Gugurkan Daun Namanya Di Luh Mahfuz III

Assalammualaikum & salam sejahtera pembaca IIUM Confession.

Aku Audelia, pernah 2 kali mengirimkan kisahku di IIUM Confession ni dengan menggunakan tajuk Gugurkan Daun Namanya di Luh Mahfuz I & II . Link aku sertakan sekali jiika ada yang mahu membaca kisah sebelum ini.

https://iiumc.com/347am9102020/

https://iiumc.com/198070-2/

Post pertamaku pada September 2020, dan post kedua pada November 2020. Post kali ini adalah sekadar update mengenai kisahku ini.

Aku tahu Allah mendengar doaku, tetapi aku tidak tahu jika doaku akhirnya dimakbulkan. Yang pastinya, umur bapaku sampai ke pengakhirannya. Ajalnya menyapa, dan dia dipanggil semula mengadap Ilahi hanya beberapa bulan selepas confession keduaku.

Bapaku ada penyakit yang ramai rakyat Malaysia hidapi, dia salah seorang dalam statistik penyakit itu. Sudah lama dia menghidapinya.

Cuma, secara tiba-tiba, penyakitnya menjadi teruk, dan hanya selepas hampir 2 bulan dia dimasukkan ke wad dan kakinya dipotong, Allah memanggilnya semula.

Cara dia pergi juga tiba-tiba, aku tak boleh nak ceritakan secara detail cara pemergiannya kerana mungkin ada pembaca yang akan tahu siapa aku. Yang pastinya, pemergiannya mengejut dan tidak dijangka.

Semasa dia sakit, dia berperangai mahukan perhatian penuh daripada ibu dan adik beradikku. Tetapi, tidak semua yang mampu berikan perhatian yang dia mahukan.

Ada masanya, ibu dan adikku merasa marah apabila dia buat perangai. Yang pernah menjaga orang sakit, pastinya tahu perasaan ini.

Apatah lagi memikirkan yang dia tak pernah ambil peduli dengan kami apabila kami sakit, tetapi apabila dia sakit, dia mahu semua orang beri perhatian kepadanya. Mungkin, inilah petanda dia akan pergi tetapi kami tidak tahu.

Beberapa hari sebelum dia pergi, dia berperangai agak pelik. Ada masa dia merajuk jika kehendaknya tidak dituruti, mahu makan makanan yang tidak dibenarkan disebabkan penyakitnya dan akan berkecil hati jika tidak diizinkan.

Pernah juga semasa di hospital, dia tidur meracau menyebut nama semua anaknya yang duduk jauh termasuk aku dan bertanya jika kami akan balik melawatnya.

Cuma, perangainya yang sukakan duit masih tidak hilang. Ramai kawan-kawan yang datang melawat menyumbangkan duit kepadanya. Dia memegang beg berisi duit itu setiap masa, sehingga ke akhir hayatnya.

Mengenai pemergiannya, suatu hari, aku dapat panggilan daripada adikku. Aku agak pelik sebab jarang-jarang adikku menelefonku. Bila kujawab panggilan itu, suara adikku sayu dan sebak.

Dia maklumkan, bapa telah meninggal dunia dan meminta aku balik segera. Aku terkejut, tetapi masih kekal tenang dan menasihatkan adikku tindakan selanjutnya utk menguruskan kematian bapaku.

Disebabkan semasa itu masih PKP, aku perlu dapatkan surat merentas negeri (ya, masih perlu walaupun urusan kecemasan).

Tetapi proses agak rumit, aku hanya sampai ke rumah selepas bapaku dikebumikan. Tiada rezekiku menatap dan menghadap jenazah bapaku untuk kali akhir.

Aku akui, aku tiada perasaan sayang kepada bapaku. Tetapi, juga tidak dinafikan, apabila dia meninggal, aku menangis dan sedih untuk satu waktu. Aku kira, dalam seminggu dua aku masih menangis dan sebak setiap kali teringatkan arwah bapaku.

Ada masa, aku membaca semula mesej dengannya di Whatsapp dan mendengar semula voice note nya. Sebak, sedih, tetap ada.

Membaca semula mesej terakhir dengannya yang dia tidak mengaku anakku sebagai cucunya. Sehingga suamiku menegurku agar tidak terlalu bersedih demi menjaga kandunganku.

Semasa dia sakit, aku langsung tidak menjenguknya. Sebab aku masih berasa kecil hati dengan sikap dan setiap perkataannya sebelum ini.

Apabila dia meninggal, aku ada merasa sedikit bersalah. Rasa seperti anak yang tidak baik kerana tidak ambil peduli dengan bapa yang sakit.

Apatah lagi selepas dia meninggal, apabila adikku menyatakan yang dia pernah menasihati bapaku agar meminta maaf kepadaku, dan bapaku hanya diam sambil bergenang air mata. Sumpah, menangis aku apabila teringat perkara ini.

Ibuku? Dia sangat tenang sepanjang urusan jenazah bapaku. Langsung tidak menangis. Tetamu juga dilayan dengan tenang. Tetapi, semasa ibuku solat maghrib pada hari kematian bapaku, aku mendengar ibu menangis teresak-esak di dalam bilik, berseorang.

Aku kira, itulah waktu terbaik buatnya menangisi pemergian suami yang dikahwini selama lebih 30 tahun walaupun hidupnya sepanjang perkahwinan tidaklah indah. Aku faham, hidup bersama selama puluhan tahun, pasti ada saat manis yang diingati.

Hingga sekarang, ibuku kerap bercerita kebaikan bapaku semasa kami kecil. Apabila makan makanan yang digemari bapaku, dia pasti akan menyebut tentangnya. Sesekali bercerita dan mengulangi cerita hari-hari terakhir bapaku. Aku kira, ibu rindu bapa.

Kami bersedih dengan kematian bapa, namun, selepas beberapa ketika, kami meneruskan kehidupan seperti biasa. Sesekali kubur bapa dilawat dan dicantikkan.

Bapa pergi tanpa meninggalkan apa-apa. Tiada harta, tiada tanah, tiada wang simpanan, tiada apa. Yang ada hanyalah hutang. Tetapi kami tidak kisah jika bapa tidak meninggalkan sebarang harta, sebab selama ini kami memang hidup tidak bergantung kepadanya.

Duit sumbangan yang diterima bapa semasa dia sakit dan apabila dia meninggal, kami gunakan untuk kenduri arwah dan membayar hutang yang ada. Tiada satu sen untuk kegunaan kami.

Dalam masa sama, ada rasa syukur apabila bapa sudah pergi meninggalkan kami. Aku bebas balik ke kampung bila-bila masa yang aku mahu. Tiada lagi rasa takut menerima mesej yang tidak diingini.

Tiada lagi mesej meminta duit yang sangat kerap. Tiada lagi rasa marah dan benci dengan sikapnya. Wallahualam tetapi seperti hilang sudah rasa sakit dengan perbuatannya selama dia masih hidup.

Aku juga bebas membawa ibuku ke mana-mana. Tiada lagi rasa takut apabila mahu membawa ibuku melancong, makan sedap-sedap, belikan barang, bawa ibu tinggal dirumahku seminggu dua, dan macam-macam lagi. Syukur.

Aku tidak tahu jika aku wajar merasakan syukur sebegini, tetapi, itulah yang aku rasakan. Aku mungkin tidak mampu melakukannya jika bapaku masih ada, kerana dia akan mempersoalkan duittku.

Semasa dia ada, diakui, aku tidak melayannya dengan baik kerana aku sendiri tidak menerima layanann yang baik daripadanya selaku bapa, dan disebabkan perangai buruknya kepada kami semua.

Mungkin aku dilihat seperti pendendam, tetapi bagi mereka yang melalui pengalaman seperti, pasti boleh memahaminya.

Cuma, seperti yang aku sebut sebelum ini, apabila dia meninggal, rasa sedih itu tetap ada. Mungkin ianya normal, apabila kehilangan orang yang dekat dengan kita, walaupun rasa sayang itu tiada.

Aku beberapa kali menziarahi pusaranya. Selepas aku melahirkan anakku, aku turut membawa anakku ke pusara bapaku dan ‘memperkenalkan’ kepada bapaku, cucu sulungnya.

Aku tidak tahu, jika dia masih hidup, bagaimana dia akan melayan anakku, walaupun ramai orang yang menyatakan, ‘kasihan bapaku tidak sempat melihat cucu sulungnya”. I’m a bit clueless when I heard this.

Konklusi post ku kali ini, aoaku dimakbulkan. Daun namanya telah digugurkan dari Luh Mahfuz. Dia telah kembali ke alam barzakh, alam sebelum akhirat.

Apa yang mampu aku lakukan, hanyalah menyedekah doa dan al-fatihah kepadanya, mendoakan agar rohnya tenang di alam sana dan diringankan azab seksa alam barzakh.

Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa bapaku.

Semoga dia sempat bertaubat sebelum nyawanya diambil malaikat.

Semoga dia tidak diuji dengan azab seksa yang pastinya tidak terperi sakitnya.

Semoga amal ibadat yang dilakukan semasa dia hidup, dihitung kira dan menjadi penyebab dia mendapat pahala yang membantunya nanti.

Semoga dia ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang beriman.

Semoga kisahku menjadi pengajaran buat aku & suamiku, untuk menjaga dan melayan anak dengan baik. Memberikan limpahan kasih sayang dan perhatian yang baik.

Supaya, anak kami tidak merasai apa yang aku rasakan. Supaya anakku menerima kasih sayang terbaik daripada ibu bapanya.

Dalam buruknya pengalaman hidup, syukur, dalam masa yang sama ia menjadi pengalaman dan pengajaran hidup yang terbaik.

Assalamualaikum.

Noble Strength,

– Audelia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *