Hai Anak

Assalamualaikum semua. Dari zaman aku belajar universiti seawal tahun 2000 sudah ada student yang ada sugar daddy.

Yang aku nampak, masing-masing mengejar kemewahan. Rasa gah dapat handphone canggih, baju beg kasut branded. Mak ayah kat kampung tak tau. Anak jenis panjat pagar pergi clubbing, minum dan kena angkut jejantan tu semua.

Zaman sekarang, aku tengok dah takde malu segan silu upload kat media sosial. Dengan tiktoker, instafamous, dll. Rasa hebat sangat usia muda hidup dah di sponsor sugar daddy. Kalau tak di sponsor pun, rasa hebat ada duit kat tangan.

Rata-rata orang bercakap budak sekolah dah tak ada dara. Video viral cium budak sekolah bersepah. Aku rasa masyarakat makin hancur. Takut nak membesarkan anak zaman sekarang.

Anak aku sekarang yang sekolah agama pun, aku tengok perbualan kawan-kawan dia tak macam budak diberi didikan agama.

Mak ayah ada yang bukan background agama, hantar agama belajar agama. Di rumah tak ada pemantauan. Mak ayah sibuk bekerja. Sampai mana aku boleh larang anak aku daripada terjebak? Kuat mana aku untuk bagi nasihat kat anak-anak?

Aku tengok contoh keluarga aku sendiri. Bukan takde adik beradik yang bermuka-muka dengan mak ayah aku. Kat rumah pijak semut tak mati. Baik, bercakap lembut, sopan. Mak ayah aku memang akan lebihkan.

Aku ni maaf cakap lah aku benci kezaliman, sebab selalu kena tindas dengan adik beradik kan. Aku jenis straight forward. Memang mak aku anti dengan aku sebab aku melawan dia cakap. Bagi dia aku melawan, bagi aku, aku menerangkan, haha.

Awal-awal aku mengalah, tapi sampai bila nak mengalah kalau tak betul? Bila melawan, mak aku tak suka. Mak aku lebih percayakan anak yang nampak baik di mata dia. Sampai sekarang aku bukan favourite child. That’s another story.

Aku tak nak la anak-anak aku baik kat depan aku sebab takut aku. Nak manja kan lebih sangat sampai jadi best friend, takut anak tak hormat. Nak strict sangat takut anak memberontak.

So far aku masih bertegas dengan anak, ada time aku bergurau, reward, jadi best friend. Dan lebih bagi explanation, bagi logik, supaya anak aku berfikir sendiri baik buruknya bila aku larang sesuatu. Especially bab pergaulan dan hala tuju hidup.

Biarlah anak aku tak laju dan open macam kawan-kawan yang lain bab pergaulan. Innocent tapi bukan bodoh. Aku masih lagi percaya kalau kita jaga diri kita, Allah akan jaga kita.

Aku ni old school, kalau berkawan pun geng yang famous, berfashion, melawa tu semua tak nak kawan dengan aku punya. Jenis aku ni dicop boring. Aku takde BFF. Kalau dah takde orang sangat, baru diorang kawan dengan aku. Selalu orang ingat aku innocent, senang kena tipu.

Tapi alhamdulillah aku pandai bawa diri dan kehormatan diri. Mak aku tak ajar sangat pun dulu. Mungkin pembelajaran dari pemerhatian aku sendiri.

Aku suka analisa orang dan keadaan sekeliling. Aku dah mengembara beribu batu, alhamdulillah diri aku terjaga. Memang aku syukur kepada Allah.

Kalau ikut aku nak tergelincir, banyak kali boleh sangat dah. Jauh daripada mak ayah. Aku pun bukan takde rupa, petik jari beratur juga. Haha.

Even dah berkahwin pun ramai lagi nak tackle, kalau aku pilih nak curang dengan suami dan abaikan anak-anak pun boleh sangat dah. (terpaksa jujur haha) Tapi kenapa entah berat hati ni. Mungkin rasa sayang aku kat Allah lebih lagi daripada segalanya.

Tu je lah kebaikan yang aku ada. Yang buruk tu banyak je. Aku harap anak-anak aku pun nak buat apa-apa ingat kat Allah. Biar Allah jadi kekasih utama di hatinya. Tak sayang aku takpe, tapi sayang Allah. Letak Allah tempat teratas.

Kalau pun aku tak nampak apa benda dia buat, Allah nampak. Dia boleh tutup, pusing, apa saja cerita untuk orang percayakan dia, tapi Allah tahu kebenarannya.

Dulu mak aku selalu cakap, aku kenal anak aku sebab dia yang mengandung dan melahirkan. Tapi pengalaman aku membesar, mak aku tak kenal aku. Dia tak tau apa dalam hati aku. Acap kali dia bersangka yang bukan-bukan pasal aku.

Jujur walaupun aku dah beberapa kali mengandung dan bersalin. Aku tak tahu apa ada dalam hati anak-anak aku. Aku boleh perhatikan tingkah laku dia, tapi aku tak tahu apa niat dan rasa hati sebenar dia. Hanya Allah yang tahu. Sebab tu biarlah Allah dalam hati dia dulu.

Aku juga harap kita mak ayah boleh tegur apa anak salah, puji bila dia betul. Bukan biarkan diri dia hanyut dengan diri sendiri. Sama-sama menegur dan berpesan.

Lebih baik mencegah daripada merawat. Tak valid dah ayat kubur masing-masing. Ayat kubur masing-masing ni takde dalil.

Antara hadis pertama yang aku belajar masa sekolah dulu adalah Addinnun nasihah. Bermaksud agama ini adalah nasihat. Itulah antara teras kepada pembinaan masyarakat. Boleh cari maksud Mutiara hadis ni..

Random thought,

– Nurani (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *