Hampir Tewas Dengan Cikgu Praktikum

“Cikgu, sejujurnya saya tak ada apa apa perasaan pon dekat cikgu buat masa ni, tapi ke depan saya tak tahu.”

Itulah jawapan Cikgu Z, setelah 2 hari aku bertanyakan soalan kepadanya. Soalan aku mudah sahaja:

“Kamu ada apa-apa perasaan tak, dengan cikgu?”

============

“Hai Cikgu F, termenung lagi nampaknya”, sapa Tuan Guru Besar (GB), selaku Ketua Jabatan aku, sambil menolak pintu bilik pantri. Yah, kantoi lagi aku buat ke sekian kalinya. Maklumlah, bilik aku ni memang dalam laluan mereka yang nak ke pantri.

Aku Cikgu F, guru lelaki berusia awal 40-an. Bersekolah di utara tanahair. Ini merupakan kisah benar yang betul-betul berlaku sejak sesi persekolahan 2022 dibuka pada Mac tahun ini.

Aku masih ingat lagi pada pagi hari pertama sekolah dibuka yang lalu,

Sedang aku dan beberapa guru serta pengawas sekolah sedang siapsiaga untuk mengadakan perhimpunan sekolah secara maya (dari pejabat sahaja), tiba-tiba datang Cikgu N, membawa seorang guru baharu masuk ke pejabat.

“Weh, awek baru weh. Awek baru”, Cikgu N memekik-mekik bagai mengadakan jualan lelong. Lepas tu, siap Cikgu N melabel kami pula,

“Depa ni semua bujang tiga, jangan risau”.

Kami semua yang sedang sibuk, bagaikan tidak mengendahkan apa yang dilaungkan oleh Cikgu N. Aku lagilah, sedang setup tripod dan telefon untuk strim secara langsung perhimpunan sekolah ini.

Dipendekkan cerita, awek baru itu adalah guru praktikum yang akan menjalani Latihan Mengajar selama 2 bulan di sekolah kami. Dialah Cikgu Z yang aku maksudkan di atas.

Kebetulan pula, Cikgu Z rupa-rupanya adalah bekas murid di sekolah kami, dan ramai guru senior mengenalinya.

Aku baru berpindah ke situ dalam beberapa tahun, jadi aku memang tak tahu apa-apa tentang Cikgu Z. Yang aku dapat dengar, dia ada 6 adik-beradik, ayahnya telah pencen.

Ramai guru senior minta Cikgu Z bukakan topeng muka (mask) untuk membuat pengecaman wajah. Aku masih buat-buat tak kisah dengan semua itu.

“Ok Cikgu F, tolong urus Cikgu Z berkaitan hal kehadiran rasmi ke sekolah dan penulisan rancangan mengajar secara online”, arah Cikgu N selaku Penolong Kanan Pentadbiran di sekolah aku.

Alamak, aku ni dah lama gugup mengadap cikgu-cikgu muda ni, tambahan pula, ni yang diserbu ramai guru senior tadi ni.

Kenapa aku yang kena ajarkan Cikgu Z, sebab akulah yang membangunkan aplikasi kehadiran ke sekolah dan penulisan rancangan mengajar secara online di sekolah aku.

Kehadiran ditanda hanya menggunakan telefon masing-masing sahaja dan dengan syarat telefon bersambung dengan Wifi pejabat.

Ok, sekarang tinggal kami berdua di meja tetamu pejabat. Aku memperkenalkan diri aku. Cikgu Z mengangguk. Kemudian, aku terpaksa, ya, terpaksa meminta no telefonnya, kerana hendak memberi pautan aplikasi kepadanya.

Cikgu Z tanpa menunggu terus menyebut satu-persatu nombor. Sambil-sambil latihan diberikan, ada guru senior masuk, dan meminta Cikgu Z membuka mask.

“Oh, yang ini”, kata mereka. Aku hanya memerhatikan dari tepi, dan masih tak nampak wajah sebenar Cikgu Z. Tambahan pula, dia hanya membuka separuh mask yang dipakai.

Dipendekkan cerita, selesailah sesi latihan untuk menanda kehadiran. Penulisan rancangan mengajar, aku minta supaya Cikgu Z belajar daripada guru pembimbingnya, Cikgu R. Aku kemudian meminta diri, dan mengarahkan Cikgu Z berjumpa dengan GB untuk melapor diri.

============

“Cikgu F, saya kena terlibat dalam 3 aktiviti kokurikulum di sekolah”, Cikgu Z maklumkan kepada aku pada suatu malam melalui aplikasi Whatsapp. Aku beritahu, esok kita jumpa dan berbincang pasal perkara ini.

Aku agak blur, sebab permintaan 3 aktiviti atau program sekolah, dalam masa 2 bulan praktikum, tambahan pula sepanjang bulan puasa, adalah sesuatu yang amat mustahil. Susah juga nak buat program dalam bulan puasa ni.

Pusing punya pusing, aku kaitkan program sukarelawan yang baru aku dengar taklimatnya di peringkat jabatan. Jadi, itu satu untuk Cikgu Z.

Dipendekkan cerita juga, dapatlah 3 aktiviti kokurikulum sepanjang Cikgu Z berada di sekolah.

Tapi sebenarnya, program sukarelawan itulah sebenarnya yang mengeratkan hubungan aku dengan Cikgu Z. Ya, betul. Tak dapat disangkal lagi. Hinggakan tuan GB pun ada menyakat aku sewaktu hendak posing solo bergambar raya, “Buat gaya nak tekel Cikgu Z”.

Aku terkedu. Eh, eh. Ke situ pulak. Aku pun sebenarnya tak perasan pun, aku dengan Cikgu Z, semakin hari semakin rapat. Sebenarnya bukanlah rapat yang macam belangkas tu, tetapi rapat dalam group media sosial sukarelawan sekolah.

Tapi, mungkin juga sewaktu bersemuka, aku dan Cikgu Z ketawa bergurau senda. Aku pula, memang jenis menyakat bergurau tak kira masa. Mungkinkah itu faktor yang membuatkan Cikgu Z mula bermain tarik tali dengan aku?

Ustazah J ada juga bercerita kepada Cikgu Z, perihal siapa aku kepada Cikgu Z.

“Kamu tahu tak Cikgu Z, Cikgu F tu….sekian sekian sekian”, ujar Ustazah J. Ustazah J ada maklumkan kepada aku setelah Cikgu Z ditugaskan untuk membuat sedikit video montaj sebagai aktiviti kokurikulum berikutnya.

============

“Cikgu F, tadi saya selisih dengan Cikgu Z. Hari last dia tamat praktikum Jumaat ni ya”, tanya GB kepada aku.

“Ya Puan, kita nak buat majlis khas perpisahan ke”, seloroh aku pula.

“Ya lah, Cikgu Z kan banyak tolong kita dalam program sukarelawan. Takkan nak babai macam tu ja”, GB pula macam stress kehilangan guru praktikum.

Selepas itu, kami sebulat suara menjemput Cikgu Z untuk hadir ke sambutan hari guru beserta jamuan hari raya yang diadakan pada minggu hadapannya. Cikgu Z bersetuju untuk hadir.

Aku teringat, Cikgu Z berkata, dia memang tak pernah menyambut sambutan hari guru di sekolah. Ye lah, dah nama masih belajar kan, mana nak sambut di sekolah, hehe. Jadi impian Cikgu Z termakbul juga nanti.

============

Pagi Hari Guru dan Jamuan Hari Raya.

Pagi itu, ramai cikgu lelaki sedang ‘try’ Cikgu Z di kantin sekolah. Aku sebenarnya tak tahu, dan tak nak ambil tahu. Tetapi GB yang suruh murid-murid panggil aku turun ke kantin. Aku sedang berada di dewan, melihat persiapan akhir majlis sebelum.

Mungkin itu kali pertama aku dapat lihat muka Cikgu Z secara depan-depan tanpa mask. Memang tak dapat dinafikan, betapa indahnya ciptaan Tuhan. Subhanallah. Setiap kali aku bersemuka dengan Cikgu Z dulu, dia masih memakai mask.

Kali ini tidak, sebab telah diberi kelonggaran untuk tidak memakai mask berikutan SOP4.0 oleh KPM. Tetapi, waktu itu, aku masih lagi kontrol di depan kawan-kawan aku. Jual mahal la kononnya, hahahaha.

Tetapi sebelum itu, aku dan Cikgu Z sebenarnya dah mula malu-malu apabila berjumpa, mungkin tarik tali yang dimainkan itu, betul-betul ada.

Dan kebetulan GB, naluri keibuannya amat kuat. GB pun perasan ada sesuatu chemistry yang berlaku antara aku dan Cikgu Z.

Tengahari Hari Guru dan Jamuan Hari Raya.

Aku masih menahan diri daripada menyapa Cikgu Z dalam dewan mahupun di kantin dari pagi tadi. Hinggalah sesi persembahan murid, aku naik ke pejabat untuk melepaskan penat sepanjang hari duduk di dewan.

Kebetulan malam sebelum, aku tak dapat tidur, terlelap jam 2.00 pagi. Jadi, aku naik dan berehat.

Lebih kurang pukul 12.15 tengahari, aku dengar pintu pejabat dibuka. Pakcik M, selaku staf meja hadapan, ada di ruang depan pejabat, dengan aktiviti biasanya, tengok video apa-apa entah dalam telefon. Aku dengar ada satu suara halus, mencari aku.

“Pakcik, ada nampak tak Cikgu F”.

“Takda takda, seorang pun takda di sini” sambil mata Pakcik M tidak melihat ke atas, hanya melihat telefon.

Lebih kurang 5 minit selepas itu, Whatsapp aku berbunyi.

“Cikgu, Cikgu kat mana”, Cikgu Z bertanya.

“Ada ja kat sekolah..awat”, jawab aku.

“Alahai. Sekolah besar cikgu. Nak bagi hadiah”, Cikgu Z membalas.

Akhirnya, Cikgu Z naik berjumpa aku di bilik aku. Dia memberikan hadiah hari guru kepada aku. Katanya dari Kelantan. Memang dia dan keluarga berjalan ke Kelantan, mungkin untuk meraikan tamatnya Latihan Mengajar minggu lepas.

Aku terharu, sambil kami bersembang, dalam keadaan gugup, aku masih mampu bertanya pasal keluarganya. Sebab aku pun dah tak tau nak sembang pasal apa lagi. Aku memang nak elak bertemu dengan Cikgu Z dari pagi, tetapi aku tak jangka, pengakhiran hari ni, begini.

Lebih kurang 10 minit, Cikgu Z meminta izin untuk pergi dan pulang ke rumah terus meninggalkan majlis. Aku izinkan. Tiada apa-apa ya berlaku di pejabat, jangan syak yang bukan-bukan.

Cikgu Z gadis yang baik, baru berusia 23 tahun. Bagi aku, comel dan membuatkan aku gugup untuk bercakap dengannya. Aku mengaku, jika Cikgu Z pakai mask, aku boleh bertutur lebih baik, macam biasa, hahahaha.

============

Dua hari selepas itu.

Merajuk pula Cikgu Z dalam Whatsapp. Kami ni baru berkenalan 2 bulan, tapi dah macam kapel betul. Merajuk, sensitif semua ada. Aku la pulak menggelabah nak kena pujuk. Aku janji nak hantar Macdonald ke rumahnya, hahaha.

Pusing punya pusing, aku pon sampai ke depan rumahnya. Macamana aku boleh sampai, itulah instinct namanya, Cikgu Z tak ada waktu tu, dia ke PPD urus borang guru ganti bersama ibu bapanya. Jadi aku gantung buah pisang (ni aku standby beli di pasar tadi).

Nak beli Macdonald jauh, kena ke luar daerah. Dan sengaja aku printkan laporan kehadiran Cikgu Z ke sekolah. Ni incase mak ayah dia banyak bertanya.

Dua hari selepas itu, aku menerima pesanan, ringkas tetapi mengguris hati aku.

“Cikgu, sebenarnya Cikgu tak leh mai rumah saya”.

“Saya tak tau nak cakap apa dekat mak saya”.

“Kalau mak saya tau cikgu suami orang lagi dia marah”.

“Saya minta maaf ya cikgu”. (baca epilog)

=============

Malam ini aku beranikan diri untuk menghantar artikel ini. Ini adalah artikel pertama, dan mungkin terakhir untuk aku coretkan di sini.

Supaya, kenangan bersama Cikgu Z, aku dapat simpan di sini. Segala media sosial, aku skrinshot, aku simpan dalam Google Drive, untuk titipan aku sahaja.

Aku perkenalkan Cikgu H, seorang guru ala-ala Kpop di sekolah aku, kepada Cikgu Z. Aku meminta agar Cikgu H, berkenalan dahulu dengan Cikgu Z.

Kenapa Cikgu H? Dan bukan aku sahaja? Sebab Cikgu H masih belum kahwin. Dan aku suami orang, akan sentiasa dilabel sebagai suami orang.

Salahkah kami yang bergelar suami orang. Aku? Aku bukannya jenis yang menggatal pun, tetapi perasaan itu benar, dan jika aku jenis yang menggatal, dah lama aku akan try dengan semua gadis yang menawan.

Cikgu H dan Cikgu Z, berkenalanlah dahulu ya. Jika serasi, jangan ditunggu benda baik. Walaupun Cikgu Z sedang menunggu posting, rasanya eloklah diikat dahulu, mana tahu kan, tiba-tiba ada orang lain datang menyambar, haru.

Kepada Cikgu Z, kehadiran kamu walau sekelumit cuma, betul-betul mengusik hati dan perasaan cikgu. Cikgu doakan agar kamu dan Cikgu H, bertemu jodoh. Cikgu H juga sedang mencari tu. Ya Allah, permudahkan urusan pasangan yang baru nak menjadi ni.

Ya, hari ini, 3 Jun 2022, aku yang arahkan Cikgu H, untuk memulakan langkah pertama hubungi Cikgu Z. Cikgu H menghubungi Cikgu Z melalui Instagram dahulu, aku perhatikan bersama.

Tanpa ada rasa bersalah, aku hendak, agar Cikgu H, dapat menjaga Cikgu Z dengan baik selepas ini.

Tadi juga, aku bawa Cikgu H untuk menjenguk rumah Cikgu Z, tak sampai 5 kilometer dari sekolah. Cikgu H aku anggap macam adik lelaki aku sendiri. Jadi, tak salah, aku letak Cikgu H, untuk mendampingi Cikgu Z.

Hidup ini adalah pilihan. Semoga Allah SWT merahmati pilihan kita.

– Cikgu F (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *