Hartanah Rugi

Assalamualaikum pembaca semua, nak mintak pendapat ye. Macam ni ceritanya pada julai 2019, ibu saya telah menandatangani satu perjanjian sewa beli satu unit rumah kediaman kos rendah jenis cluster dengan Ahmad bin Abu (Bukan nama sebenar) yang dinyatakan sebagai pemilik dan Koperasi ABC BERHAD yang dinyatakan sebagai pemaju.

Sebelum proses jual beli di lakukan, ibu dan ayah saya diterangkan dengan jumlah keluasan tanah dan keluasan rumah yang kononnya keluasan tanah adalah keluasan tanah lot banglo, iaitu 1400kps dan keluasan rumah adalah sebanyak 800kps.

Kata pihak pemaju aka pihak penjual, tanah ini adalah murah di kawasan bandar kota bharu, iaitu hanya rm 80000 sahaja. Keluarga saya bukanlah orang kaya, tetapi bila diyakinkan bahawa dibolehkan untuk membayar bulan-bulan dan kononnya perumahan tersebut adalah perumahan untuk orang miskin maka ibu dan ayah saya bersetuju.

Lupa nak bagitahu, ibu dan ayah saya beli rumah yang dikatakan sebagai rumah kos rendah untuk rakyat miskin di kelantan. Tetapi rumah yang dibeli ini konon adalah sebuah perumahan. Dan perumahan yang tak jadi ni dilakukan dan dimiliki oleh sebuah koperasi di kelantan. Saya rasa ada orang kelantan yang tahu dengan koperasi ni dan mungkin sudah menjadi mangsa mereka juga.

Selepas diterangkan secara detail kononya, ibu dan ayah saya bersetuju untuk membayar deposit sebanyak rm40k, iaitu lebih kurang separuh dari harga rumah tersebut iaitu rm80k.

Selepas bayaran dibuat, ternyata perjanjian yang ditandatagani adalah perjanjian sewa beli dan pihak koperasi itu bertindak Sebagai pihak pemaju dan pemilik tanah adalah pengarah urusan pihak koperasi tersebut.Perjanjian sewa beli itu agak kurang menyenangkan kerana berat sebelah.

Didalam perjanjian tersebut, tidak dinyatakan bila tarikh mula bayar dan tarikh akhir bayaran. Bayaran bulanan yang dibuat naik 2 kali ganda dari harga asal atas alasan bayaran yang dibuat adalah bayaran secara separuh deposit dan separuh ansuran, pihak koperasi menyatakan konsepnya adalah sama seperti refinanced kereta.

Untuk pengetahuan pembaca semua kipas, lampu, tiang lampu, meter semua ibu dan ayah saya yang terpaksa keluarkan balik duit, kerana pihak nereka menjelaskan bahawa kipas, lampu semua tu perlu dipasang oleh pembeli. Senang cerita lagi rm10k hilang.

Setelah berape bulan rumah tersebut diduduki, pada awal disember tahun lepas rumah tersebut dinaiki air, senang cerita banjir. Tempat lain belum banjir, rumah tu dah separuh rumah dah air. Hmmm semua barang rumah banyak rosak. Padahal sebelum beli, kata tak banjir.

Setelah beberapa bulan membeli dan menduduki kediaman tersebut juga pada disember 2019, ada juru ukur datang dan mengukur kawasan rumah saya. Ayah saya terdengar bunyi marah daripada juruukur tersebut. Dia menyatakan bahawa kawasan bilik air rumah saya telah masuk ke kawasan tanah orang.

Ayah Saya kemudianya pergi bertanya dengan wakil dari Pihak pemaju tersebut. Beliau menyatakan bahawa Tanah itu tiada apa-apa masalah dan tidak termasuk dalam tanah orang. Beberapa hari kemudian, juru ukur tersebut datang lagi dan mengukur kawasan tanah dan dia sekali lagi menegaskan bahawa kawasan bilik air rumah saya memang terkena tanah orang.

Pada Januari 2020, saya bersama dengan ayah saya telah pergi sekali lagi berjumpa dengan pihak pemaju berkaitan dengan isu dan permasalahan tanah tersebut.

Walaubagaimanapun, pihak pemaju memberitahu dan meyakinkan saya bahawa tiada masalah yang timbul dan tanah itu sepenuhnya hak milik saya. Pihak pemaju menyatakan bahawa pekerja tersebut tidak mahu meletakan batu tanda perantaraan tanah itu didalam paya, lalu dia meletakannya diatas tanah tersebut.

Akibat merasa curiga dengan kenyataan dan penerangan yang dibuat oleh pihak pemaju tersebut,saya bersama dengan ayah saya telah pergi ke Pejabat Pengarah Tanah dan Galian di SUK dan membuat carian disana. Walaubagaimanapun, pihak Pejabat Pengarah Tanah dan Galian di SUK, tidak dapat membuat carian dan menasihatkan saya untuk ke Pejabat Tanah Dan Jajahan Kota Bharu.

Setelah ke Pejabat Tanah Dan Jajahan Kota Bharu, carian untuk cabutan hak milik masih juga tidak dapat dibuat. Pada Februari 2020, saya telah ke Pejabat Ukur Dan Pemetaan Negeri Kelantan dan membuat carian diatas lot tersebut.

Pada hari berkenaan juga saya telah ke Pejabat Tanah Dan Jajahan Kota Bharu dan jawapan yang diterima masih sama iaitu tanah mungkin didaftarkan atas nama orang lain atau tanah mungkin belum dipecahkan lot.

Akibat masih lagi tidak berpuas hati, pada keesokan harinya Februari 2020, saya sekali lagi pergi ke Pejabat Ukur Dan Pemetaan Negeri Kelantan dan menbuat carian di atas lot tersebut dan mendapati bahawa tanah tersebut tidak dipecahkan lot.

Pada hari yang sama, saya telah pergi ke Pejabat Tanah Dan Jajahan Kota Bharu dan membuat cabutan hak milik diatas lot tersebut dan mendapati bahawa tanah tersebut bukanlah diatas nama Ahmad Bin Abu sebagai pemilik sebagai mana yang tertera dalam perjanjian tetapi dimiliki oleh Dollah sebanyak 3/8 bahagian, Siti sebanyak 3/8 bahagian dan Seha sebanyak ¼ bahagian.

Saya merasakan bahawa terdapat unsur penipuan semasa urusan jual beli, dimana perjanjian sewa beli yang dibuat adalah dengan selain daripada pemilik yang didaftarkan dan bercanggah dengan perjanjian sewa beli yang dibuat diantara pihak koperasi dan individu yang dikatakan sebagai pemilik.

Selain itu no lot rumah yang terdapat dalam perjanjian adalah sama dengan no lot yang terdapat dalam perjanjian jiran saya.

Berikutan dengan hal ini juga, saya menanggung kerugian wang ringgit serta kerugian lain-lain yang terpaksa saya tanggung akibat wujudnya unsur penipuan semasa proses penerangan yang diberikan sebelum urusan jual beli, semasa urusan jual beli dan selepas urusan jual beli dilakukan.

Untuk pengetahuan pembaca, saya ada meminta bantuan daripada peguam di biro bantuan guaman. Pihak peguam ada menghantar surat untuk pihak koperasi memaklumkan status sebenar tanah tersebut dan status sebenar tanah saya.

Tapi pihak koperasi enggan membalas surat tersebut atas dakwaan bahawa tiada report polis dibuat. Dia juga menyatakan bahawa kami sekeluarga tidak perlu risau kerana jurukur tersebut hanya datang mengukur untuk buat parit sahaja.

Disebabkan pihak koperasi menyatakan bahawa mereka ingin laporan polis barulah mereka akan membalas surat berkenaan, ayah saya telah pergi ke balai polis untuk membuat laporan polis. Dan setelah selesai laporan polis, pihak polis tersebut menyuruh ayah saya ke ipd untuk berjumpa dengan pegawai polis kerana dimaklumkan bahawa Ahmad ini merupakan suspek mereka.

Pihak ipd meminta masa untuk menyemak semua dokumen dan akan memaklumkan kepada ayah saya mengenai isu ini sama ada termasuk isu jenayah komersial atau tuntutan sivil.

Setelah pulang dari membuat laporan polis, ayah saya telah pergi ke biro bantuan guaman untuk berjumpa dengan peguam untuk meminta peguam tersebut menghantar kembali surat tersebut bersama dengan report polis bagi meminta penjelasan sebenar daripada pihak koperasi.

Tetapi kerani tersebut menyatakan bahawa peguam tersebut kata dia hanya boleh memberikan nasihat sahaja dan urusan dengan dia sudah selesai. Saya mohon pandangan dan pendapat daripada pembaca sekelian untuk saya menolong ibu dan ayah saya.

Proses pembelian tersebut juga tidak saya ketahui kerana ibu dan ayah saya hanya bagi tahu dia ingin membeli tanah dan sehari selepas itu, saya diberitahu bahawa proses pembelian sudah selesai.

Ayah dan ibu saya bukanlah orang senang dan juga mereka hanya orang tua yang tidak berpengetahuan memgenai hal seperti ini. Saya tidak berharap banyak, cukuplah duit ibu dan bapa saya dikembalikan. Untuk mencari peguam juga terasa tidak mampu dan ibu juga sedang sakit.

Disamping itu, ayah saya juga ada bertanyakan kepada orang kampong tersebut mengenai pemilik tanah tersebut. Ayah saya ada berjumpa dengan penama didalam geran tersebut. Untuk pengetahuan pembaca Dollah sudah meninggal, yang masih ada hanyalah siti dan seha sahaja. Mereka juga menyatakan bahawa tanah tersebut telah dijual kepada pihak tersebut, Cuma belum tukar nama sahaja.

Dan untuk pengetahuan pembaca ada mangsa dari pihak koperasi ABC ini juga yang kerugian rm100k. walaubagaimanapun setelah report polis dan beberapa tindakan dibuat, pihak koperasi ABC ini berjanji untuk membuat bayaran balik tetapi secara ansuran bukan sekaligus. Isunya mangsa ini membuat bayaran 100k cash tetapi tanah tersebut tidak dapat ditukar nama.

Saya juga ada membuat carian sekatan perjalanan, dan ternyata Ahmad itu seperti ada isu kerana tiada status tiada halangan, tetapi diminta rujuk kepada pihak immegression.

Sudilah kiranya pembaca memberikan pendapat dan pandangan serta idea kepada saya. Sekian terima kasih.

– Suri (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *