Gangguan Perasaan

Assalammualaikum semua. Sebenarnya aku tak tahu macamana nak mula, tp aku cuba untuk bagi korang paham apa yang aku nak luahkan. Aku seorang graduan, sudah berkahwin dan ada seorang anak, pernah bekerja dan sekarang menjadi suri rumah. Dahulu aku seorang yang sangat aktif, riang, bersemangat, punya matlamat dan daya usaha yang tinggi untuk mencapainya. Sewaktu zaman sekolah aku selalu dilantik menjadi pengerusi persatuan serta menjadi ketua pelajar dan selalu mewakili sekolah untuk pelbagai pertandingan akademik dan ko-ko. Aku juga cemerlang dalam pelajaran sehingga mendapat banyak anugerah akademik bukan saja diperingkat sekolah malah juga di peringkat negeri. Ketika zaman universiti aku masih cemerlang dalam pelajaran dan beberapa kali menerima anugerah dekan. Namun langit tak selalu cerah, kehidupan selepas habis belajar tak seindah yang aku selalu sangkakan. Aku struggle mencari pekerjaan. Resume banyak ku tabur sana sini .Aku tak memilih pekerjaan, padaku asalkan dapat untuk memperoleh pengalaman dan membantu suami menampung hidup sudah memadai. Namun bila datang interview untuk jawatan yang layak dengan kelulusan, ku dilekehkan kerana tak punya pengalaman. Bila datang interview untuk jawatan yang memerlukan kelayakan spm, katanya overqualified. Akhirnya ada juga syarikat yang sudi menerima aku bekerja sebagai kerani am dengan gaji Rm1000. Aku bersyukur dan bekerja selama 5 tahun sebelum aku berhenti kerana mendapat tawaran sebagai pensyarah. Gembiranya aku bukan kepalang kerana akhirnya dapat juga aku capai cita-cita untuk menjadi pensyarah.

Namun turning point hidupku bermula. Semasa aku mula berkhidmat sebagai pensyarah, aku mengalami satu ‘gangguan perasaan’ yang aku sendiri susah nak cerita pada orang apa yang aku alami (aku takut orang tak faham dan kata aku mengada-ada). Setiap hari nak pergi kerja aku rasa sangat takut,berdebar-debar, resah. Aku takut nak jumpa orang. Aku tak tahu kenapa sedangkan tugas aku sebagai kerani am sebelum ni setiap hari aku jumpa customer. Aku cuba lawan rasa takut tu dengan baca Al-Fatihah, surah 3 qul, Ayat Qursi, aku zikir dan selawat sebanyak mungkin sepanjang perjalanan ke kolej. Namun perasaan itu terus mengganggu aku sehingga aku tak lalu makan, tak boleh tidur, tak dapat fokus nak study. Setiap hari aku menangis tanpa sebab. Aku berperang dengan rasa takut yang aku sendiri tak pasti kenapa tiba-tiba datang mengganggu hidup aku. Sebulan berlalu, aku nekad untuk meletakkan jawatan kerana mungkin itu yang lebih baik daripada aku menanggung sakitnya berperang dengan perasaan setiap hari. Kemudian aku menjadi suri rumah. At first aku ingat semuanya akan baik, tapi perasaan itu masih sama malah semakin teruk. Aku jadi tak suka bersosial, tak suka jumpa masyarakat, tak suka jumpa saudara. Aku selalu bergaduh dan panas dengan suami bila dia depan mata, tapi bila suami pergi kerja aku mula rasa bersalah, menyesal dan rasa rindu padanya (maafkan isterimu yang banyak dosa padamu ini). Aku selalu rasa tertekan dengan banyak perkara walaupun perkara kecil. Kadangkala aku rasa sangat sedih tanpa sebab sehingga aku menangis sorang diri. Kadangkala aku rasa sangat bosan, diri ini tak guna, selalu salahkan diri atas perkara buruk/masalah yang timbul. Kadangkala aku rasa amat kecewa. Kecewa dengan diri sendiri, kecewa dengan kehidupanku yang ku rasakan teruk sehingga aku fikir adalah lebih baik aku mati (Astagfirullahalazim) . Aku juga mudah marah dan naik angin. Pernah sekali anak aku (2 tahun) menangis je sampai aku susah nak buat kerja, aku marah dan menjerit pada anak, kemudian aku ambil benda panas nak cucuh padanya (Allahuakbar maafkan ibumu sayang), tapi aku tersedar dan istighfar lalu aku menangis semahu-mahunya. Berbalik pada cerita tadi, aku juga sering rasa takut yang amat terutama bila tinggal berdua dengan anak yang masih kecil (kadang-kadang suami ada tugas malam) sampai aku ikut suami bertugas. Bila suami kursus aku akan minta dihantar ke rumah mak. Perasaan takut masih menghantui hingga aku tak mampu hadirkan diri jika dipanggil interview. Baru-baru ni aku dapat panggilan interview, mulanya aku gembira dan berangan-angan kalau dapat kerja baru ini, dapatlah aku bantu ringankan beban kewangan suami. Aku buat persiapan diri, belajar dan cari maklumat, siap-siap gosok baju namun bila tiba harinya aku rasa sangat berat hati, sangat takut dan akhirnya aku tak datang interview tersebut. Sekali lagi aku rasa diri aku tak berguna dan menyusahkan orang lain.

Aku rindu diriku yang dulu. Bersemangat, penuh kayakinan, ada sifat kepimpinan, riang dan punya matlamat yang jelas. Aku sedih dengan kehidupanku kini. Aku tak pasti sampai bila aku akan terus begini. ‘Gangguan Perasaan’ yang aku alami bukan aku yang pinta, bukan aku yang mengada-ada. Mungkin ini ujian untukku. Setiap kali selepas solat aku akan berdoa semoga anakku yang comel ini tidak akan mengalami apa yang ibunya rasai. Sakit nak. Sungguh sakit berperang dengan perasaan, lebih-lebih lagi bila kau tak tahu sebab dan puncanya. Jika ada pembaca yang pernah mengalami dan memahami apa yang aku rasai ni, doakanlah aku supaya sembuh dan kembali menjadi aku yang dulu. Jika ada yang berdendam atau memusuhiku atau marah padaku, aku mohon seribu kemaafan. Aku mohon doa kalian semoga aku akan sembuh.

– Hamba Allah

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit