Gaji 5 Angka Surirumah

Mesti tajuk ni membuatkan banyak suri rumah yang mahu baca confession ini. Dan maafkan aku jika bahasa dan ayat agak berkecamuk, aku bukan penulis.

Aku Asiah, umur 35 tahun punya 3 orang anak. Bekas pelajar UIA. Suami aku salah seorang kakitangan pengurusan salah sebuah syarikat minyak gergasi antarabangsa. Aku akan ceritakan macam mana aku mampu peroleh pendapatan 5 angka setiap bulan.

Mula mula berkahwin, hidup kami biasa sahaja, ada turun naik, ada susah, road tax pernah tertangguh, duit poket pernah tinggal hanya RM50 seminggu sebelum gaji, hutang kereta selalu tertangguh. Perit ketika itu jika aku ingat kembali. Aku bekas kakitangan eksekutif salah sebuah syarikat minyak sebelum aku ambil keputusan untuk berhenti. Alasan aku berhenti adalah kerana politik tempat kerja yang memakan diri dan anak sulung yang bakal lahir.

Selepas berhenti kerja, aku asyik teringat hutang kepada seorang bekas rakan sekerja yang bernilai RM800. Aku teringat setiap hari. Bila dah berhenti kerja, mana ada duit untuk bayar nilai RM800 yang bagi pada suri rumah adalah agak besar. Sehingga anak sulung aku berusia 2 tahun, aku mencari kawan aku itu untuk melangsaikan hutang yang tertangguh. Aku jumpa dan melangsaikan kesemuanya, dan seminggu selepas itu aku mula membuka sebuah perniagaan online yang langsung tidak glamour, hanya suam suam kuku. Tiada bantuan modal dari sesiapa hanya sokongan dari suami.

Tanpa modal, aku terus mengendalikan perniagaan aku. Berdasarkan pengalaman aku dalam pemasaran, perkhidmatan pelanggan dan pengurusan syarikat, dapatlah aku menerajui perniagaan aku yang tidak langsung dipandang orang.

Aku masih ingat, bulan pertama aku mendapat keuntungan sebanyak RM800. Memang tidak banyak namun aku bersyukur. Setiap bulan jualan aku turun naik.

Aku juga melibatkan diri dalam perniagaan MLM. Aku namakan MLM itu sebagai HO. Mula mula aku terlibat apabila ternampak kawan kawan yang memperagakan bag jenama, pendapatan bulanan yang besar dan trip luar negara setiap tahun. Bila aku mula terlibat, aku rasakan ada yang tak kena. Kami si downline diajar untuk menunjuk, menunjuk ada handbag baru, pergi ke butik LV pun perlu upload, beli kereta pun perlu upload di FB, pergi inject anak di hospital swasta pun perlu upload. Apakah ini?

Downline aku yang mahu mendaftar pun perlu melalui upline aku,( maknanya aku yang uruskan pendaftaran downline aku dan buat pembayaran sebanyak RM50 kepada upline) Bila aku nasihatkan pada future downline yang MLM ini adalah syubhah dan aku harapkan downline aku ni terbuka hati untuk tidak terlibat sama, maka duit pendaftaran sebanyak RM50 itu senyap terus. Tiada pemulangan semula duit pendaftaran itu kerana aku tahu upline belum lagi mendaftar para downline aku sebab aku dapat semak dalam website HO tersebut. Ada dalam RM500 juga. Banyak kan!

Aku terus berhenti dari terlibat dalam perniagaan syubhah tersebut. Ye, aku fikir, duit yang digunakan akan aku gunakan untuk anak-anak, makanan, isi rumah. Takut tiada keberkatan. Takut hati anak menjadi gelap. Takut cara pakaian aku dari labuh loose jadi pendek sempit. Itu semua berkait rapat dengan keberkatan.

Aku teruskan perniagaan aku, pendapatan turun naik tapi yang aku pasti bulan pertama adalah bulan yang paling sedikit pernah aku dapat iaiatu RM800. Bulan lain boleh aku katakan Alhamdulillah sehinggalah pada satu bulan aku dapat memperoleh keuntungan sebanyak RM12,000! Perniagaan aku bukan ternama! Tidak ada orang kenal, semuanya kurang dari 1000 / 2000 setiap akaun media sosial aku. Dan aku dapat maintain pendapatan setiap bulan dengan kebergantungan aku pada Allah.

Macam mana aku buat tanpa marketing dan tanpa menghadiri kelas Azizan Osman? Macam mana nak ada keberkatan? Macam mana nak dapat pendapatan yang berganda?

Aku bagi tips :

1) Solat fardhu perlu dijaga. Sebelum ini aku culas dan aku bukan orang yang baik. Beberapa tahun kebelakangan ini aku dah jadikan solat fardhu itu sebagai satu benchmark untuk aku berjaya. SOLAT ADALAH TIANG AGAMA
2) Jangan lengahkan solat!
3) Langsaikan semua hutang peribadi, hutang kawan, hutang adik beradik ( rumah, kereta tidak termasuk). Kalau susah untuk langsai secara lump sum, boleh secara ansuran tapi istiqamah.
4) Mohon doa ibu bapa kedua belah pihak. Kalau tiada ibu bapa, boleh sedekahkan selalu bacaan yaasin.
5) Jangan lupa duit bulanan ibu bapa. Pemberian ini akan membuatkan rezeki lebih berkat.
6) Banyakkan solat sunat. Solat Dhuha jangan tinggal setiap hari walaupun dalam masa bercuti, walaupun perlu berhenti di RnR kerana dalam perjalanan ke sesuatu tempat.
7) Banyakkan mengaji . Surah Al Waqiah dan Surah Al Maidah ayat 114. Sentiasa membacanya setiap kali lepas solat. Inilah untungnya menjadi suri rumah!
8) Solat tahajud setiap hari. Walaupun sukar tapi cubalah!
9) Jaga tatatusila menjadi seorang isteri. Jangan bergaduh tetapi bercintalah! Bergaduh itu akan menjauhkan rezeki.
10) Bergantung kepada Allah. Rezeki itu semua datangnya dari Allah. Dia yang menggerakkan hati para pembeli untuk membeli dengan kita. Sekali kita terdetik ” jualan aku laris sebab pelan pemasaran dari seminar AO’ maka akan jatuh syirik dan rezeki akan menjauh.
11) Perniagaan online ini hanya boleh dipraktikkan pada suri rumah sahaja kerana jika anda bekerja, anda tidak boleh menjawab sebarang pesanan pembeli sewaktu bekerja (kecuali masa rehat). Keberkatan gaji bekerja akan hilang. Syarikat membayar kepada anda RM5000 sebulan untuk kehadiran anda dari jam 9 pagi ke 6 petang di pejabat. Kenapa perlu anda curi curi masa bekerja untuk melakukan pekerjaan sampingan lain?
12) Guna pakai cara perniagaan Rasulullah. Tak mahal, untung tak banyak, hubungan dengan pelanggan yang baik, tidak berkira dengan pelanggan, jujur dalam menjual setiap barangan, tidak menjual barangan yang rosak, jika rosak gantikan yang baru atau pulangkan semula keseluruhan bayaran pelanggan. Rezeki Allah itu maha luas.
13) Sedekah kepada yang memerlukan. Kalau keluarkan note RM10 dari beg duit dan letak di dalam tabung masjid nampak banyak kan? Maka apa yang aku praktikkan adalah hampir setiap hari aku akan sedekahkan kepada para kisah viral di media sosial yang memerlukan bantuan kewangan seperti anak anak yang sakit, suami yang sakit, Yang viral. Senang.

Itu sahaja yang mampu aku kongsi buat masa ini.

Salam,
Asiah Kadir Rahman

– Asiah

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit