Gurauan Bodoh

Tepat jam 2.00 petang, aku sudahpun mulai bangkit daripada kerusi yang terletak di kaunter jururawat. Aku menerima passover daripada SN Dayang yang mana dia merupakan senior aku di kolej kejururawatan yang terletak di Selangor. Keadaan wad sewaktu itu agak lapang memandangkan hari raya Aidiladha yang bakal tiba 5 hari lagi.

Ceritanya bermula apabila aku menjaga katil bernombor 8 itu, yang menempatkan seorang budak perempuan bernama Amirah. Dia seorang murid sekolah yang berusia 11 tahun, dan kemasukkannya di wad pagi tadi adalah disebabkan oleh kedua-dua kakinya yang tak semena-mena menjadi lemah, sehingga hampir ke tahap hampir lumpuh apabila dia terjatuh di dalam kelasnya.

Dalam terminologi perubatan, keadaan ini kita panggil sebagai paraparesis (lemah), dan bukan paraplegia (lumpuh), yang mana dia masih boleh menggerakkan kakinya sedikit, maksud aku, bukanlah langsung tak boleh bergerak. Walau bagaimanapun, dengan kedua-dua kakinya yang lemah itu menyebabkan dia tidak mampu untuk berdiri pun.

Amirah merupakan seorang yang berbadan gempal. Ujian darahnya juga menunjukkan bacaan gulanya yang tinggi dan hampir kepada tidak normal, yang mana dia dilabelkan oleh doktor sebagai menghidapi pre-diabetes mellitus, bermaksud peringkat awal dalam kes kencing manis. Berat badannya juga mencapai 44 kilogram, yang mana meletakkan dia sebagai seorang yang obese jika dikira mengikut body mass index (BMI) nya.

Oleh kerana dia baru sahaja masuk wad, doktor pakar belum lagi melihat dan memeriksa pesakit ini sewaktu morning round. Lebih kurang jam 3.00 petang, kelihatan Mr Radhi, pakar tulang kanak-kanak di pintu masuk wad ini. Aku segera berdiri dan mencapai fail-fail pesakit untuk menyertai round bersamanya.

Oh ya, di hospital ini, apabila seseorang doktor menjadi seorang pakar bedah, dia akan dipanggil Mister, bukannya doktor walaupun secara formalnya, gelaran Doktor itu masih ada di hadapan namanya. Hal ini kerana ada perkaitan dengan sejarah zaman dulu-dulu mengenai pemberian gelaran doktor dan kelayakkan mereka semua. Aku malas nak cerita di sini, kau orang bacalah di internet, pasti jumpa.

Apabila sampai sahaja di katil Amirah, setelah memberi salam, Mr Radhi terus bertanya,

“Macamana boleh jatuh ni adik?”

“Kawan-kawan saya yang bergurau doktor”

“Dia gurau macam mana tu?”

“Satu, mereka suka mengejek saya gemuk. Lepas tu, apabila saya tak layan mereka, saya baru nak duduk di tempat saya, kawan saya nama Fauzan tu pergi tarik kerusi. Saya jatuh terduduk doktor”

Aku terdiam sahaja mendengar penjelasan Amirah mengenai ejekan dan kutukkan kepada dia hanya kerana dia seorang yang gemuk, serta bagaimana gurauan sedemikian menyebabkan dia dimasukkan ke wad.

“Lepas tu?”, tanya Mr Radhi.

“Lepas saya jatuh tu, rasa sakit sangat di belakang sini, nak sentuh pun sakit, saya cuba nak berdiri, tetapi tak boleh. Kaki saya dah jadi macam terlalu lemah untuk saya berdiri”. katanya.

“Kawan-kawan saya cuba nak angkat saya, tapi mereka tak larat. Akhirnya, mereka memanggil cikgu, dan 3 orang cikgu datang dan papah saya ke dalam kereta untuk hantar saya ke sini”, Amirah menyambung.

Mr Radhi mula memeriksa bahagian kakinya. Daripada pemeriksaan itu, mereka juga mendapati bukan setakat pergerakkan sahaja yang lemah, ada beberapa bahagian pada kakinya juga berasa kebas, yang mana apabila disentuh, Amirah gagal merasa sentuhan berikut.

Apabila fungsi pergerakkan (motor) dan rasa (sensation) mulai hilang pada bahagian kaki atau tangan pesakit, punca dan kecederaannya pasti berasal daripada saraf. Sama ada saraf kecil atau saraf tunjang yang kita ketahui berfungsi untuk menggerakkan otot-otot pada kaki pesakit

“Ni kenapa gula tinggi sangat ni Amirah. Awak makan apa ni?”, tanya salah seorang medical officer (MO) pula yang disambut dengan sengihannya, yang menampakkan giginya yang agak abnormal itu.

“Ish, doktor tanya tu. Jawab lah”, sampuk ibunya sambil menepuk perlahan bahunya.

“Saya tak makan doktor, tapi saya rajin minum air gas”, jawabnya.

“Ni doktor, sehari sampai 3-4 tin dia minum. Saya dah larang, tapi dia curi-curi beli. Bila dia tak dapat, mulalah dia nak mengamuk. Tu tengok gigi dia, jadi buruk sebab asyik minum air gas je”, kata Ibunya, Puan Kalsom.

Mr Radhi tersenyum sahaja sambil berjalan ke arah sebuah komputer untuk melihat dan menganalisis X-ray dan Computed Tomography Scan (CT Scan) yang dibuat sewaktu Amirah di kecemasan. Sambil membuka imej CT Scan digital itu, tangannya menunjukkan salah satu bahagian di tulang belakang pesakit tersebut.

“See this? Look at this L1 and L2 vertebra. There seems to be a burst fracture here. Look at this bony fragments enroaching the spinal canal” kata Mr Radhi memberitahu sambil mengajar MO yang turut berada di belakangnya.

“We need to order some MRI. I wanted to see the intervertebral disc, who knows if there’s any associated injury right there as well”, kata Mr Radhi.

Aku menjengah-jengah skrin komputer dan cuba menangkap apa yang diperkatakan oleh Mr Radhi. Apabila aku nampak sahaja gambar CT Scan tersebut, berderau darahku secara tiba-tiba. Kelihatan tulang belakangnya retak, serta ada serpihan daripada tulang tersebut yang menusuk ke hadapan, menghimpit sarah tunjangnya. Itulah sebabnya mengapa dia tiba-tiba berasa lemah dan kebas pada kedua-dua belah kakinya.

Ibu pesakit diberitahu mengenai keputusan CT Scan, dan pada hari itu juga Amirah mendapat kebenaran untuk dibuat magnetic resonance Imaging (MRI). Aku menyorong katilnya ke bilik radiologi bagi menjalani satu lagi prosedur. Aku amat bersyukur kerana permintaan untuk melakukan MRI secara urgent diterima oleh pakar radiologi. Hari itu berlalu tanpa ada apa-apa masalah serta perubahan pada Amirah.

Keesokkan harinya, sewaktu grand ward round, terdapat ramai doktor yang menyertai beserta kesemua doktor-doktor pakar melakukan rondaan bagi bertemu dan memeriksa pesakit-pesakit mereka. Sampai sahaja di katil Amirah, setelah Mr Radhi dan Mr Zul melihat keputusan MRI, mereka membuat keputusan bahawa Amirah memerlukan pembedahan. Setelah mereka berbincang sesama mereka, Mr Radhi menoleh ke arah Puan Kalsom.

“Begini puan, daripada scan ni, kita nampak ada himpitan pada saraf tunjang, akibat serpihan tulangnya yang patah ni”, kata Mr Radhi sambil menunjukkan gambar CT Scan yang terdapat di skrin laptop.

“Jadi, mahu tak mahu, kita memerlukan persetujuan puan untuk membedah pesakit ini. Pembedahan tulang belakang, yang mana untuk meredakan himpitan yang terdapat di sini, kerana inilah puncanya mengapa Amirah tak boleh berjalan dan berasa lemah”, sambung Mr Radhi.

Aku lihat wajah ibu Amirah mulai risau dan gelisah. Terpampang jelas kerisauannya, dan dalam mukanya yang bersedih, dia bertanya kepada doktor,

“Tapi mengapa teruk macam ni doktor? Orang lain, budak-budak lain jatuh tak pernah pula sampai tahap sebegini? Mengapa anak saya ni jadi teruk sangat?”

“Ya puan, memang betul. Untuk budak-budak berumur macam ni, mereka mempunyai tulang serta struktur tulang rawan yang kenyal dan tidak mudah patah berbanding orang dewasa. Tetapi, maaflah saya kata, kerana anak puan sendiri ini obese, dan apabila dia jatuh, hentakan pada tulang belakangnya apabila dia jatuh begitu kuat, jauh lebih kuat berbanding dengan orang lain”, kata Mr Radhi.

Sememangnya benar, kerana berat seseorang itu mempengaruhi kekuatan daya yang akan diterima saat mereka jatuh. Kombinasi berat pesakit, beserta ketinggian akan berganda-ganda impaknya apabila seseorang itu jatuh.

“Baiklah doktor, saya faham”, kata ibunya sambil mengusap-usap dahi dan rambut anak perempuannya itu.

Round diteruskan seperti biasa, dan lebih kurang jam 11.45 pagi, semua pesakit telahpun dilihat, diperiksa dan diberikan pelan rawatan. Aku mulai membuat tugasan-tugasan seperti menggantikan air dan tiub, serta mana-mana pesakit yang memerlukan pertolongan untuk bergerak.

Tiba-tiba aku dipanggil oleh ibu Amirah di luar wad, di balkoni. Aku berjalan melepasi Amirah yang sedang tidur nyenyak di atas katilnya.

“Misi, maafkan saya. Saya tak boleh simpan dah ni. Saya nak pecah kepala kalau saya tak luahkan kepada sesiapa”, katanya sambil menahan untuk menangis.

“Tak mengapa puan. Puan boleh beritahu saya”, aku menjawab sambil memegang tangannya.

“Ini semua salah saya, saya yang manjakan sangat anak-anak saya dengan jajan, benda-benda manis, air gas tu semua. Saya cuma tak sampai hati untuk melarang apabila mereka minta, sebab berkaitan dengan makan dan minum kan. Saya kesian tengok anak-anak saya, dan tanpa saya sedar, 3 orang anak saya, semuanya gempal-gempal belaka”, katanya sambil menangis teresak-esak sambil menyambung,

“Semua orang yang pernah jumpa saya dan suami saya, ada menegur dan ada juga yang menyindir, kata anak saya semua gemuk. Semua terlebih sihat. Saya bukan tak mahu larang, tetapi saya kesian”.

“Beginilah puan, benda dah jadi, kita dah tak boleh ubah. Saya cakap terang kepada puanlah, jika kita kesiankan anak-anak kita, tak semestinya kita perlu turuti sahaja kehendak mereka, sampai ke tahap membahayakan kesihatan”, aku berkata.

“Yalah, betul lah tu. Haish… Apabila saya balik nanti, saya bertekad tak mahu benda yang jadi tabiat ni berterusan. Insha Allah, ini satu peringatan juga untuk saya. Asalnya, saya berasa geram dan sangat marah kepada kawan-kawan Amirah yang bergurau sebegitu rupa, tetapi walaupun mereka salah, saya terasa Allah nak beritahu saya juga untuk menghentikan tabiat-tabiat buruk saya yang terlalu memanjakan anak-anak dengan makanan yang tak menyihatkan ini”, katanya membuatkan aku sendiri tersedar juga.

Dia mengucapkan terima kasih kepadaku kerana menjaga Amirah disamping meminjamkan telingaku untuk dia luahkan perasaannya. Aku masuk semula ke dalam wad, dan mula termenung sebentar. Pembedahan tulang belakang ini bukannya sesuatu yang mudah, maksud aku, bukan hanya setakat selepas bedah, kemudiannya pesakit boleh pulang dan sihat serta merta.

Sebaliknya, proses penyembuhannya akan memakan masa yang cukup lama, ditambah pula dengan rehabilitasi dan fisioterapi yang terpaksa dilalui oleh pesakit. Aku berdoa agar Amirah diberikan kesembuhan secepat mungkin. Peristiwa ini memberi aku pengajaran yang bermakna, dan sedikit sebanyak mengubah gaya dan cara aku membesarkan anak-anak aku.

Pulang sahaja ke rumah, aku bertekad untuk mengaplikasikan apa yang aku pelajari di hospital dan di kolej, yang mana dari segi diet, senaman dan lain-lain terhadap anak-anakku sendiri. Aku tidak ingin pelajari perkara sedemikian hanya sekadar untuk mengetahui teori dan menasihati pesakit semata-mata, tetapi untuk diri aku, keluarga aku dan anak-anak aku juga.

Aku juga ingin mendidik masyarakat di luar sana, mengenai gurauan-gurauan bodoh yang mana seseorang itu menarik kerusi saat ada orang yang ingin duduk, dan menyebabkan orang terebut jatuh terduduk merupakan sesuatu yang berbahaya sehingga ke tahap boleh melumpuhkan seseorang itu. Apabila aku terlihat ada beberapa orang mula berkongsi video-video gurauan sedemikian, yang mendapat jutaan perkongsian, jutaan komen dan jutaan likes, aku jadi marah dan geram.

Biarlah apa yang aku alami ini, dan buat sesiapa yang terbaca kisah-kisah sebegini boleh mendidik anak-anak dan keluarga mereka bahawa gurauan itu walaupun melucukan, tetapi silap tempat, silap haribulan, gurauan tersebut bertukar menjadi tragedi dan peristiwa hitam buat seorang insan. Aku cuma berharap masyarakat untuk tidak menggalakkan gurauan sedemikian serta mengecam mana-mana individu yang berbuat perkara sedemikian semata-mata untuk menjadi popular.

TAMAT…

——————————————————————————————————-

Disclaimer – Aku nak dikenali sebagai Farhana (bukan nama sebenar). Aku seorang staff nurse (SN) di sebuah hospital yang terletak di Pantai Timur. Entah bagaimana aku kenal agak rapat juga dengan Dr Ilzanno Sharky ni. Dia merupakan pelajar perubatan sewaktu itu, dan sebab mulutnya yang potpetpotpet tak macam pelajar perubatan lain, aku dan rakan-rakan aku mengenali dia.

Satu hari, aku terbaca confession demi confession yang dia tulis, dan aku tidak pandai menulis, tetapi mempunyai satu kisah di wad orthopaedic yang aku rasa amat menarik dan baik untuk dikongsikan kepada para pembaca semua, yang mana setiap fakta dan rentetan peristiwa telahpun aku kongsikan kepada Dr Sharky untuk dia tulis satu kisah yang aku rasa boleh memberi pengajaran dan manfaat kepada para pembaca semua.

– Ilzanno Sharky

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *