Assalamualaikum. Terima kasih kalau admin sudi kongsi cerita aku ni. Aku perkenalkan diri aku. Nama aku Ila, aku anak sulung dari tiga beradik yang juga kesemuanya perempuan. Aku dibesarkan dengan penuh tanggungjawab.
Anak sulung perempuan ini lain dari anak sulung lelaki. Perempuan sering dianggap lemah dan tidak mampu memimpin. Tapi jika ada diluar sana juga anak sulung perempuan seperti aku semestinya mereka akan faham keadaan dan hati anak sulung perempuan.
Aku dilahirkan dalam keluarga yang sederhana. Dari kecil aku merasa bahawa ada tanggungjawab dalam setiap perkara yang berlaku dalam keluarga aku.
Sewaktu masih bersekolah rendah, aku sekeluarga menumpang di rumah nenek aku dikampung kerana kami ada masalah kewangan. Ibu terpaksa bekerja sebagai pembantu kantin sekolah dan ayah pemandu lori. Ibu dan ayah akan keluar awal bekerja. Jadi ibu sering mengingatkan aku apa yang perlu aku lakukan sewaktu dia tiada.
Adatlah menumpang di rumah orang bukan kita disukai sentiasa. Dari segi masak nasi, panaskan lauk, balik sekolah basuh baju sekolah sendiri, lepastu ambil adik aku pula di tadika.
Masa itu aku tak sedar pun semua itu ‘tanggungjawab’ aku sebagai anak yang ibu ayah harapkan. Aku hanya fikir sewaktu itu akulah orang yang paling besar dari adik-adik maka kerana itulah ibu aku berharap pada aku.
Apabila ada konflik antara ibu dan ayah aku tak tahan dengan hanya melihat maka aku akan mengambil tindakkan untuk mendamaikan mereka. Dari hari ke sehari aku makin tahu, itulah anak sulung perempuan.
Meningkat dewasa kami diberi rezeki ayah mampu beli rumah sendiri dan kami berpindah. Dari situ aku mula dengar ibu aku akan bangun seawal 5.00 pagi untuk mengemas rumah dan bersedia untuk solat subuh. Aku awalnya hanya abaikan, tapi lama kelamaan timbul satu perasaan dalam hati aku bahawa aku sepatutnya membantu ibu.
Dari situlah aku mula terus bangun apabila aku dengar ibu mula sibuk di dapur waktu pagi. Dan sehingga ke hari ini aku dah terbiasa bangun jam 5.00 pagi walau sepenat mana aku sebelumnya. Perasaan itu timbul sendiri. Aku sedar akan segala hal ini bila aku meningkat dewasa, ibu dan ayah banyak bergantung perkara dengan aku.
Walaupun aku takut tapi aku akan paksa diri aku untuk lakukannya. Sebagai contoh aku berasa takut untuk berurusan dengan ‘bagunan kerajaan’, kerana aku tidak tahu dan tiada sebarang pengalaman. Tapi kerana aku perlu, aku beranikan diri. Dan bermacam lagi situasi yang aku perlu lalui kerana orang tua aku berharap pada aku.
Akhirnya aku menjadi seorang yang berdikari. Aku boleh pergi shopping sendiri, makan di public sendiri, aku boleh pergi bengkel baiki kenderaan sendiri bahkan sekarang untuk berurusan dengan ‘bagunan kerajaan’ juga aku lebih cekap berbanding ayah aku.
Maka kerana pada pandangan mata ibu ayah aku ini seorang yang kuat, berdikari, mampu selesaikan masalah sendiri, dan menjadi contoh pada adik-adik, ibu ayah menjadi ‘bisu’ dalam melihat jiwa dan hati aku. Mereka ‘bisu’ dan ‘buta’ dalam menilai jiwa dan hati aku.
Adakalanya aku juga perlukan sokongan moral dari mereka. Adakalanya aku mengharapkan mereka tanya keadaan aku. “Kakak okay ka?” “Masalah kakak dah selesai?” “Kakak ada apa-apa nak kongsi dengan kami?”. Itulah antara soalan yang aku mengharapkan meraka tanya pada aku.
Jujurnya waktu aku menulis soalan-soalan ini, gugur air mata aku dengan rasa sebak dan masalah yang serabut difikiran dan dada. Kenapa aku diamkan? mungkin ada yang bertanya begitu.
Tapi meluahkan itu bukan mudah pada orang yang telah percayakan kita sekian lama. Hati dan jiwa anak sulung perempuan ini juga perlukan perhatian walaupun mereka nampak tenang dan kuat. Ada masanya mereka juga down dan berasa sedih.
Sekian itu saja sikit perkongsian saya. Terima kasih.
– Ila (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit