Saya menulis luahan ini atau karangan panjang ini pada waktu pagi, sebaik saja selepas saya menonton ‘Mal Mol E’ iaitu sebuah cerita sebenar revolusi untuk menggabungkan dan membukukan semua perkataan hangul di era penaklukan Jepun di Korea yang dilakonkankan semula oleh aktor-aktor hebat yang dipilih.
Sebelum itu saya menonton cerita ‘The Professor and The Madman’ iaitu isi yang sama juga seperti cerita ‘Mal Mole E’ tetapi lebih menumpukan untuk menggabungkan semua perkataan Inggeris dari era 1200 an(tak tepat sebab cerita tu tak tunjuk pun tempoh masa yang sebenar mereka mengambil perkataan perkataan Inggeris itu) hingga 1800 an.
Saya ceritakan serba sedikit tentang filem ‘The Professor and The Madman’ dahulu. Ia menceritakan tentang seorang Profesor yang fasih Bahasa lebih daripada 10 bahasa, salah satunya ialah Arab. Profesor itu datang ke Oxford dalam usahanya untuk menerbitkan kamus Inggeris yang pertama di dunia, sebelum itu dia ditemuduga oleh Profesor dan orang-orang kenamaan yang lain di dalam sebuah perpustakaan.
Professor menceritakan tentang niat dia tetapi orang-orang yang di dalam perpustakaan itu memandang usaha itu sebagai mustahil kerana sebelum itu mereka telah mencuba untuk mengumpulkan semua perkataan Inggeris tetapi usaha mereka gagal. Walaubagaimanapun mereka berjaya membuat persepakatan dan memberikan Profesor itu tempoh masa yang harus disiapkan untuk menyiapkan kamus itu.
Profesor itu juga memberi cadangan untuk menyuruh masyarakat di seluruh Britain menghantar surat bagi perkataan-perkataan Inggeris beserta maksudnya. Cadangan itu dipersetujui dan orang ramai telah mula menghantar surat-surat kepada Profesor dan pasukannya (pembantu-pembantu beliau).
Maka bermulalah usahanya untuk membukukan dan menerbitkan kamus Inggeris yang pertama. Tetapi mereka menemui jalan buntu apabila dia(Profesor itu) dan pasukannya tidak menemui maksud sebenar bagi perkataan ‘Art’ bukan itu sahaja mereka mempunyai masalah iaitu perkataan-perkataan Inggeris telah berubah mengikut peredaran masa contohnya perkataan Inggeris pada 1300 an tidak digunakan lagi untuk 1400 an.
Pendekkan cerita usaha professor itu telah diketahui oleh seorang doktor Amerika(The Madman) yang ditangkap kerana membunuh orang dengan menembak mangsa dengan menggunakan pistolnya.
The Madman membaca isi surat tersebut untuk menyuruh orang ramai membuka semua buku Inggeris yang lama dan baru serta mencari perkataan-perkataan Inggeris beserta maksudnya. The Madman itu berjaya mengumpulkan sejumlah perkataan Inggeris bermula dengan huruf A lalu menghantarnya kepada Profesor dan pasukannya.
Usaha The Professor and The Madman itu berjaya selepas mereka berhasil untuk mencetak dan menerbitkan Buku Kamus Inggeris pertama di dunia atau Oxford English Dictionary Edition One. Terdapat begitu banyak sekali liku-likunya terutama dalam usaha membebaskan The Madman‘ daripada penjara. Sebak juga apabila saya menonton cerita ini. (Cerita ini lebih panjang sebenarnya saya meringkaskan sependek-sependeknya >.<). Tidak rugi jika anda menonton filem ini.
Manakala cerita ‘Mal Mol E’ pula lagi sebak sebab kamus korea itu dibuat secara senyap tanpa diketahui oleh Ketua Askar Jepun di Korea dan lebih suspen disebabkan kekejaman askar Jepun yang menyuruh rakyat Korea meninggalkan bahasanya.
Semua pelajar sekolah-sekolah di Korea pada waktu itu pula hanya dibenarkan untuk belajar dalam Bahasa Jepun sambil diseksa jika bercakap dalam Bahasa Korea. Sebenarnya cerita ini telah lama saya ketahui sebab saya ada menonton salah satu episod ‘Infinite Challenge’ yang menceritakan peristiwa ini secara lengkap.
Orang di dalam ‘Infinite Challenge’ menceritakan bagaimana suatu hari tatkala Negara Korea sudah merdeka, ajaibnya mereka telah menemui salinan akhir tulisan Korea(hangul) di Stesen Kereta Api Seoul. Saya masih ingat bagaimana General-general askar Jepun menyuruh rakyat Korea bercakap, menulis dan bermimpi dalam Bahasa Jepun.
Jikalau orang Korea tidak menemui salinan akhir tulisan perkataan Hangul itu pasti susah untuk mereka menerbitkan kamus, membukukan semua perkataan Korea. Jadi tontonlah cerita ini untuk mengetahui siapa di sebalik yang mengusahakan semua(menghidupkan balik serta membukukan dan mengajar orang Korea tulisan hangul) dan tontonlah cerita ini untuk mengetahui siapa yang meletakkan salinan akhir perkataan-perkataan Korea itu di Stesen Kereta Api Seoul.
Filem ini lagi sedih daripada ‘The Professor and The Madman’. Walaupun isi kedua-dua filem ada persamaan tetapi kedua-kedua filem ini berlainan ceritanya kerana orang British membuat kamus pertamanya tanpa gangguan penjajah manakala orang Korea pula membuat kamus pertamanya di bawah penaklukan Jepun dan semasa Perang Dunia Kedua.
Kedua dua filem ini dalam era tahun yang berbeza, cerita ‘The Professor and the Madman’ dalam era tahun 1875 – 1900 an. Manakala ‘Mal Mol E’ tahun 1933 – 1942. Jadi tontonlah kedua-dua cerita ini dan hargailah bahasa bangsa kita.
Negara Korea juga adalah salah satu daripada 30 bahasa di dunia ini yang mempunyai kamus asal. (Jikalau bangsa Melayu itu mempunyai kamus asal bagi perkataan-perkataan bahasa Melayu tentulah ianya dalam Jawi). Tanah Melayu dijajah selama 446 tahun, jadi anda cuba bayangkannya T-T.
Kita sekarang mungkin tidak mempunyai tulisan sendiri seperti orang Jepun,Korea,China,Arab dan Thai. Kita menggunakan tulisan ‘A,B,C’/rumi (roman) seperti kebanyakan negara di dunia walaupun sebelum itu sebenarnya bangsa kita menggunakan tulisan ‘Jawi’.
Sebenarnyakan walaupun penjajah akhir (British) negara kita tidak menggunakan kekejaman sekeras Jepun tetapi sedikit sebanyak telah merobek dan menghilangkan tulisan bahasa kita yang sebenar kerana disebabkan penjajahan British inilah kita menggunakan tulisan rumi bagi bahasa Melayu kita walaupun sebelum itu kita orang Melayu menggunakan tulisan Jawi.
*Saya agak yakin sebelum Islam sampai kepada kita, orang-orang Melayu dalam usaha mencipta tulisan huruf yang tersendiri untuk bahasa mereka seperti bangsa yang lain. Tetapi tulisan Jawi pun apa kurang hebatnya.
Mungkin orang Melayu yang sedang mencipta tulisan huruf bagi Bahasa Melayu itu berputus asa kerana kecantikan yang ada pada tulisan Arab (Yalah ianya menggunakan tulisan Arab iaitu bahasa bagi Al-Quran). Mungkin orang-orang Melayu pada masa itu agak payah untuk mencipta tulisan huruf yang bermula pada belah kanan dan seindah, secantik tulisan huruf Arab.
Tambahan pula bila Islam sudah sampai ke Alam Melayu,sedikit sebanyak orang Melayu pada masa itu lebih suka mendahulukan yang kanan dan mestilah bermula menulis pada belah kanan serta ciri-ciri tulisan Arab itu menepati bangsa Melayu itu sendiri.
Kecantikan dan kehebatan pada ‘ ت ب ا ‘ inilah yang mendorong orang Melayu kita bersepakat untuk menggunakan huruf ‘ ت ب ا ‘ bagi tulisan huruf untuk Bahasa Melayu kita dan tidak mencipta huruf yang lain untuk bangsa Melayu dan terciptalah serta bermulalah tulisan Jawi untuk bangsa Melayu.* (** andaian saya sahaja >.<)
“Jawi adalah sempurna,tepat dan sesuai bagi orang Melayu dan bahasanya” – riranis (penulis luahan ini). Korea – Hangul, Jepun – Hiragana, Thailand – Thai/Abugida dan Melayu – Jawi. Tetapi malangnya kita telah kehilangan tulisan Jawi untuk digunakan bagi urusan harian contohnya iaitu surat khabar selepas merdeka seperti Utusan tidak lagi menggunakan tulisan jawi dan menggunakan tulisan rumi (roman) serta surat rasmi,surat-surat khabar dan buku-buku yang lain telah menggunakan tulisan rumi secara sepenuhnya selepas merdeka.
Jika dilihat sebelum merdeka masih banyak lagi orang menggunakan tulisan Jawi bagi kebanyakan dan semua urusan harian terutama pengajian pondok di Tanah Melayu. Tetapi selepas merdeka tulisan Jawi tidak digunakan lagi kecuali dalam subjek Pendidikan Islam dan pengajian di pondok dan sehingga hari ini Bahasa Melayu kita adalah dalam tulisan rumi.
Lebih malang lagi ada juga yang mencampur-adukkan Bahasa Melayu dan Inggeris dalam percakapan seharian dan di media sosial. Pendapat saya, jika hendak bercakap Bahasa Melayu itu cakaplah dalam Bahasa Melayu yang sepenuhnya melainkan sepatah dua kata dalam Bahasa Inggeris dan jika hendak bercakap menggunakan Bahasa Inggeris bercakaplah dengan menggunakan bahasa itu sepenuhnya. Dahlah Bahasa Melayu itu tidak lagi menggunakan tulisan Jawi.
Aduhai, sebak lagi cerita ini daripada dua cerita filem di atas T-T. Banyak tangkap skrin twitter dan platform media sosial lain yang orangnya menggunakan satu ayat dalam bahasa Inggeris dan satu ayat lagi dalam bahasa Melayu, lebih parah dan keliru jika sekejap bahasa Inggeris sekejap bahasa Melayu.
Sekarang baru saya faham akan catatan tulisan akhir filem Korea ‘Mal Mol E’ yang mengatakan “Negara Korea mungkin satu-satunya negara di dunia selepas Perang Dunia ke 2 yang dapat memulihkan, membukukan semula perkataan-perkataan dalam tulisan bahasanya (Hangul)”.
Manakala negara kita selepas Perang Dunia ke-2 dan selepas merdeka tidak lagi menggunakan tulisan Jawi bagi bahasa Melayu. Jadi sekurang-kurangnya khas untuk semua orang Melayu dan juga orang Malaysia yang tidak lagi menggunakan tulisan Jawi dapat memartabatkan sepenuhnya Bahasa Melayu dengan menggunakannya secara penuh di negara kita.
Janganlah buat cerita ini lagi sedih, pentingnya belajar sejarah bangsa dan tanah air kita untuk tidak kehilangannya pada masa akan datang. Juga pentingnya belajar sejarah yang sebenar untuk tidak mudah bagi orang luar meracuni fikiran kita dan memperkotak-katikkan kita.
Hargailah sejarawan dan sasterawan negara kita, salah satunya adalah sasterawan kita iaitu Za’ba, beliau pejuang bahasa kita yang bertungkus-lumus membuat tatabahasa dan ejaan bagi Bahasa Melayu dan menulis serta membuat buku-buku dalam ejaan Bahasa Melayu.
Jika Korea mempunyai kisah sejarah perjuangan bahasa mereka seperti yang difilemkan iaitu ‘Mal Mol E’. Kita mempunyai ahli perjuangan bagi bahasa bangsa kita sendiri iaitu Za’Ba (Zainal Abidin bin Ahmad).
Walaupun beliau beberapa kali disekat penulisannya oleh penjajah British. Ini tidak menghalang beliau untuk meneruskan usahanya dalam memperjuangkan bahasa bangsanya. Beliau telah mencipta tatabahasa dan ejaan bagi Bahasa Melayu. Pada era penaklukan Jepun di Tanah Melayu, beliau berhasil menerbitkan buku untuk kegunaan di Tanah Melayu dan Sumatera.
Beliau telah berjaya menulis ’30 buah buku ejaan Bahasa Melayu’ , Zainal Abidin bin Ahmad adalah pendeta Bahasa Melayu yang ulung. Malah jika diterbitkan dan difilemkan cerita Za’Ba ini mungkin lebih hebat dan sebak daripada dua filem di atas.
Secara ironinya saya yakin kita lebih sedih dan sebak bila menonton cerita filem sejarah sendiri daripada menonton filem sejarah orang luar, terutamanya tentang bagaimana orang-orang hebat seperti Za’Ba berjaya mencipta ejaan dan tatabahasa bagi Bahasa Melayu kita.
Hargailah Ahli-ahli Dewan Bahasa dan Pustaka yang mencipta perkataan-perkataan baru bagi Bahasa Melayu untuk menggantikan perkataan dalam Bahasa Inggeris seperti selfie-swafoto,viral-tular,
Hargailah juga pengorbanan sejarawan, sasterawan dan cendekiawan yang berjaya menghasilkan dan mengekalkan Bahasa Melayu pada hari ini. Belilah buku sejarah-sejarah kita dan mulalah menonton filem/drama sejarah luar dan dalam negara kita untuk membangkitkan semangat nasionalisme yang sebetul-sebetulnya dan tidak lupa mestilah dibimbing dengan mempelajari dan mengamalkan Islam SWJ yang sebenar-benarnya untuk dunia dan akhirat.
(luahan yang saya tulis ini adalah dalam rumi bukan dalam Jawi >.< sebab inilah Bahasa Melayu kita hari ini. Jika orang menanyakan saya ‘apakah tulisan bagi Bahasa Melayu yang asal? saya akan jawab ianya adalah ‘Jawi’)
– Riranis (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit