Haji 2024

Assalamualaikum. Melihat post-post panggilan Kursus Asas Haji yang sudah bermula di masjid-masjid terpilih seluruh negara, saya terfikir untuk berkongsi pengalaman mengerjakan ibadah haji tahun ini (2024).

Maka coretan saya khas sebagai kenangan dan panduan bagi mereka yang terpilih menunaikan haji tahun depan. Semoga bermafaat..

Saya menunaikan haji di bawah Tabung Haji (muasassah). Kita tau ianya tidak mewah seperti pakej haji di bawah Pengelola Jemaah Haji swasta (PJH), namun muasassah banyak keistimewaan tersendiri.

Saya mendaftar haji 2008/2009 pada umur awal 20an. Giliran haji adalah 2024 (di usia hujung 30an). Mereka yang tidak atau belum terpilih boleh mengemukakan rayuan tapi perlu membayar harga penuh RM33k tanpa subsidi. Masih jauh murah berbanding pakej PJH.

Saya pergi bersama adik & sepupu perempuan yang segiliran, tanpa suami masing-masing atas bermacam faktor. Suami saya tak turut serta kerana tidak segiliran, kekurangan dana dan mengambil tugas menjaga anak2 kami (terima kasih tak terhingga buat suamiku atas keizinan). Sedih, tapi tak mengapa lah.

Kelebihan pergi tanpa suami memudahkan kita untuk menyusun jadual pergerakan sendiri & manfaatkan ‘me-time’ dan fokus beribadah. Lagipun tak duduk sebilik pun dengan suami, masa akan banyak habis dengan roommate masing2 juga.

Apa beza haji dan umrah? Dari segi ibadatnya, kerja-kerja umrah hanya meliputi tawaf, saie dan bergunting (semuanya di Makkah) dan boleh selesai dalam beberapa jam saja.

Kerja-kerja haji pula akan bermula dia luar Makkah untuk beberapa hari (wukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah dan melontar Jamrah di Mina) sebelum kembali semula ke Makkah untuk tawaf dan saie.

Tempoh berada di tanah suci menjangkau 42 hari – 47hari. Haji juga perlu dikembarkan dengan ibadat umrah, maknanya wajib mengerjakan umrah juga walaupun sekali samada sebelum atau selepas haji.

Kerja2 haji yang sebenarnya bermula dari hari wukuf hingga selesai hanya mengambil masa 5-7 hari saja. Dah tu kenapa pergi sampai lebih lebih 40 hari?

Sefaham saya, negara yang mendapat kuota jemaah yang tinggi (jemaah muasassah Malaysia lebih 30ribu orang) memang tempoh stay lama sebab urusan penerbangan puluhan ribu jemaah tu perlu disesuaikan dengan jadual penerbangan yang terhad (betulkan kalau salah).

Jumlah pergerakan jemaah Malaysia hampir 100 kumpulan (dipanggil KT), bermakna ada 100 penerbangan. Nak gerakkan 100 penerbangan ni perlukan lebih sebulan untuk penggiliran.

Tapi untung lah, sebab ini lah masa kita mempersiap diri, menggandakan ibadat sebanyak2nya berbanding pergi umrah.

Saya antara KT terawal berangkat. KT awal2 ni biasanya akan ke Madinah dulu. Tak terlalu lama hanya dalam 6-7 hari saja. Hotel dari masjid Nabawi boleh dikira dekat walaupun bukan betul2 depan masjid, suasana hotel masih ala2 pelancong.

Semasa saya tiba di Madinah, suasana masih lengang, tidak padat. Nak tunaikan solat 5 waktu di masjid tidak terlalu sesak.

Sebab nak cerita pasal haji, saya skip saja lah pengalaman Madinah. Kita terus ke Makkah ya.

Dari Madinah ke Makkah naik bas yang cukup selesa, lebih kurang 6jam perjalanan. Kalau PJH mungkin anda berpeluang naik keretapi laju. Sama seperti perjalanan umrah biasa, kami niat umrah pertama (umrah wajib) di masjid Bir Ali.

Sampai Makkah, check in hotel dulu. Disambut dengan taburan bunga dan pelbagai cenderamata oleh pihak Masyariq (muasassah). Rasa macam VIP hehe.. dan cabaran manis bermula di sini.

Selalu masa umrah hotelnya dekat2 sekitar Masjidil Haram. Ada yang bertuah dapat hotel nampak Kaabah. Tapi haji muasassah hotel tidak la dekat ya, paling dekat pun 500m, paling jauh dalam 1km.

Saya ditempatkan di Hotel Land Premium, hampir 1km, antara paling jauh dari Masjidil Haram. Tu sebenarnya sampai dataran je, kalau menapak jauh ke dalam masjid mungkin dlm 1.5km.

Keadaan bilik, tengok hotel juga lah. Kalau Land Premium ni memang hotel lama, bilik tak secantik hotel Madinah. Tapi masih sangat menyelesakan.

Sebaiknya jangan cuba ubah kedudukan katil, sebab katil hotel disusun supaya beg/luggage boleh disimpan di bawah katil. Ini memudahkan jemaah mengambil barang masing dan menjimatkan ruang.

Selepas berehat dalam beberapa jam lepas check in, berkenalan dengan kawan2 sebilik, kami turun untuk mendengar taklimat dan mula bergerak ke Masjidil Haram untuk melakukan umrah wajib.

Musim haji kita kena set minda perlu banyak berdikari, kalau boleh cari geng yang dah pernah buat umrah jadi dah tau serba sedikit. Elakkan terpisah daripad keluarga/ saudara/ rakan.

Ada mutawif arab akan iring tunjuk jalan dari hotel tapi biasanya separuh jalan jemaah Malaysia dah mula ‘berterabur’ ikut kaki masing2. Maklumlah nak berjalan pun 1km, pace masing2 tak sama. Nanti sampai masjid memang kena tahu sendiri apa yang perlu dibuat.

Kalau umrah kumpulannya lebih kecil, mutawif boleh iring sepanjang masa. Hari2 pertama mungkin blur lagi dengan jalan dan pintu masuk. Tapi 2-3 hari ok la.

Mujurnya jalan dari Hotel Land Premium boleh kata landai, kalau bukit pun tak terasa. Ada lalu lot kedai yang banyak kedai 2riyal, air tebu, shawarma.. Boleh la cuci mata atau beli barang keperluan.

Biasa kalau buat umrah, hampir setiap waktu solat jemaah di masjid. Tapi jangan terkejut kalau musim haji tidak begitu. Memanglah kalau boleh kita nak solat 5waktu di Masjidil Haram, tapi faktor jarak dan cuaca musim panas (lebih 40c, kalau di Arafah dikabarkan boleh cecah 50c),

Jemaah digalakkan ke masjid utk sebahagian waktu saja. Contohnya maghrib, isyak, dan subuh. Zohor & asar kurang digalakkan sebab sangat panas nak berjalan jauh.

Tak kurang juga jemaah yang demam. Lagi2 nak dekat hari wukuf, jemaah digalakkan menjaga kesihatan sebab tenaga sangat diperlukan sepanjang masyair (Ararah, Muzdalifah & Mina). Kalau tak ke masjid, boleh solat jemaah di surau hotel atau mana2 masjid kecil yang lebih dekat.

Waktu yang saya suka ialah selepas subuh, sewaktu menunggu dhuha & dhuha. Waktu orang sibuk cari sarapan, mataf agak lengang. Seronok buat tawaf sunat & solat depan kaabah.

Disebabkan kami KT awal, Makkah masih lengang. Nak bergerak ke mana2 masih mudah. Hotel Land Premium ada 13 tingkat, nak turun naik lif masih laju. Kalau rasa malas berjalan ke masjid, boleh ambil teksi.

Makin hari kedatangan jemaah semakin meningkat, keadaan akan jadi sangat2 sesak. Nak turun naik lif hotel memang kena menunggu lama sebab hampir sentiasa penuh. Kena banyak sangat sabar.

Jalan ke masjid sudah mula banyak ditutup menjelang waktu solat. Teksi pun dah tak boleh lalu, terpaksa berhenti jauh (tapi bayarnya penuh dan tambang makin mahal)

Macam kami ni, pintu masjid terdekat ialah pintu 79, tapi polis selalu tutup jalan & pintu masuk. Jadi ada masanya perlu terus menapak ke new expansion nun di belakang masjid sana. Nak solat subuh pun perlu keluar seawal 2.30pagi.

Dalam masjid pun ada escalator atau tangga yang sering ditutup sana sini, kena pusing cari jalan keluar yang lain. Bertolak, berasak, kena rempuh tu perkara biasa.

Kalau sedang tawaf di mataf, sentiasa bersedia terutama dekat lampu hijau tempat jemaah keluar masuk untuk mula/tamat tawaf. Sini ‘traffic’ kadang2 ‘stand still’.

Rempuhan pun agak kuat sebab jemaah negara lain yang berjalan seperti ‘keretapi’ gemar keluar masuk tawaf dengan cara menahan arus, berbanding jemaah Malaysia yang sangat sopan, keluar masuk semua slow2 je ikut arus. Sabar sangat perlu waktu2 begini. Senyum saja, inilah warna warni pengalaman haji.

Bila keadaan makin sesak, ada masa iktikaf di Masjid juga tak dibenarkan. Tak pasti kenapa mungkin jumlah jemaah sudah melebihi kapasiti masjid.

Kami ada sebulan menunggu hari wukuf. Masa yang ada digunakan sebaiknya menggandakan ibadah. Nak buat umrah sunat banyak kali pun boleh, tapi kebanyakannya bergerak sendirian.

Boleh pakat 4-5 orang untuk naik teksi ke miqat Tanaim, ada juga yang organize bas tak rasmi. Jemaah boleh berkomunikasi dalam wasap group KT masing2 untuk salur atau dapatkan info.

Sebab tempoh berada di Mekah agak lama, saya ambil peluang merasa solat di pelbagai tempat. Di ruang solat pintu King Fadh (pintu 79), mataf, tingkat 1, rooftop dan kawasan new expension.

Kalau tak sempat masuk masjid, boleh solat di surau Clock Tower Tingkat P10 (kalau malam ada view masjid yg cantik) atau surau Safwa Tower, di sini memang ikut imam Masjidil Haram juga.

Aktiviti2 selain ke masjid pun macam2. Paling famous ialah ‘melontar’ (istilah untuk shopping). Tempat ‘melontar’ terdekat masjid ialah Safwa Tower atau basement Clock Tower. Sini org suka beli sejadah tulis nama, jubah, minyak wangi dan coklat.

Kalau nak beli barang keperluan dekat2 masjid tu, boleh ke Bin Dawood di Clock Tower tingkat bawah, Abraj Hypermarket di Clock Tower tingkat atas, Danube di Kurdi Bus Station atau Carrefour di Makkah Tower yang dekat escalator cantik mengadap masjid tu. Nak ‘melontar’ jauh sikit pun boleh ke Souq Kakkiyah atau Souq Jumlah. Yang ni kena naik transport la.

Aktiviti lain boleh juga seperti menziarahi Muzium Biografi Rasulullah di P2 Clock Tower (bayarkan kalau tak salah SR70 seorang, kalau datang berkumpulan lebih murah). Muzium ni banyak 3D effect & ada mutawif bawa tour muzium. Boleh minta mutawif Indonesia supaya mudah faham. Terasa real seperti berada dalam rumah Rasullullah!

Nak ke Gua Hira pun bagus, boleh pilih nak mendaki atau cuci mata saja di kaki Jabal Nur. Dulu kalau mendaki Gua Hira seingat saya tempatnya lain, tapi sekarang ada kawasan kaki Jabal Nur sudah dibangunkan sebagai ‘Hira Cultural District’. Ada muzium juga, tempat2 makan dan cenderamata.

Boleh mula mendaki dari kawasan ni, treknya lebih jauh daripada trek lama tapi lebih mudah sebab bertangga. Mendaki seeloknya malam sebab lebih sejuk dan sangat cantik pandangan dari atas. Kalau tak mampu mendaki, boleh bergambar di replika Gua Hira dalam muzium, jadilah buat raso2 hehe..

Tabung Haji ada organize juga trip2 luar sebegini, dengan bayaran tambahan. Cuma seingat saya kami yang KT awal ni tak dibenarkan ke Taif, apa sebab nya saya tak pasti. Ramai gemar bergerak sendiri sebab tak terikat dengan waktu org lain.

Transportation jenis kereta – boleh pilih samada teksi ataupun Uber. Teksi selalunya yg bawa tu orang Pakistan atau Bangladesh. Bahasa Inggeris mereka lebih baik jadi komunikasi lebih mudah. Harga kena pandai tawar, tapi menjelang hari wukuf akan mencanak2 tambangnya.

Kalau Uber, kena install apps dulu, driver kebanyakan memang orang Arab dan kereta pun lebih selesa. Harga pun boleh tengok dalam apps awal2 dan selalu ada diskaun. Cuma driver Arab kurang berbahasa Inggeris, seeloknya prepare google translate.

Makan bagaimana? Dengan muasassah ni makan 2x sehari saja iaitu tengah hari dan malam. Makanan dalam bentuk pek diedarkan setiap tingkat hotel. Ambil pada waktu yang ditetapkan & makan di bilik masing22.

Yang datang dengan keluarga atau suami yang berlainan bilik, boleh makan bersama di kerusi2 luar bilik. Sarapan boleh dibeli di kafe hotel atau sekitar hotel. Sekali sekala boleh ubah selera makan di Safwa Tower atau Clock Tower.

Duit? Dah duduk lebih sebulan memang kena bersedialah dengan perbelanjaan yang agak tinggi. Faktor jarak dan masa kadang2 buat kita tak sempat makan pek muassasah, jadi beli saja di luar. Dua keping roti canai kuah dal di restoren D’Saji Safwa Tower SR10 bersamaan RM13. Nasi atau set hidangan berat dalam SR20 sepinggan/mangkuk.

Air zamzam memang free flow di masjid. Tapi sebab tak berkesempatan solat setiap waktu di masjid, tak banyak tapau stok air tapi mahu teguk sebanyak2 air zamzam, boleh beli saja di hotel dengan harga sebotol SR15 untuk 5liter.

Habis duit ke dobi pun boleh tahan. Yelah lebih sebulan di sana, pastinya perlu membasuh pakaian. Walaupun hotel Land Premium menyediakan 10 buah mesin basuh semi-auto di rooftop, tapi ada hari tak berkesempatan menunggu giliran.

Kalau ada baju yang tebal dan berat, cara mudah hantar dobi saja. Kebanyakan pengusaha adalah warga Bangladesh, ada servis ambil dan hantar ke hotel dengan caj SR15 sekilo. Mahal? Kalau dah tak larat membasuh pejam mata saja lah.

Total perbelajaan (duit poket) untuk seorang dalam ribuan ringgit juga la. Belum beli bermacam2 buah tangan utk keluarga, sedara mara, rakan taulan lagi. Hantar pos ke Malaysia boleh cecah beratus riyal. Kaunter pos di hotel ada, di Safwa Tower pun ada. Sedia wang saja.

Tak perlu bawa cash banyak2, boleh cucuk di mesin ATM dengan tiada caj (pastikan guna kad Bank Islam purposely untuk haji). Nak bawa balik sendiri, berat luggage hanya terhad 30kg seorang. Tapi beringatlah untuk bersederhana membeli, jangan sampai membazir.

Apa-apa pun, jangan lupa sediakan wang untuk infaq ya.

Alamak panjang nya, ok la terus ke masyair (perjalanan haji di Arafah, Muzdalifah & Mina).

Pastikan diri bersedia fizikal & mental sebelum menempuh masyair. Kita akan menempuh keadaan kusut masai, berlengas dan sangat letih.

Bawa barang seminimum mungkin walaupun kita tau orang perempuan memang susah nak sikitkan barang haha. Makanan2 retort tu tak perlu bawa pun, kat sana banyak sangat makanan, tak sempat pun nak makan bekal sendiri.

Sehari sebelum wukuf, jemaah akan bergerak dari hotel Makkah ke Arafah. Jarak lebih kurang 22 km tapi boleh cecah berjam juga untuk sampai disebabkan roadblock atau jalan tutup dan sebagainya.

Di Arafah memang duduk dalam khemah, ada tilam masing2 tapi tak lebar, cukup2 untuk baring mengiring saja. Di sinilah nak tidur, nak makan dan nak solat. Solat boleh jamak, jadi sehari 3x solat sahaja.

Tandas pastinya kena beratur panjang, kalau setengah jam dapat turn kira sangat laju la tu. Ramai ambil kesempatan mandi tapi berpada2lah. Set dalam minda masyair memang waktu untuk kita berkusut masai pun, tak mandi pun takpe asalkan bersih, dapat bersuci pun jadi lah.

Botol spray wuduk wajib bawa, memang tak sempat kalau wuduk di tandas. Tapi pastikan tau cara wuduk yang betul ya, sembur di muka biarkan air mengalir, jangan sembur atas tapak tangan & sapu muka sebab takut jadi air musta’mal pula.

Berada di Arafah 1 malam saja. Di sini lah kemuncak haji, berdoa sebanyak2nya sebab ini lah waktu paling mustajab. Ramai yang suka berdua di luar khemah, cari port bentang tikar. Kalau tak tahan cuaca sangat panas, boleh saja duduk dalam khemah. Air cond memang tak rasa mana, elok bawa kipas kecil masing2.

Jemaah muasassah memang stay dalam kawasan khemah saja. Kalau PJH atau negara lain mungkin berpeluang memenuhi bukit Arafah, yang macam kita tengok dalam gambar ramai2 berwukuf bawah langit terbuka, feeling haji tu memang lebih la.

Tak pelah, duduk area khemah pun ok yang penting gunakan waktu terbaik ni submit doa banyak2.

Petang 9 Zulhijjah bergerak ke Muzdalifah. Muzdalifah ni padang luas yang disediakan carpet. Di Muzdalifah ada juga toilet, kalau rezeki sampai awal toilet masih lengang, boleh la ambil masa untuk bersihkan diri. Apa nak buat di Muzdalifah ni? Berehat dan tidur.

Sebahagian besar kawasan di bawah langit terbuka, tapi kalau tepi2 boleh duduk bawah bumbung. Anak batu untuk melontar & uncang memang disediakan oleh pihak Masyariq tapi nak ambil pahala sunat kutip batu pun digalakkan.

Lepas tengah malam baru bergerak ke Mina. Di sini lah cabaran Haji paling tinggi..

Di Mina, khemah nampak lebih proper, dinding siap ada pintu sliding. Tapi cabarannya iaah size yang sangat kecil & padat berbanding Arafah.

Beg2 samada hujung kepala atau hujung kaki, memang bertindih2. Tiada lorong kosong untuk berjalan, kena langkah saja beg2 atau jemaah yang baring. Kalau boleh cubalah minimakan barang, dapat bawa 1 beg seret TH tu jadi lah.

Kat situ lah tidur, rehat, makan dan solat. Kalau nak solat, memang orang kiri kanan perlu mengalah untuk beri ruang, tak semua boleh baring serentak. Makanan memang banyak makanan diberi sampai berlebih2. Nak makan banyak pun kurang selera sebab nak bergerak pun terhad. Lagipun takut kerap ke toilet.

Cabaran toilet lebih kurang Arafah saja. Seingat saya, saya hanya mandi sekali selama 3 hari di Mina. Yang penting pakaian dalam terutama panties perlu kerap ditukar. Pakai disposable panties saja lebih mudah. Ambil wuduk guna spray dalam khemah cukup, tak berbaloi nak beratur panjang.

Saya tak pasti orang lain, tapi sepanjang haji saya rasa discharge keputihan sangat kurang. Allah mudahkan pergerakan kita. Kalau waswas, guna cotton ball supaya discharge tak turun dan kita boleh tahan berkeadaan suci.

Teringat saya moment lucu pasal tandas Mina ni. Ada 1 sistem yang terwujud dgn sendirinya semasa berbaris. Biasanya orang yg paling depan menunggu akan jadi ‘tukang annouce’ berapa tandas dan bilik mandi yang baru available (pengguna baru keluar). Tandas ada 2 jenis – cangkung dan duduk.

Sekejap2 akan ada laungan announcement dari depan. “Cangkung 2! Duduk 1! Mandi 1!”. Maka bergeraklah barisan hadapan mengikut hajat masing2.

Tapi ada juga yang pandai2 cipta sistem angkat tangan walaupun dia di belakang. Dengar saja announcement terus dia angkat tangan “SAYA!!SAYA!!” dan terus bergerak ke depan. Jangan begitu hajah..kat depan kan ramai menunggu, kadang2 diorang tak angkat tangan pun sebab terus bergerak. Jadi yang di belakang kena bersabar ya.

Isu potong barisan, potong giliran, rungutan dan sebagainya memang sukar lari sebab kita manusia biasa. Memang perlu banyak bersabar.

Namun kena faham juga, jangan cepat melabel orang komplen sebagai kurang sabar. Komplen ni tidak semua membawa maksud rungutan tapi teguran kepada salahlaku jemaah yang mementingkan diri. Juga untuk penambahbaikan pengurusan. Tapi nak menegur pun kena ada caranya.

Dalam whatsapp group dan FB group isu begini sangat kerap didebatkan. Tak nafikan sabar sangat penting, tapi bila hak kita ‘dirampas’ oleh yang pihak yang mementingkan diri, jangan lah anggap aduannya itu seperti rungutan kurang sabar. Tak salah pihak teraniaya bersuara mempertahankan hak mereka, asal kena dengan caranya.

Ok masuk bab melontar Jamrah. Sebaik2nya ikutlah jadual melontar yang ditetapkan oleh TH untuk mengelakkan kesesakan dengan jemaah negara lain. Kalau nak pergi sendiri pun boleh, tapi seeloknya berkumpulan.

Perlu berjalan sejauh 3.5km pergi dan 3.5km balik melalui beberapa terowong. Ada walkalator, tapi 1 pun tak berfungsi. Dalam terowong, tekak mudah terasa kering dan payau disebabkan atmosfera terowong, bawa air secukupnya dan botol spray untuk sembur muka bila panas dan penat.

Tiada kerusi di kiri kanan jalan untuk berehat tapi hujung setiap walkalator ada bangku batu boleh la duduk rehat sekejap.

Kalau perlu, bawa ‘telescopic stool’ yang boleh ditarik untuk dijadikan kerusi mudah alih (bawa dari Malaysia, harganya RM15 saje di Shopee. Kalau di Mekah harganya SR50 (lebih kurang rm65). Tandas pun tiada sepanjang perjalanan, tawakal lah supaya tak datang hajat.

Batu & uncang memang disediakan, tapi pek kan siap2 7biji supaya kita tak tersilap kira lontaran. Cuba melontar sedekat depan kawah, elakkan melontar di belakang sebab sangat banyak batu bertaburan di luar kawah akibat lontaran yang tak masuk. Takut tak sah pula ibadat kita.

TH akan tentukan KT mana yang Nafar Awal atau Nafar Thani. Kami dapat Nafar Awal, bermakna kami boleh pulang awal dan hanya perlu melontar 3 kali atau 3 hari saja (anggaran berjalan kaki 21km). Untuk yang Nafar Thani, perlu tenaga lebih untuk trip melontar hari terakhir tapi masa ni suasana dah mula lengang, rasa lebih rileks.

Ada juga jemaah yang ‘curi2’ balik ke mekah untuk tawaf dan saie dulu sebelum melontar Hari Tasyrik. TH tak halang tapi risiko tanggung sendiri. Sebaiknya elakkan. Sebab dah terjadi jemaah yang terpaksa berjalan kaki berpuluh km akibat jalan tutup (Saudi mengetatkan perjalanan musim haji sebab terlalu ramai jemaah DIY yang tiada visa haji).

Nak ambil teksi, diketuknya ratusan riyal. Sampai Masjidil Haram, perlu tergesa2 tawaf & saie (sama saja sesaknya) kemudian rush pula kembali ke Mina dalam waktunya untuk sambung melontar. Ada yang bernasib baik perjalanannya mudah, tapi rezeki masing2 tak sama. Lebih baik elak ambil risiko.

Ok, habis melontar, naik bas balik ke hotel di Mekah. Kalau ada tenaga boleh terus buat tawaf dan saie sebagai rukun terakhir. Nak berehat2 dulu pun boleh. Ramai bersemangat sebab tak sabar nak sempurnakan haji.

Tapi bersedialah dengan keadaan tawaf yang sangat sesak. Kalau mataf terlalu sesak, tawaflah di tingkat 1 atau rooftop wpun jarak pusingannya berganda. Tenang saja, nama pun haji.

Untuk yang tidak mampu, boleh upah tolak kerusi roda, tapi ratusan riyal juga caj nya. Kemudahan lain seperti ‘skuter’, seingat saya ditutup sementara semasa kemuncak haji. Yang ada cuma ‘buggy car’. Tapi dengar cerita nak menunggu giliran buggy car saja makan berjam2 juga.

Nama pun geng KT awal, maka balik Malaysia pun awal lah. Maknanya kami tiada masa yang lama untuk sempurnakan rukun tawaf ifadah ni sebaik balik dari masyair. Untuk perempuan, hati-hati di sini untuk pastikan kita tidak haid sebelum sempurnakan tawaf.

Jadual period saya pula patutnya ngam2 habis masyair. Jadi di sinilah perlunya ambil ubat tahan haid. Tiada halangan dalam agama pun kalau nak ambil, walaupun ada asatizah yang menegur. Saya ambil pil ‘norculut’ (ada yang dipanggil primolut atau sunolut). Ambil 2x sehari saja, 5hari sebelum haid sepatutnya bermula.

Teruskan makan sehingga tamat waktu yang perlukan kita berkeadaan suci. Haid akan datang 2-3 hari selepas ubat stop diambil. Kesan sampingan? Atas badan masing2 tapi saya alhamdulillah tiada kesan apa2.

Berbalik sekejap pada masyair tadi, kalau period sepanjang masyair takde masalah. Tak kesan apa2 dan ibadah tetap sah. Cuma kalau anggaran period kita habis awal sewaktu di Mina, mungkin ada kesukaran untuk mandi hadas. Pada saya tak salah pertimbangkan penggunaan ubat norculut kalau risau situasi menyukarkan.

Kalau haid juga tapi belum sempat tawaf rukun, dah sampai waktu balik Malaysia macam mana? Kena report dgn TH untuk bicang tindakan yang akan diambil, mungkin perlu reschedule jadual balik. Dapat lah stay lama sikit, tapi sunyi lah sebab family atau geng yang datang sekali perlu balik dulu. Atau perlu bayar dam yang agak mahal.

Sempurna saja semua rukun haji, alhamdulillah.. sebak, gembira bercampur baur. Macam tak percaya telah melengkapkan rukun Islam ke5..

Dah habis haji, tapi cabaran belum habis ya. 8jam sebelum berangkat pulang perlu sempurnakan tawaf wada atau tawaf selamat tinggal. Untuk yang pulang awal ni memang cabaran sebab masa yg sangat terhad & Masjidil Haram sangat2 sesak sebab jutaan jemaah sedang sempurnakan tawaf haji.

Sampai waktu pulang ke tanah air, kembalilah kita dengan seribu satu perasaan.. tapi saya malas nak sembang pasal perasaan, panjang sangat dah ni haha.

Cuma saya boleh cakap, jangan takut untuk menunaikan haji. Tak perlu risau sebab rasa belum bersedia, belum sampai seru, banyak dosa, atau takut balik tak berubah.

Kita ni memang takkan terlepas dari dosa, jadikan haji sebagai titik tolak untuk kita ubah diri menjadi lebih baik. Sekurang2nya buat kita beringat sebelum buat yang bukan2 “eh aku dah haji takan nak buat macam ni lagi?”. Aa gituu..

Perasaan sebak, sayu, insaf dan sebagainya tu, anda akan rasai sendiri. Yang pasti sangat Istimewa..

Ok sekian saja. Semoga ada info bermanfaat untuk bakal jemaah. Semoga kita semua dikurniakan haji mabrur. Aminn..

Nota : Rindu juga dengan Abam Baju Biru dengan jeritan “Yalla Haji! YallaHajjah! Yalla! Yalla!

– PurpleLady (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *