Graduan Yang Sentiasa Dihina

Assalammualaikum dan salam sejahtera buat semua pembaca. Saya sangat berharap confession ni akan disiarkan.

Saya merupakan pelajar di salah sebuah Universiti Awam dan merupakan pelajar tahun akhir. Insha Allah akan konvo pada bulan November tahun ini. Sebagai seorang bakal graduan, sememangnya saya berasa agak gementar untuk berhadapan dengan kehidupan selepas zaman belajar. Ditambah lagi dengan mentaliti majoriti masyarakat Malaysia yang suka memandang rendah terhadap golongan graduan ni. Maaf jika ayat saya agak kasar, tapi hakikatnya majoriti masyarakat kita ni suka mengkritik golongan graduan. Jika hanya bekerja di kedai atau melakukan pekerjaan yang hanya bertaraf PMR, SPM atau STPM mulalah kena kutuk, “Eh. Kau belajar tinggi-tinggi tapi buat kerja macam ni je?” Jika tak bekerja, lagilah kena kecam. Kononnya golongan graduan ni sombong kerana terlalu memilih pekerjaan.

Malah yang lebih menyedihkan, kawan sendiri pun memiliki mentaliti sedemikian. Saya mempunyai beberapa orang kawan yang telah pun bekerja. Mereka mendapat tawaran kerja unit uniform dari SPA selepas sahaja tamat STPM. Saya bukan nak memburukkan mereka. Tapi setiap kali berhubung atau berjumpa, mereka selalu membandingkan kehidupan mereka dengan saya. Mereka katakan bahawa saya tak sepatutnya melanjutkan pelajaran kerana degree tak menjamin pun untuk mendapat pekerjaan. Saya sepatutnya memohon pekerjaan melalui SPA dan mendapatkan pekerjaan seperti mereka. Kerja kerajaan, ada bonus apabila musim perayaan, ada elaun selepas bersara dan kerjaya mereka dipandang tinggi oleh masyarakat.

Saya berfikiran positif sahaja. Mungkin mereka berkata sedemikian kerana prihatin dengan saya. Sememangnya saya tahu degree tak menjamin untuk mendapatkan pekerjaan. Tapi tolonglah faham wahai rakyat Malaysia. Rezeki kita Allah yang tentukan. Usahlah dihina graduan yang hanya bekerja tidak setimpal dengan tahap pendidikannya. Usah dikritik mahasiswa yang ingin menuntut ilmu. Jika kamu memiliki kerjaya yang hebat sekali pun, janganlah memandang rendah terhadap kerjaya orang lain.

Buat semua mahasiswa dan graduan, marilah kita semua terus bertabah menghadapi masyarakat yang memiliki mentaliti sebegini.

– Cik Siswi

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit