Aku Maya. Mempunyai skoliosis sejak berusia 11 tahun. Bagi yang tidak mengetahui apa itu skoliosis, Skoliosis adalah pembengkokan tulang yang berlaku di tulang belakang tidak kira sama ada lelaki atau perempuan, kedua-duanya boleh kena.
Aku mula menyedari aku mempunyai skoliosis semasa ibu menegur belakang badanku. Pada mulanya ianya tak ketara sangat dan aku rasakan sesuatu yang biasa sahaja, tetapi lama kelamaan pembengkokan tulangku makin ketara dan sedikit menonjol.
Sewaktu aku di sekolah menengah, aku seorang atlet dan aku turut menyertai acara larian. Semasa acara larian dijalankan, aku berlari seperti biasa tetapi apabila tiba di garisan penamat, aku menjadi sesak nafas yang teramat dan tulang belakangku sangat sakit. Perit.
Selepas daripada kejadian itu, aku sering menolak untuk bertanding dalam acara balapan dan hanya terlibat dengan acara padang yang tidak memerlukan banyak pergerakan. Aku tidak lagi melibatkan diri dalam acara kawad kaki kerana faktor kesihatan yang aku alami.
Aku juga tidak boleh berdiri terlalu lama, kerana badan ku tidak stabil oleh kerana penyakit yang aku alami. Bukan itu sahaja, aku cuba tidak boleh duduk di kerusi yang tiada penyandar kerana tulangku akan rasa sakit dan lenguh.
Gaya tidur juga, paling selesa dan baik adalah aku perlu tidur dengan cara telentang, bukan mengiring ke kiri dan ke kanan, kerana selepas itu aku akan mengalami kesukaran bernafas.
Selepas aku mengetahui keadaanku seperti ini pada mulanya, aku berasa malu dan sangat rendah diri.
Aku tidak suka apabila tampil ke hadapan mahupun berjalan di hadapan khalayak ramai kerana cara aku berjalan agak pelik sehingga ada beberapa mulut yang mempersoalkan tentang caraku itu.
Mereka tidak tahu bahawa aku alami skoliosis kerana aku sering menutupi belakang badanku dengan tudung sekolah. Jadi tidak kelihatan, tetapi aku tidak boleh menutupi beg yang aku galas itu, sebab bahu sebelah kananku tinggi sedikit berbanding bahu kiri.
Aku juga tidak boleh duduk bersila di lantai terlalu lama kerana aku akan rasa lenguh belakang dan sakit tulang.
Malah, berbaring di lantai tanpa alas yang tebal juga aku tidak boleh,kerana aku akan rasa tulang aku seperti mencucuk-cucuk di dalam badanku. Cara rukuk semasa solat juga berbeza, aku hanya mampu rukuk sedikit saja, tidak mampu untuk rukuk sepenuhnya. Sakit.
Pejam celik, sudah hampir lebih kurang 15 tahun aku lalui kehidupanku sebagai seorang gadis skoliosis. Jika sebelum ini, aku seorang yang rendah diri, tiada keyakinan diri, malah benci dan rasa tidak sayang pada diri sendiri.
Sering saja aku rasa diri ini tidak berguna tetapi semakin menginjak dewasa, aku mula terima dan redha seadanya keadaanku sebegini. Aku tahu ada solusi untuk rawatan penyakit ini iaitu dengan melalui pembedahan dan juga pemakaian braces di belakang badan.
Tetapi jujur aku katakan, aku tidak berani untuk mengambil risiko yang tidak pasti.
Tambahan pula, tulang belakang organ yang utama dan sangat penting, jadi aku tak berani untuk ambil risiko kerana pernah terbaca pengalaman segelintir pesakit seperti aku yang mengalami pembengkokan teruk selepas menjalani rawatan.
Lagi satu, kerana skoliosis aku bukanlah berada di tahap paling kronik, masih boleh melakukan aktiviti harian tetapi secara minima.
Semakin aku menerima diriku, semakin aku lebih sayang dan menjaga diriku dengan rapi.
Aku pernah menerima panggilan pertama, untuk temuduga sebagai penolong pegawai penguatkuasa di bawah agensi kerajaan, tetapi aku menolak kerana masalah kesihatan yang aku alami.
Tambahan pula, ia ada melibatkan ujian fizikal, sudah pasti aku tidak berjaya untuk melepasinya. Begitu juga dengan jawatan-jawatan yang melibatkan uniform. Pasti ada ujian fizikal.
Ada saja orang yang bertanya aku, tidak cuba minta kerja bidang uniform ke, terpaksa aku bohong dengan mengatakan aku tidak berminat kerja uniform, walhal kerana penyakit ini membataskan hasratku.
Aku percaya rezeki Allah itu luas, walaupun kini aku tidak bekerja dalam sektor kerajaan, tetapi Allah itu membuka rezeki buatku untuk bekerja di sebagai admin biasa di sektor swasta. Di mana, ianya aku rasakan lebih selesa kerana tugasku tidak memerlukan pergerakan maksima.
Selain itu, aku juga banyak join group berkenaan skoliosis ini dan juga mengikuti tips untuk mengawal pembekokan tulang secara semulajadi. Aku juga banyak mengamalkan jenis senaman yang disyorkan untuk pesakit skoliosis ni.
Hal ini membuatkan mindaku lebih terbuka,meningkatkan keyakinan diri serta merasakan aku tidak keseorangan kerana masih ada rakan-rakan di luar sana yang mengalami seperti aku.
Jika dulu, aku fikir tiada lelaki yang mahu menerima aku seadanya, tetapi alhamdulillah Allah temukan aku dengan seorang lelaki yang sangat baik dan penyayang.
Aku telah berkahwin, bila aku persoalkan tentang kekuranganku kepadanya, suami aku kata dia tidak kisah kerana bagi dia cukup untuk aku tahu yang dia ikhlas terima aku. Baik kan Allah tu.. Kami sedang menunggu rezeki untuk cahaya mata, doakan kami ya..
Sedikit nasihatku kepada ibu bapa di luar sana, awasilah anak-anak sekiranya berlaku perubahan tulang belakang anak anda, jika dapat dikesan dari peringkat kanak-kanak, adalah lebih baik kerana tahap untuk sembuh seperti sediakala adalah sangat tinggi.
Apabila semakin dewasa, tulang semakin keras dan sukar untuk dilenturkan kembali. Elakkan anak-anak dari menggalas beg sekolah yang sangat berat, elakkan juga anak-anak untuk belajar tanpa meja kecil, didiklah anak anda untuk duduk secara menegak.
Bukan membengkok. Hal ini sangat penting untuk elak skoliosis. Jangan jadi seperti saya, kerana saya tidak mampu untuk mengubahnya kembali, hanya mampu mengawal sahaja.
Kepada anda yang mempunyai masalah seperti saya, jangan rasa rendah diri. Anda juga seperti saya. Kita sama.Mungkin ada satu perkara yang membuat anda berduka, tetapi masih ada beribu perkara lain yang buat anda bahagia.
Beri peluang kepada diri anda untuk capai apa yang anda inginkan, jangan disebabkan penyakit ini, anda rasa anda tidak berguna.
Semoga entri ini bermanfaat buat pembaca.
– Maya (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit