Terima kasih kerana sudi baca confession saya. Saya bukan student atau alumni IIUM tapi masa zaman belajar saya selalu melawat kawan saya di IIUM. Jadi, IIUM ni kiranya dekat di hati juga. Boleh gelarkan saya Khitfa (bukan nama sebenar).
Lama sudah saya berfikir untuk kongsikan kisah saya. Tahun ni agak mencabar untuk saya sebab dari bulan Januari 2019 lagi saya menerima khabar buruk demi khabar buruk. Namun, sikit sahaja yang saya mahu kongsikan di sini.
Saya nak kongsikan perasaan marah, sedih dan kecewa saya terhadap suami saya dan teman lelaki dia. Ya, saya salah seorang wanita yang bersuamikan lelaki homoseksual. Awal-awal saya beritahu, saya bukan seorang penyokong gaya hidup homoseksual tapi saya juga bukan seorang yang homofobik.
Maksudnya, saya memang ada kawan-kawan pelbagai orientasi seksual. Selagi mereka tak tunjuk di khalayak umum gaya hidup mereka atau cuba pengaruhi orang lain untuk jadi seperti mereka, saya ok saja.
Masa dalam kesedihan yang amat haritu, saya banyak membaca tentang mixed-orientation marriage. Sukar nak cari artikel yang memberi sokongan kepada mixed orientation marriage sebab banyak yang menulis dari Barat yang memang rasa perkahwinan seperti ini akan gagal dan mereka lebih menyokong golongan homoseksual menjalani lifestyle gay.
Yang penulisan tempatan pula jarang nak kupas isu ini. Mixed-orientation marriage ni maksudnya, dua orang yang berkahwin ini mempunyai orientasi seksual berbeza. Contohnya, seorang heteroseksual (straight) dan seorang lagi homoseksual. Banyak lagi kombinasi seksualiti lain, boleh Google kalau nak tahu lebih.
Kekecewaan saya pada suami ialah 1. Dia tak sudi bincang dengan baik bersama saya dan 2. Dia tak percayakan saya.
Saya kecewa kerana dia tak sudi berterus-terang dengan saya dan sering mengelak berbincang bersemuka dengan saya. Dia gunakan WhatsApp kadang-kadang tapi bila ada soalan yang dia tak suka, dia terus tak jawab. Ok, ini untuk cerita hari lain. Kalau ada masa dan kekuatan saya akan tulis.
Cuma sekarang ni saya masih lagi tak dapat mengikis perasaan benci kepada teman lelaki suami saya. Saya beritahu ya, saya menulis ni dengan perasaan marah. Jadi, kalau korang tak suka aura negatif mungkin boleh berhenti takat sini saja. Saya pun tak tahu nak cerita, jadi saya akan ceritakan secara kronologi bermula dari majlis perkahwinan kami.
Semasa majlis belah perempuan (saya), suami saya ditemani seorang bestfriend dia yang saya tak pernah nampak dan tak pernah kenal. Ala-ala bestman lah, tapi dia tak bawa baju cantik, so tak jadi bestman official. Dia pakai baju macam nak pi jalan-jalan kat mall saja. Bini dia, dia tinggalkan kat rumah. Kita bahasakan dia ni sebagai KA.
Saya dan suami belajar satu IPTA jadi kami banyak mutual friend dan dah kenal sejak usia kami 18 tahun. Suami pun tak pernah beritahu dengan jelas dimana mereka berkenalan. Tahun ini, saya tanya beberapa orang dan ini jawapan mereka. Suami kata mereka berkenalan dari Gay Hookup website seperti Planet Romeo. KA berkata dia tak ingat bila dan dimana mereka berkenalan.
Isteri kepada KA berkata, KA dan suami saya pernah jadi roommate semasa KA buat master dulu. Kawan suami dari geng Gay Berbini kata dia tak tahu (walhal dia dan KA satu universiti, dan saya syak dia yang perkenalkan suami dan KA).
Nampak tak beza jawapan mereka semua? Ini saya dah geram, mereka masih tak berterus terang walaupun saya confront. (Adakah isteri KA pun ditipu suaminya? Atau dia tolong cover untuk suami dia? Saya tak tanya lebih-lebih kat isteri KA tentang suaminya, itu urusan mereka bukan urusan saya).
Masa majlis tu, KA ni banyak sangat berdekat-dekat dengan suami saya, mungkin nak bagi sokongan moral lah. Yang saya geram, suami bayak lagi pandang muka dia dari saya. Si KA ni pun dok letak tangan atas bahu suami, peluk-peluk dia, konon bagi semangat. Menyampah saya tengok.
Lagi satu, si KA ni dengan baik hatinya buat surprise, sponsor sebiji kek untuk majlis saya. Namun, kek itu sangatlah hodoh. Kek krim yang paling murah dan tiba-tiba majlis kami ada acara potong kek yang langsung saya tak rancang.
Saya jenis yang simple, so memang tak mau benda-benda macam tu. Memang saya tak order pun kek. Saya nak walimatulurus yang simple saja, tapi tiba-tiba ada potong kek. Ok, saya setuju saja sebab nak jaga air muka suami walaupun rasa tak suka di situ.
Fast forward masa kepada bila saya lahirkan anak sulung saya. Habis pantang, suami balik kampung ambil saya untuk bawa ke rumah mentua saya sebelum saya start kerja. Kiranya, ini pertama kali mentua saya nak tengok anak sulung kami.
Tiba-tiba, dalam perjalanan suami kata nak singgah rumah KA. Ok lah, saya penat sangat tapi saya setuju. Sampai saja di rumah KA, KA tak ada. Yang ada hanya ibu bapa dia. Suami pun selamba ja masuk bercerita. Kami dijemput makan, jadi kami makan, Makan pun makanan lebihan mereka sekeluarga.
Suami makan berselera sekali dan dia sangat mesra dengan ibu bapa KA dan adik-beradik KA. Saya tak selesa tapi saya rasa mungkin suami nak berjimat jadi saya diamkan saja. Ibu bapa KA terlebih dahulu melihat anak saya berbanding mentua saya.
Selepas kelahiran anak kedua saya, saya bercuti agak lama sebelum kembali ke rumah kami. Masatu, kami baru masuk rumah baru. Perabot semua tak ada, saya berniat beli yang basic sahaja. Duit pun tak berapa cukup. Saya hairan juga suami mendesak nak beli katil queen dua set walaupun kami perlu satu sahaja.
Saya guna duit saya kerana rumah ini atas nama saya. Saya pun termakan pujukan dan beli satu set lagi secara berhutang (kad kredit). Rupanya, suami telah menjemput KA sekeluarga (bini + anak) untuk menghabiskan sedikit masa di rumah kami. Mereka cuti beramai2, ibu bapa dan adik-beradik KA tapi hanya KA, isteri dan anak datang ke rumah saya.
Kami jemput mereka ke rumah keluarga saya. KA berkenalan dengan keluarga saya dan kami adalah jalan sikit-sikit dan memasak bersama. Bahagia juga saya rasa masa ni cuma saya terkilan sikit sebab suami kurang beri perhatian. Suami, KA dan isteri KA amat mesra sekali. Mereka bertiga seperti dah kenal lama.
Saya rasa KA bercerita tentang suami kepada isterinya, jadi mereka mudah mesra. Suami pula tak pernah ceritakan tentang KA kepada saya. Dia cuma cakap, itu kawan. KA dan isteri juga amat mesra, tak seperti kami. Timbul sikit perasaan cemburu di situ.
Masa ni, suami dan KA saling tunjukkan anak baru. Anak kedua saya baru berusia 4 bulan dan anak sulung KA masatu 7 bulan. Bila fikir balik, mereka akan sentiasa tunjukdan update ‘pencapaian’ mereka kepada satu sama lain. Kiranya, berkongsi milestones dalam hidup masing-masing.
Waktu lain, hanya suami berjumpa KA atau melawat rumah keluarga KA. Setiap tahun suami saya akan pergi melawat ibu bapa KA. Sekali lagi kami berjumpa secara berkeluarga ialah semasa isteri KA lahirkan anak kedua. Sama seperti kisah saya, isterinya baru habis berpantang. Dalam perjalanan dari rumah ibu bapa isteri KA, mereka ke rumah mentua saya dahulu.
Maksudnya, keluarga mentua saya dahulu yang melihat anak kedua KA sebelum ibu bapa KA sendiri. Bila fikir balik, saya sangat geram dengan mereka berdua ni (suami dan KA). Bangga dapat anak dan nak kongsi kebahagian dengan each other, tapi hakikatnya kami isteri yang melahirkan anak ini bukan orang yang paling mereka cintai. Mereka paling cintai antara satu sama lain.
Semasa bercerita di meja makan, suami bercakap tentang sorang mutual friend. Tiba-tiba, isteri KA berpaling kepada KA dan bertanya “Itukah kawan korang yang openly gay?”. Suami dia terus SHUSSH dia dan suruh dia diam. Dalam hati saya, mestilah mereka ni lebih banyak berkongsi cerita berbanding saya dan suami. Suami saya lebih selesa menipu saya dan saya pun selesa biarkan dia fikir dia dapat tipu saya.
Ok, dari bacaan saya, memang kajian menunjukkan yang biasanya perempuan yang berkahwin dengan lelaki gay ni, berkahwin dengan mata terbuka. Maksudnya, mereka memang tahu lelaki itu gay walaupun mungkin tak 100% pasti. Masa saya kahwin, saya akui saya tahu suami memang gay. Kami telah lama kenal dan suami saya memang seorang yang baik. Cuma masa tu saya fikir dia sudah bosan hidup begitu dan nak buka lembaran baru. Jadi, saya pun kahwin dengan dia.
Berbalik kepada cerita KA. Kami selesa hidup dengan saya berpura-pura tak tahu yang suami gay. Bagi saya, biarlah saya pura-pura bodoh asalkan dia tak hilang air muka sebagai suami. Dia boleh berikan teguran-teguran kepada saya, terutama dalam bab agama secara selesa. Saya ikut tegurannya. Cuma satu yang saya tak boleh nak ikut ialah untuk berstokin kaki dan lengan.
Dia kecewa dan tak suka sangat kerana saya tak berstokin. Dia betulkan bacaan Quran saya, saya ikut saja. Saya ikut segala kata-kata dia tanpa banyak soal. Saya ikut saja ke rumah kawan-kawannya. Saya pura-pura saja tak tahu yang kawan rapatnya semua gay. Saya layan saja mereka dengan baik. Saya mesra saja dengan isteri-isteri mereka,
Kawan rapatnya ada 4 orang, semua Gay Berbini dan seorang tu pula ialah ustaz. Saya syak saja bila mula kenal mereka tapi satu hari saya tertengok perbualan group mereka. Saya sedih sebab masing-masing share pengalaman sexcapade mereka, termasuklah suami. Mereka share gambar lelaki kacak yang mereka jumpa. Ada seorang sewa apartment khas untuk letakkan anak-anak ikan dia. Gambar aktiviti anak-anak ikan pun dia share.
Hati saya hancur bila kemudian saya pun tahu suami ada sewa apartment yang dekat saja dengan rumah kami, tanpa pengetahuan saya. Yang tinggal situ lelaki-lelaki jambu yang bermesej mesra dan menggoda bersama suami. Masing-masing tunjuk taring dalam group tu dan suami saya yang paling galak.
Ada juga yang senyum saja, mungkin mereka ni setia dengan isteri masing-masing. Saya yang malang sebab suami saya tak setia. Lain kali saya tulis tentang mereka. Mereka ni semua baik-baik dan saya suka suami berkawan dengan mereka. Yang kelihatan amat galak hanya suami saya dengan seorang lagi.
Berbalik kepada KA. Banyak sangat yang berlaku tahun ni, sehingga menyebabkan saya akhirnya tahu tentang KA dan suami. Oklah, yang sebenarnya buat hati saya hancur dan pedih sangat sebab saya jumpa Whatsapp suami dan KA.
Setiap hari, without fail, mereka akan hantar selfie kepada antara satu sama lain dari tempat kerja. Have a nice day. Assalamualaikum. Good morning. Dan wajib diakhiri dengan “Love you”. Dengan saya pun suami tak mesej macam tu. Balas mesej pun susah. Pertama kali saya nampak, saya menangis sampai termuntah-muntah. Masatu, suami buat bodoh saja dengan saya dan anggap macam tak ada apa-apa yang berlaku.
Lama juga saya berfikir pasalni sebelum betul-betul confront suami. Saya tak boleh salahkan mereka sebab sebenarnya dalam perhubungan mereka, sayalah orang ketiga. Mungkin orang ke-empat kalau campur isteri KA. Sama juga macam kes curang yang lain.
Jika saya melihat secara objektif, tak kiralah suami saya curang dengan lelaki atau perempuan, saya tak boleh salahkan orang itu 100 peratus. Suami juga bersalah kerana dia yang curang. Pastu, dia curang lagi dengan teman lelakinya dengan hook-ups lain. Mungkin saya juga bersalah kerana saya bukan orang yang baik. Jika saya seorang yang baik dan dapat bahagiakan suami saya, mungkin dia tak akan buat begitu.
Namun, logic saya tak dapat melawan perasaan saya. Saya confront teman lelaki suami saya, melalui Whatsapp. Walaupun saya tak berapa selesa dengan dia, saya pandang tinggi kepada dia dan isteri. KA ialah seorang pensyarah lulusan Syariah Islamiah.
Isteri dia bahasakan dia dengan manja sebagai Ustaz. Bini dia pula seorang berkerjaya profesional, seorang wanita yang sangat cantik, baik hati dan alim. Memang pasangan yang serba sempurna. Kami mesej bermula elok-elok. Yang sangat kecewakan saya ialah sifat angkuh KA yang beberapa kali cuba menipu saya.
Pertama, KA berkata dialah yang selalu nasihatkan suami agar memainkan peranan dalam perkahwinan kami. Ayatnya seolah-olah berkata, akulah yang halang suami kau dari ceraikan kau. Bila saya sebut sesuatu yang suami rahsiakan dari saya tapi bukan dari dia, dia berpura-pura tak tahu dan cuba korek cerita dari saya. Saya menyampah sangat masatu sebab dalam pemikiran dia, dia anggap dia lah yang akan tahu semua rahsia dan kebimbangan suami saya. Seolah-olah dia lah pasangan suami saya dan saya ni setakat watak tambahan.
Ada benarnya yang si KA ni memberi pengaruh baik kepada suami saya. Bila berkawan dengan KA, suami saya sudah tak rapat dengan group satu lagi yang amalkan gay lifestyle. Ini group lain lagi daripada group Gay Berbini. Group gay lifestyle ni kita bahasakan Gay Lords lah.
Saya rasa KA ni memang setia dengan bini dia, sebab dia datang dari keluarga yang elok dan alim. Secara logic, saya faham kenapa KA sanggup menipu. Sebagai seorang ustaz, mesti dia takut identiti seksualnya terbongkar. Mungkin sebab itu dia sanggup menipu saya demi menutup aibnya.
Saya marah pada diri sendiri kerana sibuk bandingkan diri dengan KA. KA dah ada PhD, saya belajar setakat Masters. KA banyak duit, seperti kata suami. Suami asyik puji mereka laki bini, banyak duit, rumah elok. Saya pula struggle dengan duit. KA selalu bawa bini dan anak bercuti overseas. Saya hanya mampu bawa anak jalan-jalan tempat dekat yang naik kereta.
KA masih ada kedua-dua ibu bapa Datuk Datin yang berharta, rumah tengah KL, siap jadi AJK masjid. Ibu saya ibu tunggal yang struggle financially besarkan kami adik-beradik walaupun berkejaya, tinggal di kampung. Keluarga saya tak semewah keluarga KA yang pernah bawa suami bercuti bersama mereka. Banyak betul perbandingan yang saya buat, fikiran saya ligat berputar kenapa suami cintakan KA berbanding saya.
Sangat-sangatlah tak logic saya menyeksa diri dengan pemikiran begini hampir sepanjang tahun ni. Pada satu tahap, saya kehilangan 10kg sebab terlalu memikirkan hal KA. Padahal perbezaannya KA ialah seorang lelaki yang serba lengkap pakejnya (agama, keluarga, harta dan rupa) dan saya pula seorang perempuan yang biasa-biasa saja. Jantina ialah perbezaan kami yang paling ketara.
Banyak lagi sebenarnya yang berlaku tahun ni. Saya tak mahu tulis semua kerana saya tak mahu menyesal dengan apa yang saya tulis. Cuma KA ni, saya sangat geram sebab dialah yang duduk dalam hati suami saya.
Memang saya marah dengan suami, cuma kalau mereka terus terang dan cakap baik-baik dengan saya, kalau saya belum ada anak dengan suami saya, mungkin saya boleh redha dan mengalah. Ini mereka terus-menerus menipu saya dan enggan jawab soalan-soalan saya. Saya cuma nak faham kenapa hidup saya boleh jadi macam ni.
Saya nak tahu kebesaran cinta mereka sampai mereka boleh angkuh menipu saya. Masing-masing nak jadi lelaki soleh, nak beristeri dan beranak tapi sanggup tipu saya. Kalau mereka ikhlas nak jalanani hidup seorang Muslim, mereka patut putuskan saja hubungan mereka. Walaupun tak tidur sekatil, tak semestinya mereka boleh mesej Love You hari-hari.
KA berkata, sejak berkahwin dia tak pernah bergiat dalam dunia gay. Sebab itu dia nasihatkan suami saya berkahwin juga. Kepada KA, kalau kau ikhlas nak suami aku ada perkahwinan yang bahagia, kenapa kau nak menempel di majlis kami? Perlukah kau rosakkan memori majlis kami dengan kehadiran kau dan kek murahan kau? Kenapa kau nak teruskan berhubungan dengan suami aku? Otak PhD ko tu mesti boleh faham kan apa maksud emotional affair yang sebenarnya lebih teruk lagi dari physical affair.
Saya berfikir dulu, kalau suami boleh commit dengan perkahwinan, saya tak kisah dia gay. Mungkin dia mahu hidup dengan cara yang betul secara Islam bila berkahwin dengan saya. Dan terbaru, masing-masing suami dan KA berkata mereka dah tak hubungi antara satu sama lain. Saya pilih untuk percaya mereka kerana saya mahu move-on. Saya petik pesanan Bonda Nor, selagi suami tak melakukan sesuatu yang menjejaskan aqidah, maka bersabarlah.
Kadang-kadang saya rasa kecewa sebab anak-anak takkan merasa hidup dalam keluarga yang bahagia dimana ayah dan ibu saling mencintai. Kedua-dua anak saya umur bawah 5 tahun pun kadang-kadang boleh cakap “Ayah tak suka ibu.” Mungkin mereka boleh perhatikan yang suami selalu tak layan pertanyaan saya. Saya selalu kena cakap berkali-kali sebelum suami respon. Matanya hanya pada telefon dan komputer.
Saya tak benci suami. Saya kasihan pada dia sebab saya faham perasaan apabila kita menyayangi seseorang, tapi orang itu tak tergapai. Saya kecewa dengan diri sendiri sebab tak mampu urus perasaan dengan baik.
Saya pernah cakap dengan KA, kalau bukan kerana anak-anak pasti saya akan mengalah saja dengan KA. Kalau boleh saya nak betul-betul suami bercerita, saya nak tahu apa dia fikir. Tapi, dia ada masalah lain yang saya tak boleh cerita. Malah, geng Gay Berbini pun seolah-olah cuba pinggirkan dia sekarang (mungkin mereka tahu saya tahu mereka gay?). Ini cerita untuk waktu lain.
Setelah kemelut yang berlaku tahun ni, kami baik2 saja. Saya nampak suami buat yang terbaik untuk layan saya dengan baik depan anak-anak dan keluarga. Saya hargai usaha dia. Kasih sayang saya terhadap dia memang tak berubah langsung. Harapan saya, dia juga boleh sayangkan saya dan percayakan saya. Saya nak suami tahu saya amat sayangkan dia. Saya percaya, perkahwinan kami boleh berjaya.
Doa saya agar kata-kata dia, perbuatan dia menzahirkan kasih sayang dilakukan dengan ikhlas. Datang dari hatinya sendiri, bukan kerana terpaksa atau menipu. Saya mahu kami boleh berkongsi cerita, berkongsi rasa dan saling percaya. Saya rasa mustahil untuk suami sayang saya tapi itu doa saya setiap kali solat dan pada waktu-waktu mustajab.
Sebenarnya, saya malu dengan apa yang berlaku, saya malu dengan kelakuan saya sendiri dan cara saya handle benda ni. Saya tebalkan muka untuk mohon kepada pembaca sekalian. Pembaca yang membaca sampai ke sini, mohon doakan kami ya.
– Khitfa Nagi (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit
takda sambungan ekk