Assalamualaikum. Aku tidak berniat hendak bercerita panjang-panjang sebab aku sangat sibuk sebenarnya.
Tetapi tangan aku tergerak untuk menulis di sini setelah terbaca tulisan Razlan yang bertajuk Hantaran Buat Nur, (https://iiumc.com/hantaran-buat-nur/).
Betapa aku sungguh kagum dan bersetuju kerana aku telah merasa natijah kerana tersalah langkah.
Aku, ibu tunggal kepada dua anak. Punyai kerjaya yang stabil dan berpendapatan agak lumayan. Berpendidikan tinggi dalam bidang professional.
Berperwatakan kecil molek maka sesiapa yang tidak mengenali akan menyangka aku jauh lebih muda dan belum pernah berkahwin. Padahal hakikatnya sudah hampir 10 tahun aku menyandang status ibu tunggal.
Tempias kisah Razlan itu membuat aku teringat kisah aku lebih kurang 15 tahun yang lalu. Waktu itu aku baru mengenali bekas suami aku. Kami sebaya, bezanya dia di aliran agama, bakal ustaz. Sedangkan aku aliran biasa2 sahaja.
Fikiran aku yang cetek pada ketika itu sangat mendambakan seorang yang alim dan beragama untuk menemani aku hingga ke Syurga. Ya, itu lah impian aku yang hancur di tengah jalan.
Kami di perkenalkan melalui orang tengah. Maklum lah, berkenalan dengan bakal ustaz maka segalanya ini adalah untuk menjaga ikhtilat dan adab.
Dipendekkan cerita, melalui perkenalan itu sepertinya kami sama – sama tertarik. Maka kami meniti ke peringkat seterusnya untuk menghalalkan perhubungan kami.
Kami bertunang di saat aku sudah bergelar graduan, telah mula membina kerjaya, dan sedang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi; sedangkan dia masih berbaki dua semester.
Mata aku ‘buta’ ketika itu. Aku langsung tidak memandang harta dan status, malah sanggup menunggu dia. Ikhlas aku rasakan untuk susah senang bersama dia.
Dalam tempoh pertunangan itu lah aku telah membuat satu kesilapan yang setelah lama baru aku sedar.
Setelah dia bergelar graduan, kami membuat keputusan untuk bernikah dan kedua keluarga bersetuju. Cuma pada ketika itu ayahku berkeras meletakkan hantaran RM10k.
Pada waktu itu aku simpati dengannya apabila memikirkan keadaannya yang baru habis belajar dan belum bekerja. Keluhannya mendorong aku untuk cuba berbincang dengan ayahku untuk mengurangkan nilai hantaran.
Ditambah pula mental aku ketika itu sering dimomokkan dengan pembacaan aku mengenai isu hantaran yang dikatakan membebankan pihak lelaki dan menghalang atau melambatkan niat baik suci murni pasangan yang ingin berkahwin untuk mendirikan rumahtangga.
Waktu itu aku merasakan ayahku tidak patut meletakkan hantaran setinggi itu untuk bakal suamiku. Tapi ayahku berkeras, katanya “ayah tahu apa yang ayah buat.”
Perasaan tidak puas hati dengan keputusan ayahku dan perasaan simpati pada dia telah membuatkan aku membuat satu tindakan b*d*h.
Aku memang pandai menyimpan wang gajiku maka aku berkomplot secara rahsia untuk membantu dia untuk melangsaikan hantaran aku. Pihak keluarga mertua aku ada juga membantu dia tetapi hanya sedikit sahaja.
Atas persetujuan bersama secara rahsia, aku hanya menyuruh dia melangsaikan RM1k sahaja manakala selebihnya aku bantu dengan mengeluarkan simpanan aku. Aku sanggup berahsia dan ketepikan pendirian ayah aku sendiri, demi perkahwinan ini.
Akhirnya kami selamat berkahwin. Awal perkahwinan pasti segalanya indah. Dia mula bekerja. Walaupun bergaji kecil aku tidak pernah mempersoal malah membantu mana yang kurang.
Namun, semakin lama aku semakin tertanya-tanya di mana aku dihatinya. Aku mula menyedari sikapnya yang tidak menghargai diri aku.
Pernah kami sama – sama belum makan malam dan selepas maghrib aku dan dia tertidur kepenatan setelah siangnya bekerja, sedar – sedar aku lihat dia sedang enak makan sendirian.
Rupa-rupanya dia telah keluar dan hanya beli makanan untuk dirinya sendiri sahaja. Sedikit pun aku tidak dipelawa dan sedikit makanan pun tidak ditinggalkan untukku.
Pernah juga kami keluar bersama, dan hanya kerana lambat beratur membeli tiket sedangkan dia memiliki Touch n Go, aku ditinggalkan terkebil-kebil di stesen.
Pernah juga sewaktu keluar bersiar-siar, dia berjalan begitu laju dan jauh di hadapan sedangkan aku yang sarat mengandung anak sulung mengah terkejar-kejar di belakang. Sayup dia tinggalkan aku di belakang dan terus menunggu aku di kereta.
Sampainya aku di kereta dimarahnya aku kerana lambat sedangkan waktu itu Tuhan sahaja yang tahu betapa sakit pinggang dan kaki aku berjalan laju dalam keadaan mengandung 7 bulan.
Pada satu ketika kami diuji dengan perhubungan jarak jauh apabila dia mendapat tawaran kerja yang lebih baik jauh di negeri lain, sedangkan aku terikat dengan pekerjaan aku di Kuala Lumpur.
Setiap hujung minggu dia balik menemui aku. Tetapi sepanjang lima hari seminggu kami berjauhan, andai aku tidak menghubunginya, tidak pernah sekali pun dia menghubungi aku bertanya khabar.
Kemuncak kesedaran aku tentang nilai aku di hatinya ialah apabila tiba-tiba aku jatuh sakit dan terpaksa tinggal di wad untuk tempoh yang agak lama.
Kebetulan dia baru menerima tawaran kerja di Kuala Lumpur yang membolehkan kami kembali tinggal bersama dan dia menemani aku di hospital.
Tetapi dia enggan walaupun aku merayu untuk dia menerima tawaran tersebut dan bersama-sama aku sewaktu di hospital. Maaf – hanya itu katanya.
Daripada peristiwa – peristiwa kecil yang membiarkan aku menafsir hatinya, semakin lama muncul peristiwa – peristiwa besar yang membuatkan aku pasti nilai aku begitu kecil pada dia.
Tidak lama selepas peristiwa aku sakit di hospital, dia mendapat tawaran kerja yang lebih baik di Kuala Lumpur dan kami tinggal bersama.
Aku mengharapkan bahagia bersama apatah lagi selepas dikurniakan dua cahayamata. Tetapi dia semakin dingin dan jauh. Perbelanjaan rumah berkira, banyak yang aku bantu dengan duit gajiku. Nafkah memang tiada.
Belanja mengandung dan melahirkan anak – anak aku tanggung sendiri, tetapi aku ditengking kerana bayaran parking kereta yang dirasakan mahal yang perlu dia bayar sewaktu menjenguk aku di hospital.
Sikapnya dan kepenatan aku menyebabkan aku mula memberontak dan keras dalam berkata. Sampailah ke kemuncaknya dia mula mengangkat kaki dan tangan untuk mengasari aku. Ya, inilah impian aku yang hancur dan seorang ustaz yang aku harapkan ….
Aku tidak mampu bercerita dengan lebih terperinci kerana masa yang suntuk. Cuma apa yang boleh aku katakan, akhirnya perkahwinan kami hancur jua. Bukan aku yang mengakhirinya, tetapi dia.
Katanya, sejak awal perkenalan kami dia sebenarnya tidak begitu menaruh hati padaku tapi dia berkahwin juga denganku kerana jodoh.
Katanya, sepanjang kami berhubungan jarak jauh dia pernah terpikat dengan ramai gadis yang ditemuinya di tempat kerja tetapi dia menahan hatinya kerana masih simpati pada aku, maka dia kuburkan perasaan dia pada orang lain semata mata kerana aku.
Tapi katanya sekarang ini dia telah menemui perempuan yang benar-benar dia suka di pejabat barunya, seorang ustazah … maka dia perlu lepaskan aku untuk berkahwin dengan perempuan itu.
Katanya lagi, perkahwinan aku dan dia tidak boleh membawa dia ke syurga. Walaupun aku memohon ampun beribu kali atas segala kesilapan dan kesalahanku dan sanggup berpoligami memikirkan anak-anak yang masih kecil, dia tetap menolak dan akhirnya meninggalkan aku dan anak – anak.
Begitulah kisahku. Kisah yang membuatkan perspektif aku terhadap nilai hantaran berubah sama sekali.
Aku sedar sekarang, ada sebab kenapa ayahku meletakkan hantaran RM10k untukku yang aku rasakan sangat besar pada waktu itu.
Aku tahu ayahku sayangkan aku, jelas terpamer dengan takungan air mata di hujung kelopak matanya sewaktu dia sendiri bersalaman menikahkan aku.
Nilai hantaran itu adalah manifestasi kasih sayang dan kerisauan dia untuk melepaskan aku. Untuk menguji demi memastikan aku diserahkan ke tangan orang yang bersedia bersusah senang dan berjuang untuk mempertahankan aku dan anak-anakku.
Aku yang mengkhianati pendirian ayahku untuk melindungi aku. Aku yang mengkhianati kasih sayang ayahku. Aku yang tersilap.
Di saat suami aku (kini bekas suami) menjadikan aku malukut di tepi gantang, tidak peduli makan pakai aku, ibu ayah aku lah yang bertanya khabar dan menghulur bantuan.
Di saat aku ditinggalkan oleh suami aku bersendirian di hospital kerana sakit, ibu ayah aku juga lah yang bersusah payah datang dari kampung menemankan aku di hospital.
Dan di saat suami aku membuang aku seperti sampah, ibu ayah aku lah yang mengutip aku dan memberi nilaian emas kepadaku dengan kasih sayang mereka.
Di saat aku menangis meratapi perkahwinan aku yang hancur, ibu ayah aku lah yang bersama – sama menangis dengan aku.
Aku menghadapi kemurungan sehingga lupa makan minumku dan sehingga kering susu untuk bayiku. Di kala aku hampir pengsan dan anak – anakku bergelimpangan kelaparan, ibu dan ayahku lah yang datang menyelamatkan kami dan membawa aku ke hospital.
Mana mungkin ayahku berniat menyusahkan aku dengan nilai RM10k itu. Mana mungkin, sedangkan kasih ibu ayah aku pada aku jauh lebih mahal daripada itu.
Mengikut perkiraanku, ceritaku bukanlah kisah kasih yang berubah arah kerana menurut bekas suamiku, sejak awal dia tidak begitu menaruh hati padaku, hanya berkahwin disebabkan jodoh.
Begitu murah dia meletakkan nilai perkahwinan kami, semurah nilai hantaran yang dia beri padaku. Padanya perkahwinan kami ialah try and error. Enam bulan setelah kami bercerai, dia akhirnya berkahwin dengan ustazah itu.
Lanjutan kes kami di mahkamah untuk menilai nafkah aku dan anak-anak membuka satu rahsia yang dia sanggup membuat pinjaman bank untuk berkahwin lagi kerana kali ini tiada lagi bantuan dan sokongan daripada ahli keluarganya.
Aku tersedar, dia sanggup bersusah – payah mendepani tentangan daripada keluarganya, sanggup bersusah payah menanggung hutang kerana perempuan itu.
Iya, kalau menghargai pasti sanggup bersusah – payah bukan? Aku yang tersilap kerana ingin terlalu memudahkan hidup dia. Sebab itu begitu mudah aku disingkirkan.
Ini adalah kesilapan aku. Maka ambillah pengajaran agar tidak berulang dalam kehidupan kalian. Walaupun begitu aku masih sedar tentang soal jodoh dan ketentuan Tuhan.
Aku juga tidak menentang hukum, ya benar hantaran tidak wajib. Tapi pada aku disebalik nilai hantaran itu ada didikan untuk seorang bakal suami untuk lebih kental bersusah payah, menghargai dan bertanggungjawab.
Daripada mengeluh dikenakan hantaran tinggi, mengapa tidak menghorm4ti dan berusaha membuktikan kemampuan diri?
Dan dalam kisah aku, ianya adalah lambang kasih seorang ayah yang seorang anak sendiri perlu memahami. Aku juga tidak ada prejudis terhadap golongan agamawan hanya kerana bekas suami aku ustaz.
Allah memberi tazkirah kepadaku melalui dirinya supaya aku tidak mudah tertipu dengan topeng-topeng manusia. Malah aku kini benar -benar bahagia tanpa dia dan hal ini memberi aku lebih ilmu untuk menasihati anak-anakku di hari muka.
– Aku (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit