Assalamualaikum. Nama aku Balqis (bukan nama sebenar). Coretan aku hari ini adalah berkenaan berkecainya harapan untuk aku memiliki rumah.
Pendek kan cerita, aku lahir di Felda. Keluarga aku biasa-biasa. Nak kata susah tak, senang sangat pun tak. Kira cukup makan pakai.
Aku dah berkahwin dan memiliki dua anak yang comel-comel. Alhamdulillah. Aku dengan suami aku bekerja biasa-biasa sahaja. Gaji tak tinggi mana pun. Bila digabung gaji kami laki bini, adalah tak sampai RM3000. Iye memang sikit.
Dek kerana sikit itulah aku dan suami tak pernah berangan memasang impian memiliki rumah. Kami sedar yang kami tak berkemampuan.
Apabila rakan tempat bekerja bercerita mereka membeli rumah itu ini, aku hanya diam. Aku diam sebab aku tahu kami tak mampu. Bila dengar harga rumah dikawasan kami tinggal, memang diluar kemampuan kami.
Kami laki bini kadang bergurau antara kami, jalan-jalan petang dikawasan perumahan naik motor sambil tuding rumah-rumah orang yang dah renovate sambil berkata, bilalah rumah kita nak siap ye sayang.
Suami aku menjawab, dah nak siap la tu, tinggal sikit lagi. Hehe. Begitulah kami selalunya.
Alhamdulillah, aku dapat suami yang bertanggungjawab. Tak pernah mengabaikan tanggungjawabnya pada aku dan anak-anak serta penyayang pada kami.
Kami juga menggunakan kereta lama dan sudah habis dibayar. Bagi aku itupun dah cukup untuk kami kemana-mana. Kalau diikutkan kami memang tiada hutang.
Gaji yang kami terima adalah untuk bayaran sewa rumah dan pengasuh anak-anak. Kami tak ada komitmen bayaran bulanan lain. Coway ke astro ke unifi ke mahupun insurans. Semua kami tak ada.
Alhamdulillah, Allah mencukupkan kami sekeluarga. Masih mampu menyimpan sedikit. Kadang gaji kami yang sedikit itu masih berbaki untuk ke bulan akan datang.
Kalau bercerita tentang kediaman sendiri. Siapa yang tak nak kan. Ada rumah sendiri. Aset sendiri. Pernah memohon untuk membeli rumah. Awal-awal kena tolak sebab tak layak.
Pernah juga ditertawakan rakan sekerja sebab dah berumur tapi masih menyewa. Sedih juga. Tapi kami sedar kemampuan kami.
Sehinggalah pada penghujung tahun 2019 tak silap aku, Felda tempat aku dilahirkan ni telah mengeluarkan satu borang. Borang perumahan untuk generasi kedua.
Keluarga aku menyarankan aku mengisi borang tersebut. Aku pun isilah. Lepas je aku dan suami hantar borang, kami tak pernah dengar dah pasal rumah tu. Sepi.
Nak-nak tahun 2020 kan ada isu covid19 lagi. Kami beranggapan mungkin kami tak layak. Jadi kami redha.
Sampailah baru-baru ni, kampung aku keluarkan surat dan senarai nama orang yang ditawarkan rumah tersebut. Terkejut kami laki bini. Nama ada dalam senarai.
Dalam surat tu menyatakan kami telah melepasi saringan kelayakan kredit dan perlu hadir sekian-sekian haribulan untuk cabutan undian rumah.
Dalam surat juga menyatakan bahawa kami perlu berebut dengan 317 peserta yang lain kerana rumah yang disediakan hanya lah 136 buah.
Ya Allah, boleh bayang tak betapa besarnya harapan kami untuk mendapatkan rumah tersebut.
Rumah tu memang dekat dengan tempat kerja kami. Dalam 20 minit. Harganya juga murah dibawah harga pasaran semasa. Kami sangat berharap yang kami terpilih nanti.
Sejak dapat surat tersebut, kami memanjang tersenyum. Sambil mengucap syukur. Macam tak sangka.
Surat dapat hari isnin. Hari rabu mereka minta kami hadir untuk undian terpilih ke tidak dan sekaligus penentuan nombor rumah. Punyalah kami gementar. Berharap yang kami dapat.
Tibalah hari kejadian. Sebelah petang. Aku ingat lagi. Cuaca sangat terik. Suami aku pergi ke dewan tempat pengundian.
Ya Allah beratur panjang sampai ke pagar. Suami aku da tentulah lelaki. Takpela lagi. Aku kesiankan makcik pakcik yang da berumur. Beratur panjang panas-panas.
Untuk pengetahuan undian rumah ni boleh diwakilkan kalau tak dapat hadir. Jadi mungkin mak ayah diorang yang hadir wakilkan anak-anak. Suami aku wakilkan aku.
Aku menunggu dalam kereta dengan penuh sabar dan doa. Sepanjang majlis berlangsung aku tak dapat apa-apa info dari suami. Mungkin sebab suami pun gementar.
Jadi dia tak ada mesej apa-apa. Yang aku sedar dalam pukul 4 lebih, suami datang kearah kereta. Aku nampak riak muka suami. Sedih. Mata dia berkaca. Jadi aku faham. Yang kami tak terpilih.
Iyalah rumah yang ada 136 sahaja. Aku sebak. Kami balik rumah mak. Terus ke bilik. Di bilik, kami suami isteri menangis dalam ketawa bersama-sama.
Boleh bayang tak. Airmata cuba kami tahan dengan ketawa. Tapi tetap mengalir tak henti-henti. Kami saling memujuk. Tak apelah mungkin bukan rezeki kami.
Suami cepat move on. Aku sampai ke harini kalau duduk sorang-sorang akan terkenang dan menangis. Betapa kami berimpiankan rumah tersebut. Berimpiankan tak perlu menyewa lagi.
Suami kata ibarat kaki kanan kami dah masuk. Tapi tiba-tiba kena tarik balik. Perasaan tu sukar digambarkan.
Sekiranya nama aku awal-awal tak tersenarai, aku tidaklah sesedih ini. Rumah yang dibina tu dalam kampung aku je. Bila balik rumah mak. Mesti lalu kawasan perumahan tu.
Buat masa sekarang aku masih dalam fasa menerima kenyataan dan redha. Mungkin lama-lama nanti hilanglah perasaan ni. Bila aku bergenang air mata, suami berpesan, jangan sampai ada sifat wahan. Cepat-cepat aku istighfar.
Suami pujuk, semua ni najis dunia. Jangan terlalu kejarkan harta dan cintakan dunia. Betul la tu.
Cuma aku berharap lepas ni pihak pengurusan FELDA sekiranya nak bina rumah generasi kedua ke ketiga keempat ke, tak perlulah suruh kami undi. Senaraikan sahajalah nama-nama yang memang layak. Itu lebih diterima akal manusia biasa.
Kesian aku tengok orang yang tak berjaya masa keluar dari pagar dewan. Ada yang menangis. Ada yang merah mata. Termasuklah suami aku sendiri.
136 pulang dengan perasaan gembira. 181 pulang dengan kekecewaan. Mungkin mudah mulut mengatakan dah takdir. Redha sahajalah.
Ada juga yang kata cuba kalau dapat, ayat macam ni tak akan keluarkan. Memang. Tak akan keluar ayat kecewa. Mungkin sangat gembira. Sebab itu fitrah manusia. Dapat nikmat, mereka seronok dan gembira.
Maaf kan aku seandainya penulisan aku tak berapa tersusun. Dikalangan pembaca ni mesti ada yang doanya tiada hijab antara dia dan Allah. Doakanlah supaya aku dikurniakan keluarga bahagia, dimurahkan rezeki dan anak yang ramai. Hehe. Tiberr.
Terima kasih ye sudi membaca. Semoga pembaca semua dalam lindungan rahmat Allah. Aamiin.
Yang benar,
– Balqis (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit