Untuk part I, (https://iiumc.com/hak-penjagaan-adik-kandung/).
Salam dan selamat sejahtera. Terima kasih kepada pembaca IIUM Confession yang sudi mendoakan serta memberikan nasihat kepada luahan aku sebelum ini. Aku baca satu per satu.
Ya, adik aku merupakan warganegara kita dan dia merupakan anak kandung arwah ayah aku dan ibu tiri aku. Sekarang ini kelangsungan hidup mereka adalah dengan hasil pencen arwah ayah aku.
Ada yang memberikan komen kata aku ni kononnya baik sangat, bukan begitu. Macam yang aku nyatakan, Adik aku tu membesar depan mata, hanya bila aku dah mula sambung belajar di uni dan bekerja ni sahaja dia tak ada depan mata aku.
Sebelum ini, kalau aku balik bercuti pun memang aku luang masa dengan dia terutamanya bab persekolahan dia. Dari kecil memang kami yang jaga, kami keluar ke mana pun kami bawa.
Ahli keluarga dan saudara mara kedua belah pihak (arwah ayah dan mak) terima Adik aku seadanya walaupun penerimaan mereka terhadap ibu tiri aku tu masih bukan sepenuhnya.
Bila dah masuk sekolah rendah, nampaklah ibu tiri aku mula kawal dia tapi itu tak jadi masalah sebab benda dah lepas bagi aku. Bagi aku mungkin dia dah ada kesedaran untuk bagi perhatian kpd Adik aku ketika itu.
Minggu lepas aku ada balik untuk berjumpa dengan Adik aku tapi memang tak dapatlah nak jumpa. Ibu tiri aku tak benarkan, bila aku tanya pasal Adik aku terus dia masuk rumah dan tutup pintu. Aku malas nak bising² sebab nanti apa kata jiran² pulak.
Pagi pulak dia akan keluar seawal pagi kemudian balik lewat. Memang tak ada peluang aku nak jumpa Adik aku. Number phone dia dah tukar, telefon yang aku berikan sebelum ni untuk kegunaan Adik aku masa PdPr dulu pun dia dah tak gunakan (dia dah pulangkan pada adik perempuan aku).
Aku boleh sahaja nak masuk rumah tu sebab rumah tu nama adik aku (arwah ayah aku tak boleh letakkan nama ibu tiri aku sebab status dia BWN, jadi adik perempuan aku yang sorang lagi menjadi pemegang amanah sehingga Adik aku ini berumur 18 tahun kelak)
Tapi aku tak buat begitu sebab aku hormat hak yang telah arwah ayah aku berikan kpd ibu tiri aku. Aku tak suka nak bising².
Jadinya macam mana cara aku nak berhubung dengan Adik aku. Memang aku buntu. Aku nak bercakap dengan Adik aku sebab aku nak minta maaf sebab keadaan jadi mcm ni.
Aku ada berhubung dengan guru kelas Adik aku, minta guru kelas dia tanya keadaan dia, tapi jawapan Adik aku sentiasa okay. Teringat pulak masa aku sebaya Adik aku dulu bila aku hadapi masalah keluarga begini, jawapan aku sentiasa okay tapi dalam hati Allah sahaja yang tahu.
Aku bercadang nak bercakap (call) Adik aku melalui guru kelas dia tapi aku taknak Adik aku tu malu dengan guru kelas dia,
Lagi satu aku taknak berlaku masalah antara guru kelas dengan ibu tiri aku. Tak manis pulak masalah keluarga nak melibatkan guru kelas. Aku yang bekerja sebagai guru pun kalau boleh nak elakkan hal sebegini berlaku.
Bab pendidikan, ya Adik aku minat belajar terutamanya bidang agama. Ustazah KAFA dia pernah berhubung dengan aku berkenaan keputusan UPKK dia sebelum ni minta untuk aku buat semakan semula.
Kenapa ustazah dia cari aku, sebab ibu tiri aku tak faham apa nak kena buat walaupun ustazah dah terangkan tapi aku tak salahkan ibu tiri aku pun masa tu. Aku uruskan dari jauh dan maklumkan kepada ustazah.
Alhamdulillah Adik aku dapat 8A. Permohonan ke SBP dsb aku tolong isikan sebab apa, sebab aku nak yang terbaik untuk Adik aku. Itu sahaja, pendidikan. Persiapan dia untuk menduduki ujian PKSK, aku cuba bantu seadanya dari jauh. Hari² aku follow up tanya ulangkaji dia.
Cuma ada satu haritu aku jadi marah sebab ibu tiri aku bawa Adik aku pergi zumba waktu malam. Budak tu dahlah esok sekolah.
Tak boleh ke Adik aku pulang ke negara asal dia? Boleh tapi dia akan jadi BWN di sana sebagaimana abang dia jadi BWN di negara kita. Abang dia sekolah pun tak minat, kelulusan pun tak ada. Tambah lagi, dokumen rasmi pun tak ada.
Aku tengok kegagalan ibu tiri aku uruskan pendidikan anak lelaki dia, itu yang menyebabkan aku risau dengan pendidikan Adik aku. Aku tak salahkan ibu tiri aku sepenuhnya bila anak lelaki dia terbiar sebegitu, arwah ayah aku pun ada silapnya juga ketika itu. Bagi aku miskin tak apa, yang penting belajar.
Berkenaan emosi dan tekanan, ya aku yakin Adik aku sangat terkesan dengan masalah yang berlaku sekarang ni tapi dia pandai sembunyikan.
Aku teringat setiap kali aku nak balik ke tempat kerja di sini, bila aku salam dan peluk dia mesti dia menangis seolah ada benda yang dia nak luahkan tapi tak lepas.
Aku pesan kat dia, belajar rajin² nanti Adik nak jaga mak (ibu tiri aku) dan juga nak berjaya jadi cikgu mcm aku. Luluh hati aku bila aku balik kali ini aku tak dapat jumpa dia. Tengok dia pun tak dapat.
Aku rasa cukuplah dulu setakat ini. Apa tindakan aku selepas ini, aku hanya mampu minta Allah dorongkan hati aku untuk buat keputusan yang tepat.
Aku hormati setiap pandangan dan komen yang diberikan pada luahan aku sebelum ini juga akan datang. Aku cuma nak yang terbaik buat Adik aku baik dari segi pendidikan dan perkembangan emosi dia.
Kalau aku tak ambil berat berkenaan emosi dia, aku dah bertindak yang bukan² bila tak dapat jumpa dia sebelum ini. Hal² lain yang ibu tiri aku buat yang kurang enak di dengar, aku cuba nasihati sebaiknya sebelum ni.
Cuma sekarang ni lah jadi dingin. Kami bukannya tak ada hubungan yang baik sebelum ini.
Doakanlah aku terutamanya Adik aku itu, supaya dia menjadi anak solehah buat arwah ayah dan ibu tiri aku serta moga urusan keluarga kami dipermudahkan. Aku cuma nak keluarga yang bahagia, itu sahaja. Terima kasih semua.
– Bunga (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit