Assalamualaikum, aku Aida berusia 20 an dan berasal dari selatan tanah air. Terima kasih admin kalau luahan ini diterima.
Luahan ini adalah tentang diri aku yang mudah sangat rasa gemuruh. Mungkin ada juga orang lain rasa benda yang sama macam aku. Perkara ini dah lama dan hari-hari aku cuba tenangkan diri aku kalau aku rasa gemuruh.
Perasaan gemuruh ini sememangnya memberi kesan dalam hidup aku. Bila ada perkara yang membuatkan aku rasa gemuruh, secara automatiknya tangan aku akan menggigil, kepala rasa pening dan perut rasa memulas. Dan ini mengganggu aktiviti seharian aku.
Aku mudah berasa gemuruh tanpa sebab. Duduk saja-saja pun boleh berdebar. Entah kenapalah aku macam tu. Selain itu ini antara beberapa perkara yang membuatkan aku rasa gemuruh.
Pertama sekali, bercakap. Aku tak suka bercakap sebab aku rasa orang tak faham apa yang aku cakapkan. Aku akui ini antara salah satu kelemahan yang aku ada. Masalah komunikasi. Ramai orang tegur yang aku cakap laju dan mereka tak faham.
Disebabkan benda ini aku takut sangat nak bercakap sampai buatkan aku rasa gemuruh. Bila aku buat pembentangan dalam kelas, 10 kali ganda perasaan gemuruh itu hadir.
Apa mereka cakap pasal aku? Kenapa mereka diam sahaja? Kenapa mereka pandang aku macam tu?
Persoalan begini selalu menjelma bila aku buat pembentangan dan bercakap. Sampai aku rasa nak pitam dekat depan kelas. Sebelum nak pembentangan memang aku berlatih dulu tapi bila depan orang je terus kelu dan kaku.
Bukan hanya alam nyata, dalam alam maya pun aku takut nak bercakap. Aku jarang bersuara dalam group whatsaap. Sebab aku gemuruh. Kalau aku hantar whatsaap dan tiada respon akan buatkan aku gemuruh.
Kenapa dia tak balas? Aku salah cakap ke? Aku sakitkan hati dia ke?
Soalan-soalan begini akan muncul dan aku akan fikir sampailah nak tidur nanti. Nak telefon apatah lagi. Aku tak suka orang telefon aku. Selalunya aku tak angkat. Lepastu aku akan hantar mesej tanya kenapa telefon.
Ini agak susah sebenarnya sebab memang kena hadap hari-hari terutamanya pasal whatsaap tu. Sama juga dalam media sosial pun.
Aku juga takut berhadapan dengan lelaki. Aku tak tahulah kenapa aku ada perasaan yang semua lelaki bencikan aku. Sedangkan mereka tak kenal dan tak mungkin rasa begitu.
Bila aku terserempak dengan lelaki aku jadi takut. Rasa gemuruh dan berdebar. Bila ada lelaki dalam lingkungan aku automatik aku akan senyap. Untuk pengetahuan aku memang tiada kawan lelaki dan jarang bercakap dengan lelaki.
Pernah sekali masa aku dekat universiti, aku kena satu kumpulan dengan 2 orang lelaki. Sebelum tu tak pernah kumpulan dengan lelaki sebab aku memang akan cari perempuan sebagai ahli kumpulan. Cuma ada satu subjek tu tiada pilihan lain jadi aku terpaksa masuk kumpulan tersebut.
Aku rasa bersalah sangat dalam kumpulan sebab tak bercakap banyak. Dan aku tahu mereka stress dengan aku (diorang ada terlepas cakap). Aku tak tahu macam mana nak berinteraksi dengan kaum ni je.
Ada juga benda-benda remeh yang akan buatkan aku rasa gemuruh seperri bunyi kipas. Kipas syiling, kalau kipas yang berdiri tu ok lagi. Aku tak boleh pasang kipas terlalu laju. Tengok kipas pusing laju dengan bunyi yang keluar buatkan aku rasa gemuruh. Takut kipas tu jatuh.
Kemudian, benda yang berlaku tiba-tiba. Aku tak boleh kalau tiba-tiba orang suruh aku buat ini atau buat itu. Memang tak boleh. Ataupun rancangan yang berlaku tiba-tiba.
Memang aku akan cakap ya tapi dalam hati tuhan sahaja yang tahu. Sebab itu aku akan merancang semua dulu untuk elakkan rasa gemuruh. Cuma kadang2 aku tak boleh nak elak terutamanya bila melibatkan orang.
Sebenarnya, aku dah cuba atasi masalah ini dengan konsep buat ‘tak tahu je’. Contohnya bila ada orang call aku akan angkat juga walaupun tangan dah menggigil. Ada program tiba-tiba pun aku cuba redah saja, sertai juga walaupun jantung rasa nak tercabut.
Dengan lelaki pun aku cuba juga bercakap, aku mulakan dulu bercakap dengan penjual makanan lelaki walaupun aku dah rasa sesak nafas. Aku cuba juga atasi tapi itulah tak mudah.
Ada banyak lagi keadaan buat aku rasa gemuruh. Sejujurnya aku tak sukakan perasaan ini. Hari-hari kena hadap. Hari-hari kena tenangkan diri sendiri. Dari kecil sampailah hari ini.
Mungkin bagi setengah orang perkara ini benda biasa tapi entahlah aku tak suka. Aku rasa diri aku tak guna dan lemah.
Apa-apa pun terima kasih kerana membaca. Maaf jika bosan. Masa tengah menaip nie pun aku rasa berdebar.
– Aida Farah (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit