Hakikat Dunia Jin

Bismillahirahmanirrahim. Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha penyayang. Assalamualaikum w.t.b.

Pada asal niat, Kak Lia malas nak masuk campur hal orang. Adapun diri ini masih lagi mencari cari jalan terbaik menuju Tuhan, memperbetul segala akhlak, ihsan, hati dan niat. Moga Allah terima taubat kita semua.

Mengelak kejian, makian dan berbantah bantah juga adalah salah satu kaedah menjaga maruah. Tapi apapun, masalah akidah ummah itu lebih penting dan lebih mustahak pada hemat Kak Lia.

Kak Lia sebenarnya serba salah nak ulas. Kak Lia taknak jadi spoiler atau apa saja lah istilahnya. Dan Kak Lia tak berminat untuk bergaduh bahkan berdebat dengan mana mana manusia atas muka bumi ni. Jawab soalan merapu saja Kak Lia sudah tak berminat. Apatah lagi berdebat.

Jujurnya Kak Lia terlalu tua untuk itu.

Pertama sekali marilah kita memanjatkan syukur kehadrat ilahi, bahawa hari ini kita masih diberikan nikmat iman dan islam oleh Allah s.w.t. Tiada yang lebih nikmat dari nikmat iman dan islam ini. Tanpa iman dan islam ini, siapalah kita.

Jadi, pada awal confession “Anugerah deria ke-6” (https://iiumc.com/kurniaan-deria-ke-6-iv/) ini Kak Lia dah mula meneliti kes ini. Walaupun Kak Lia bukanlah pakar, tapi pengalaman selama lebih 13 tahun menghidap gangguan buat Kak Lia boleh membezakan baik dan buruk. Benar dan salah.

Walau adakalanya, tersandung juga dalam mengorak langkah. Kak Lia melihat kes ini adalah serius kerana ianya melibatkan akidah dan pegangan kita sebagai ummat islam.

Akidah kita sebagai ummat islam perlulah jelas bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Nabi Muhammad s.a.w yang dicintai sebagai pesuruh Allah. Dengan itu, segala syariat perlulah kita ikuti dengan tulus hati dan jelas tanpa sebarang simpang siur perdebatan dalam hidup kita.

Pegangan kita juga adalah tiada siapa antara kita dan Allah. Teruslah berdoa tanpa menggunakan khidmat apapun makhluk Allah untuk mencapaikan hajat.

1) Tiada interaksi dengan roh simati.

Adik kakak yang Kak Lia sayang sekalian,

Kak Lia mula melihat ancaman akidah terhadap ummat islam bermula apabila confessor mengaku boleh berinteraksi dengan roh. Dan pada Kak Lia ini tersangatlah bahaya dan mendukacitakan.

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, ia berkata bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,

“Jika seseorang meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara (yaitu): sedekah jariyah, ilmu yang dimanfaatkan, atau do’a anak yang sholeh” (HR. Muslim no. 1631)

Jadi jelaslah disini bahawa tiadalah interaksi manusia dan roh selepas mati. Kerana setelah mati, kita akan disoal dan mula dipertanggungjawabkan atas apa saja amalan kita dimukabumi ini. Kita tiada lagi masa untuk berborak atau buat kerja kita sepertimana kita hidup didunia.

Dalam file kami, ada juga kes kes gentayangan yaitu simati itu terlihat hidup setelah kematiannya. Pernah kami cuba berinteraksi dek kerana penduduk disitu terganggu dengan kehadiran mereka.

Apa dapat kami simpulkan adalah yang gentayangan itu adalah jin yang suka dengan arwah ketika hidupnya dek kerana cantik, baik, dan sedap suaranya.

Dalam soal jawab itu juga ada jin tadi nyatakan bahawa setelah meninggalnya anak adam, roh anak adam dikunci Allah di suatu tempat yang mereka sendiri tak tahu. Wallahualam.

Ada yang back up, mungkin itu adalah Qarin. Qarin hanyalah pendamping. Wajah, rupa dan keadaan diri bahkan sifat diri bukanlah sama sebiji seperti kita.

Andai ada jin bawa santau, Qarin ini lah yang bertanggungjawab bawak racun kedalam tubuh kita. Maka Qarin tidak valid seperti yang dikata. Lagipun confessor dengan jelas menceritakan yang dia jumpa adalah roh dan bukan qarin. maka kita ambil dalil tentang roh.

2) Jin tidak tahu mengenai alam ghaib.

“Maka tatkala Kami telah menetapkan kematian Sulaiman tidak ada yang menunjukkan kepada mereka kematiannya itu kecuali rayap yang memakan tongkatnya. Maka tatkala ia telah tersungkur, tahulah jin itu bahawa kalau sekiranya mereka mengetahui yang ghaib tentulah mereka tidak akan tetap dalam siksa yang menghinakan.” (As Saba’ : 14)

Ini menunjukkan mereka tidak mengetahui alam ghaib. Kalaulah mereka mengetahui tentang kewafatan Nabi Sulaiman tentulah mereka akan berhenti daripada meneruskan pembinaan bangunan itu, betul tak?

Maka adik kakak yang Kak Lia kasihi sekalian, usahlah kalian taksub membayangi mereka ini sebagai cantik, cerdik dan lebih segala hal dalam hidup kita di alam fana ini. Sesungguhnya mereka sama saja seperti kita (dari fungsi hidup) yaitu untuk menyembah Allah s.w.t.

Mereka juga berteknologi dan berinovasi dalam kaedah mereka sendiri. Mereka juga hidup dalam kalangan masyarakat mereka. Sama saja seperti kita. Allah itu adil, tak lebih tak kurang.

Cuma manusia diberikan sifat ingin tahu dek kerana mereka ini misteri kerana tak nampak dimata. Maka kita membayangkan yang lebih lebih. hidup kita di alam dunia ini lebih istimewa dengan kehadiran baginda Nabi S.A.W.

3) Masing masing Allah telah ciptakan kelebihan masing masing.

Macam Kak Lia cakap tadi, mereka juga ada teknologi dan inovasi mereka sendiri. Dek kerana ilmu mereka berlainan dari kita, maka adalah manusia yang rasa mereka lebih dari kita sebagai manusia. Namun, sebenarnya sama saja seperti kita manusia.

Ada yang pandai matematik, boleh jadi guru matematik. Ada yang pandai dalam bidang agama, boleh jadi ustaz, ada yang pandai dalam bidang perubatan boleh jadi nurse dan doktor. seperti itu saja kelebihannya. lebih sebagai makhluk bukan sebagai golongan yang lebih mulia.

“Dan sesungguhnya kami (Jin) telah cuba mendapatkan rahsia langit maka kami mendapatinya penuh dengan penjagaan yang kuat dan panah-panah api.

Dan sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mendengarkan berita-beritanya tetapi sekarang barangsiapa yang mencuba mendengarkan seperti itu tentu akan bertemu panah api yang mengintai untuk membakarnya.

Dan sesungguhnya kami tidak mengetahui (dengan adanya penjagaan itu) apakah keburukan yang dikehendaki bagi orang yang di bumi ataukah Tuhan mereka menghendaki kebaikan untuk mereka.” (Al-Jin ayat 8-10)

Antara kelebihan jin ini adalah umur yang panjang. maka, dari situlah mereka memanipulasikan pengetahuan pengetahuan mereka seolah olah mereka faham dan tahu segalanya pasal kita didunia manusia.

Tak mustahil, mereka pernah jumpa orang yang mengalami masalah seperti kita terlebih dahulu. Maka semuanya terlihat mirip sama macam yang kita lalui. Tidak lebih dari itu.

4) Tidaklah diketahui manusia tentang alam ghaib melainkan sedikit.

“Sesungguhnya hanya di sisi Allah sajalah pengetahuan tentang hari Kiamat; dan Dia lah yang menurunkan hujan, dan mengetahui apa yang ada di dalam rahim, dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang diusahakan besok, dan tiada seorang pun yang mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”[Luqman ayat 34]

Maka adik kakak yang Kak Lia sayangi. Sebenarnya, Allah s.w.t jadikan alam ghaib ini untuk ujian kita sebagai manusia. Allah s.w.t tetapkan sempadan dan batasan supaya kita tak langgar batasan tersebut.

Maksudnya, Allah jadikan undang-undang. Sebagai contoh, undang-undang tak boleh minum arak, undang- undang tak boleh berzina dan sebagainya ni, Allah nak tengok, kita ni percaya ke tidak dengan Dia.

Kita sayang Dia tak?. Kalau sayang mesti kita takkan langgar apa yang Dia larang. Sama kalau orang yang kita sayang suruh kita pakai baju biru, sebab dia suka tengok kita pakai.

Maka, kalau betul kita sayang dia, tentulah kita akan pakai baju biru sebab nak menggembirakan hati pasangan kita. Kita nak dia sayang kat kita. Sayang lebih kat kita.

Allah ciptakan alam sana supaya kita tahu Allah berkuasa. Allah boleh buat semua. Allah boleh buat semua. Nampak tak nampak, elok tak elok semua Allah boleh buat.

Bukanlah tujuan Allah cipta alam sana untuk kita tertanya tanya sampai tak tidur malam teringat mereka disana, tidak. Allah s.w.t cuma suruh kita solat, beribadat kat dia saja. Beriman yakni yakin je. Mereka dibelah sana itu ada. Dah, cukup sekadar itu. tak perlu nak lebih lebih dah.

Cuma bila ada pihak dibelah sana yang ganggu kita sebagai manusia, maka hadirlah golongan golongan orang tengah seperti kami. Seperti Kak Lia, seperti ustaz ustaz perubatan islam yang lain.

Tapi cukup sekadar untuk merawat. Tak lebih dari itu. Takdenya Allah s.w.t bagi berkawan, bernikah, ber ber ber semua ni.

Namun, dengan izin Allah. Ya memang ada kes Allah bagi mereka ujian dengan penikahan dengan alam ghaib. Tapi itu menghasilkan anak yang sama hukumnya dengan anak tidak sah taraf. bahkan, anak itu akan mengalami kecelaruan dan masalah yang besar kerana duduk diantara dua dunia.

5 ) Kenapa mereka boleh berhubungan dengan mereka yang dibelah sana?

Bila kita ada ability untuk bercakap dengan yang di belah sana, tak semestinya kita kena buat. Sama macam kita, boleh je pergi bukak puasa tengah hari bulan ramadhan. Boleh tak puasa. Tapi kenapa kita tak buat? Sebab kita yakin janji Allah tu ada.

Jadi kenapa pulak bila kita dah boleh nampak, dah boleh bercakap kita nak kena bersembang dengan mereka sedangkan Allah suruh elak benda tu?

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan dan kaumnya dapat melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan itu teman rapat bagi mereka yang tidak beriman.” (Surah al-A’raf, ayat 27)

Menurut Ibn Hajar, ayat itu jelas menunjukkan manusia biasa yang secara fitrah tidak akan dapat melihat makhluk halus seperti jin dan syaitan dengan mata kasar kecuali dalam dua keadaan. Mereka termasuk dalam golongan yang mempelajari ilmu hitam (ilmu salah) iaitu saling bergandingan dengan jin.

Jadi yang boleh nampak segala tu, boleh faham dah kenapa anda nampak benda tu?

Bukan special ya. Sakit tu namanya. Meh cite kat Kak Lia kalau ye korang jenis nampak.

6) Berhati hati dengan apa yang disampaikan.

Imam al-Syaukani berkata,

“Yang dimaksud dengan tabayyun adalah memeriksa dengan teliti dan yang dimaksud dengan tatsabbut adalah berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap sebuah peristiwa dan kabar yang datang, sampai menjadi jelas dan terang baginya.” (Lihat Fath al-Qadir, 5/65)

Dalam dunia ni, ada banyak benda kita tak tahu dan tak faham. Tapi tak semua kita perlu tahu juga. Ada banyak benda bila kita dapat tahu kita kena perhalusi untuk faham keadaan tersebut adalah nyata atau tidak.

Jangan terlalu tergesa gesa buat keputusan untuk percaya sesuatu perkara melainkan kita faham fungsi, sebab musabab dan kita memang ahli dalam perkara tersebut. Kita bimbang ini semua adalah talbisul iblis yang menyesatkan. Nauzubillahi min zalik.

7) Tiada persahabatan, perhubungan mahupun perkahwinan HALAL antara jin dan manusia.

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. Dan jin pula, Kami jadikan dia sebelum itu, dari angin api yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.

(Surah al-Hijr: 26-27)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Kami menciptakan jenis Jin ini sebelum penciptaan Nabi Adam AS. Ia dicipta daripada api, angin yang sangat panas sehingga dapat membakar dan membunuh sesiapa sahaja yang mengalaminya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 14/20)

Kak Lia dan team sudah berada dalam bidang ni lebih kurang 5 tahun. dan Kak Lia alami gangguan bermula 8 tahun dan bermula gangguan paling teruk sejak 17 tahun.

Setakat kami jumpa, tak ada kes persahabatan, perhubungan, dan apa apa komunikasi antara manusia dan jin tanpa apa apa effect. Maksudnya bila manusia ada kaitan dengan dunia belah sana, mereka mesti sakit. Sakit dari segi mental mahupun fizikal.

Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.

(Surah al-Jin: 6)

Sebenarnyakan. TIADA perawat islam yang menggunakan khidmat jin walaupun sesetengah kes kami boleh gunakan. Contohnya kes yang unexplained, darurat dan sebagainya.

Tapi semuanya perlukan syarat yang sangat ketat dan kerana consequences yang perawat sendiri faham apa yang mereka bakal hadapi, most perawat akan memilih untuk TIDAK menggunakan khidmat jin. Walaupun jin tersebut adalah jin islam.

Oh ya! Lupa nak explain. Kalau pun dalam keadaan “dibolehkan” menggunakan jin itu, ianya hanya pada waktu itu sahaja. Bukan setiap masa, ditemani kehulu kehilir bahkan sampai boleh ikut balik ke alam sana.

Akhir kata, sebagai penutup…

Sahabat yang Kak Lia kasihi kerana Allah,

Berhati hatilah kita dalam menerima apa apa cerita dan berita walau siapapun yang menceritakan. Apabila hijab anda terbuka, anda tersangatlah perlu berubat.

Apabila anda berhubung dengan alam sana, ia bermaksud sudah ada jin yang mendiami diri anda. Anda sakit sebenarnya. Anda sakit. Itu anda perlu terima.

Carilah rawatan islam yang bertauliah sebagai contoh Darussyifa dan agensi agensi lain. Jangan berubat tanpa menyelidiki dengan siapa kita berubat. kerana ilmu itu perlu sanadnya.

Dan sesiapa yang tidak mengindahkan pengajaran (Al-Quran yang diturunkan oleh Allah) Yang maha Pemurah, Kami akan adakan baginya Syaitan (yang menghasut dan menyesatkannya), lalu menjadilah Syaitan itu temannya yang tidak renggang daripadanya.

(Az-Zukhruf 43:36)

Untuk Cik Penulis, silalah ke pusat perubatan islam yang bertauliah. Kerana Kak Lia bimbang ianya mendekatkan saudari kepada isim dan lain lain kemudharatan.

Untuk para pembaca, tak salah untuk membaca sebagai hiburan. Namun janganlah kalian taksub kepada mereka yang disana kerana sesungguhnya Allah telah jadikan kita sebagai sebaik baik kejadian. Janganlah langgar batasan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.

Mereka negeri terlindung, baca saja kisah Mohammad anuar elias yang hilang selama 13 hari di losong, dan azaharul yang hilang selama 7 hari di broga. Masing masing tak membuka mulut mengenai dunia sana.

Mereka semua tak mampu nak menceritakan secara detail keadaan dialam sana dengan jelas. Bukan golongan jin sahaja yang menutup mulut mereka, percayalah dengan tentera tentera Allah dan keterangan keterangan Allah.

Dari Abi Umamah Al-Bahiliy apabila menceritakan Khubah Rsulullah SAW tentang dajjal, antaranya:

Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan.

Disebabkan yang demikian hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi.”

Dan ini merupakan malapetakan yang besar yang menghantui jiwa-jiwa manusia.

Tiadalah sebarang kebaikan bila mendapat yang disangka manfaat apabila bersahabat dengan golongan Jin itu. Janganlah kita tertipu. Ianya bukan anugerah. bukan.

Ikutlah syariat yang telah dibawa oleh baginda Nabi s.a.w dan teruslah beribadah kepada Allah tanpa banyak simpang siur perdebatan. Kerana negeri akhirat itu bukan mudah hisab nya.

Maafkan Kak Lia andai ada kesalahan dimana mana atau tersinggung dengan tulisan Kak Lia. Apa yang Kak Lia harapkan, kita semua ikut landas agama yang sebenar benarnya semata mata.

Yang baik dari Allah, yang buruk semuanya dari Kak Lia sendiri. Ampun dan maaf kerana menarik kalian kedunia realiti dan bukan membiarkan kalian terapung diawangan. kerana disinilah tempat kita. Jangan diganggu dunia mereka.

Sekian. Wassalam.

– Kak Lia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *