‘Guru’ Yang Dizalimi

Assalamualaikum wbt, saya Sara (bukan nama sebenar).

Terlebih dahulu saya ingin meminta maaf sekiranya penulisan saya ini kurang memuaskan, memandangkan ini adalah kali pertama saya menulis di IIUM Confession ini.

Terima kasih admin sekiranya penulisan saya ini disiarkan. Saya tampil untuk membuat penulisan ini selepas membaca banyak artikel yang menyentuh tentang isu guru dan gaji.

Merujuk kepada tajuk, saya pernah bekerja sebagai guru tadika selama 9 bulan di sebuah tadika swasta pada tahun 2016 sebelum menyambung pelajaran ke peringkat universiti.

Dan seperti biasa tugasnya seorang guru adalah mengajar, ini adalah pada pandangan kasar.

Namun, bagi yang pernah atau sedang bekerja dalam bidang ini pastinya tahu bagaimana peritnya bekerja sebagai seorang guru. Akan tetapi, semuanya berbaloi dengan melihat kejayaan murid-murid.

Begitu juga dengan guru yang mengajar di tadika, yang perlu berdepan dengan telatah murid-murid yang berumur 4-6 tahun. Pastinya lebih mencabar dan perlukan persiapan mental yang baik.

Semasa bekerja pada tahun 2016, gaji yang saya terima pada waktu itu adalah RM500 ringgit sahaja.

Daripada apa yang telah dibincangkan dengan pihak pengurusan selepas berjaya temuduga, pihak pengurusan akan menaikkan gaji selepas 6 bulan.

Tetapi hakikatnya, selepas bekerja selama tempoh 6 bulan, gaji yang saya terima masih sama iaitu RM500.

Bila bertanya dengan pihak pengurusan, jawapan yang diberi mengatakan bahawa prestasi saya adalah tidak memuaskan.

Hal ini disebabkan saya jarang turun mesyuarat dan program yang dibuat pihak pengurusan. Sebagai contoh, usrah dan sebagainya.

Dan untuk pengetahuan, saya tidak dapat turun ke mesyuarat atau program yang dianjurkan kerana lokasi tersebut sangat jauh dari tempat tinggal saya, dan saya perlu menaiki grab dengan tambang yang tinggi.

Melihat kepada gaji saya, sememangnya saya tidak dapat menghadiri kesemua mesyuarat yang dilakukan setiap minggu.

Pada waktu itu, gaji yang saya terima akan disimpan separuh untuk pengajian saya kelak, dan separuh lagi adalah untuk diberikan kepada orang tua saya.

Walaupun saya tahu bahawa gaji yang diterima adalah sedikit. Tapi, saya teruskan juga kerana ianya adalah minat saya untuk bekerja dalam bidang pendidikan.

Dan sekarang pada tahun 2021, saya merupakan seorang graduan yang masih belum mendapatkan pekerjaan tetap.

Buat sementara waktu ini saya hanya bekerja sebagai seorang guru ganti sehingga bulan April sahaja di tempat tadika yang saya pernah bekerja sebelum ini.

Apa yang mengejutkan saya, gaji saya pada bulan 1 hanyalah RM250 sahaja. Hal ini kerana, pada bulan 1 pembelajaran hanya dibuat secara atas talian.

Dan berdasarkan apa yang telah diberitahu kepada saya, gaji yang saya akan terima adalah RM400 sahaja.

Tambahan pula, apa yang lebih mengejutkan saya adalah gaji guru-guru yang bekerja di tadika ini adalah pada kadar yang tertinggi RM550 sahaja.

Saya tidak menyangkakan pada tahun 2021 ini masih ada yang bekerja dengan gaji sebanyak ini sahaja. Sangat jauh daripada gaji minimum yang sepatutnya.

Sungguh saya berasa simpati dengan ‘guru’ yang penat lelah mengajar dan mengerahkan tenaga untuk tadika hanya menerima gaji yang sedemikian.

Saya buntu, dan tidak tahu apa yang boleh dilakukan bagi perkara ini. Tambahan pula, guru-guru yang bekerja di tadika ini sangat suka dengan pekerjaan mereka,

Namun yang menyedihkan adalah gaji yang mereka terima. Apa yang boleh dilakukan dengan gaji yang sedemikian pada zaman ini?

Sikap pengurusan pula sangat tidak memuaskan, pada pemerhatian saya kebajikan guru-guru tidak dijaga dengan baik.

Pihak pengurusan mengerah tenaga guru-guru dengan melakukan pelbagai kerja yang tidak bersesuaian dengan gaji yang diberikan. Saya berasakan guru-guru ini telah dizalimi.

Secara kesimpulannya, saya hanya ingin para pembaca tahu bahawa masih ada di kalangan kita yang menerima gaji yang rendah. Tapi, tahap bekerja sama dengan mereka yang bekerja untuk gaji sebanyak RM1200.

Sekiranya para pembaca ada cadangan boleh nyatakan, saya akan baca. Dan saya memohon maaf sekiranya penulisan saya ini agak berterabur.

Terima kasih.

– Sara (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *