Salam Aidilfitri dan salam sejahtera kepada semua.
Tahun 2021 menyaksikan sekali lagi kita berhari raya dalam PKP. Semoga kita semua tabah dan mudah mudahan tahun hadapan kita dapat menyambut Syawal bersama keluarga tercinta.
Aku yakin ramai dah letih dengan PKP dan segala SOP yang ditetapkan oleh kerajaan. Walaubagaimanapun, ramai yang akur demi kebaikan bersama. Tahniah kepada yang patuh pada SOP.
Kepada segelintir yang tak patuh SOP inilah yang akan menjadi punca masalah kepada yang lain.
Tapi bukan itu yang ingin aku jadikan point di sini. Penat dah dengan kes kes netizen kayangan dan bukan kayangan yang tak endah SOP ni sebenarnya.
Apa yang nak aku tekankan, dan kesalkan di sini adalah, tindakan kurang bijak (maaf kasar bahasa) segelintir majikan majikan (badan berkanun terutamanya) yang GALAK MENGADAKAN MAJLIS di waktu pandemik semakin meningkat.
Ya, aku adalah salah seorang dari staf yang bekerja di dalam organisasi dimaksudkan. Apa yang aku nak ceritakan di sini berlaku sepanjang bulan Ramadhan yang lepas.
Entah apa yang difikirkan, boleh kata banyak majlis yang diraikan atas “inspirasi” pihak berkepentingan.
Antara contoh yang paling “menyeramkan” adalah, majlis memasak bubur lambuk beramai ramai.
Kata kuncinya di sini adalah beramai ramai, bergotong royong memasak bubur lambuk sebanyak 4 – 5 kawah.
Boleh bayangkan kan bagaimana suasana memasak bubur lambuk dengan cara sedemikian rupa?
Di mana dan setakat mana terjamin penjarakan sosialnya? Mengangkat periuk periuk besar dan tong tong gas sahaja dah terpaksa berapat rapat antara ahlinya.
Pandai pula sebelum majlis bermula dipesan supaya menjaga SOP. Mengacau bubur, memotong bahan, mengagihkan bubur panas ke dalam bekas bekas kecil, nak penjarakan macam mana ya?
Kami yang DIWAJIBKAN hadir terpaksalah menadah kesemuanya.
Aku yakin di kala ramai bagaikan lupa dengan pandemik, akan ada majikan yang akan mengadakan majlis sebegini (rasa kebal barangkali). Dan sudah tentu kehadiran diwajibkan ke atas semua staf.
Kadang kala terfkir juga, kenapa di saat pandemik ini masih berleluasa, ada pihak yang galak menganjurkan majlis sebegini?
Memasak bubur lambuk itu hanya salah satu contoh. Mujur majlis gotong royong membersihkan rumah orang tua dibatalkan.
Benda boleh elak. Kenapa beriya nak buat juga? Adakah kerana KPI?
Atau adakah kerana ingin mengampu ampu pihak berkepentingan tersebut? Mereka “terinspirasi” buat maka kita pun patut ikut? Sia sia usaha untuk mengekang penyebaran pandemik ini.
Syukur juga dengan penetapan PKP 3.0 ini walaupun dah letih dan pedih.
Kalau tidak, silap silap ada lah agensi agensi yang buat Majlis Hari Raya di sana sini, dan menitahkan KEWAJIPAN ke atas semua staf menampakkan muka siap berbaju Raya.
Ada otak, boleh fikir.
– Pahlawan Bertopeng (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit