Haiwan Ternakan Yang Menyusahkan Jiran

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Aku percaya, kita semua telah dididik tentang adab berjiran dan menghormati jiran tetangga sejak dari tadika, prasekolah, sekolah rendah sehinggalah di sekolah menengah.

Namun, nampak gayanya silibus pendidikan di negara kita tentang adab berjiran ini kurang berkesan walaupun sudah ditekankan betapa pentingnya adab berjiran ini.

Aku tinggal di sebuah kampung yang mana terdapat segelintir penduduknya yang dimurahkan rezeki untuk mempunyai haiwan ternakan seperti lembu, kambing dan ayam kampung.

Lazimnya rumah-rumah di kampung ini tidak mempunyai pagar yang melindungi setiap buah rumah.

Jiran-jiran aku di kampung ini yang Allah S. W. T murahkan rezeki mereka untuk mempunyai harta iaitu haiwan ternakan yang kebiasaannya lebih daripada lima ekor, rata-ratanya mengamalkan sikap yang boleh aku katakan ‘selfish’.

Kenapa aku labelkan mereka ini selfish?

Sebab kebanyakan pemilik haiwan ternakan di kampung ini tiada initiatif untuk mencari sendiri rumput sebagai sumber makanan buat haiwan ternakan mereka iaitu lembu dan kambing.

Mereka lebih memilih untuk melepaskan haiwan ternakan mereka ini bebas berkeliaran memasuki halaman rumah jiran-jiran yang lain.

Tidak kira siang mahupun malam, haiwan-haiwan ternakan ini akan dibiarkan bebas oleh si pemiliknya untuk makan tumbuh-tumbuhan,pokok buah-buahan, dan pokok bunga yang ditanam oleh jiran-jiran yang lain.

Yang lebih ‘bestnya’ haiwan ternakan mereka ini akan meninggalkan ‘hadiah’ berbentuk najis lembu, najis kambing di halaman rumah jiran-jiran tersebut.

Sudahlah tanaman dimakan, siap tinggal pakej najis yang perlu dibersihkan oleh tuan rumah itu lagi.

Pulak tu , tanpa rasa bersalah sedikitpun pemilik haiwan ternakan ini dengan selambanya datang bertanya sama ada nampak atau tidak haiwan ternakkannya kepada tuan rumah yang tanamannya sudah dimakan oleh lembu kambing itu, dan najis masih bertompok-tompok di laman rumah.

Bukan seorang sahaja pemilik haiwan ternakan yang begini perangainya di kampungku. Kebanyakan yang mempunyai haiwan ternakan di kampung ini memang bersikap begini.

Setakat ini jiran seperti aku yang tidak punya apa-apa kuasa,pangkat dan harta masih mampu bersabar. Tapi sabar setiap manusia ada hadnya. Ingatlah itu.

Haiwan ternakan itu tak bersalah kerana mereka tidak punya akal untuk berfikir tentang mana yang betul dan mana yang salah.

Kita manusia yang Allah dah kurniakan akal fikiran dan ditambah dengan rezeki yang melimpah ruah ini, perlu mensyukuri nikmatnya dan jangan sampai harta kekayaan kita iaitu haiwan ternakan yang kita lepas bebas berkeliaran ini menjadi asbab dosa untuk kita. Ingatlah itu wahai pemilik haiwan-haiwan ternakan di luar sana.

Begitu juga buat pemilik haiwan ternakan yang melepaskan haiwan ternakan berkeliaran di jalan raya. Kerana sikap lepas tangan dan pentingkan diri sendiri seperti anda ini, nyawa yang tak berdosa boleh melayang.

Semoga kita semua menjaga adab sebagai seorang jiran, menghormati jiran yang lain dan jadi lah jiran yang baik demi kemaslahatan dan keharmonian dalam masyarakat kita.

– Teratai

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *