Graduan Master

Assalamualaikum. Saya cuma mahu kongsi sedikit cerita. Baru-baru ni saya menghadiri konvokesyen saya. Alhamdulillah saya baru memegang sijil Sarjana Kejuruteraan. Saya bukan lah pelajar yang bijak pandai yang ‘gifted’ and ‘talented’. Genius jauh sekali. Cuma saya suka belajar.

Masa konvo, suami saya duduk di tempat ibu bapa dan kebetulan suami saya duduk di sebelah seorang pakcik. Pakcik tu kerja kerajaan. Pakcik tu cerita la perihal anak beliau. Anaknya bijak. Dia sorang sahaja yang dapat kelas pertama dalam ‘course’ dia.

Then beliau cerita lagi yang anak beliau dah dapat interview untuk kerja kerajaan. Dah berapa kali interview dah, tunggu nak dapat kerja je. Alhamdulillah lah. Pandai anak beliau. Saya pun tak sebijak anaknya.

Kemudian beliau pun tanya suami saya, datang konvo siapa. Adik ke? Suami saya kata lah, isteri yang konvo. Master. Lepas tu pakcik tu diam. Lama sikit baru dia bersuara. Beliau kata, susah Master sekarang. Susah dapat kerja. Master ni orang tak pandang, nanti gaji rendah juga. Lepas tu ada la lagi lain-lain ayat beliau.

Suami saya pun iyakan sahaja lah bagi menghormati orang tua. Esoknya dalam kereta baru suami saya cerita kat saya tentang pakcik tu. Saya pun bila dengar, iya lah pakcik, anak pakcik sorang je yang pandai, anak pakcik sorang je yang dapat kerja kerajaan, anak pakcik lah segala-galanya.

Sebelum ni saya tak pernah kisah bila orang kata sambung master tu membazir. Lagi-lagi bila dah belajar tinggi-tinggi, kemudian kahwin lepas tu jadi suri rumah. Kan dah membazir. Itu kata orang tua-tua. Saya tak kisah apa orang kata sebab memang ‘passion’ saya di situ. Saya suka belajar dan mengajar.

Entah kenapa bila dengar pakcik tu cakap dengan suami saya sedemikian saya rasa sedikit marah. Seolah-olah tak berguna saya sambung master. Ahhh, saya pun abaikan sahaja kata-kata tu.

Mungkin sesetengah orang ada berpendapat bahawa zaman sekarang untuk masuk ke alam pekerjaan kalau ada sijil setinggi mana pun gaji ‘still’ peringkat ‘fresh grad’ jika tiada pengalaman. Mungkin ada betulnya di situ.

Tetapi suka saya ingatkan, rezeki itu bukan di tangan majikan atau mana-mana manusia. Rezeki itu Allah yang bagi. Allah yang berkuasa terhadap makhlukNya. Ada je yang minta kerja dengan sijil degree, tapi bila interview, ada sijil master, gajinya mengikut level master.

Banyak kelebihan sebenarnya apabila sambung belajar ni. Sijil itu bukan matlamat tapi proses sepanjang untuk menyiapkan tesis tu adalah pengalaman yang paling berharga. Sekurang-kurangnya otak kiri dan otak kanan kita sentiasa terbuka dan teroka benda baru. Minda kita jadi terbuka dan kita dapat memperbaiki diri sendiri.

Lagi satu, bila kita bertemu dengan orang-orang akademik ni, contohnya pensyarah. Apa yang paling suka bila pensyarah-pensyarah memberi nasihat tentang kehidupan. Tazkirah. Bila dah tepu, pening dengan belajar, nasihat dan tazkirah tu yang membuatkan hati kita tenang. Secara tak langsung, kita akan sentiasa ingat Allah.

Supervisor saya selalu ingatkan. Makin bertambah ilmu kita, kita perlu semakin merendah diri. Memang betul. Makin banyak saya belajar makin banyak perkara yang saya tidak tahu. Dari situ baru terasa diri saya seorang insan yang terlalu kerdil.

Nak dibandingkan dengan ilmu yang orang lain ada. Tiada apa yang boleh saya banggakan. Saya ada master? Orang lain ada PhD. Saya ada PhD? Orang lain sudah jadi Prof Madya. Saya ada Prof Madya? Orang lain sudah pun jadi Professor.

Suka untuk saya ingatkan diri sendiri dan juga rakan-rakan semua. Dalam kita berpenat lelah kejar dunia, pernah tak kita berpenat lelah untuk mengejar akhirat? Sijil setinggi mana, pangkat dan harta setinggi mana pun, apabila kita mati kita hanya mampu bawa 3 perkara. Iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan orang tuanya.

Jadi, kepada semua pelajar pascasiswazah muslim yang ada di Malaysia ni, belajar lah. Terbitkan banyak kertas kajian, sekurang-kurangnya kita menyebarkan ilmu. Ilmu yang bermanfaat itu mungkin akan membantu kita di akhirat nanti. Dan jangan lupa sama-sama kita mendekatkan diri pada Allah, jangan sesekali jauh daripadaNya.

– Lava (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

One comment

  1. Dalam dunia fiksyen aku, gaji fresh graduate for diploma paling minimum ialah 5000 USD, for degree ialah 10000 USD, for masters ialah 15000 USD dan for PhD ialah 20000 USD. Tak kira kerja apa pon. Both kerajaan dan swasta

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *