Assalamualaikum kepada semua pembaca setia IIUM Confession. Saya memerlukan nasihat dan pandangan sahabat mengenai kisah hidup saya.
Perkenalkan saya Embun, isteri dan ibu kepada seorang anak. Telah berkahwin untuk dan dikurniakan zuriat tahun ini selepas penantian yang cukup lama.
Saya berada di persimpangan dilema kerana sikap suami yang tak pernah berubah untuk kesekian kalinya. Saya namakan beliau A.
A adalah figure seorang suami yang bertanggungjawab, setia, penyayang dan sentiasa memanjakan saya. Setelah dikurniakan zuriat, makin terselah sikapnya yang membuatkan saya semakin jatuh cinta.
Saya dikurniakan keluarga mertua yang baik dan A juga sangat baik terhadap keluarga saya.
Kami suami isteri yang bekerjaya dan telah sama sama bermula dari bawah sehingga dalam kedudukan yang agak stabil seperti sekarang. Alhamdulillah untuk semua nikmat Allah untuk saya yang tidak sempurna ini.
Namun A mempunyai sisi gelap, iaitu bermain judi online, menagih dadah (syabu) dan menonton video lucah.
Sesiapapun yang melihat rumahtangga kami dari luaran tidak akan menyangka A seseorang yang bersifat sedemikian kerana kami sangat menjaga aib masing masing dimata keluarga.
Saya ulaskan sedikit mengenai judi online. Pernah suatu ketika A berhutang melebihi kemampuan kerana bermain judi. Namun itu cuma berlarutan beberapa bulan sahaja. Selepas itu beliau berjanji untuk berubah.
Tadi saya telah maklumkan A adalah seorang suami yang bertanggungjawab.
Segala nafkah zahir saya beliau tunaikan tanpa gagal kerana kad bank dipegang dan perbelanjaan dikelola oleh saya dan lebih dari mencukupi untuk menampung kehidupan seharian kami.
Tetapi sekarang beliau sudah mula bermain judi lagi. Walaupun tidak memegang wang sendiri, saya risau dia kembali ke tabiat lama dan berhutang lagi.
Seterusnya mengenai ketagihan dadah. Saya mengetahui sisi yang satu ini selepas mendirikan rumahtangga.
A pernah berhenti sendiri dan kembali kepada ketagihan lama sehingga sangkut ujian air kencing dan dipantau oleh AADK.
Selepas tamat tempoh tersebut, beliau hanya berubah beberapa tahun sahaja dan mula berjinak kembali ketika saya menunggu hari untuk melahirkan zuriat yang sekian lama kami tunggu.
Saya merasakan ini adalah puncak kesabaran saya diuji kerana saat-saat tersebut A sanggup berbuat demikian.
Pada ketika itu saya sudah memutuskan untuk pergi dan A meminta peluang terakhir kerana ingin bersama sama membesarkan permata hati kami dan masih menyayangi saya.
Saya bersetuju dan A mengkhianati kepercayaan saya sekali lagi ketika saya berpantang di kampung.
Sekarang A meminta peluang terakhir untuk kesekian kalinya yang saya sendiri tak pasti adakah A ikhlas atau ingin membohongi saya seperti dulu lagi.
A mengatakan hanya untuk bermain main sahaja dan saya tak perlu risau kerana tidak akan ketagih seperti dulu lagi.
Saya terlalu kecewa dengan sikap A yang tidak menghargai pengorbanan saya yang telah banyak memberi dorongan untuk beliau berubah selama ini. Dengan saya juga lah A turun naik ke AADK dan mahkamah suatu ketika dahulu.
A juga akan menonton video lucah pada masa tertentu. Saya merasakan saya bukan isteri sempurna kerana A perlu mencari kepuasan dengan cara seperti itu. Sedangkan saya berusaha semampu saya untuk mencukupi keperluan batin A.
Saya telah meminta A melepaskan saya dan kami sudah tidak bertegur sapa beberapa hari. A mengatakan tidak sanggup dan meminta peluang terakhir sekali lagi.
Saya sudah tawar hati kerana A seperti tiada usaha untuk meminta maaf dan memujuk saya. Mungkin A sendiri tidak yakin yang dia mampu berubah untuk kami.
Saya tidak sanggup anak saya dibesarkan tanpa ayah kerana saya sendiri telah mengalami situasi tersebut. Saya juga seperti hilang arah dan tiada tempat untuk kembali selepas bercerai kerana kepincangan keluarga saya sendiri.
Tapi saya juga tidak mahu anak saya dibesarkan oleh seorang ayah yang mempunyai sisi gelap tersebut dan tidak pernah berubah.
A sering mengatakan saya cepat berputus asa dan saya sendiri tidak tahu adakah kesabaran saya selama berbelas tahun tidak bermakna apa-apa.
Mohon bantu saya untuk membuat pilihan.
– Embun (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit