Hari-hari Yang Menyiksakan

Assalammualaikum semua,

Aku sebenarnya sekarang ni sangat lah dalam dilema. Tak tahu nak buat macam mana lagi untuk pastikan hari-hari dan lebih-lebih lagi hujung minggu aku tak lagi rasa terseksa. Mungkin bagi orang lain, terutamanya yang lelaki, benda yang aku nak cerita ni perkara kecik aja. Tapi, bagi sesetengah orang perempuan ianya amat menyiksa jiwa dan raga..lagi-lagi pulak bila tiba waktu ‘bulan mengambang’ tu.

Kisahnya macam ni, aku merupakan ibu kepada 3 orang anak kecik. Sepanjang 5 tahun berkahwin ni, aku rasa sangat bahagia. Lebih-lebih lagi bila sebelum kahwin dulu, rezeki aku diberikan rumah kuarters di Selatan tanah air. Alhamdulillah, rasa eksaited sangat bila dah dapat duduk rumah sendiri. Rumah ni kira besar la jugak, apartment dengan 3 bilik tidur. Satu bilik tidur untuk aku, suami dan anak-anak (kami memang lagi selesa tidur sekali sebab anak-anak kecik lagi), satu bilik bekerja, dan satu bilik tetamu untuk mak ayah atau mertua aku bila dorang datang ziarah.

Masalah aku timbul bila masa tahun kedua kahwin tu, tiba-tiba adik lelaki kepada suami aku, nak menumpang duduk sama. Ye lah, rumah mertua aku jauh nun di utara. Aku okey je la sebab memikirkan dia pun masa tu masih belajar dan duduk dekat apartment dengan kawan-kawan kolej dia. Kadang-kadang hujung minggu je dia datang tumpang tidur dan makan di rumah. Sambil-sambil boleh main-main dengan anak buah dia a.k.a. anak-anak aku.

Jujurnya, dulu aku bukan lah seorang yang alim sangat. Ada jahilnya jugak. Sampai sekarang pun. Hiihi! Jadi, mula-mula tu aku ok ja sebab rutin harian hujung minggu rasa tak terjejas pun. Cuma, kena masak lebih sikit la bila dia datang, gitu. Seyesly, aku tak ada masalah part tu.

Untuk makluman pembaca, aku ni seorang yang bertudung jika keluar rumah dan suami memang seorang yang menitik beratkan jugak la pasal penjagaan aurat isteri dia ni. Cumanya, dulu bila dengan sepupu, ipar duai memang selama ni main langgar jer bab aurat. Duk rumah rileks je tak pakai tudung dan pakai tshirt lengan pendek. Sebab kengkonon, selama ni, dorang tu semua aku anggap macam adik beradik sendiri..jadi bab aurat pun selamba dek je la. Sebab tu la, sebelum ni aku kata walau adik ipar aku tu nak menumpang duduk di rumah, aku rasa rutin aku tak terjejas.

Masalahnya, sejak beberapa bulan lepas..Alhamdulillah aku dah semakin sedar dan insaf. Aku dah mula nak berjinak-jinak menjadi yang lebih baik. Antaranya, adalah untuk lebih menjaga aurat dengan sepupu, dan ipar duai. Betul lah orang cakap, bila kita nak berubah ke arah kebaikan ni..lagi banyak cabaran kita sebenarnya. Jalan untuk buat dosa tu ada kalanya lagi lurus dari jalan bengkang bengkok ke arah kebaikan.

Nak dijadikan cerita, adik ipar aku tu pun dah tamat belajar dan sekarang tengah menganggur. Jadi, sekarang bukan hujung minggu sahaja, kadang-kadang hari-hari biasa pun dia datang dan duduk di rumah berminggu-minggu. Seyesly, aku bukan lah jenis kakak ipar kedekut yang tak suka adik ipar datang. Aku ok ja.

Tapi, ketahuilah aku sekarang tengah fasa nak lebih menjaga aurat aku. Maknanya apa? Maknanya, bila dia datang, aku perlu bertudung dan berbaju sopan yang menutup aurat. Pendek cerita, macam nak bersiap-siap keluar rumah! Tapi hakikatnya, duduk kat rumah sendiri jer!

Nampak tak dekat situ? Selagi dia ada di rumah aku, aku kena pastikan aku pakai tudung dan berbaju lengan panjang. Korang tau tak betapa berlengasnya rasa bila kau kena masak untuk satu keluarga dengan berpakaian full menutup aurat gitu? Lagi-lagi pulak masa tu kau penat baru balik kerja..tapi kau tak dapat nak bukak tudung kau, dan biarkan rambut kau bebas berangin?? Terus kau kena pergi bersilat masak di rumah untuk suami dan anak-anak plus adik ipar sekali.

Ketahuilah, aku ada anak-anak kecik. Jadi, hair dryer memang tak ada dalam kamus hidup aku sekarang! sebab memang tak sempat. Jadi, aku biasa lepas mandi basuh rambut dan keringkan dengan angin je sambil-sambil lipat baju dekat ruang tamu, sambil perati kan anak-anak main biasanya. Biasalah ibu, multitask.

Masalah sekarang ni, bila adik ipar aku ada dekat rumah..aku tak berpeluang buat macam tu lagi. Jadi, option yang aku ada adalah basuh rambut sebelum tidur (seyes tak best sebab nanti bantal akan jadi basah) atau basuh rambut masa balik kerja, tapi lepas basuh terpaksa pakai tudung balik untuk sambung buat kerja-kerja rumah. Jadi, rambut aku terkembap kat dalam tudung..hasilnya, kepala aku jadi gatal dan kelemumur makin teruk! *Nangissss

Oh, lupa nak bagitahu..oleh sebab aku dan suami kerja pun biasa-biasa aja jadi kami tak mampu nak beli aircond untuk rumah. Jadi, oleh sebab tu, malam-malam aku memang selesa tidur pakai kaftan lengan pendek ja. Suami aku pun suka tengok aku pakai kaftan, nampak manis katanya. Eh! Hahahaa…ok, berbalik pada cerita asal

Tadi aku ada cakap anak-anak aku masih kecik kan? Jadi malam-malam memang dorang ni akan selalu bangun malam dan kuat minum susu masing-masing. Aku ok ja nak bangun malam untuk buat susu walaupun kerap macam tu. Mungkin dah biasa agaknya tak cukup tidur. Tapi, masalahnya bila adik ipar aku ada dekat rumah, setiap kali nak bangun pergi dapur untuk buat susu tu,.dengan mata yang mengantuk, aku kena siap-siap pakai cardigan dengan tudung macam nak bersiap pergi mana, tak tau! Padahal nak pergi dapur jer! Rumah sendiri pulak tu..!.awal-awal aku ok. Lama-lama dah rasa makin fed up! Penat la macam nih!

Bila hujung minggu, lagi rasa terseksa sebab adik ipar aku ni pun bukan jenis bersosial dengan kawan-kawan sangat. Rutin dia duduk je dekat rumah! Jadi…korang dapat bayangkan tak, aku kena bertudung litup dari pagi sampai malam masa nak tidur dekat bilik jer aku dapat buka tudung. Walaupun sebenarnya, aku dekat dalam rumah sendiri! Sapu rumah, vacuum, mop, kemas rumah, kejar anak semua tetap kena buat. Maunya tak berlengas dan ketibas?? Makin mencabar pulak rasa bila nak berubah jadi baik ni.

Aku juga pernah meluahkan perkara ni kepada suami. Dia juga ada hint – hint kepada adir ipar..tapi tak tau lah dia ni jenis tak makan saman, atau memang rasa menda yang aku kena pakai tudung dekat rumah tu hal kecik je. Yelah, katanya dah memang kewajiban orang pompuan kena menutup aurat kan. Mak dia a.k.a mak mertua aku pun kerap pakai tudung dekat rumah. Tapi, yelah..dengan iman aku yang senipis kulit bawang ni, aku rasa aku perlukan sedikit keselesaan dan kebebasan bila berada dekat rumah sendiri (sila betulkan aku, sekiranya pendirian aku ni salah…)

Jadi, kepada adik-adik student yang disayangi. Akak sebagai wakil kaum ibu semua nak mohon sangat adik-adik semua faham..lagi-lagi yang berlainan jantina ni. Ketahuilah, kehidupan sebagai seorang ibu itu dah sedia mencabar mental dan fizikal. Tapi, bila kehadiran korang ke rumah dah makin menjadikan kami gelisah dan tak selesa bila berada di rumah sendiri..silalah, cari tempat untuk memulakan kehidupan sendiri secepat mungkin.

Silalah datang makan, main dengan anak buah korang dan tidur di sini bila-bila masa yang korang mahu. Akak menerima dengan hati terbuka…tapi tolonglah jangan terlalu kerap atau lebih dari tiga hari (atau setiap hujung minggu-kerana bagi kami yang bekerja, itulah masa kami nak mengemas, dan kemudian bermalasan-malasan di rumah dengan pakai pakaian yang kami selesa) Kerana kami juga mahukan kehidupan yang optimum bila berada di rumah sendiri!

Tolonglah jangan sampai kami jadi ‘mak kau hijau!’ . Sebab jika ianya terjadi, kepulangan dan kemesraan pertemuan di hari raya mungkin tidak akan sama seperti dulu lagi. Harap simpang!

Wassalam.

– Min

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit