Gagah atau Terus Rebah Bersama Musibah

Assalamualaikum. Zaman pandemic merupakan zaman yang penuh dengan ujian. Sama ada kau akan terus gagah atau rebah bersama musibah.

Ambil iktibar kisah ku sebagai semangat untuk kekal kuat. Ujian aku bermula 3 tahun sebelum pandemic melanda.

Ketika itu suami yang berkedudukan tinggi dan bergaji sekitar 7 ribu ++ sebulan mengambil keputusan untuk berhenti kerja akibat permainan gang kleptokorat di tempat kerja.

Dia tidak bersetuju untuk terus bersekongkol dan nekad berhenti kerja.

Waktu berkerjaya, suamiku seorang yang terlau sibuk, keluar kerja sebelum terbit matahari dan pulang selepas matahari sembunyi. Bidang hospitality.

Free time memang zero. Solat pon terkejar kejar, apatah lagi makan dan minum. Dan aku adalah seorang isteri, ibu kepada dua orang anak lelaki dan pekerja sektor perbankan.

Maka bermulalah, aku sebagai pencari nafkah tunggal.

Sebenar benarnya aku memang tidak bersetuju dengan keputusan suami untuk berhenti kerja. Airmata aku gugur membayangkan apa akan jadi di masa akan datang.

Aku terlalu khuatir, aku jadi perengus dan pemarah. Sampai satu saat, aku berkata dan bertanya kepada Allah. Andai ini jalan yang terbaik tunjukkanlah aku hikmahMu. Aku redha.

Mulutku tak habis2 berzikir Hasbunallah waneekmal wakeel, nikmal maula waneekman naseer.. Dan hatiku menjadi setenang tenangnya.

Perlahan lahan Allah buka hikmahNya.

Setahun berlalu.. sebulan sebelum Ramadhan ayahku jatuh sakit. Mengalami masalah saraf dan sakit sendi yang memerlukan rawatan ulang alik hospital setiap 2 minggu.

Pada awalnya, kakak no 2 membuat perjanjian untuk menjaga ayah,

Rutin suamiku mengambil ayah mertuanya dari rumah ayah yang jauh 10km setelah selesai menghantar aku ke tempat kerja dan menghantar ke rumah kakak ku.

Dan waktu petang menghantar ayah pulang semula ke rumah beliau sebelum mengambilku pulang dari tempat kerja. Itulah rutinnya setiap hari.

Aku dapat rasakan dia terlalu penat, kerana kadang2 dia akan merengus dan bermasam muka.

Tapi tidak di tunjuk di depan ayahku.

Sampai satu saat, bila kakak ku tidak mahu lagi menjaga ayah kerana ayah banyak karenah katanya. Sedih. Memang sangat sedih.

Suami mengambil keputusan untuk membawa ayahku balik ke rumah dan menjaganya.

Sekitar Ramadhan, pergi solat bersama di surau, berehat bersama, memantau dan tetap dengan rutin menghantar ayah ke hospital untuk rawatan mingguan.

Berkat kesabarannya dan doa yang baik dari ayah, Ayah sembuh dan boleh beraktiviti semula selepas setahun. Aku sangat berterima kasih dan sering memuji kesabaran sang suami.

Namun setiap kali itulah suami ku akan berkata “Papa hanyalah menantu umpama orang asing, yang papa kesalkan adik beradik 9 orang tapi …”…

Allahu.. Malu sungguh aku. Sebak.

Hikmah ke 2, anak sulungku berusia 14 tahun tergelincir di tangga kedai sewaktu membelikan makanan untuk ayah mertuaku.

Akibatnya, satu tulang di tapak kaki cedera dan perlu di simen. Ketika itu, zaman pandemic baru bermula. Hospital penuh dengan pesakit.

Anak aku terpaksa mendapat rawatan pakar di hospital swasta. Nak tak nak kami terpaksa akur.

Aku isteri yang bekerja. Maka tanggungjawab menjaga dan merawat anak jatuh kepada suamiku. Dari memandikan, buang air, makan pakai minumnya suami yang urus.

Anakku terpaksa memakai tongkat dan berkerusi roda. Dan setiap malam, dia lah yang menemani anak ku tidur. Sehinggalah anak aku pulih seperti sedia kala.

Aku mengucapkan terima kasih dan memuji kesabarannya. Dia berkata,”lni semua perancangan Alah, ada hikmah kenapa Papa berhenti kerja. Tapi Papa kadang2 rasa penat…” Aku terdiam.

Hikmah seterusnya, satu pagi bangun dari tidur lutut aku sangat sakit. Bermulalah episod aku mendapat meniscus tear.

Tisu antara tulang lutut terkoyak dan mencucuk saraf. Banyak rawatan yang aku kena pergi dan setiap kali itu aku ditemani suami.

Sehinggalah lututku di operation, bertongkat dan berkerusi roda dan sembuh sebahagiannnya 6 bulan kemudian.

Aku sangat berterima kasih dan memuji kesabarannya. Dia hanya mampu berkata,”Nasib papa tak kerjaaa…”

Begitulah ketika anak bongsuku bersunat. Suamiku yang menjaganya sehingga boleh berlari semula.

Ini hanya sebahagian kecil hikmah yang jelas.

Apa yang ingin aku sampaikan ialah jangan sesekali bersangka buruk dengan Allah swt. Kadangkala apa yang buruk di mata manusia, itulah sebenarnya yang terbaik buat mereka dan begitulah sebaliknya.

Sekarang aku benar benar redha. Dan sentiasa berdoa agar Allah memelihara rezeki kami, tidak memutuskan tapi menggandakannya.

Dan di zaman pandemik ini, aku sangat terkesan di saat suami berkata “Sekarang rasalah apa yang aku rasa 3 tahun dulu.. tatkala kau kehilangan sesuatu. Rasa kecewa, rasa sedih, rasa tidak dihargai.

Bukan siapa siapa di mata manusia… tapi satu ketika nanti kau akan sedar bahawa ada hikmah disebalk semua yang terjadi. Dan yang manisnya ALLAH sentiasa bersama dengan orang2 yang sabar”

Allahuakbar. Doakan suami saya terus kekal sihat, kaya dan bahagia. Aamiin.

Sekarang, suami dalam proses melatihdiri bertahajjud, bersolat sunat, berzikir dan istiqomah membaca al quran. Inilah terpaling hikmah yang tiada tara.

Semoga redha Allah sentiasa mengiringi kehidupan keluarga kecil kami. Aamiin.

– Poison Ivy (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc. com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *