Harta dan Jiwa

Assalamualaikum semua. Saya saja nak berkongsi benda yang saya fikirkan selama ni dengan anda semua. Manalah tahu kan jika anda pun sependapat dengan saya.

Saya dibesarkan dalam keluarga yang hidup secara sederhana, ibu bapa bekerja dalam sektor kerajaan, dan membesar di kawasan perumahan teres setingkat.

Boleh dikatakan membesar dalam keadaan cukup makan pakai, kereta biasa, dan kehidupan seharian juga biasa-biasa. Membeli di pasaraya dan pasar malam.

Selepas tamat pengajian di universiti, saya bekerja dan berjaya membeli kereta sendiri. Kereta sederhana yang boleh membawa saya pergi balik bekerja. Beli pun hasil titik peluh sendiri dan tidak membebankan ibu bapa. Kemudian slowly berjaya membeli rumah.

Semakin dewasa, seiring peningkatan hidup, gaji pun semakin baik. Saya sudah mampu membeli barang berjenama, membeli belah di shopping mall terkemuka, berpeluang ke luar negara untuk urusan kerja dan bercuti.

Boleh dikatakan dulu tu kalau nak membeli atau makan di tempat mahal tu berkira-kira. Yelah, kalau dulu tu membesar makan KFC, McDonalds mahupun sate tu adalah sekali dua dalam sebulan sebab boleh dikategorikan makanan mahal atau orang “have-have” je mampu makan.

Tapi saya perasan satu hal, saya seolah-olah tidak “click” dengan peningkatan hidup saya. Saya terasa jiwa tu kosong. Seolah-olah apa yang berlaku tu tak kena dengan jiwa, tak terasa bahagianya macam dulu.

Saya sudah mampu membeli kereta-kereta lain yang jauh berganda harganya dari kereta pertama saya. Tapi, saya terasa “kosong” bila memandu kereta-kereta lain jika nak dibandingkan dengan kereta kecil saya tu.

Sudahnya, saya jarang memandu kereta-kereta baru saya, dan saya asyik memandu kereta saya yang sudah berusia lebih 10 tahun tu.

Tambahan pula saya seorang yang cermat dalam menjaga harta benda, jadi kereta tu masih kelihatan baru. Saya terasa “terisi” bila memandu kereta kecil ini.

Tu baru kisah kereta. Masuk pula kisah rumah. Dulu saya menyewa rumah flat, yang tiada lif malah kawasan tempat letak kereta juga terbuka. Bertahun-tahun saya menetap di situ. Turun naik tangga tu dah jadi rutin harian, lagi-lagi bila bab mengangkat barang naik ke rumah.

Jiran-jiran juga baik. Saya suka sangat suasana di kawasan rumah flat itu sebab sangat tenang dan tidak serabut. Walaupun bukanlah rumah flat yang menjanjikan pemandangan cantik kerana berhadapan blok lain. Flat pun sudah dalam keadaan uzur kerana cat lama.

Baru-baru ni saya pindah ke rumah lain, kerana dah membeli rumah. Besar rumahnya, ada laman yang luas, ada pak guard, kawasan high end orang kata. Berbeza pemandangan, berbeza kejiranan.

Tapi saya rasa “kosong”. Saya rasa tidak “click” dengan rumah baru. Saya tetap rindukan suasana rumah lama tu.

Jiran-jiran di kejiranan baru ni langsung saya tak kenal. Yang saya kenal pun hanya Pak Guard Nepal yang meronda setiap malam. Jiran-jiran biasalah buka gate automatik terus masuk rumah. Memanglah sunyi, tenang tapi “mati”.

Ada laman saya sangkakan saya bahagia, tapi kosongnya jiwa. Sebab bayangkan macam boleh bersantai petang-petang. Sebab saya bayangkan suasana kejiranan rumah landed ni macam rumah ibu bapa saya.

Kalau pintu pagar rumah jiran berbunyi atau dengar orang bagi salam ke hon kereta ke, pasti masing-masing dah menjengah je tingkap tengok siapa di luar. Kalau duduk di laman atau porch, bertegur sapa dengan jiran-jiran. Anak-anak jiran pun boleh datang bermain satu sama lain.

Saya tanya pada diri, rumah besar dah, lengkap dengan segalanya, ada walk-in wardrobe macam yang saya impikan selama ni, ruang tamu yang luas, pendek kata segalanya mewah dah. Tapi, “jiwa kosong” tetap menghantui saya.

Lain sungguh dengan perasaan duduk di rumah lama, walau hanya berbekal almari biasa tapi lain perasaannya. Ruang tamu pun cukup sekadar sofa biasa dan tv, bercantum dengan ruang makan. Tapi tetap lain perasaannya. Saya tercari-cari erti “bahagia” tu di rumah baru ini.

Itu baru bercakap soal material, belum masuk lagi soal lingkungan pergaulan. Saya bermula dengan bekerja di syarikat kecil, yang mana staf-staf Melayu, yang hidupnya sederhana.

Ke pejabat pun biasa-biasa dan kami kalau makan tengahari tu pasti mencari gerai-gerai yang murah harganya. Tapi kami suka sangat makan bersama-sama.

Namun begitu, bila dah meningkat usia ni saya masuk ke syarikat yang lebih besar, rata-rata berpangkat besar, orang bandar lah katakan, bercakap English, pakaian head-to-toe berjenama, kereta pun mewah, bergaji besar.

Waktu lunch tu, kalau secawan kopi sahaja mencecah belasan ringgit atau puluhan ringgit, tak termasuk makanan lagi. Pendek kata sekali lunch tu boleh berhabis hingga RM50 pun ada ataupun lebih dari tu.

Dan sekali lagi, saya berasa “jiwa kosong” tu. Tak happy, tak kenyang pun makan macam tu. Tak happy pun berada di kalangan mereka, tak “click”.

Memang gaji saya dah besar dah boleh makan minum harga macamana pun, pendek kata boleh lah dikatakan dapat duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan mereka ni.

Tapi saya tak rasakan gaji tinggi dan peningkatan taraf hidup itu sesuatu yang kena dengan jiwa saya. Kalau berbual pun, tak kena langsung dengan jiwa sebab saya rasa masing-masing hanya “surface peoples”. Bukan kawan pejabat yang boleh dijadikan kawan selepas pejabat.

Bukanlah kufur nikmat, tapi saya tercari-cari klimaks kehidupan saya yang sekarang. Pandemik ini banyak menyedarkan saya tentang erti hidup yang sebenar-benarnya.

Saya tak tahu mungkin ini cara Allah swt menjentik jiwa saya dan memberi hidayahNya supaya saya merenungi kehidupan dengan lebih baik.

Rupanya bila dah mampu beli apa sahaja, jadi tak bahagia. Lain erti bahagia tu dengan waktu hidup biasa.

Lebih-lebih lagi waktu pandemik ni, yang mana kita hanya bekerja di rumah, sepanjang masa di rumah. Segala barang berjenama tu hanya ibarat barang pameran. “Mati” barang-barang tu berada dalam kabinet.

Kasut-kasut berjenama semuanya tersimpan rapi. Sudahnya hanya sarung selipar jepun beli di kedai runcit yang jauh lebih selesa, pakaian pun yang biasa-biasa.

Tudung-tudung mahal semua tersimpan rapi, sudahnya saya ke pasar dengan memakai tudung murah tapi selesa tak perlu bergosok yang seingat saya beli harganya RM5.00.

Mekap-mekap mahal pun dah lama tersadai di meja solek, tak terusik.

Saya kembali menjadi diri saya sendiri yang dulu. Saya banyak mendekatkan diri dengan Allah swt. Setiap kali selepas solat saya perhatikan walk-in-wardrobe saya. Saya tanya pada diri;

“Ya Allah, aku dah miliki segalanya. Benda yang aku pernah impikan waktu aku hidup biasa dulu, aku bayangkan kereta mewah, rumah besar, deretan beg berjenama, kasut mahal. Tapi kenapa aku berasa kosong sungguh jiwaku Ya Allah?”

Rupanya harta bukanlah penentu kebahagiaan. Sekali lagi, bukanlah saya nak katakan saya kufur pada nikmat yang diberikan seiring dengan peningkatan hidup saya,

Namun itulah saya tercari-cari jawapannya kenapa setelah Allah swt kabulkan doa-doa saya terdahulu tu, buat saya tidak bahagia?

Teringat pula pepatah, “Kita lebih tahu menghargai benda/ seseorang yang susah dapat, dan benda/ seseorang yang telah pergi”

Bila difikirkan ada betulnya. Dulu tu nak makan sate tu terasa mahal sungguh, dan nikmatnya makan bersama-sama keluarga berkongsi sate yang hanya beberapa batang tu. Tapi riak bahagia tu terasa.

Berbeza dengan sekarang, nak beli sate banyak mana setiap hari pun boleh, tapi tak sama nikmatnya.

Saya rasa saya dah dapat jawapan yang saya asyik tanya sebelum ni. Kenapa ada orang kereta dah besar tapi masih duduk rumah biasa? Kenapa ada orang dah kaya tapi masih biasa-biasa kehidupannya?

Dan saya boleh buat kesimpulan bahawa saya terkategori dalam golongan itu. Yang mana kekayaan tidak mampu mengubah jati diri saya dari menjadi manusia yang lupa diri dan bongkak dengan harta. Malah terasa bersalah dengan harta yang dikumpulkan.

Jawatan tinggi dan kedudukan tidak membuat saya lupa diri, malah saya yang tidak betah berada dalam kalangan orang-orang kaya. Kekok, sungguh rasa tak kena jiwa.

Mungkin ini hikmah pandemik buat saya. Saya lebih banyak menghargai apa yang saya pernah ada. Saya tidak meminta lagi supaya Allah memberi saya harta yang banyak, saya telah tukar doa saya kepada penuhi jiwa kosong saya ini dengan rahmat dan cinta Allah.

Dan ada benarnya memang harta akan ditinggalkan tak dapat bawa ke mati. “Harta” yang sebenar-benarnya adalah yang kita belanjakan ke jalan Allah dan yang kita sedekahkan. Itulah dia klimaks kebahagiaan.

Mungkin ada pembaca di sini yang pernah melalui perubahan fasa hidup seperti saya. Dan merasa pemberontakan jiwa tu.

Setinggi mana kita terbang, jauh mana merantau, kita tetap rindukan perkara yang biasa-biasa. Memang tak ternilai nikmatnya yang biasa-biasa tu.

Ibarat dapat makan steak wagyu yang harga mampu mencecah ribuan ringgit di restoran mewah, dibandingkan dengan nasi panas berlaukkan kicap serta telur mata makan di pangkin bawah pokok di kebun nenek, saya pilih nasi telur kicap tu.

Percayalah material mungkin nampak membahagiakan, hakikatnya tidak. Tukarlah cara kita berdoa dalam bab harta selepas ini agar kita tidak terkejarkan harta yang hanya membuatkan “jiwa kosong”.

– Warda (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *