakti kepada Malaysia? Aku nak berbakti, sebab tu aku akan bayar balik loan MARA aku. Sebab tu aku lari masuk bidang pendidikan, sebab aku lagi suka bekerja dengan pelajar. Semasa aku belajar, aku balik Malaysia masa cuti musim panas, aku ikuti program kat sekolah, jumpa pelajar-pelajar sekolah, ceritakan pengalaman aku belajar, dan tolong mereka cari “tempat” mereka di dunia ni. Aku suka bekerja dengan pelajar, aku suka dengar cita-cita dan impian mereka, dan aku suka tolong mereka kejar impian mereka. Dan sehabis boleh, aku nak tolong mereka supaya mereka tak buat kesalahan macam aku – salah pilih bidang yang akhirnya menyeksa diri aku sebab bidang yang aku pilih ni tak selari dengan apa yang aku suka.

Jadi, memang aku nak berbakti kepada Malaysia, cumanya dari sudut yang berbeza (dan, dari pandangan aku, dari sudut yang mungkin lagi bermakna buat diri aku daripada aku duduk di meja mengira data dan sebagainya).

4. “Habis tu, kenapa awal-awal tak ambil pendidikan je? Bazir masa je belajar benda susah tu, lepas tu kena belajar benda baru lagi.”

Macam aku katakan, aku sedar semua ni masa dah separuh jalan degree aku, jadi untuk aku mohon kat MARA nak tukar program dan sebagainya, dah terlambat. Jadi aku bertahan. Tapi tak bermakna aku tak belajar pun apa-apa yang berkaitan dengan pendidikan. Tak bermakna aku tak pernah buat aktiviti / kerja yang berkaitan dengan apa yang aku nak buat. Aku cari peluang di luar kelas untuk menerokai minat aku. Aku volunteer, aku cari kerja separuh masa. Apa saja yang aku boleh untuk cari pengalaman sebanyak mungkin.

***

Apa-apa pun, terima kasih kerana membaca & memberikan pendapat dan peringatan kepada diri aku untuk berbakti kepada Malaysia. Moga kita semua menjadi insan yang berguna kepada negara la ye.

Salam Aidilfitri!

– SC

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit