Hai pembaca. Sebagai pengenalan, saya Lufi. Wanita berusia 40an dan berkahwin dengan seorang duda genap setahun. Sebelum ini saya merupakan balu selama 5 tahun setelah pemergian suami pertama.
Suami pertama adalah seorang ahli perniagaan. Dengan kata lain, hidup kami senang dan bahagia.
Setelah pemergiannya, saya berkahwin dengan seorang duda, anak 2 yang masing-masing sudah pun berumahtangga. Duda ini saya namakan Labu, berumur lewat 50an dan memiliki sebuah perniagaan runcit.
Labu telah kehilangan isteri akibat Covid-19. Atas bantuan kawan-kawan, kami bertemu dan bersetuju untuk mendirikan rumah tangga.
Pada awal perkahwinan, kami suami isteri berikrar untuk saling menjaga hati dan perasaan setelah ditinggalkan pasangan.
Kematian pasangan telah meninggalkan duka kesedihan yang mendalam; dan kami berdua amat memahaminya. Jadi masing-masing menjadi ‘cermat’ ketika berbicara takut-takut mengguris perasaan.
Untuk makluman, saya pernah bekerja di syarikat GLC dan bertanggungjawab menjaga bahagian pemasaran. Tetapi akibat ‘brain fogging’ yang serious kesan jangkitan Covid-19, serta ketiadaan suami ketika itu membuatkan saya tekad untuk berhenti kerja dan pulang ke kampung halaman.
Tambahan pula keadaan kewangan sudah pun stabil dan bebas dari sebarang komitmen hutang.
Setelah berhenti kerja, kos kehidupan ditanggung sepenuhnya oleh simpanan ASB yang maksimum.
Berkahwin dengan Labu yang memiliki kedai runcit merupakan satu peluang baik untuk asah semula kemahiran dan kepantasan otak saya yang terjejas teruk akibat Covid.
Labu mengetahui kedudukan kewangan saya yang tidak lah 100% bergantung kepadanya. Tetapi dia menyerahkan hal kewangan kedai sepenuhnya untuk saya uruskan. Hasil jualan, untung, semuanya diserahkan kepada saya.
Labu tak kisah sangat tentang kewangan kerana sebelum ini arwah isterinya yang menjaga akaun kedai.
Sebagai suami, dia memang tip-top. Baik, lemah-lembut, banyak ikut sunnah nabi. Sebagai bapa dan tokwan, memang masuk kategori mithali.
Nampak bagus sahaja kan? Tetapi kerap terjadi salah faham antara kami. Begini. Kedai runcit Labu mula beroperasi jam 7 pagi. Maknanya setelah solat subuh kami akan terus ke kedai. Lambat sikit, siap lah beratur pelanggan setia di depan pintu.
Labu sangat menjaga pelanggannya. Kalau boleh dia nak pastikan kedai dibuka seawal-awal mungkin. Saya pula sibuk lah membantu. Dalam sibuk-sibuk tu, biasa lah, muka mesti serious. Dah nama pun fokus.
Bakul kentang, segala jenis bawang perlu diangkut dari belakang, dan susun elok-elok di rak hadapan. Haritu memang penat. Lutut dan pinggang macam terseliuh sikit sebab panjat tangga. Saya pun mengadu lah kat Labu, dan dia cuma diam.
Dalam sejam kedai beroperasi, saya perasan Labu dah mula tunjuk bad mood. Mukanya kelat tiada senyuman, kecuali pada pelanggan.
Kalau nak minta saya ambilkan barang di stor pun, dia seperti ‘mumbling’ atau menelan perkataan. Sehinggakan terpaksa minta dia ulang sebut barang apa yang perlu diambil. Riak mukanya seperti tak sudi melihat wajah saya.
Yelah, memang mengaku muka saya ni memang masam mencuka waktu buat kerja. Angkat benda berat kot, takkan nak sambil menyengih?
Keadaan tu berlanjutan sampai kami balik rumah. Seperti biasa, saya akan masak dan hidangkan nasi untuk makan bersama.
Tiba-tiba Labu terus masuk bilik musolla dan tidur di situ. Saya biarkan sahaja, tetapi dalam hati terasa sangat sedih diperlakukan macam apa tah.
Dalam hati berkata “dah la aku tolong dia kat kedai, tapi tak pandang pun muka isteri”. Penat tau, 5-6 jam kerja berdua di kedai runcit. Tiba-tiba suami ignore. Sabar saja lah.
Seperti biasa saya biarkan dia tenang, dan tunggu dia explain. 3 hari tunggu dia bercakap, atau pandang muka saya. 3 hari itu lah dia tak ajak ke kedai runcit, atau solat jemaah, atau makan. Dia biarkan saya berseorangan di rumah dan tertanya-tanya sendirian.
Lauk tengahari saya sediakan tapi tak pula disentuh. Dia diam, saya lagi lah diam. Tak tahu nak bertindak-balas. Ada satu hari Labu balik dari kedai, dia cari nasi. Saya terus tarik tangan dia dan tanya “Abang dah ok? Dah boleh cakap dengan saya?”
Labu lari eye-contact. Dia cuma kata “Dah, dah. Tak perlu panjangkan”. Dia ambil pinggan, cedok nasi dan terus ke meja makan. Saya? Terpinga-pinga. Malu pun ada, terhegeh-hegeh tapi kena ignore.
Lepas tu dia masuk bilik musolla, solat dan tidur. Sedih kan? Tapi buat apa layan sedih sangat. Last-last saya start kereta pergi bandar dan trim rambut. Lepak minum latte layan emosi kasi tenang.
Akhirnya setelah 3 hari berlalu Labu masuk bilik kelamin kami. Dia beritahu yang dia ‘sangat-sangat terasa hati’ dengan saya. Saya abaikan dia, saya abaikan makan minum dia. Saya gelakkan dia waktu dia kelaparan nak makan nasi. Dan saya dalam hati is saying “What???”.
Saya cuba terangkan kejadian dia bermasam muka dan mood-swing nya di kedai haritu. Dan dia jawab, dia masam muka sebab ‘rasa bersalah’ susahkan isteri barunya setelah berkahwin dengannya.
Dan bila ditanya lagi, apa perangai saya yang dia tak suka, beritahu lah supaya tak diulang lagi di masa depan.
Dia ungkit semua kesalahan seperti bawa kereta laju-laju, langgar bonggol tak break, pergi bandar tak minta izin, tak buat kopi, tak masak… hingga tak bawa cucu dia beli baju sekolah pun disebut.
Sambil dengar semua senarai kesalahan tu, saya cuma tekup muka guna telekung, menangis.
Dalam hati rasa kelakar juga sebab tua-tua bangka masih kena syarah macam zaman sekolah. Tapi kali ni tak berani senyum nanti dia kata tak hormat dia pula. Tapi korang faham tak apa yang saya rasa?
Sepanjang perbualan tu, saya banyak menangis sahaja lah. Sebab rasanya itu reaksi yang dia suka tengok. Kalau tenang, nanti dia pula menangis sambil hentak kepala di dinding.
Hmmmm masa mula-mula kahwin pernah terjadi salah faham juga dan end-up dia menangis meratap di dinding.
Jadi kali ini saya puaskan hati dia dengan menangis meleleh-leleh air mata. Sedih memang sedih, tapi lebih terkasima kenapa akhirnya saya yang dipersalahkan.
Sebelum keluar, Labu beri kata-dua supaya buat buat keputusan. Nak terus dalam perkahwinan atau nak tinggalkan dia.
Saya again….”What??” Ini bukan tujuan asal menjarakkan atau memencilkan diri. Saya cuma bertindak-balas berdasarkan kelakuan dingin dia secara tiba-tiba.
Selepas itu dia masuk ke bilik musolla dan tinggalkan perbualan kami. Pening sekejap. Aik? Akhirnya saya juga yang salah? Dan dialog dalam hati cuma boleh kata “Kau ni apa? Ibab betul”.
Berdasarkan penjelasan Labu, dia rasa bersalah sebab susahkan hidup saya. Arwah suami dahulu hidupnya senang, jadi saya tak perlu buat kerja berat seperti sekarang. Dia rasa ‘loser’.
Bila mengadu sakit kaki, sakit badan, bertambah sedih dia rasa. Dia rasa bersalah sebab perlu bantuan isteri. Sebab itu dia masam muka (dia kata bermuka sedih). Tapi saya yang salah faham dan bereaksi berlebihan. Berkurung dalam bilik dan abaikan dia.
Sekarang saya dah keliru. Saya ke yang bersalah? Walaupun diakui otak ada masalah ingatan, tetapi kewarasan tu masih ada. Salah faham antara kami sering berlaku. Cuma kali ini berlarutan agak panjang. Dan mula perasan semua punca akhirnya dirunding kepada saya.
Perasaan bersalah dan ‘takut buat salah’ perlahan-lahan terbina sehingga kan nak bercakap pun perlu susun ayat baik-baik agar tidak mencalar hatinya.
Saya mula risau untuk berkongsi sebarang perasaan negatif seperti penat/ letih/ tak larat sebab takut akan bangkitkan ‘rasa bersalah’ Labu.
Dan kini saya tertanya-tanya inikah ciri-ciri gaslighting husband? Atau dia sekadar over-protective-husband?
– Suki (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
Bunyi macam play victim dan manipulation jugak, guilt tripping sampai ke pilihan bercerai. Wow. Kalau suami rasa loser sebab isteri penat, dia patut usaha hilangkan penat isteri. Tapi dalam kes ni, suami secara halus nak isteri diam2 hadap je penat dan kesusahan tanpa maklumkan masalah pada suami. Kena ingat budaya kita selalu bila isteri dah meletup tak tahan marah, suami akan ungkit kenapa tak cakap awal dengan jelas. So baik cakap bagi terang je walaupun suami hati tisu. Lagi satu, sakinah, mawaddah, raudhah dalam berkeluarga takkan datang kalau satu pihak je jaga hati pihak lain. Itu namanya emotional abuse.