Salahkah aku ? Aku tidak tahu apa yang perlu aku katakan . Jujur aku katakan , aku rasa tiada guna lagi untuk aku teruskan hidup ini . Buat apa aku hidup kalau tiada seorang pun yang mampu fahami apa yang aku rasa ? Buat apa aku teruskan hidup aku jika keluarga aku sendiri tidak memahami aku . Kekadang aku selalu meminta supaya umur aku dipendekkan kerana aku tidak sanggup untuk hadapi semua ini lagi . Aku tidak kuat untuk menghadapi ujian ini seorang diri . Aku tidak kuat.
Mereka hanya melihat kesalahan aku . Aku akui aku selalu tidur kebelakangan ni . Tapi salahkah aku ? Aku tidur sebab aku nak lupakan semua benda . Aku tiada tempat untuk meluahkan semua isi hati aku . Aku hanya memendam seorang diri apa yang aku rasa . Jadi aku memilih tidur untuk melupakan semua masalah aku . Tapi bagi mereka , aku tidur sebab aku malas . Ye aku memang suka tidur tanpa mengira waktu . Betullah orang kata tidur itu lebih indah daripada menghadapi realiti . Aku tahu aku jauh daripada Allah . Tapi aku juga cuba untuk mendekati Allah kembali perlahan-lahan .
Tahun ni aku akan hadapi spm , yup spm . Tapi macam mana aku nak berjaya dalam spm jika orang yang paling aku sayang tidak dapat mengerti isi hati aku ? Salahkah jika aku meminta hanya sedikit sokongan dari orang tua ku ? Mengapa aku perlu dibandingkan dengan orang sekeliling aku ? Buruk sangat kah aku ? Bodoh sangat kah aku ? Aku tidak tahu mengapa dimata mereka aku terlalu bodoh . Aku hanya perlukan sedikit kata-kata semangat dari mereka . Dari kedua-dua orang tua aku . Susahkah untuk mereka mengerti ? Aku tidak meminta untuk benda lain , aku cuma meminta sedikit perhatian dan kasih sayang daripada mereka . Aku cukup cemburu bila melihat rakan-rakan aku dengan keluaga mereka . Aku tau aku tidak akan memiliki keluarga seperti itu . Aku bahagia dengan keluarga aku , tapi perasaan itu hanya datang sekejap sahaja . Kemudian , dia akan hilang dan aku akan kemurungan .
Aku lebih suka hari persekolahan berbanding hari cuti , bila hari persekolahan aku tidak perlu berada di rumah dan aku juga tidak akan memikirkan masalah yang aku selalu hadapi , aku rasa malas untuk pulang je rumah . Aku hidup dengan tekanan . Aku faham apa yang mereka mahukan dari aku . Mereka mahu melihat aku berjaya agar aku dapat dijadikan contoh untuk adik-adikku . Tetapi setiap orang ada kemampuan masing-masing kan ? Hanya itu aku mampu . Aku tidak bijak seperti sepupuku yang lain . Aku selalu menangis . Hampir setiap malam air mata aku jatuh , air mata aku jatuh kerana aku memikirkan salahkah kalau mereka keluarkan kata-kata semangat untuk aku , kata-kata yang baik untuk aku . Kerana kata-kata mereka itu adalah doa yang paling mujarab bagi aku . Berat sangat kah bibir mereka untuk mengeluarkan kata-kata itu ? Beratkah ? Bagaimana aku hendak berjaya dalam hidup aku jika aku tidak mempunyai pembakar semangat
Pernah beberapa minggu aku tinggal di sekolah dari awal pagi sampai pukul 7 petang baru aku pulang ke rumah . Termasuk hari minggu , aku bahagia berada disana . Bila berada di sekolah dengan rakan-rakan aku akan berasa gembira . Kerana aku mampu belajar dalam keadaan tenang dan mempunyai rakan untuk bertanyakan soalan-soalan . Mungkin ramai tidak percaya yang aku stay dekat sekolah dari pagi sampai pukul 7 petang pada awal-awal tahun . Ye aku memang stay disana . Kelas habis pukul 4.30 dan selepas itu aku dan rakan-rakan akan ke surau untuk solat . Kemudian kami akan menyiapkan satu projek yang dikhaskan untuk kelas kami untuk menyertai pertandingan . Semuanya dengan izin guru . Kemudian hari minggu ada kelas tambahan , selepas kelas aku akan stay disekolah . Aku tidak takut , kerana aku bukan bersendirian disana . Ramai orang yang sibuk dengan kerja masing-masing dan latihan mereka untuk memasuki pertandingan . Bila aku disana , aku tidak perlu fikirkan masalah lain . Solat ? Aku solat disurau di sekolah . Pukul 7 aku pulang ke rumah . Pukul 8 aku akan pergi tuisyen . Aku ambik personal tuisyen . Jadi dengan cara itu aku mampu untuk lupakan masalah aku .
Kenapa mereka tidak memahami aku . Aku tidak mampu untuk tunaikan hasrat mereka yang ingin aku menghadap buku 24 jam . Aku stress dengan hidup aku . Aku fikirkan mungkin mati adalah penyelesaian terbaik . Tapi itu hanya kata-kata . Jika ajal ku tidak sampai . Aku tidak akan mati . Aku tiada tempat untuk meluah semua ini . Aku hanya pendam . Aku merasakan aku gagal menjadi anak yang baik buat orang tua ku , aku gagal memahami isi hati mereka . Aku rasakan aku ini anak derhaka . Tapi apa yang mampu aku lakukan ? Aku hanyalah seorang insan yang lemah
Aku mohon jika confessions ini disiarkan , aku mohon para pembaca doakan aku supaya aku dapat menghadapi dan menjalani peperiksaan spm dan percubaan spm dengan tenang dan peroleh keputusan yang cemerlang . Mungkin dengan cara ini , aku dapat membahagiakan orang tua ku . Tujuan aku menulis ini , bukan untuk membuka aib mereka atau memburukkan mereka jauh sekali , aku sayangkan mereka lebih dari diri aku . Aku menulis ini hanya untuk meluahkan sedikit isi hati aku yang aku tidak mampu untuk tanggung seorang diri lagi . Maaf kalau tiada pengenalan dari aku dan maaf jika penggunaan kata tersangat kasar . Aku menulis dalam keadaan yang tidak stabil .
-insan yang lemah
– Hamba Allah
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit