Gadis Iban Ku Sayang

Assalammualaikum admin dan para pembaca semua. Terlebih dahulu, aku ucapkan jutaan terima kasih pada admin jika confession aku disiarkan. Maaf jika posting aku panjang dan banyak kesalahan ejaan dan aku menggunakan dialek bahasa IBAN & SARAWAK ataupun kisah aku membosankan.

Allahu, betapa sukar aku nak memulakan cerita aku ini, nama aku Amirul. Sejujurnya, kisah hidup aku dan isteri aku ini mungkin kisah biasa tapi bagi aku jalan cerita kami berdua adalah jalan cerita yang paling indah yang telah diaturkan oleh Yang Maha Esa.

Aku berasal dari Bandar Kuching dan berkenalan dengan gadis dari daerah Kapit yang nun jauh beribu kilometer dari Bandar Kuching. Pertemuan yang pertama membuatkan aku terus mencari siapa gadis itu. Kecil dan ayu bila tersenyum manis menampakkan lesung pipit.

Cinta takkan hadir dalam hati seorang wanita cantik dengan lelaki hodoh. Cinta takkan datang pada hati seorang lelaki bandar yang berkasih dengan perempuan dari kampung. Cinta takkan tiba ke arah hati seorang perempuan pintar yang menyukai seorang lelaki nakal waktu belajar. Dan tak semestinya, cinta takkan berkunjung ke hati seorang lelaki Melayu Islam, yang jatuh cinta kepada GADIS IBAN yang beragama Kristian.

Cumanya aku harap luahan aku dapat membuat aku melepaskan kerinduan aku terhadap isteri aku. Benar kata orang bila kita kesedihan bermacam kenangan dan memori yang kita hendak luahkan melalui menulis. Jessica nama yang akan selalu bertakhta di hati ku, gadis iban yang berasal dari KAPIT menetap di SIBU menjadi permaisuri di hati aku.

Perkenalan antara aku dan Jessica memang tidak seharusnya berlaku kerana berbeza adat dan budaya, apatah lagi dengan agama namun jodoh & ajal semuanya di tangan ALLAH. Aku akui aku seorang pelajar yang nakal sewaktu aku belajar sehingga aku mengenali dirinya. Siapa sangka perkenalan yang singkat membuatkan aku terpana dengan keikhlasan hati nya. Kerana bagi aku, setiap apa yang terjadi memang sudah tertulis di Luh Mahfuz.

Senior dan junior dalam course yang berbeza tapi sering berjumpa dalam segala hal aktiviti mahasiswa. Jessica bukanlah kategori model yang jelita namun aku tertarik dengan kemanisan wajahnya, sifat ramah dan lemah lembut yang ada dirinya membuat orang selesa dengan dia. Jessica adalah gadis seorang Iban yang berbeza agama dan budaya tidak menghalang aku dan Jessica untuk berkawan.

Setiap yang cantik pasti ada kumbang yang menjaga nya, ya aku akui memang sikap aku suka untuk berkawan namun jika Jessica tidak membuka sedikit ruang untuk aku memang aku tidak akan dapat bersama dengan nya sekarang, syukur Ya ALLAH.

Yes, memang waktu itu tidak dinafikan aku mencari masalah sendiri. Mengemis kasih dari kepunyaan orang tapi bagi aku selagi ikatan belum terjadi peluang aku masih cerah untuk bersama dengan nya. Dugaan terbesar aku waktu itu ada lah aku jatuh cinta dengan orang yang berlainan agama, berbeza pegangan tapi kami saling menyayangi antara satu sama lain.

Waktu itu aku masih mencari siapa diri aku dan muncul Jessica menjadi insan yang aku ingin hidup bersama. Pernah suatu ketika aku di beri amaran dengan kekasih Jessica agar aku menjauhi nya namun bagi aku satu sahaja selagi dia bukan milik sesiapa aku tetap akan menunggu.

Aku pasti menyesal kehilangannya, sebab itu aku bersungguh-sungguh dan tak putus asa untuk bersama dengan Jessica. Kami pernah tidak bertegur sapa selama 2 bulan kerana masalah keluarga yang berlainan agama & budaya. Waktu itu aku cuba pertahankan, tapi bagi Jessica pula dia enggan meneruskan hubungan kami sebagai kawan kerana takut antara kami akan tersakiti.

Aku tak tahu macam mana nak selesaikan dan aku buat keputusan untuk terus menunggu dirinya untuk sekian kali. Dan Alhamdulillah hubungan aku dengan Jessica kian pulih dan kami semakin dekat walaupun aku tahu waktu itu dia mempunyai PANGAN! Tapi kali ini aku dah berniat akan pastikan dia akan menjadi yang halal di sisi aku, In Shaa ALLAH.

Aku mahu dia kenal aku dengan lebih dekat, kenal ISLAM dengan lebih dalam, tapi sebelum aku mengajar Jessica, dialah insan yang akan always remind aku untuk bertakwa kepada ALLAH. Solat adalah perkara utama yang selalu dia tekankan untuk aku, berdoa sebelum tidur dan maafkan orang yang dah menyakitkan hati kita dan aku tak pernah rasa jemu dengan ingatan sehingga aku kehilangan dirinya. ABG LENGAU NGAU NUAN SAYANGGG!

Untuk pengetahuan pembaca Jessica adalah orang kuat gereja, setiap hari Ahad dia akan pergi ke gereja di St Joseph (KUCHING). Kadang-kadang aku menghantar dia seorang kalau tak pun dia dengan kawan-kawan then aku akan lepak dekat kedai makan sambil tunggu mereka habis buat ibadah. Setiap hujung minggu sehingga kami tamat pengajian aku menghantar dan menjemput Jessica dan dari dialah aku belajar tentang kehidupan seharian seperti adat dan budaya orang bukan Islam.

Pada waktu itu juga aku cuba mempraktikan diri aku dengan menonjolkan Islam kepada nya. Tapi aku mengaku aku memang liat kalau nak solat jumaat, pernah suatu ketika aku rasa malas sangat nak pergi solat Jumaat, YA ALLAH berdosa nya hamba_Mu ini. Jessica lah yang call aku untuk aku pergi menunaikan kewajipan aku waktu tu. Aku mulai sedar akan kekhilafan aku, Ya ALLAH ampunkan dosa aku.

Ada satu peristiwa yang aku akan ingat sampai bila-bila, bagi aku peristiwa ini memang sungguh indah untuk aku kenang sampai bila-bila. Di awal perkenalan aku mula rapat dengan Jessica, aku selalu juga keluar dengan dia. Sampai satu hari tu aku keluar temankan dia COD barang jualan (DIA NI MEMANG RAJIN CARI DUIT, JUAL MINYAK WANGI, SERUM & SEBAGAINYA).

Waktu tu jam 7.35 malam azan isyak berkumandang aku pesan sekali sahaja dekat Jessica jika azan diam dari bercakap antara satu sama lain dan hormati azan berkumandang. Biasalah kalau aku dah keluar sifat-sifat kebapaan memang kadang-kadang aku akan jadi garang dan dia diam terus sampai lagu Maher Zain keluar dia still diam.

“Namahal nuan nadai berbunyi u?”

“ANANG GUAI BEJAKU ABG, NGANTI AZAN ABIS TUA BEJAKU?”

Waktu tu memang aku nak tergelak sebab Jessica ingat lagu Ins Sha ALLAH itu doa selepas azan. Tak pa sayang, nanti abang akan terangkan satu persatu. Terlalu banyak kenangan antara kami berdua, yang sentiasa segar dalam ingatan aku. Paling aku ingat ialah aku menemani Jessica balik ke kampung nya di Kapit. Jessica memberi kata dua kepada aku, adakah aku mahu menemani nya balik ke kampung nya di Kapit atau tidak.

Ya, itu jawapan aku walaupun aku tahu aku bukan siapa-siapa di hati nya. Memang aku bodoh sebab menemani orang yang tidak ada apa-apa hubungan dengan aku, tiada pertalian saudara namun sanggup menemani nya kerana bagi aku rasa sayang dan cinta aku melebihi semua nya dan aku tidak sanggup kehilangan nya.

9 jam perjalanan ke Kapit membuka ruang yang besar untuk aku mengenali lebih dalam lagi tentang dirinya. Jessica memberitahu aku ketika dalam perjalanan ke Kapit yang dia dan kekasih nya tidak bersama lagi. Maka tidak hairan lah jika dia mahu aku menemani nya balik ke kampung nya. Waktu itu aku masih tidak tahu kenapa Jessica mahu aku menemani nya balik ke Kapit?

Aku pergi ke daerah yang aku sendiri belum pernah jelajahi iaitu perkampungan IBAN atau pun di kenali sebagai BORNEO HEADHUNTER. Adakah kepala aku akan dijadikan perhiasaan di ruai rumah panjang? Itu soalan yang aku tanyakan kepada Jessica dan Jessica hanya ketawa sampai mengeluarkan air mata. Tapi aku tetap positif dan aku seperti mengikut gerak hati aku, ingin menemani insan yang aku sayang balik ke kampung nya untuk mengenali budaya dan adat resam budaya kaum lain yang ada di Sarawak.

Sepanjang perjalanan kami dari Kuching ke Sibu menggunakan BOT Express yang mengambil masa 5 jam menggunakan jalan air dan dari Sibu ke Kapit mengambil masa 3 jam aku cuba untuk membuatkan diri Jessica tersenyum mengatakan perkara utama yang menyebabkan dia balik ke Kapit secara tiba-tiba kerana Jessica kehilangan salah seorang ahli keluarga iaitu abangnya yang terlibat dalam kemalangan maut di Kapit.

Kehilangan ahli keluarga sememangnya perit untuk kita telan dan sepanjang perjalanan balik ke kampung, suasana dalam BOT EXPRESS agak hening dan kami berdua seakan mengkagumi luasnya lautan ciptaan Yang Maha Esa.

Jessica kehilangan abang yang paling di sayangi nya akibat kemalangan maut di Kapit, waktu itu ayah Jessica masih di Brazil dan mengambil masa 3 hari untuk balik ke Sarawak. Kakak nya pula berada di Miri, memang tidak salah lagi gerak hati aku mengambil keputusan untuk menemani Jessica balik ke kampung.

Kami sampai di Kapit lewat petang, dalam hari yang hampir senja aku melihat riak wajah Jessica sugul dan tidak mampu berkata apa-apa kerana dia baru sahaja kehilangan satu-satunya abang kandung. Mendiang abang Jessica ialah penuntut IPTA yang balik cuti semester dan tidak di sangka mendiang akan pergi untuk selamanya.

Kehilangan abang kandung tatkala dia sedang mencari ilmu jauh di Kuching, mendapat berita kehilangan abang nya di kala dia sedang menyambut hari jadi teman nya. Allahu, terlalu berat ujian yang di berikan kepada Jessica namun aku tidak akan sesekali meninggalkan nya sendirian.

Ini adalah pertama kali aku menghadiri upacara pengembumian dari bangsa lain dan agama lain. Disini aku beranggapan yang aku bertuah kerana dapat mempelajari sesuatu yang baru tentang adat istiadat salah satu suku kaum yang terbesar di Sarawak. Kawan aku dari madrasah pun pernah berpesan tidak ada salahnya jika kita pergi melihat adat istiadat sesebuah agama asalkan akidah kita tidak terpesong, selagi kehidupan kita berpaksikan kepada 5 waktu, dan menghindar apa yang di larang, Ins Sha ALLAH semuanya akan seperti biasa.

Penerimaan keluarga Jessica terlalu baik dan sangat hormatkan tetamu sedangkan mereka baru sahaja kehilangan ahli keluarga tersayang yang mampu mengubah nasib keluarga. Mereka sekeluarga mempelawa aku masuk ke dalam rumah panjang dan duduk di ruang tamu sehingga majlis pengembumian selesai. Malam itu aku tidur buat pertama kali nya di rumah panjang!

Pada malam kedua, suasana sedih masih menyelubungi keluarga Jessica kerana kehilangan ahli keluarga yang dianggap menjadi nadi dalam keluarga mereka. Rancangan hendak tidur awal tidak kesampaian kerana datuk kepada Jessica bertanya berbagai soalan dan aku tidak menyangka yang adik kepada datuk Jessica ada juga yang telah memeluk islam. Ayah Jessica sampai pada hari ketiga aku di Rumah Panjang, aku dapat melihat wajah sugul tuanya yang kesedihan kerana kehilangan anak lelaki tua yang diamanahkan untuk menjaga keluarga satu hari klak namun telah pergi buat selamanya.

Ayah Jessica berterima kasih kerana sanggup menemani Jessica pulang ke rumah untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang abangnya. Mereka sekeluarga menceritakan kepada ayah Jessica bagaimana terjadinya tragedi yang meragut nyawa abang nya, aku hanya mendengar dengan penuh simpati.

Masyarakat di sini memandang buruk dengan kejadian yang menimpa mendiang dan bertanggapan bahawa mendiang kemalangan maut kerana minum minuman keras namun sahabat mendiang mengatakan bahawa mendiang abang Jessica tidak lagi minum minuman keras sejak setahun yang lepas, hal ini kerana bagi mendiang perbuataan itu hanya akan menyusahkan orang lain.

Jika aku berada di tempatnya aku tidak tahu nak berbuat apa apabila kehilangan orang yang tersayang. Tapi aku nampak Jessica sekeluarga tabah dengan dugaan yang mendatang. Kekuatan jiwa Jessica memang tidak dapat aku sangkal, walaupun baru kehilangan abang yang paling rapat dengan nya, aku lihat Jessica memang tabah dengan dugaan yang di hadapinya.

Aku berkampung di Rumah Panjang Jessica selama 5 hari, di sini aku banyak mempelajari adat dan cara kehidupan mereka seharian. Memang agak janggal jika kita tidak dapat mensesuaikan diri di tempat orang. Penduduk di sini memang ramah dengan tetamu yang mengunjungi Rumah Panjang di sini, aku pun tidak sangka yang aku akan rapat dengan datuk Jessica walaupun aku berada di sini belum sampai sebulan dan aku hanya memahami sedikit sahaja bahasa Iban.

Masih aku ingat 26 September 2013, aku dan Jessica hendak pulang ke Kuching. Kami mengunakan jalan laut dari Kapit ke SIbu dan kemudian menaiki kapal terbang dari Sibu ke Kuching kerana aku tidak sanggup melihat Jessica keletihan kerana dalam minggu itu saja Jessica telah menghadapi bermacam dugaan.

“Pulai ke kuching nya berjimat, ibun iya enggau manah, ingat ke pesan aku, bisi maya nemuai kitu baru”

“Enda ya nemu nama utai ke ditusui nuan nya, laban ya ke laut, nadai ya sama ngau kitai aki”

Itulah ayat yang keluar dari mulut datuk, ayah dan ibu kepada Jessica. Dan aku mengangguk faham kerana ada ayat yang aku kurang paham dan memerlukan Jessica untuk mengalih bahasa nya. Unik dan aku amat suka mendalami sesuatu bahasa dan budaya dan bangsa orang lain. Pesanan dari ayah Jessica yang aku pegang sehingga sekarang memang aku akan ingat hingga akhir hayat aku. Pesanan itu lah membuka jalan untuk aku bersama dengan gadis Iban yang akan menjadi ibu kepada anak-anak aku, Ins Sha ALLAH.

“Enti nuan amai-amai sayau ke ya, ibun ngau manah meh ya. Anang nuan ngemedis ke ati iya, enti sema enda panjai bergulai, anjung pulai meh ya”

29 JULAI 2014

Menerima aku kerana LILAAHI TAALA, bukan kerana aku tapi menerima Islam tanpa prejudis. Aku pernah katakan kepada Jessica bahawa jika kita disatukan suatu hari nanti janganlah kau pilih aku tapi pilihlah Islam dahulu kerana aku hanya manusia biasa. Manusia yang mempunyai serba kekurangan tapi Islam tidak, dan aku sering katakan kepadanya satu benda, ISLAM itu Indah, ISLAM itu Mudah, Fahami & Hayati ISLAM. Dan Alhamdulillah, dengan lafaz dua kalimah syahadah maka JESSICA AIRINNA AK JOSEPH menjadi saudara baru untuk umat Islam.

Alhamdulilah, keluarga JESSICA menerima keputusan nya untuk menukar agama. Tiada halangan dan dugaan yang sukar untuk nya menukar agama cuma ayahnya berpesan agar jika ini pilihan Jessica, jangan pernah melupakan keluarga. Jadilah muslimah yang taat dengan perintah Pencipta. Aku yang mendengar sendiri pada saat itu sebak kerana bukan mudah untuk orang tua yang menjaga nya dari sebesar tapak tangan tidak menghalang anak nya untuk memilih agamanya.

“Enti pengarap Islam dipilih nuan, anang nuan membelakang ke pengarap nuan empu. Anang malu ngumbai kami tok bala menyadi nuan, darah ke dikembuan nuan nyak sama ngau darah aku, nemu nuan anak?”

Tika itu Jessica mengangguk faham mendengar kata-kata dari ayahnya. Saat itu kami berdua duduk bersama dengan ahli keluarga Jessica di ruai Rumah Panjang semasa perayaan Krismas. Sengaja aku mengikut Jessica balik ke Kapit untuk merayakan perayaan Krismas bersama dengan keluarga nya. Walaupun waktu itu Jessica baru lima bulan bergelar saudara baru tapi tidak menghalang untuknya merayakan perayaan itu bersama dengan keluarga nya.

Bagi aku, aku tidak akan sesekali memutuskan hubungan antara kekeluargaan. Aku tahu yang Jessica amat rapat dengan ayah dan ibu nya tapi aku tidak akan sesekali memutuskan hubungan antara mereka walaupun waktu itu Jessica sudah memeluk agama Islam.

Pernah juga Jessica bertanya kepada aku wajib atau tidak untuk dia menukar nama nya kerana sekarang dia adalah saudara baru. Lantas aku menjawab nama adalah nama, berapa ramai orang yang telah memeluk islam tanpa menukar nama. Kalau nak kekalkan boleh, kalau nak tukar boleh kerana itu tidak menjadi masalah kepada seseorang. Nama ayah pula, jika tidak ditukar tiada apa-apa masalah kerana nama itu memang nama ayah kita sendiri.

Aku juga berpesan kepada Jessica, walaupun sudah beragama Islam hubungan keluarga jangan sesekali diputuskan kerana agamamu sahaja berubah tapi darah yang mengalir ke dalam tubuh kamu adalah darah daripada orang tuamu. Jangan sesekali membuang keluarga dan sayangi mereka seperti mana mereka menyayangi kau tanpa tolok tandingnya. Jika balik ke kampung jangan menyusahkan orang tua kita untuk membeli perkakas baru kerana cukup cuci dengan sabun kerana itu sudah mencukupi.

“Uncle, saya janji akan jaga Jessica selagi jasad saya bernafas. Dan saya akan berjanji yang saya akan bawa Jessica balik ke kampung waktu Gawai mahupun Krismas,saya janji tidak akan memisahkan pertalian kekeluargaan antara Jessica dan yang lain.”

“Ukai uncle, kangau jak aku daddy. Ukai Jessica agik tang AIRINNA kan?? Anang mayuh ulah auk, ibun ya manah-manah. Nuan dah baka anak ku empu ukai menantu aku”

Aku terus memeluk erat badan daddy yang sudah pun lanjut usia. Terima kasih Ya ALLAH, kau permudahkan perjalanan kami berdua. Aku berdoa agar Engkau memberi hidayah kepadanya agar mereka akan terbuka hati kepada ISLAM. Ibu Jessica berpesan kepada aku, jangan pernah pisahkan Jessica dengan mereka, pulanglah ke kampung jika ada kelapangan nanti.

Kenangan aku bersama dengan keluarga Jessica ketika perayaan krismas waktu itu memang akan aku ingat sampai bila-bila. Aku sebagai orang luar, datang ke daerah yang asing bagi aku memang sesuatu yang aku tidak akan lupakan. Layanan mesra dari keluarga Jessica membuatkan aku tidak merasa sebagai orang luar kerana mereka menganggap aku seperti ahli keluarga mereka sendiri. Walaupun pada saat itu aku bukan ada apa-apa hubungan yang halal namun kemesraan keluarga Jessica membuat aku tidak merasa terasing.

Ada juga orang-orang di Rumah Panjang tidak suka akan kehadiran aku kerana bagi sesetengah pihak di Rumah Panjang aku adalah membawa nasib yang kurang baik bagi mereka. Namun pesanan dari keluarga Jessica agar aku tidak ambil pusing kerana bagi mereka kebahagian Jessica lebih utama dari mendengar mak cik-mak cik bawang menjaja cerita.

Penerimaan keluarga aku di sebaliknya ibuku menentang sekeras-kerasnya hubungan antara aku dan Jessica namun perancangan ALLAH itu lebih indah dari yang kita rancang. Ibu aku tidak sanggup melepaskan aku untuk hidup bersama dengan orang lain kerana aku adalah satu-satunya anak tunggal dalam keluarga aku dan belum ada lagi keturunan dan susur galur keluarga kami berkahwin dengan bangsa lain dan beragama lain namun kecekalan hati Jessica membuatkan hati tua ibu aku yang pada mulanya tidak dapat menerima namun akhirnya menerima.

Keikhlasan hati nurani Jessica jelas terpancar bila mana aku mengalami kemalangan motosikal pada 14 Oktober 2014, semasa hendak menghantar makanan tengahari kepada Jessica. Tika itu aku sengaja membuat kejutan kepada Jessica namun dia yang menerima kejutan yang aku mengalami kemalangan.

“Nuan anang kelalu mayuh ulah, ubah mimit meh perangai temil nuan nyak abang. Ubat anang enda makai, titih ke nama koklutur. Enti nuan nda gerai, sapa ke ngau aku pulai ke Kapit agik ilak deh?”

Selama 17 hari aku terlantar di Hospital Umum Sarawak, dan Jessica yang menjaga aku siang dan malam. Sewaktu itu Jessica sedang mengikuti Latihan Industri di sekitar Bandar Kuching, pada awal nya ibuku menentang keras jika Jessica menjaga aku kerana dia berada di tahun akhir pengajian dan ibuku tidak mahu Jessica hilang fokus kerana dia mahu Jessica menghabiskan pengajiannya.

Bagi Jessica sebaliknya kerana dia tidak mahu kehilangan orang yang dia sayang selepas mendiang abang nya yang terlibat dalam kemalangan maut setahun yang lepas. Jessica juga berpesan agar ibu aku berehat sahaja dan biar dia yang menjaga aku di Hospital. Allahu, terima kasih Ya ALLAH kerana kau mempertemukan aku dengan insan semulia Siti Khadijah ini.

23 August 2015

Setiap kenangan yang terukir ini juga akan terus membuat aku sentiasa mengingatinya. Terima kasih Ya Allah, kerana Engkau telah mempertemukan aku dengan kaum Hawa sesempurna JESSICA AIRINNA AK JOSEPH. Pada tarikh keramat hari ulang tahun Jessica kami di satukan setelah pelbagai dugaan yang kami tempuhi, terima kasih kerna semuanya di permudahkan. Aku berjanji akan menjaga dirimu sehingga ke akhir hayat aku, In Shaa ALLAH.

Segalanya sudah termaktub, segalanya sudah tertulis. Penyatuan antara silaturahim antara keluarga kami melalui perkahwinan aku dan Jessica memang hadiah terbesar dalam kehidupan aku. Gadis Iban yang berasal dari Kapit menjadi pilihan aku untuk menjadi ibu kepada anak-anak aku. Terima kasih ALLAH kerana semuanya dengan izin_Mu.

Aku sabar dan istiqamah dengan segala ketentuan dari ALLAH kerna tiada satu pun di dunia milik kita, semua milik Allah. Tapi aku bersyukur sebab aku sempat bersama Jessica tika dia nak melahirkan anak kami pada 7 Mei 2016. Cinta dan sayang aku kepada Jessica akan ku bawa hingga ke akhir hayat aku dan akan ku simpan segala memori aku dan JESSICA AIRINNA ak JOSEPH sehingga jasad aku terbaring di tanah.

20 Jun 2019

Damailah disana wahai isteriku yang tercinta. Tiada lagi kesakitan yang perlu ditanggung. Moga ia menjadi asbab syurga tanpa hisab buat dirimu sayang. Air mata ini menitis bilamana dirimu redha akan ujian yang sangat berat ini. Ketahuilah bahawa Allah juga meredhai hamba-hambaNya yang redha dgn ujian yang diberikanNya.

Mengimbas kembali, ketika doktor mengesahkan Jessica perlu menjalani pembedahan dengan segera akibat penyakit kanser dan dalam masa yang sama bayi kedua kami yang dikandungnya baru sahaja berusia 27 minggu perlu juga dikeluarkan. Hanya Allah sahaja yang mengetahui perasaanku ketika itu.

Tanggal 20 Jun 2019, seawal pagi seusai solat subuh Jessica sudah bersiap sedia untuk ke bilik bedah.
Jessica memohon maaf kepada semua adik beradiknya dan seluruh keluarga aku. Pada malam itu juga, dia solat isyak dalam keadaan berbaring dan tidak bermaya. Solat isyaknya kali ini lebih panjang daripada solat yang lain seolah-olah ia mengetahui itu adalah solat isyaknya yang terakhir.

Aku menemaninya pada malam itu, Jessica tidur begitu nyenyak sekali. Hanya sekali sekala sahaja matanya terbuka memandangku yang setia disisinya. Pada waktu subuh, aku mengejutkannya untuk solat subuh. Dia menganguk, lalu aku capai sarung tangan dan semburkan air wudu’ padanya.

Dengan perlahan-lahan aku ratakan air wudu’ nya. Lalu ditutup auratnya untuk solat. Aku melihatnya seolah-olah tidak berdaya. Lalu aku bacakan surah Al-Fatihah dan surah pendek seolah-olah kami solat bersama sampailah selesai solat subuh. Tepat jam 6.30 pagi, perginya Jessica begitu cepat tanpa memberikan isyarat. Aku sempat membisikan kalimah syahadah ditelinganya.

Ya ALLAH, pergimu begitu tenang sekali. Wajahmu umpama seperti bayi yang sedang nyenyak tidur. Ya Allah! Kau tempatkanlah isteriku dikalangan para syuhadah dan para solehin. Ya Allah! Aku menjadi saksi dia seorang isteri yang baik. Dia telah mendapat redha suaminya.

Tepat jam 6.30 pagi jumaat, Jessica pergi buat selamanya. Aku dan seluruh keluargaku dan keluarga Jessica ada bersama dengan nya hingga akhir hayatnya. Ibuku paling terkesan dengan pemergian Jessica, malah ibu Jessica cuba menenangkan ibuku pada tika itu. Puteri keduaku menyusul kembali ke Penciptanya selang 3 hari selepas permergian Jessica. Ya ALLAH terlalu berat dugaan yang aku tempuhi tapi aku yakin yang Engkau tidak akan menguji hambaNya lebih dari kemampuan seorang hambanya.

Usia anakku baru sahaja menginjak 3 tahun, selama 3 tahun anak aku tidak pernah renggang dengan Jessica. Namun segalanya telah berubah, pemergian suri dihatiku membuatkan aku perlu kuat untuk teruskan kehidupan kerana aku tahu dalam diri Nur Airissa ada jiwa Jessica Airinna yang sentiasa segar di hati kami. Hingga saat ini aku tidak dapat pulang ke rumah kami kerana terlalu banyak kenangan aku dan Jessica walaupun kehadirannya hanyalah sekejap tapi cukup bermakna bagi aku.

“Akik, daddy & mummy, aku dah ngamat ke janji enggau nuan mega sama apai seduai indai yang aku akan ngibun Jessica sampai lesi. Krismas taun tok kami duai Airissa pulai ke Kapit, kitai nyambut Krismas segulai taun tok. Airissa lelengau ke kitak sebilit”

“Sayang, abang rindukan kitak, sesungguhnya abang tak akan dapat melupakan semua kenangan kita duak, kitak terlalu istimewa dalam jiwa abang. Tunggu abang dengan Airissa di sinun klak k, abang kat sitok akan jaga Airissa sepenuh hati abang. Tunggu abang ok sayang, AL-FATIHAH”

Maafkan aku jika penulisan aku agak kurang difahami kerana aku masih dalam kesedihan yang membuat aku menjadi tertekan bila mengenangkan isteriku. Hanya anakku sahaja yang menjadi tempat aku menabur benih-benih kasih sayang agar dia tahu ibu dan adiknya sentiasa di hati kami berdua.

– AMIRUL HAKIM (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *