Gagal II

Untuk part I, (https://iiumc.com/gagal/).

Assalamualikum dan Hi, seperti yang aku janji hari itu, aku nak teruskan lanjutan cerita yang berlaku kepada aku. Pertama sekali, aku nak ucapkan jutaan terima kasih kepada para komentar yang memberikan komen-komen yang positif serta nasihat yang berguna.

Alhamdullilah, aku rasa mungkin dengan cara aku tuliskan kisah yang berlaku terhadap aku masa zaman SPM dahulu dapat serba sedikit memberikan sinar harapan kepada para lepasan SPM 2019 yang berdebar-debar menunggu keputusan rasmi SPM masing-masing

Straight As SPM, tak bermakna kehidupan aku selepas itu all rainbow and sunshine. Jauh sama sekali. Malahan hanya dua tiga sahaja mak cik-mak cik yang selalu disinonimkan sebagai ‘kepoh tegar’ yang bertanyakan tentang keputusan aku.

Sungguh aku tidak sangka yang Allah telah memberikan aku sebuah keputusan yang pada awalnya aku anggap mustahil bagi pelajar ‘below average’ untuk perolehinya. Apa-apapun aku bersyukur

Semasa aku di tingkatan 5, aku punyai satu cita-cita untuk melanjutkan pelajaran aku ke Universiti Malaya. Sebabnya, aku mahu mengikuti jejak langkah ibuku yang merupakan graduan universiti ulung tersebut.

Bahkan universiti itu juga ramai melahirkan tokoh-tokoh negarawan yang berjaya dan mungkin tak perlu aku senaraikan satu per satu di sini.

Tetapi lama kelamaan, cita-cita aku mulai mencanak tinggi. Aku mula menaruhkan harapan untuk menyambung pelajaran aku di bumi Amerika.

Ya, negara tuan Trump. Tetapi, aku lebih cenderung untuk pergi ke UM berbanding US mungkin aku tidak sedia untuk pergi kesana kerana aku rasa jati diri aku belum lagi utuh.

Pernah tak kalian baca satu cerpen KOMSAS bertajuk ‘Munsyi’? Aku tak berapa pasti sama ada cerpen ini dalam antalogi tingkatan 4 atau 5.

Dilema aku, hampir serupa dengan watak utama cerpen tersebut. Aku berasa tidak bersedia untuk meninggalkan kampung halaman aku selagi ilmu agama dan jati diri tidak cukup kuat dalam diri aku.

Bulan 5, 2019. Keputusan permohonan UPU sesi 2019/2020 telah pun dihebahkan. Aku masih ingat ketika itu, aku berada di kampung halamanku nun jauh di timur tanah air, Terengganu.

Tak dapat dinafikan, talian internet di sana agak lambat, jadi aku menggunakan kaedah semakan SMS pula. Hampir 20 minit juga sistem membalas mesejku.

Alhamdulillah, aku dapat tawaran untuk ke Program Asasi Universiti Malaya (PASUM). Yang mana merupakan salah satu cetusan idea dan usaha oleh Prof Diraja Ungku Aziz suatu ketika dahulu. Aku berasa sangat gembira. Aku tidak sabar untuk melangkah ke UM dan Kuala Lumpur buat kali pertama.

Orang pertama yang aku khabarkan berita gembira ini adalah Atuk aku. Hanya Atuk sahaja insan yang aku sering kongsikan tentang cita-cita aku sejurus aku tamat SPM 2018.

“Atuk, along nak pergi UM macam umi.”

Aku masih ingat, semasa di asrama dahulu, aku sering mengulangi kalimat di atas kepada Atuk aku setiap kali aku menelefon Atuk. Mungkin berkat doa Atuk juga, aku mendapat tawaran itu.

Buat pengetahuan pembaca, aku bukan sahaja dapat tawaran ke UM sahaja. Aku juga mendapat tawaran ke Jordan University Science Technology (JUST) di Jordan dalam bidang perubatan. Atuk aku agak menggalakkan aku untuk pergi ke Jordan.

Namun detik hitam aku dengan bahasa arab menyebabkan aku berasa berat untuk memilih Jordan. Jadi, aku menolak tawaran ke Jordan tanpa berfikir dua kali. Dan tawaran terakhir yang aku perolehi ialah tajaan biasiswa ke luar negara (kebanyakkan negara barat).

Dalam banyak-banyak tawaran yang aku terima ini,hanya satu tawaran sahaja yang tidak memerlukan aku membuat pinjaman atau keluarkan wang sendiri iaitu tajaan biasiswa ke luar negara tersebutlah.

Entah kenapa, aku memilih tawaran ke luar negara tersebut. Syarat untuk melayakkan aku ke luar negara juga agak tinggi. Tiba-tiba aku didatangi satu perasaan tidak yakin dan lemah semangat yang teramat tinggi.

Sebab lain mengapa aku memilih tajaan biasiswa ke luar negara ini juga kerana, seandainya aku tidak dapat melepasi had minimun untuk ‘fly’, pihak penaja juga akan masih menghantar aku ke IPTA atau IPTS.

Jadi, aku berasa agak lega kerana sekurang-kurangnya, penaja tidak berhentikan penajaan aku. Alhamdulillah. Ini bermakna sekiranya final test aku tidak lepas had minimum, aku masih dapat pergi ke UM.

Mesti ramai yang tertanya-tanya, kenapa aku tidak masuk PASUM sahaja dari awal sekiranya aku sangat beriya-iya untuk ke UM. Aku tidak meneruskan pengajian aku terus ke PASUM kerana aku perlu membuat pinjaman PTPTN atau pembiayaan sendiri bagi Ijazah Sarjana Muda nanti. Itulah sebabnya.

Kehidupan aku di Kolej Persediaan ini memang ‘lain’. Aku tidak lagi berada dalam biah yang kuat pegangan agamanya seperti yang aku terima suatu ketika dahulu.

Inshallah, aku akan ceritakan pengalaman aku selanjutnya aku di kolej persediaan pada entry yang yang lain kerana aku rasa, entry kali ini terlalu padat dan mungkin sukar untuk difahami oleh pembaca. Maaf ya, para pembaca sekalian.

Mungkin pembaca akan berasa agak bosan denga penulisan aku ini, tetapi aku akan berusaha untuk memberi gambaran kehidupan selepas alam persekolah terutamanya kepada pelajar lepasan SPM yang mungkin masih tidak mendapat gambaran bagaimana kehidupan di IPT.

Wassalam…

– Mlnng (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *