Hadiah Dari Ilahi

Apa perasaan kita bila kita terima hadiah dari kawan-kawan & keluarga? Mesti terasa indah di hati kan. Saya teringat pada kata-kata seorang kawan baik saya, “ko anggap je bekas suami ko bg hadiah cerai ni..”. Saya, “hadiah?”. Dia kemudian betulkan ayat dia, “Allah sebenarnya bagi ko hadiah melalui penceraian”. Saya hanya diam.

Setelah sebulan berlalu, rasanya baru betul-betul faham apa maksud hadiah dari Allah ini. Perbualan dengan makcik saya semalam yang mengasihi nasib saya yang melalui kegagalan rumahtangga, saya cakap, “takpe cik, ini hadiah dari Allah SWT”, teringatkan dialog kawan baik saya. Balik dari rumah makcik saya, saya chat dengan junior saya, entah kenapa tiba-tiba datang ilham dari Allah SWT berkenaan hadiah. Allahu, rasa sangat indah bila mengenangkan, jika kita anggap segalanya positif, Allah akan hadirkan ilham dan segala macam yang positif. Rahmat Allah jua.

Selesai bergraduasi dari universiti 11 tahun lepas, Allah tahu bagaimana saya menjaga diri dalam ketaatan dan kesabaran untuk tidak terjebak dengan maksiat, tapi calon suami tidak kunjung tiba. Pelbagai usaha dilakukan, doa dan minta kawan-kawan terdekat carikan calon suami, akhirnya 8 tahun lepas, Allah taqdirkan saya berkahwin melalui calon pilihan makcik sebelah ibu. Ini HADIAH dari Allah untuk saya. Hadiah ini terbaik untuk saya pada waktu itu.

4 tahun berkahwin tidak dikurniakan anak. Pelbagai juga usaha dilakukan dan doa diajukan. Akhirnya, Allah beri juga HADIAH kepada saya seorang anak lelaki. ini hadiah terindah dari Allah untuk kami suami-isteri.

Dan apabila panas yang disangka berpanjangan, rupanya hujan di tengahari. Hadiah yang Allah beri kepada saya 8 tahun lepas sudah “rosak”. Rosak oleh kerana tiada persefahaman dan kasih-sayang lagi. Allah tarik kembali hadiah 8 tahun lepas yang sudah rosak, dan Allah ganti dengan HADIAH penceraian. Hadiah cerai ini terbaik untuk kami pada waktu tersebut.

17 bulan sudah berlalu selepas Allah beri hadiah cerai. Banyak lagi hadiah-hadiah lain yang Allah beri kepada saya samada sedar atau tidak, samada saya minta atau tidak, tapi saya hanya fokuskan hadiah -hadiah berkenaan kekeluargaan di dalam confession ini. Dan saya yakin, akan ada banyak lagi hadiah-hadiah yang Allah akan beri kepada saya, pasti hadiah itu sangat surprise dan unexpected, berbungkus dan dialamatkan kepada saya.

Readers, ketahuilah sebenarnya Allah sudah banyak sangat beri kita hadiah dan nikmat. Walau pada ketika itu rasa ujian sangat tapi itu adalah yang terbaik untuk kita, sebab Allah tidak akan membebankan kita kalau kita tak mampu. Jadi readers, mintalah apa sahaja dari Allah SWT kerana Dia sahajalah yang Maha Memberi segala-galanya. Kerana Allah SWT sangat sayang kepada kita, hamba-hambaNya yang beriman.

– Hannah

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit