Gemuk Yang Disakiti dan Menyakiti

Assalamualaikum, first sekali aku nak ucapkan terima kasih kepada pihak Admin IIUM Confession dan kepada sesiapa sahaja yang sudi membaca confession aku.

Aku tak tahu nak gambarkan perasaan aku ketika menulis confession ni, marah, geram dan rasa bersalah sering kali menyelubungi aku. Hari ini aku baru terdetik nak menulis disini untuk meluahkan dan menceritakan apa yang telah aku lakukan semalam ini.

Daripada tajuk sahaja aku yakin pembaca sudah dapat meneka yang ini kisah aku seorang lelaki yang berbadan gemuk. Ya, aku memang gemuk tetapi itu merupakan diriku yang dahulu. Diriku yang baik dan sering dihina.

Kini aku bukan lagi diri aku yang gemuk seperti dahulu, kini diriku seorang yang jahat dan sering dipuja.

Kisah aku bermula ketika aku masih dibangku sekolah menengah. Aku seorang yang berfizikal yang tidak bergitu tinggi dan tidak bergitu rendah dan mempunyai kulit yang agak gelap sedikit mungkin kerana selalu bermain di luar rumah.

Berat badan aku ketika itu agak berlebihan dan seperti orang berbadan besar yang lain, aku selalu dihina dan dijadikan bahan jenaka.

Aku kadangkala berasa iri hati dengan rakan-rakan yang berbadan kurus dan segak. Ia membuatkan aku lebih bersemangat untuk kurus.

Lumrah bagi manusia untuk mencari cinta dan dicintai.

Sepanjang tempoh aku ketika menjadi seorang yang gemuk, aku telah banyak kali dikecewakan dan dihina pelbagai perempuan yang aku cuba dekati. Terlalu ramai tetapi aku cuba senaraikan pendek beberapa perempuan yang pernah menyakiti aku.

Di bangku sekolah, aku berkenalan dengan seorang perempuan yang aku gelar Kiki. Kami sebaya tetapi tidak menduduki kelas yang sama. Aku berkenalan dengan dia melalui aktiviti kelab dan persatuan.

Kami merupakan antara AJK kelab dan sering berhubung mengenai aktiviti dan urusan kelab. Kami menjadi semakin rapat bagaikan teman tapi mesra.

Aku seorang pelajar yang boleh dikategorikan cerdik pandai dan menjadi antara harapan cikgu untuk menjadi top student. Aku mengunakan segala ilmu yang aku ada untuk mengajar Kiki.

Kami sering mengulang kaji bersama-sama dan banyak perkara yang Kiki tidak faham, dia akan bertanya kepada aku dan minta tunjuk ajar. Aku sangat selesa dengan dia dan kami semakin rapat sehinggakan ada yang menyangka kami bercinta.

Ketika itu aku ada juga mendengar hasutan bahawa Kiki hanya rapat dengan aku hanya untuk mempergunakan aku. Tetapi aku tidak menghiraukan semua itu. Sudah terbit rasa sayang aku terhadap Kiki.

Di akhir persekolahan kami, iaitu ketika hari mengambil keputusan SPM, aku tekad untuk meluahkan perasaan aku kepada Kiki.

Kami berdua memperolehi keputusan yang agak cemerlang dan pada hari itu juga aku mengambil kesempatan untuk meluahkan perasaan aku kepada Kiki.

Malangnya hari yang sepatutnya aku bergembira bertukar menjadi hari yang aku tidak dapat lupakan. Kiki menafikan perasaannya terhadap aku dan hanya menganggap aku sebagai kawan.

Dia juga jujur bahawa dia selesa dengan aku sebagai kawan dan rapat dengan aku kerana aku budak pandai.

Walaupun hatiku sakit, aku tidak marah kepada Kiki kerana aku tahu silap aku menaruh perasaan terhadap dia dan aku sedar diriku yang berfizikal sebegini tidak layak untuk Kiki yang cantik orangnya.

Ketika di zaman Uni merupakan antara waktu yang paling mencabar bagi aku. Aku dikecewakan lebih ramai wanita dan ada juga yang menolak cintaku dengan hinaan dan makian.

Hatiku sangat sakit untuk aku ceritakan, akan tetapi aku tidak menyimpan dendam terhadap mereka. Aku menghormati citarasa mereka.

Sewaktu di tahun akhir, aku betul-betul berazam untuk kurus dan sihat. Tempoh untuk aku menjadi kurus tidak mengambil waktu yang begitu lama. Ketika ini juga aku rapat dengan seorang wanita yang aku panggil Nana.

Nana mengenali aku sejak dari hari pertama aku menjejak kaki ni Uni, tetapi kami tidak rapat. Kami menjadi rapat sejak selalu terserempak di taman ketika berjogging.

Nana merupakan antara orang yang paling banyak memberi sokongan kepada aku untuk kurus. Dia juga rajin share tips dan panduan kepada aku.

Nana ni tidaklah gemuk, tetapi dia selalu teman aku berjogging katanya untuk kekal sihat. Nana ni orangnya sedap mata memandang tetapi tidaklah secantik orang-orang yang pernah mengecewakan aku dahulu.

Aku sangat selesa dengan Nana dan aku dapat rasa yang dia juga rasa begitu terhadap aku. Dia selalu mengambil berat terhadap aku.

Setelah pelbagai usaha telah aku lakukan dan sokongan dari Nana, aku berjaya menjadi kurus. Aku sebenarnya tidak sangka yang penampilan dan rupa paras aku berubah agak banyak berbanding diri aku yang gemuk dahulu.

Kulit aku semakin cerah dan wajahku dilihat semakin segak setelah kurus. Aku rasa sangat bersyukur kerana usaha aku selama ni berbaloi. Pada ketika ini juga, diriku sudah mula menunjukkan titik perubahan.

Aku sudah tidak lagi dihina malah sering dipuji oleh wanita dan rakan yang aku kenali. Tidak lupa juga Nana yang turut tumpang gembira dengan kejayaan aku.

Sejak dari itu juga ramai wanita cuba mendekati aku tanpa aku berusaha keras untuk memenangi hati mereka.

Selesai sahaja pengajian aku di Uni, aku telah diterima mendapat pekerjaan dengan gaji yang agak besar.

Tempat kerja aku mempunyai pekerja yang majoritinya perempuan. Ditambah pula dengan sikap aku yang peramah dan pandai berkata-kata, aku didekati ramai rakan-rakan sekerja yang bujang.

Ketika ini aku rasa begitu hebat dan hidupku begitu indah. Hampir setiap minggu aku menerima hadiah dan tidak kurang juga belanja makan tengahari dari mereka yang meminati aku.

Aku ketika ini masih berhubung dengan Nana cuma aku tidak tahu kenapa sikap aku semakin dingin terhadap dia. Nana masih tidak mendapat pekerjaaan tetap dan hanya bekerja di sebuah restoran.

Pada satu hari, Nana telah meluahkan perasaan dia terhadap aku. Aku tidak tahu kenapa dengan aku pada hari itu, tanpa rasa bersalah aku menolak cinta Nana mentah-mentah.

Alasan yang aku berikan kepada Nana agak tidak masuk akal. Aku tahu Nana ketika itu sangat kecewa.

Keesokan harinya Nana call aku banyak kali, send Whatsapp dan DM aku di Instagram. Aku tidak membalas walaupun satu dan entah bagaimana aku rasa begitu rimas dengan dia. Aku bertindak dengan Block dia dari menghubungi aku.

Setelah setahun berlalu, aku bukan diriku yang dahulu. Dahulu aku disakiti, akan tetapi kini aku yang menyakiti. Aku mempunyai ramai skandal dan semuanya hanya untuk suka-suka. Aku tidak pernah serius dengan mereka.

Terdetik dalam hati aku ketika ini untuk mengecewakan hati orang lain kerana ketika dahulu hatiku sering disakiti dan dipermainkan.

Aku berasa sangat gah dan hebat kerana mempermainkan hati ramai wanita. Wanita-wanita yang aku permainkan hati mereka hampir kesemuanya yang cantik, manis dan baik orangnya.

Mereka tertipu dengan sikap aku yang pandai berpura-pura dan berkata-kata. Mereka percaya aku nak menghalalkan mereka padahal niat aku sebaliknya.

Walaubagaimanapun aku masih waras, aku tidak pernah terdetik untuk merosakkan anak dara orang. Aku masih waras dan beragama. Mempermainkan hati orang ibarat satu keseronokan dan hobi bagi aku.

2 tahun sudah berlalu, dan kini aku mengenali seorang wanita yang diberi nama Aliya. Aliya sangat baik orangnya dan mempunyai ciri-ciri wanita solehah.

Dia banyak membantu aku dalam pelbagai perkara. Dia berjaya membuka hati aku untuk berubah. Aku juga sudah mula sayang pada dia.

Aku juga sudah semakin berubah dan cuba untuk meninggalkan sikap aku yang dahulu. Aku ketika ini cuba untuk menghalalkan Aliya. Cuma aku risau, sikap aku yang dahulu datang kembali ketika selepas berkahwin.

Ya aku risau dan rasa begitu serba salah dengan kesalahan aku dahulu. Kalau boleh ingin aku meminta maaf dengan mereka yang pernah aku sakiti dan permainkan.

Tetapi adakah mereka sudi memaafkan aku?

Aku rasa sangat serba salah…

– Adaam (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini ->Β https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *