Terima kasih admin jika luahan ini disiarkan. Saya Wan dan ini luahan saya. Saya suka membaca dan memerhati tingkah laku manusia. Apa yang saya perhatikan, kita hidup dalam realiti masyarakat di mana penghargaan itu sesuatu yang sangat mahal untuk didapati. Sedangkan kalau merujuk piramid Teori Keperluan Maslow, penghargaan itu berada di tingkat kedua tertinggi keperluan seseorang individu (boleh rujuk Google). Membezakan kita dengan binatang yang sekadar memenuhi keperluan asas dan terbawah dalam hierarki keperluan diri iaitu makanan, minuman, tidur, dll.
Rasa tidak dihargai ni memang beri kesan besar terhadap seseorang. Disebabkan rasa tidak dihargai, ada orang yang jadi rendah diri, murung, sehingga mahu membunuh diri. Pernah saya lihat satu video yang dibuat oleh mak kepada mangsa bunuh diri. Dia cakap sebelum anak dia bunuh diri, anak dia menelefon keluarga dan sahabat rapat yang dia ada untuk tanya sama ada mereka sayang tak kat dia…malangnya tidak ada seorang pun yang angkat telefon masa tu. Dan itulah benda yang paling mak dia sesalkan. Dan mak dia pesan jika ada sesiapa di luar sana yang meluahkan hasrat untuk bunuh diri, selaku orang yang mendengar, kita tidak boleh biarkan dan anggap mereka ini merapu.
Kita patut tunjukkan yang mereka berharga dan masih ada yang sayang. Itu kata kunci luahan saya –penghargaan perlu ditunjuk dan diberitahu, bukan anggap orang sekeliling kita faham yang kita menghargai mereka. Lebih senang jika kita mulakan dengan diri kita sendiri berbanding mengharap orang lain yang mulakan dulu.
Saya pernah baca novel Negeri 5 Menara, penulis menyesal sebab tidak pernah cium ayahnya dan memberitahu dia sayang ayah dia yang berkorban beri duit untuk dia sambung belajar semasa ayah dia hidup. Selepas baca buku tu, saya yang dulu tak pernah cium arwah abah atau cakap sayang kat arwah abah sebab malu dan tidak rapat terus terkesan untuk berubah. Awal-awal memang kekok, tapi lama-lama saya dah biasa.
Kalau dulu arwah abah selalu cemburu sebab saya selalu cium mak sahaja. Arwah abah selalu cakap dekat mak, ‘Anak-anak sayang kat awak sahaja,’. Itu apa yang mak selalu bagitahu. Tetapi saya tak menyesal sekarang sebab saya sempat biasakan diri bagitahu saya sayang abah setiap kali berjumpa beberapa lama sebelum abah meninggal tahun lepas.
Setelah bersuami, saya perhatikan bagaimana pergaulan dia dengan ahli keluarga. Walaupun mereka rapat, kadang-kadang saya lihat pendapat dia atau salah seorang adik beradiknya diperlekehkan oleh adik-beradik yang lain di hadapan saya dan kadang-kadang dikutuk walaupun secara bergurau. Memang kita ambil mudah dan lebih kurang sebab adik beradik, tetapi dalam hati masing-masing, ada yang rasa tidak dihargai. Macam mana saya tahu?
Kadang-kadang apabila berborak one to one, adik ipar rasa semua orang tak hargai usaha dia yang dah bersungguh-sungguh belajar. Kadang-kadang tengok status whatsapp adik ipar yang lain, dia letak hargai dia sementara dia masih ada sedangkan dia seorang yang sangat ceria. Masing-masing cuba menagih penghargaan dan perhatian dalam diam.
Kadang-kadang apabila mertua berborak, anak-anak dia perlekehkan atau menyampuk. Mendengar juga satu bentuk penghargaan. Bukan semua orang boleh menjadi pendengar yang setia. Itu juga satu sebab kenapa suami saya memilih berkahwin dengan saya. Sebab dia jenis suka berborak dan melawak, jadi dia perlukan pendengar dan tukang ketawa sahaja, bukan tukang perlekeh atau menyampuk apa yang dia cakap. Kadang-kadang cerita yang diulang-ulang pun saya layankan sebab saya cuba menghargai orang sekeliling sementara masih ada.
Instead of tanya ‘awak sayang saya tak?’ ‘mak sayang saya tak?’ ‘abang sayang saya tak?’, apa kata kita sendiri yang mula memberitahu ‘saya sayang awak,’. Setiap kali saya habis borak dengan mak di telefon, saya biasakan diri cakap ‘Wan sayang mak’. Mula-mula respon mak sekadar terima kasih, namun lama-lama mak mula membalas ‘mak pun sayang Wan sangat-sangat’. Dan saya cuba pastikan orang sekeliling saya tahu bila saya rindu, sayang, terima kasih dengan mereka. Secara tak langsung, mereka pun akan berbuat demikian terhadap saya. Kata-kata ibu bapa bukanlah nak duit sangat, mereka perlukan perhatian dan penghargaan atas pengorbanan mereka memang tepat.
Percayalah, kesannya sangat besar kepada orang sekeliling kita terutama kanak-kanak. Dan pulangan kebaikan yang kita dapat juga sangat besar. InsyaAllah.
Kesimpulannya, seorang konsultan perhubungan terkenal di internet, Eric Charles pernah cakap, ‘rahsia hubungan bahagia ialah penghargaan. Selepas saya bagitahu ni, kemungkinan awak tidak perlu membaca artikel mengenai cara nak bahagia dalam perhubungan dah’. Appreciation goes a long way. Jangan lokek untuk tunjukkan. Semoga bermanfaat luahan saya ini. Semua orang berhak dihargai walau sekecil apa pun perkara baik yang dibuat. Selamat menyambut Ramadhan, bulan penghargaan.
– Wan
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit