Bismillahirahmanirahim
Dengan Nama Allah Yang Maha Kuasa.
Terima Kasih Admin jika kisah ini disiarkan.
Selesai menonton kisah di panggung yang bertajuk “Bisik Pada Langit” yang baru saja dipertontonkan untuk tontonan umum. Walaupun kisahnya agak mudah tapi jalan ceritanya agak menusuk kalbu dan mampu merobek hati-hati yang lemah ini. Begitulah kasih seorang Ayah terhadap anak perempuannya (Hajar) yang merupakan satu amanah yang diterima dengan nama Allah dan dihantar kembali ke alam barzakh dengan nama Allah juga. Bersungguhnya seorang ayah demi seorang anak perempuan yang payah menjaga dari lembu sekandang baginya. Kisah ini sangat bermakna dan segelintir watak dalam cerita seperti Zaidi dan Iqram serba sedikit mengimbas kembali kenangan dulu. Kisah “Bisik Pada Langit” ini ada persamaan sedikit dengan cerita hidup aku.
Aku lahir di Sabah di suatu kawasan pedalaman yang kebanyakan penduduknya berkerja sebagai nelayan. Hidup kami dulu adik beradik amatlah susah. Aku anak ke-3 daripada 8 adik beradik. Masa itu aku ingat lagi kami tidak mempunyai dapur dan botol gas untuk memasak kegunaan harian dan terpaksa mengutip kayu api setiap petang sebagai bahan bakar dapur kayu yang agak usang dan berkarat. Seberkas kayu api hanya mampu bertahan untuk sehari, maka setiap hari perlulah kami adik beradik pergi ke hutan untuk mencari kayu lagi walaupun setelah seharian bersekolah yang jauhnya mencecah 1 km berjalan kaki. Susahnya memasak dan menghidupkan api itu memang amat terasa terutamanya bila waktu subuh. Tapi susuk ibu tak pernah mengeluh akan kepayahan ini dan begitu juga ayah.
“Orang miskin macam kita ini sangatlah memerlukan pendidikan untuk mengubah dan meringankan beban yang agak berat ditanggung dibahu”.
Ayah tidak pernah jemu untuk mencari wang untuk anak-anaknya bersekolah. Laut tidak akan pernah memberikan hasil yang tetap, kadang rugi kadang untung. Itulah rutin si nelayan seperti ayah aku. Gigihnya seorang ayah hingga sanggup mengabaikan keselamatan dirinya untuk anak-anaknya. Kalian mungkin tidak selalu bergelumang dengan gelora dan ombak ganas dilaut, sampai ada satu masa ajal kau boleh jadi didepan mata. Tetapi semua kuasa itu ada pada Tuhan, kita hanya mampu berserah diri. Sepanjang persekolahan ku di kampung itu jarang sekali aku diberi duit poket sebagai pengalas perut dan kadang-kadang hanya 20 sen yang tidak mampu membeli walau sebutir nasi. Tapi aku dah biasa dengan keadaan sedemikian. Selesai sekolah, barulah dapat ku jamah sedikit makanan yang di masak oleh ibuku dirumah. Yuran sekolah ku kadang-kadang tertunggak, yuran PIBG yang sepuluh ringgit masa itu ayahku tidak mampu membayarnya. Tiap kali aku turun ke laut bersama ayah ku, aku selalu melihat keliling laut yang daratannya samar-samar pada pandangan mata. Aku selalu berbisik pada diri ku yang suatu hari nanti ayah tidak perlu bersusah payah lagi macam ini, kudratnya sudah lama diperah. Dengan izin Tuhan, Alhamdulillah aku dikurniakan keputusan yang cemerlang tiap kali peperiksaan. Semua ini dibantu dengan keadaan sekelilingku yang memaksa aku terus berjaya tanpa melupakan pertolongan-Nya yang paling utama.
Tetapi aku masih ada adik-adik yang lain. Aku kadang-kadang kasihan dengan adik-adik yang lain bila mana aku dipuji oleh kebanyakannya ahli keluargaku yang lain. Aku tidak mengharap sedikitpun pujian itu. Sedih hati bila mana aku diraikan tetapi adik-adik yang lain disisihkan. Semasa SPM 2011, Allah izinkan aku menjadi pelajar cemerlang di sekolah dan antara yang terbaik di bahagian Sandakan pada masa itu.
Aku pun mulalah membuat permohonan ke IPTA untuk mencapai cita-cita menyambung pengajian di menara gading. Allah permudahkan urusan ku dan aku berjaya mengikuti program asasi di UIAM. Abang ku terpaksa menghentikan pengajiannya di institusi kemahiran dengan alasan untuk membantu ayahku membiayai persekolahan adik-adik yang lain. Dia telah banyak mengorbankan masa dan wangnya demi kami semua. Kasihan aku melihatnya yang sudah kelihatan berumur dek kerana kerja keras. Adik-adik aku pun yang lain macam itu mereka sanggup tidak menyambung pengajian demi aku meneruskan pengajian aku di semenanjung. Walaupun ada segelintir adik-adik ku memandang sinis terhadap ku kerana aku banyak menghabiskan wang untuk kos pengajian ku di universiti, terutamanya tiket penerbanganku pergi dan balik ke Sabah. Aku tidak menyalahkan mereka. Mereka ada hak untuk mencapai cita-cita mereka juga. Aku rasa bersalah sebenarnya, oleh kerana aku, adik dan abang aku tidak mampu melanjutkan pengajian walaupun mereka ini sangat bijak dan berpotensi tinggi untuk berjaya. Anak-anak itu berlainan potensi diri mereka. Ada yang bijak otaknya, ada yang berseni tangannya, ada yang berpotensi untuk menjadi ketua yang berkaliber dan ada juga yang suaranya merdu bagai pungguk rindukan bulan.
Ada juga adikku yang cemburu padaku kerana kebanyakan permintaan aku di penuhi lebih daripada mereka. Ya aku merasa diriku dilebihkan berbanding anak-anak yang lain dan harapan ibu dan ayahku lebih besar terhadap diriku.
Harapan yang besar ini kadang tidak mampu ku tanggung. Aku terasa beratnya bebanan sebagai seorang anak harapan dalam keluargaku. Aku masih ada adik-adik yang masih kecil yang ku harap mereka lebih bersinar dan berjaya melebihi apa yang aku capai sekarang. Susah payah hidup itu memberikan kesan kepada diriku yang mendalam untuk terus berusaha mengubah semampu zahirku. Dari nasi berlauk ikan masin kepada nasi berlauk ayam dan daging. Dari kipas daun kepada kipas angin elektrik, dari gelapnya cahaya pelita kepada cahaya lampu kalimantang, dari keruhnya air perigi kepada bersihnya air yang di rawat, dari panasnya mentari dan hujan kepada bot yang besar dan berbumbung, dari atap zink yang berkarat dan bocor kepada atap genting. Inilah harapan dan impian aku untuk keluargaku. Sudah lama mereka menderita, sudah banyak peluh dan keringat dikerah, telah kering air mata yang menitis meratapi sengsara, telah pekak telinga mendengar kata-kata ejekan dari tetangga dan badan sudah teramat letih dan lelah.
Impian dan harapan ini memberi aku kekuatan disetiap nafas pagi dan malamku. Doakan terbaik untukku dan untuk kalian.
– Nakhoda
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit