Gila-gila Musim Tengkujuh

Boleh juga baca,

Part I, (https://iiumc.com/suka-duka-adik-beradik-ramai/).

Part II (https://iiumc.com/suka-duka-adik-beradik-ramai-ii/).

Assalamualaikum w.b.t dan selamat sejahtera buat semua. Terima kasih admin yang budiman atas kesudian menyiarkan cerita saya.

Pengenalan ringkas bagi yang belum kenal, saya Budak Kampung yang mempunyai 14 orang adik beradik. Ayah pesara guru dan mak suri rumah (kadang-kadang ambik upah menjahit dan membuat kuih).

Budak Kampung 14 adik beradik ni rasa rajin nak story lagi.. Mengimbau kenangan dan nostalgia lama yang mengusik jiwa..

Kali ini, saya memilih latar belakang musim tengkujuh sebagai latar penceritaan. Jika anda rakyat negeri-negeri Pantai Timur, anda sudah terbiasa dengan musim tengkujuh yang biasanya berlaku setiap hujung tahun..memang satu saat yang paling ditunggu-tunggu, detik untuk bersuka ria dan bergembira bagi kanak-kanak. Begitu juga kami, zaman hingusan yang lampau..

Oleh kerana belakang rumah kami ada sebuah lembah (kawasan rendah hasil tanaman padi), bila tiba sahaja musim tengkujuh memang air memenuhi lembah..Di sinilah idea dan kreativiti kami adik beradik tercetus:

1) Rakit

Kemahiran abang sulung. Dikerahnya kami adik-adik untuk ikut dia menebang buluh dalam hutan berhampiran. Lepas tu dipotong, disusun dan diikat elok-elok menjadi sebuah rakit. Tidak dihiraukan hujan dan rasa sejuk, berkobar-kobar nak siapkan cepat. Hasilnya takde la sempurna, tapi cukup mengujakan kami bila menaikinya mengharungi air di lembah. Macam belayar guna cruise perasaannya..huhu.. Tipulah kalau tak pernah karam, ada jugak buat-buat karam..baru best main air kan..haha

2) Pelampung

Hasil usaha ayah. Ayah mintak daripada kawannya tiub tayar lori..memang besar la donat hitam kami ni..boleh guna dua orang sekaligus. Yang tak reti berenang, memang berebut pelampung ni. Kalau tak, memang tak la nak cecah air..Yang reti berenang pula, bebas menunjukkan aksi kuak dada, kuak kupu-kupu dan kuak lentang. Adakalanya, abang dengan bangganya mempamerkan aksi 2.5 somersault 1 twist kepada kami, biarpun percikan air itu begitu besar terbentuk. Eh, ni ulasan sukan..sorry,haha..

Meriah la kami bertepuk tangan melihat telatah masing-masing. Dah macam satu pesta air bila ramai-ramai berkumpul di lembah walaupun airnya tak sejernih swimming pool. Paling tak dapat dilupakan, adik bongsu yang gatal-gatal nak mengikut kami main sekali di lembah. Dia baru berumur 3 tahun waktu tu.

Saya letakkan dia untuk duduk di atas pelampung, terus tolak daripada daratan ke kawasan berair yang lebih dalam sedikit. Tiba-tiba adik pulak gagal imbangi badan, terus tenggelam dalam air (tak sempat kira berapa somersault), kelam kabut saya menyelam menangkap adik. Syukurlah dapat dan selamat. Sejak itulah termeterainya perjanjian antara kami. Sampai sekarang mak ayah tak tahu tentang tu. Good job adik, love you!

3) Ikan

Mana ada air, adalah ikannya. Mana ada ikan, di situlah ada kami! Seronoknya waktu ni bila adik beradik lelaki ramai-ramai ke lembah bagi menjalankan misi. Waktu malam kami menyuluh, kalau ada rezeki, lompat bintanglah kami balik ke rumah. Bangga betul bila tunjuk kat mak ayah. Kalau takde, kami tinggalkan pukat di port-port tertentu. Esoknya, confirm ada yang lekat jika kami datang tengok awal. Kalau tak, melopong sahaja sebab sudah dikebas manusia yang tak reti berusaha.
Kami maafkan :)

4) Siput Sedut

Waktu air cetek, operasi diteruskan dengan memburu siput sedut. Pernah kami dapat satu baldi besar bawak balik rumah, tu pun pergi pagi balik Zohor. Gigih betul mencari sampai hitam legam muka. Tona kulit pun dah tak sekata. Kusam dan tidak bermaya.. hehe Nasib baik mak ayah masih cam lagi anak sendiri. Syoknya, mak masak lemak siput sedut. Bertambah-tambah kami makan dengan nasi panas, siap boleh bagi sedikit kepada jiran. Alhamdulillah.

5) Cik Tah dan Cik Cat

Hujan dan banjir, memang keluar la diorang ni..kenyang menghisap darah segar. Tengah syok kami berenang, naik je daratan mesti ada lintah atau pacat di mana-mana anggota badan. Kalau takde empunya badan bergayut di situ, diorang tinggalkan kesan kenang-kenangan sebagai tanda penghargaan. Balik rumah, ambik minyak angin dan kapas, sapukan di tempat gigitan. Sekejap je dah okay.

Pernah satu ketika, balik daripada lembah, kami mandi ramai-ramai di ruang mandi di rumah. Kat situ memang ada perigi. Tiba-tiba adik menjerit terlihat lintah di celah ketiak abang. Lintah tu dah obes, kenyang seminggu..punyalah liat nak cabut daripada ketiak tu..boleh bayangkan macam mana abang yang sado menjerit-jerit menahan sakit..haha

Itulah memori terindah suka duka kami 14 adik beradik waktu musim tengkujuh. Memori ini hanya tinggal kenangan dan sentiasa menjadi ingatan kami semua walaupun dah lama berlalu.. Benarlah, pengalaman itu mendewasakan kita, mematangkan kita, mengajar kita mengenal kehidupan.

Semoga bermanfaat. Sekian, terima kasih…

– Budak Kampung

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *