Sudah lama aku pendam cerita hiba ini. Harini nak aku luahkan apa yang terbuku di kalbuku di sini. Musim PKP ini memberikan aku banyak waktu terluang untuk menulis.
Tahun lepas, bulan yang sama, Ramadan yang mulia, malam-malamnya aku telah habiskan di makmal sahaja untuk kajian FYPku. (Final Year Project)
Aku menjalankan kajian tentang perkembangan dan pembiakan sejenis bakteria, 2 strain berbeza dalam 6 jenis media kultur yang berbeza. Akur dengan saranan penyeliaku (supervisor), aku komited untuk mengambil bacaan setiap 6 jam untuk tempoh 144 jam (6 hari berturut-turut) tanpa gagal.
Eksperimen ini pula mesti dilengkapkan sekurang-kurangnya 3 kali secara berasingan (independent) untuk mengawal pemboleh ubah (variable) dan memastikan analisa statistik lebih ‘cantik’.
Sebelum itu, sekitar akhir bulan Syaban, kajian aku telah terpilih untuk dibentangan secara lisan di salah sebuah simposium tahunan peringkat kebangsaan. Namun, aku tewas, balik UIA tangan kosong.
Kecewa, rasa penat, tapi tak lama. Aku tekad untuk menebus kekalahanku di sana. Aku target untuk meraih anugerah thesis terbaik dan pelajar terbaik sewaktu majlis graduasi nanti.
Lagi pula, semua kajianku ditanggung sepenuhnya oleh FRGS (Fundamental Research Grant Scheme) daripada supervisorku. Aku tak boleh sia-siakan duit kerajaan ini. Jadi, apabila supervisorku meminta untuk ulang semula kajian ini,
“Kita mula dari awal, ok. Tarikh untuk submit draft thesis pun lambat lagi. Kita ada banyak masa.”
Aku akur. “Baik”, jawabku ringkas.
Berbalik kepada kajianku, jika aku mula inkubasi jam 9am, selepas itu setiap 6 jam (3pm, 9pm, 3am,…) aku mesti bersedia untuk datang makmal untuk membuat analisa terhadap bakteria tersebut selama 6 hari (jumlah 144 jam) berturut-turut.
Jam biologi aku berubah. Ditambah pula dengan puasa, aku rasa tidak bermaya. Bila berbuka, aku jamah mee segera dengan telur. Sendirian dalam bilik atau di pantry kulliyyah tergantung waktu mula inkubasi. Bukan tak selera, tapi aku takut mengantuk kalau makan terlalu kenyang.
Sunat taraweh pula, aku tinggalkan terus tahun lepas. Aku terlalu penat, mental dan fizikal. Tiada lagi kemeriahan iftar jamaie, taraweh dan moreh dengan sahabat yang lain. Sudah la tahun akhir bersama mereka. Banyak yang telah aku korbankan untuk kajian ini.
Aku niatkan segala penat lelah aku ni hanya kerana Allah. Aku doa Allah terima usaha aku ini sebagai ibadah. Sekurang-kurangnya aku percaya dapatan kajian aku nanti akan memberi manfaat untuk sekalian umat manusia.
Tidak cukup dengan itu, aku hanya pulang ke kampung untuk beraya 2 hari sebelum Syawal dan kembali masuk ke makmal pada Syawal ke-7.
Aku mula menulis draft thesis sekembalinya dari kampung. Abstrak, pengenalan (introduction) hingva keputusan (result) mudah buatku kerna sudah cukup ‘strong’ untuk melayakkan aku ke simposium kebangsaan tempoh hari.
Perbincangan (discussion) pula amat mencabar. Aku terpaksa submit draft thesisku lewat beberapa hari kerana supervisorku masih belum berpuas hati pada bahagian perbincangan walaupun setelah 10 kali aku buat pembetulan.
Lepas solat Jumaat, aku terima emel daripada supervisorku,
“Saya akan sign approval for submission selepas awak selesai pembetulan yang ini”.
Masih segar di ingatanku, dateline submission draft thesis pada hari Jumaat tersebut, Sabtu dan Ahad pula pejabat tutup. Markah pula akan ditolak untuk setiap hari yang lewat. Aku bergegas ke bilik, terus menghadap laptop. Cuba untuk siapkan pada hari yang sama, aku tak mahu markahku ditolak.
Malangnya, aku tak sempat siapkan. Dengan urusan printing di mahallah yang serabut bila semua pelajar nak print pada saat-saat akhir. Aku pasrah markahku ditolak untuk 3 hari.
Sedih memikirkan kalau aku masih ada peluang untuk meraih anugerah best thesis di majlis graduasi nanti. Aku dah korban banyak benda untuk gagal lagi.
Dugaanku tak berhenti setakat itu sahaja. Viva voce menyusul. Aku ditakdirkan untuk dinilai oleh 2 orang penilai (examiners) yang aku dengar amat tegas dan cerewet. Supervisorku yang maklum akan hal ini, terus menjadualkan sesi latihan aku dengannya sebagai persiapan menghadapi mereka (examiners).
“Ingat. Kajian ini kamu yang buat. Hanya kamu yang tahu daripada A hingga Z. Tiada yang lebih tahu daripada kamu”, supervisorku memberikan kata azimat buat bekalan sebelum aku menghadapi examiners itu.
Selesai viva, banyak juga minor correction yang aku perlu lakukan sebelum dapat approval daripada examiners itu untuk aku print hardcover thesis.
Namun, terdapat komponen major yang perlu aku ubah juga. Bahagian kesimpulan (conclusion). Sekuat manapun hujahku, bahagian kesimpulan thesisku perlukan major correction juga. Itu keputusan muktamad di akhir sesi vivaku.
Geram dan sedih, aku terus laporkan kepada supervisorku. Perbincangan denganya menguatkan lagi hujahku untuk mengekalkan bahagian kesimpulan dalam thesisku. Lantas aku aturkan sesi perbincangan dengan kedua-dua examiners pula.
Meraka faham akhirnya. Hampir seminggu sebelum aku mendapat tandatangan kedua-dua examiners tersebut.
Aku print 3 copy dan lantas submit hardcover thesisku. Satu untuk penyelia, satu untuk department, satu untuk simpananku. Seksaanku kini berakhir.
Tidak lama selepas itu, gradution list keluar. Aku amat bersyukur namaku ada. Rupanya, tidak semua rakan sekelasku berjaya menyiapkan FYP mereka. Kena ulang semula daripada mula pada semester depan.
“Tahniah! Engkau best student. Nanti DDSA (Deputy Dean of Students Affair) contact engkau”, seorang rakanku memberitahu dalam group Whatsapp. Diiringi oleh berpuluh-puluh ucapan tahniah kepadaku daripada rakan yang lain.
“Jangan viralkan dulu k. Tak confirm lagi ni”, ujarku sedikit bimbang.
Aku lantas buat hantaran IG story, “Permaisuri Agong lagi kali ini”.
Sebelum ini juga, aku telah menerima anugerah daripada Permaisuri Agong bekas Sultanah Kedah semasa majlis graduasi di peringkat diploma dulu.
Mimpi buruk ku bermula. Tiga hari sebelum majlis graduasi, jubah pun aku dah siap seterika. Tiada langsung panggilan daripada DDSA. Ibuku pun sering bertanya kalau betul maklumat yang aku terima. Aku malu nak tanya DDSA.
Aku tebalkan muka untuk bertanya kepada supervisorku kalau dia boleh tolong confirmkan maklumat yang aku terima itu. Aku screenshot perbualan dalam group Whatsapp tempoh hari.
“TAHNIAH!”, jawabnya selepas mendapatkan pengesahan DDSA.
Namun, anugerah tersebut untuk peringkat department sahaja. Tiada lebih, melainkan hanya namaku terpahat di dalam buku graduasi nanti. Lara, hiba. Allah sahaja yang tahu.
Tiba hari graduasi, aku terus menilik buku graduasi. Mataku mencari senarai anugerah. Bukan namaku yang tertera pada anugerah Best Thesis. Aku cuba kawal emosiku. Aku mahu majlis ni segera habis waktu itu. Aku malu. Group photo dengan rakan sekelas pun amat berat untuk aku ukirkan senyuman.
Lebih buat aku terkilan, rakanku yang mula tahniahkan aku dan kata DDSA akan hubungi aku tempoh hari, dia pula yang rangkul Best Student peringkat universiti dan menerima anugerah daripada Permaisuri Agong.
Aku hanya mampu bersabar. Tiada langsung permohonan maaf daripadanya yang aku terima sehingga kini. Jujurnya aku masih berdendam.
Aku pula cukup sekadar best student peringkat department dan rector’s list. Tak gempak mana pun. Cuma apa yang aku boleh banggakan, kajianku kini telah diterbitkan dalam beberapa journal tempatan.
Supervisorku pula berkerja keras membentangkan hasil kajian FYPku setelah aku graduate di beberapa conference kebangsaan dan antarabangsa. Aku pula hanya ada pada nama sebagai 1st author.
Alhamdulillah, aku bersyukur Ramadan tahun ini dapat aku menebus apa yang aku terlepas tahun lepas dek kerana leka menyiapkan FYP.
Sekian coretan daripada aku yang menurut perintah supervisorku. Selalu.
Notakaki: aku akan kongsikan juga pengalaman seramku bersendirian malam-malam di makmal sewaktu menyiapkan FYP dulu. Lepas raya nanti ya.
– Yang menurut perintah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit