Hanya Coretan Si Gila

Untuk yang membaca, terima kasih.

Kali terakhir aku memegang pena adalah pada 12 tahun yang lalu. Menggariskan berjuta perasaan pada dada selembar kertas.

Selepas aku ditinggalkan sahabat, yang aku perjuangkan persahabatan sehingga meragut diri ku separuh hilang, tidak keruan. Aku berhenti menulis.

Segala rasa yang semakin merimbun dari saat itu aku pendam, tidak lagi aku coretkan pada mana-mana helaian juga pada ruang media sosial atau whatsapp rakan.

Aku terasa yang kehilangan itu terlalu dalam perasaanya untuk dipindahkan dalam hujahan kata. Terlalu dalam. Terlalu pekat, likat yang sukar ditelan.

Setelah 12 tahun berlalu, di sini aku cuba menulis untuk sekali lagi walau diksi aku sudah berkarat, metafora aku kelaut, Aku cuba.

Pada malam yang entah keberapa aku bersendiri, di dalam gelapnya kamar yang sengaja aku biarkan tidak bercahaya. Aku mahu suasana begitu, seperti dalamanku yang kosong dan kelam.

Aku memerhati kipas di siling yang berpusing ligat, bunyinya berkerja mengisi kesunyian bilik.

Ya, kepala aku seligat itu, memikir pada pusingan yang sama berulang-ulang bagai tiada penghujungnya.

Cuma bezanya aku dan kipas di siling itu, kipas di siling itu bermanfaat pusingan nya dari fikiran yang berulang di dalam kepala ini. Hanya bakal mencetus anzieti.

Malam ini yang aku sudah lupa apa tarikh dan harinya, juga sepertimana aku lupa pada kehidupan yang telah lama aku tinggalkan jauh.

Aku mula sebati dengan diri aku yang baharu. Diri yang aku tak tahu bila kemunculannya, tetapi dengan jelas aku masih ingat, Dia datang selepas peristiwa 12 Tahun yang lalu itu.

Cuma fikiran aku tidak tertangkap masa dan harinya Dia wujud kerana dalam kebiasaan aku melawan perasaan, Dia ada dengan aku.

Di sini, di sisi aku, deria dan kewujudan nya lebih tajam dari aku. Aku hanya peminjam jasad untuk Dia, kerana aku rasakan diri aku sudah terhapus hilang entah ke mana. Sirna.

Sudah kuberitahu kepada manusia, bahawa aku lihat Dia di sisi, aku mendengar dia dengan jelas melalui deriaku, tetapi mereka tidak percaya.

Setiap kali keadaan itu terjadi, Dia ketawa terbahak-bahak di hadapan aku, ketawakan kebodohan aku katanya. Aku cuma diam.

Sudah kuberitahu juga kepada manusia yang aku ini sakit, aku bawa seorang teman bersamaku yang tiada siapa mampu lihat dan dengar, adakalanya aku seakan tidak sedar Dia mendominasi diri aku.

Mereka minta aku berubat Islam, lakukan ibadah seperti kebiasaan seorang Muslim dan gandakannya, agar semuanya kembali sama seperti mereka. Tetapi tidak, Dia tidak hilang. Aku berperang dengan perasaan.

Di sini, ketika ini angin dari jendela semakin sejuk menerjah masuk ke bilik. Jam sudah menunjukkan pukul 3.04 minit pagi. Langit kelam di luar sedang merubah spektrum warnanya.

Ahh siapa peduli. Sekarang waktu manusia bermimpi indah-indah. Pada waktu ini lah aku lebih selesa berbual dengan Dia. Personaliti Dia ini keras, tegas, rigid, baran, liar, bertentangan dengan aku.

Adakala dia mahu aku buat seperti apa yang dia mahu, selagi aku tidak memenuhi permintaan nya, selagi itu dia memprovokasi.

Selepas 12 tahun yang lalu ke masa kini, adakala aku sengaja biar Dia mengawal segala perasaan dan tindak balas. Kerana aku penat dengan kehidupan. Lagi penat apabila Dia bertentangan dengan aku dalam satu-satu hal.

Dari satu jelmaan, dia bawa dua ke tiga jelmaan untuk menghentam aku, cukup untuk buat aku menyerah kalah. Ada masanya, aku cuba bertegas, cuba lebih “loud” dari Dia dan Sekawanan, tetapi aku tahu aku lemah.

Dia akan pujuk rayu, bawa cerita-cerita lama, mengapi-apikan bahang luka dalam diri aku, sehingga aku rasa terbenam dalam selautan derita yang aku cuba ubati.

‘Aku kalah dengan siapa? Aku kalah dengan siapa?!’

Ini sahaja soalan yang aku mampu tanya setiap kali aku kalah dalam pertarungan jiwa. Siapa itu merujuk kepada apa? Siapa itu siapa? Kata manusia apabila aku cuba terbuka,

“Mindset kau tu yang salah. Cara kau fikir yang buat kau macam tu”.

Remuk rasanya di hati, terasa sebu, terasa dihimpit, seseorang tolong bawa aku keluar rintih di hati. ya…. Dia ketawa lagi, tak ubah seperti seorang antagonis. Katanya pada aku,

“Manusia yang kau minta pertolongan itu hanya akan binasakan kau satu hari nanti, dah lupa?”

Kemuncaknya, aku tak terasa lagi yang Dia ini terasing dari diriku.

“Buat sahaja apa yang kau mahu buat, asalkan jangan kau bunuh jasad ini”, itu perjanjian aku dengan Dia. Aku terima Dia dan aku tak mahu lagi berlawan kata yang pada akhirnya hanya aku yang terasa peritnya.

“Kalau aku bunuh jasad ini, bukan kah kau lagi suka kerana boleh hilangkan aku?” Dia balas semula pada aku, cuba memancing aku kerana sudah berkali aku mahu akhiri hidup ini sendiri.

Geleng kepala aku mendengar respon dia padaku. Tercabar. Berdebar. Aku tahu benar permainan dia.

Semasa aku biarkan dia pegang jasad dan tubuh ini, bagai tidak keruan aku cuba dapatkan kembali kepercayaan Dia untuk berhenti. Sekarang aku beri, dan dia masih mahu bercerita tentang nyawa dengan aku. Sinis bunyinya.

Tak.. Segala cerita dari awal tadi sehingga ke perenggan ini Aku hanya berseorangan, di dalam bilik yang kelam dan sunyi, sesekali angin malam menerjah masuk ke kamarku, aku masih memerhati kipas yang ligat berpusing.

Malam ini, aku hanya mengimbau perkara yang sudah samar-samar. Tentang ini, Dia bertanya pada aku ketika aku mengarang perenggan pertama,.

“Kau menulis tentang aku atau diri kau?”

“Kita” aku menjawab.

“Nanti mereka akan kata pada kau, kau gila.”

“Jadi?” balasku ringkas.

“Mereka itu tak akan percaya aku ada dengan kau.”

Aku tidak membalas apa-apa.

Lama Dia diam, kakinya yang berjuntai dari sisi meja dihayun-hayun.

“Aku rasa cerita dari sudut pandangan kau membosankan. Apa kata biar aku yang menulis?”

Aku toleh melihat Dia yang lebih tinggi dari aku, bibirnya tipis, bersusuk tubuh lelaki, rambutnya kusut separas bahu, dibiar tidak diikat, masih berbaju hitam dan berseluar senteng seperti aku pertama kali melihat dia. Tapi sayang, mata dan hidungnya tiada.

Aku tak tahu pengalaman lalu apa yang terjadi pada Dia, sehingga dia muncul pada aku dalam keadaannya yang tidak sempurna.

“Cerita versi kau, tentang diri aku, akan menampakkan aku ini selemah-lemah manusia.”

Ketawa dia bergema memenuhi ruang kepalaku.

“Bukan kah, nak menampakkan kau baik dan lemah, kau menzahirkan aku jahat dalam penulisan kau juga? Aku tahu.” Ketawanya masih bersisa.

Aku diam. Tak perlu dibalas.

Aku terus menulis, dan menulis, sehingga aku menoktahkan ayat terakhir ini di dalam kepalaku.

– Maishal (m.i.survivor) (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *