Hargai Usaha Mereka

Assalamualaikum wrh buat semua pembaca IIUM confessions. Firstly, thanks to admin kalau confession ini terpilih untuk disiarkan. Di sini saya nak kongsikan sebuah cerita pasal sahabat saya. Saya bersahabat dengan dia daripada saya kecil lagi. Dia juga merupakan jiran saya. Sahabat saya ini seorang yang sangat baik. Kalau saya perlukan pertolongan, dia selalu tolong saya. Dia baik sangat.

Cuma sahabat saya ini tidak menutup auratnya dengan sempurna. Sewaktu masih bersekolah, dia selalu datang ke rumah saya. Kami berbual. Kami ulangkaji sama-sama. Kami bermain. Disebabkan kami selalu meluangkan masa bersama, saya selalu menggunakan kesemptan itu untuk memberi tazkirah kepadanya tentang agama. Saya bukanlah seorang yang sempurna. Saya hanya menolong setakat yang saya mampu sebab saya sayang dia.

Sahabat saya ini juga seorang yang suka ditegur. Bila saya sampaikan sesuatu pada dia, dia tidak segan silu untuk bertanya. “Boleh saya belajar mengaji dengan awak”? “Saya nak berubah”, “Takutnya kalau Dajjal muncul. Nak mati sebelum Dajjal muncul”. Kadang-kadang tu dia menangis. Sejuk hati saya tengok dia. Bukan senang untuk menerima teguran daripada orang lain. Tetapi dia tidak.

Suatu hari, dia membuat keputusan untuk bertudung. Tetapi yang dia terima adalah kata-kata sindiran daripada orang ramai. “Kau dah nak mati ke”, “Dunia nak kiamat dah kot”, Kau dah kenapa? Buang tabiat”. Itulah sindiran-sindiran yang dia selalu terima. Dia ceritakannya kepada saya bahawa dia tidak kuat. Dia rasa tak mampu. Saya cuba sedaya upaya untuk memberikan semangat pada dia. Saya katakan pada dia supaya bersabar. Allah sentiasa bersama orang-orang yang sabar.

Alhamdulillah. Berkat kesabaran dia, dia mampu berubah. Dia sudah bertudung. Solat dia pun cukup. Tetapi ia memerlukan masa yang lama. Dengan sokongan orang-orang disekeliling dia terutamanya kaum keluarga. Pengajaran yang saya nak sampaikan daripada kisah sahabat saya ini adalah apabila kita melihat seseorang itu ingin berubah kepada kebaikan, berikanlah sokongan kepada mereka.
Jangan sesekali kita memerli mereka. Walaupun perubahan yang mereka lakukan itu hanya sedikit sahaja, berikanlah sokongan. Mereka sangat memerlukannya. Kita tidak mengetahui betapa mereka berusaha dengan sedaya upaya mereka untuk melakukan perubahan yang sedikit itu. Kita tak tahu bagaimana persekitaran mereka dibesarkan? Bagaimana keadaan sekeliling mereka? Mungkin keadaan sekeliling mereka yang tidak mengizinkan mereka untuk berubah secara mendadak.

Biarkan mereka berubah secara perlahan-lahan. Biar hati mereka merasa ikhlas dengan perubahan mereka. Let them do the changes step by step. Kita kenalah membantu mereka dengan memberikan sokongan supaya mereka merasakan bahawa usaha-usaha mereka itu dihargai. Supaya mereka berasa ada seseorang yang bersama-sama dengan mereka. Bila kita tidak memberi sokongan dan dorongan kepada mereka untuk berubah, tidak mustahil untuk mereka kembali kepada kehidupan mereka yang asal kerana mereka merasakan manusia-manusia tetap sahaja mencemuhnya.

Ya. Benar kita perlu berubah kerana Allah SWT dan bukan kerana manusia. Tetapi di waktu-waktu seperti itu, mereka teramat memerlukan sokongan supaya mereka berasa ada insan yang memahami dan bersama-sama dengan mereka. Islam ajarkan kita untuk berkasih sayang sesama makhluk. Jadi bantulah mereka untuk berubah. Jangan mengharapkan perubahan yang mendadak daripada mereka. Biarkan mereka berubah sedikit demi sedikit. In sya Allah, hasilnya pasti akan berbaloi.

– Aila

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit