Salam dan Hi! Nama aku Ira. Selalunya aku ni pembaca tegar IIUM Confesssion ni dan kadang-kadang rajin jugak mengomen cerita-cerita kat sini. Kebiasaanya ramai orang buat confession kat sini pasal ranjau kehidupan dan pengalaman hidup mereka. Ade yang aku ambil pengajaran dan buat jadi amalan hidup contohnya orang yang post cerita pasal kelebihan solat Dhuha & surah Al-Waqiah, terima kasih sangat sebab anda jadi asbab orang lain jugak untuk buat ladang pahala. Moga pahala yang berterusan buat anda.
Tapi, harini aku nak cerita pasal kematian yang husnol khatimah supaya kita yang masih bernyawa ini terus bermotivasi untuk terus mengecapinya dan takdelah kita sebagai seorang Islam sedih dan terus kemurungan di atas ranjau kehidupan yg Allah bagi pada kita. Aku ni pon takdelah baik sangat orangnya, juga ade keladak di hati. Aku coretkan coretan ini supaya kita sama-sama ambil pengajaran atas kehilangan ini dan jika ade orang-orang yang kita sayangi, kita lebih redha dengan pemergiannya. Sebagaimana yang kita tahu dalam pengajian Pendidikan Islam masa sekolah dulu, husnul khatimah adalah akhirnya yang baik.
Antara tanda-tanda kematian yang husnol khatimah ni berdasarkan daripada pembacaan aku dari blog-blog internet ni (maafkan aku ye pembaca sekalian sekiranya ade yg salah):
1. Seseorang yang mengucap kalimat ‘Laa ilaaha illallah‘.
2. Meninggal dengan keringat/peluh di dahi.
3. Mati pada malam Jumaat atau di siang hari Jumaat.
4. Orang yang meninggal disebabkan wabak taun.
5. Orang yang meninggal kerana sakit perut, atau penyakit yang berhubungan dengan perut.
6. Orang yang meninggal kerana tenggelam, bangunan runtuh, kebakaran atau jatuh dari tebing.
7. Orang yang meninggal dalam suatu urusan di jalan Allah (Sabilillah). Seperti seseorang yang meninggal dalam perjalanan dakwah atau meninggal sewaktu mengajar ilmu agama atau ketika melakukan amal kebajikan yang diniatkan ikhlas kerana Allah.
8. Seorang wanita yang meninggal kerana melahirkan anaknya.
9. Seseorang yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya atau kehormatannya.
10. Orang yang meninggal dalam keadaan mengerjakan kebaikan atau amal soleh. Seperti seseorang yang meninggal dalam solat, melaksanakan ibadah haji, berpuasa etc.
Ada banyak lagi tanda-tanda orang yang mendapat husnol khatimah ni. Tapi, yang paling ketara kematiannya itu memberi kesan dalam hati kita dan kehilangannya kita ambil pengajaran dan aku nak cerita tentang #10 sebab perkara ni baru je berlaku tadi.
Sebenarnya aku baru je tersedar dari tidurku sewaktu menulis coretan ini dan tiba-tiba aku rase sedih dan insaf bila teringatkan Allahyarham yang juga kawan baik abah aku yang baru je meninggal dunia petang tadi selepas kemalangan dengan kereta. Cerita ni simple je macam kisah-kisah daripada ibu bapa kita yang kita selalu dengar tentang hari terakhir seseorang yang mereka kenali. Tapi, bila dipikirkan dengan mata hati memberi kesan pada jiwa.
Pak cik ni baik orangnya. Dia memang selalu dan cepat je datang walaupun kita cuma beritahu dia tentang sesuatu hal. Sangat mengambil beratlah kiranya. Walaupun kita tak minta pertolongan dia pon. Dia juga merupakan seorang yang menjaga kebajikan masjid di kampungnya walaupun dia bukanlah seorang alim ulama mahupon seorang ustaz. Namun, siapa sangka dia dah pergi menemui pencipta-Nya secara mengejut pada hari Khamis malam Jumaat ini. Perkara yang paling mengesankan hati ini sebelum dia kemalangan pagi tadi, dia masih diberi kesempatan untuk beri kebahagiaan dan kegembiraan kepada isterinya.
Isterinya seorang yang penyayang dan sangat sayang pada kucing. Secara kebetulan, malam sebelumnya dia terjumpa seekor anak kucing berwarna hitam di bawah motosikalnya selepas solat Isyak di masjid. Tapi, dia tak terpikir pon nak bawak balik anak kucing hitam tu sebab ingatkan mak kucing tu ade di situ. Kemudian, pada keesokkan paginya, selepas solat Subuh ade seekor lagi anak kucing warna kelabu yang tiba-tiba je muncul di bawah motosikalnya. Disebabkan dia rasa serba salah nak tinggalkan anak kucing tu kat situ seperti anak kucing hitam semalam, maka dia pon bawaklah anak kucing kelabu itu balik ke rumah. Lagipon isterinya memang sangat suka pada kucing. Dan isterinya benar-benar rase gembira dengan pemberiannya.
Pagi sebelum kejadian juga, dia sempat pergi berjumpa dan minum-minum di kedai kopi dengan abah aku bercerita hal-hal yang berkaitan dengan kebajikan masjid. Cumanya, abah aku ade cerita tentang saiz roti tosai yang dia order tu lebih besar dan panjang daripada biasa. Aku pon tetiba terpikir jugak yang roti tosai tu kan warna putih & panjang pulak tu dah tentu-tentu nampak seperti kain kafan je (dari overthinking akulah). Atau mungkin Allah nak beri dia rezeki lebih sebelum menjemputnya (husnuzon). Tapi, dia tak berjaya pon nak habiskan semua roti tu seperti biasa sebab yelah, besar sangat kot. Juga, salah satu perkara yang buat abah aku rasa pelik, tapi dia tak cakap ape-ape pada pak cik tu.
Kemudian, selepas dia bertemu dengan abah aku, dia pergi semula ke masjid itu untuk cari semula anak kucing yang berwarna hitam tu untuk buat kawan dengan anak kucing kelabu yang dia dah bawa balik rumah subuh tadi. Namun, dia tak jumpa-jumpa anak kucing hitam tu. Maka, dia pon buat keputusan untuk pulang. Semasa nak melintas jalan dari pintu masjidlah dia terus kena langgar dengan kereta dan akhirnya meninggal dunia. Innalillahi wa innalillahi raajiuun.
Daripada cerita simple ni, aku ambil pengajaran dan kesimpulan dari dia pada hari terakhirnya yang dia adalah:
1. Seorang suami yang sentiasa senangkan dan gembirakan hati isterinya walaupun ajal nak menjemputnya lagi beberapa jam je lagi. Masih lagi dia berikan isterinya sesuatu yang dia paling suka walaupun sesuatu itu bukanlah wang ringgit, anak kucing je. Boleh ambil pengajaran untuk orang-orang yang dah berkahwin dan bakal berkahwin untuk bahagiakan hati pasangan masing-masing dan sentiasalah gembirakan hati isteri sebab boleh jadi salah satu asbab pengakhiran yang baik.
2. Buat kebaikan sesama makhluk dan sayangi makhluk lain walaupun dengan kucing jalanan sekalipon. Moga-moga lepasni janganlah ade orang seksa & bunuh kucing dah. Ya Allah, pedih sangat hati ini bila tengok kucing diracun dan diseksa manusia. Lagi pula si pelakunya orang Islam sendiri.
3. Sentiasa basahkan mulut bercakap & berpikir hal-hal untuk kebajikan ummah daripada membawang tentang hal duniawi. Boleh jadi saham untuk kita di akhirat sana nanti.
4. Serahkan sebahagian daripada diri kita untuk jaga kebajikan dan berjasa pada orang Islam lain seperti jaga kebajikan masjid, wakafkan tanah untuk masjid, beri sedekah, membantu orang lain etc.
5. Rajin-rajinkanlah melangkah ke rumah Allah dan tempat-tempat yang baik. Apatah lagi berjemaah di masjid bagi muslimin. Supaya bila pengakhiran kita, kita berakhir di tempat yang baik. Walaupun mungkin pak cik tu sendiri tak tahu yang hayatnya tak lama lagi dan tak terpikir pon akan meninggal di situ, sebab lagipon belum masuk waktu solat lagi. Tapi anak kucing hitam tu dah jadi asbab kematian dia untuk pergi rumah Allah pada ketika itu dengan niat suci murni nak membelanya namun ajal pula yang datang menjemputnya dulu di situ.
Moga-moga dengan cerita yang simple ni kita boleh ambil pengajaran darinya dan tak mudah berputus asa dalam ujian yang Allah beri pada diri kita. Supaya kita juga nanti pengakhirannya sebagai seorang Islam yang husnol khatimah. Bagi aku tak perlu pergi jauh untuk cari role model dalam kehidupan. Cukuplah kita lihat dan renungi orang-orang yang terdekat dalam hidup kita dan kita ambil mereka sebagai pengajaran dalam kehidupan seharian kita. Walaupun jika dilihat dengan mata kasar kita, mereka ni nampak biasa-biasa je.
Juga, sentiasalah ambil pengajaran daripada kematian orang lain supaya kita ingat pada kematian sendiri kerana mati itu pasti buat semua orang dan janganlah kita sentiasa rase terlampau sedih dengan kehilangan orang-orang yang kita sayangi sebab mereka sememangnya bahagia di sisi-Nya jika semasa hayatnya mereka melakukan kebaikan. Wallahualam. Sekian…
– Ira
Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit